Pages

Khamis, 26 Januari 2012

Ustaz Azizan Masuk Umno?

Pendapat saya berkaitan kenyataan Prof Aziz Bari berkenaan dengan Ustaz Azizan yang menyokong Auku sebenarnya adalah sindiran dan peringatan kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Apabila Prof Aziz Bari berkata seperti itu bukan bermakna beliau menyuruh Ustaz Azizan untuk lompat parti atau keluar daripada Pas tetapi adalah kata-kata nasihat supaya Ustaz Azizan khususnya dan pemimpin Pakatan Rakyat amnya tidak berpaling daripada apa yang telah dicatatkan di dalam Buku Jingga.

Jika bekas Menteri Besar Perak, YB Nizar Jamaluddin yang tidak bersetuju dengan ISA telah mengemukakan cadangan supaya ISA dikeluarkan atau dipindahkan daripada Perak iaitu negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Bukan pula menggunakan ISA untuk orang yang tidak bersependapat dengannya. Maka, dengan ini saya melihat sewajarnya Ustaz Azizan yang mewakili Pakatan Rakyat tidak menggunakan AUKU sebagai alasan sebuah akta sedia ada yang digunakan selagi mana Pakatan Rakyat tidak memerintah atau kerajaan memansuhkan.

Sewajarnya Ustaz Azizan mengikuti cara YB Nizar Jamaluddin dalam menangani permasalahan KUIN ini. Sekiranya Pakatan Rakyat ingin memenangi hati mahasiswa, perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku kerana mahasiswa berpegang dengan prinsip keadilan. Sekiranya Pakatan Rakyat tidak mampu untuk memenangi hati mahasiswa maka jangan harap untuk memenangi hati rakyat. Mahasiswa tetap dengan pendirian untuk mengkritik sesiapa sahaja yang berlaku tidak adil dengan mahasiswa dan rakyat.

Saya menyambut baik kritikan Prof Aziz Bari kerana kita yakin dengan kritikan akan ada perubahan. Saya juga ingin mengesyorkan jika ada mana-mana pihak yang ingin menyokong AUKU maka seharusnya dia pergi mengisi borang untuk menyertai UMNO. Saya akan bersama sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak kebebasan mahasiswa secara total hatta yang memperjuangkan itu adalah seorang tukang sapu.

Tarmizi Bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro-Mahasiswa UPM.

Ahad, 15 Januari 2012

Dedikasi Untukmu - Fateha Syauqah

Betapa sukarnya bernafas dalam keramaian,
Betapa pahitnya menelan kebencian,
Betapa jerihnya menghadap kezaliman..

Mereka kata anak muda  itu suka,
Mereka kata anak muda itu gembira,
Mereka kata anak muda itu  menurut rasa,

Namun,
Ingin aku jeritkan pada dunia,
Kerja itu bukan kesukaan malah memeritkan,
Tidak mengayakan malah disusahkan,

Kata mereka lagi,
Belajarlah anak muda,
Belajarlah..
Kejarlah segulung ijazah,
Gembirakan ibu bapamu,
Bantulah saudara maramu,
Berkhidmatlah dengan pemerintahmu..

Namun,
Sedarkah mereka,
Sijil itu bukan penentu kebahagiaan,
Apa guna ijazah kepujian,
Jika akhirnya agama  dipinggirkan,
Apa guna harta melangit,
Kalau mata hatinya sakit?

Belajar itu bukan sijil ukurannya,
Tapi kematangan menjadi sandaran,
Kau lihat,
Berapa ramai yang menggengam sijil di tangan,
Tapi korupsi menjadi makanan,
Rasuah menjadi santapan,
Wanita silih berganti sebagai pakaian..

Wahai kaum ibu,
Wahai kaum bapa sanjunganku,
Kami  ingin menyedarkan masyarakat ini dari lena yg panjang,
Sudah terlalu lama kita tertidur dengan pulasnya,
Maka restuilah dan doakanlah,,

Restuilah jalan perjuangan ini,
Titipkanlah doa tulus dari bibir basah di malam yang syahdu,
Moga dengan itu,
Anak-anak muda kekal kuat menyelamatkan masyarakat..

Jumaat, 13 Januari 2012

Melayu Sudah Tenat.


Kata HAMKA;
"Didikan yang baik menimbulkan jiwa yang baik. Orang yang percaya kepada dirinya sendiri, itulah orang yang merdeka sejati. Bukan orang lain yang menentukan ini salah, ini baik, ini buruk, melainkan kemerdekaan fikirannya dan kepercayaannnya kepada dirinya sendiri kelak yang membuat peraturan itu. Orang lain tak usah cemas dan takut, sebab jiwa yang bebas itu sentiasa mengejar kebenaran”.

