Sebagai seorang mahasiswa dan rakyat Malaysia saya merasakan sangat kecewa dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam yang telah dipersetujui oleh majoriti Parlimen Malaysia pada 29 November 2011 yang lepas. Saya berpendapat bahawa peraturan yang cuba diketengahkan ini bukan satu usaha ke arah penambahbaikan negara tetapi lebih kepada usaha pihak kerajaan untuk menyekat pihak oposisi dan rakyat daripada menegur kesilapan mereka. Datuk Seri Najib Razak berkata dengan adanya undang-undang ini kerajaan telah membuat satu revolusi kerana telah memberikan peluang kepada rakyat untuk berhimpun. Percaya atau tidak kenyataan Perdana Menteri Malaysia ini telah disambut dengan helai tawa di jalanan oleh golongan mahasiswa, NGO dan pertubuhan masyarakat sivil pada hari yang sama dengan persetujuan parlimen.

Peraturan ini juga seperti ingin menyindir rakyat, bahawa yang sebenarnya rakyat di negara ini tidak matang dan tidak mampu untuk membezakan antara permata dengan kaca iaitu antara perhimpunan aman dengan perhimpunan rusuhan. Secara tidak langsung ianya juga memberikan imej yang buruk terhadap negara kerana seolah-olah rakyat di negara ini adalah pemberontak, pengganas dan perosak kerana itu tidak boleh diberikan kebebasan protes jalanan sama sekali. Myanmar yang masih dibawah pemerintahan ‘Tentera Berdaulat’ menyaksikan hak demokrasi rakyat mereka lebih terbuka berbanding di negara kita. Myanmar hanya memerlukan sekurang-kurangnya 5 hari untuk memohon permit berbanding Malaysia yang memerlukan selama 30 hari.

30 hari sekurang-kurangnya tempoh memohon permit untuk melakukan perhimpunan adalah satu tempoh yang tidak relevan. Sekiranya sesuatu isu itu memerlukan sokongan rakyat dengan kadar yang segera maka tempoh ini akan menjadi benteng penghalang yang besar kepada rakyat untuk bersama-sama menyatakan sokongan. Contohnya jika perkara yang berkaitan dengan sensitiviti rakyat maka rakyat terpaksa menunggu selama 30 hari untuk membuat bantahan sedangkan pada masa itu perkara tersebut telah menjadi parah dan mungkin mendatangkan kemudaratan kepada negara.

Sekiranya penganjur gagal atau tidak mengemukakan notis untuk menganjurkan perhimpunan maka pihak penganjur akan dikenakan denda sebanyak RM10, 000 dan mana-mana warganegara yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut akan dikenakan denda sebanyak RM20, 000 oleh pihak polis. Secara ikhlas dari sudut pandangan saya sebenarnya kerajaan tidak mahu langsung memberikan ruang untuk rakyat mengkritik atau bersuara tetapi kerajaan bijak dengan menggunakan kaedah kau ambil satu aku ambil sembilan supaya rakyat tertipu dengan helah yang seakan-akan hak mereka terbela.

Dalam rang undang-undang yang dibentangkan juga, warganegara yang berumur bawah 21 tahun tidak dibenarkan menganjur sebarang perhimpunan aman dan warganegara yang berumur bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan. Merujuk kepada Perlembagaan Malaysia Perkara 10 (a) dan (b) dimana setiap warganegara berhak bebas bercakap dan berhimpun secara aman dengan tidak bersenjata, secara terang-terangan rang undang-undang yang dibentangkan bertentangan dengan perlembagaan kerana dalam perlembagaan tidak menyatakan had umur yang sepatutnya dicapai bagi menyertai sebarang perhimpunan tetapi perlembagaan menyatakan untuk bebas bercakap dan berhimpun secara aman tanpa bersenjata adalah hak setiap warganegara. 

Saya berharap agar pihak kerajaan tidak meneruskan niat untuk MENIPU rakyat dengan mewujudkan undang-undang yang menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat kerana dalam perlembagaan sudah jelas memberikan rakyat hak untuk bersuara dan berhimpun dengan aman. Sekiranya pihak kerajaan ingin meneruskan juga perlaksanaan akta ini, saya mencadangkan agar pihak kerajaan mengharamkan seluruh umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadah haji kerana ibadah ini juga menganjurkan agar umat islam berhimpun tanpa dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah.

Tarmizi bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro Mahasiswa UPM.


Ads 468x60px

Featured Posts