Penyakit orang Melayu, kita gusarkan pada bukan tempatnya. Orang Melayu jarang mempunyai jati diri yang mengatakan akulah pengubahnya kerana aku takut perubahan atau masa depanku musnah. Sedang kita diperkotak-katikkan sebilangan Melayu itu sendiri untuk kepuasan nafsunya kita juga dilupakan kitalah pengubahnya. Rupanya kita telah diperbodohkan oleh sebangsa sendiri.

Masyarakat Melayu diajar untuk menggunakan 'patik' ketika berhadapan dengan Raja Melayu rupanya kita tidak sedar maksudnya adalah 'Anak Anjing'. Betapa hinanya orang Melayu digelar seperi ini. Sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat dinukirkan agar Orang Melayu tahu Raja wajib ditaati sekiranya ingkar Jebat padahnya. Walau kebenaran diperjuangkan Jebat tetap salah kerana menderhakai Raja dan Hang Tuah adalah pahlawan sejati kerana mempertahankan Raja yang berdosa. Rentetan sejarah rupanya digunakan untuk mendoktrinisasi orang Melayu agar hilang jati dirinya dan meredhai segala perkara di sekelilingnya.

Pepatah Arab ada menyebut;
            “ Aqbil ‘alan-nafsi was-takmil fadhailaha
                         Fa anta bin nafsi la biljismi Insanu”
Yang bermaksud;
            Hadapkan perhatian kepada jiwa, tegakkan sempurna budi utama
                        Dengan jiwamu, bukanlah badan, Engkau sempurna menjadi insan.

Bersama masyarakat yang penuh dengan ketakutan untuk menyatakan kebenaran adalah sesuatu yang pahit. Ketiadaan perhatian terhadap jiwa mengakibatkan sesuatu bangsa itu terus terjerumus ke dalam kancah yang hina walau di mata dipandang mulia. Untuk mendapatkan kemuliaan adalah sesuatu yang tidak wajar kerana khuatir akan menghampiri takbur dan ujub. Tetapi dalam mencari kebenaran hati itu perlu dikhuasai terlebih dahulu sebelum lahiriahnya. Maka saat hati telah dimiliki pasti engkau mampu menjadi seorang insan yang berpegangan teguh dengan kebenaran.

Ingin saya mengajak insan bergelar orang Melayu untuk merenungi hala tuju hidup ini, di manakah tanggungjawab kita. Sebagai masyarakat yang majoriti pasti kita tidak mahu untuk kehilangan keistimewaan yang telah dikecapi, tetapi jangan biarkan keistimewaan ini dihancurkan oleh golongan yang sedang memegangnya ketika ini. Lihat bagaimana hutan balak diratahi oleh mereka yang loba dengan harta. Siapa yang tidak kenal dengan Sultan Melayu itu jika kita sebut tentang balak. Bagaimana tanah rezab Melayu 3 juta ekar asalnya telah semakin berkurang hasil daripada kerakusan bangsa itu sendiri. 

Pesan diri merdeka buat insan bergelar orang Melayu, dalam mempertahankan harta kita jangan mengkhianati dan menidakkan hak sebangsa atau bangsa lain. Saatnya semakin hampir, golongan muda perlu sedar akan harta ibu bapa kita diratah oleh sebangsa yang loba. Anak muda pengubah negara perlu sedar, akhlak Melayu semakin buruk kerana dipimpin oleh sebangsa yang buruk akhlaknya. Sedarlah anak muda Melayu dikau pendokong bangsamu, teguhkan pendirianmu, luruskan barisanmu, asahkan lidahmu, tajamkan fikiranmu, semata-mata untuk kebenaran. Akhir sekali, dibuka dengan kata-kata tokoh yang saya hormati, ingin sekali lagi saya gunakan kata-katanya sebagai penutup medan pena ini. Kata Hamka;

“ Keteguhan akhlak tidak sukar, asal sahaja manusia sedar bahawa dia adalah sebenar-benar manusia; yang mempunyai kemahuan lebih tinggi dari mencari kedudukan. Mengejar kebesaran jiwa terlebih dahulu daripada mengejar harta. Yang sedar bahawa di samping haknya ada pula kewajipannya. Dan yang ingat benar, bahawa usia riwayatnya sesudah matinya, jauh lebih lama daripada usia badannya sendiri ketika hidupnya. 

Bila hal itu telah tercapai oleh satu bangsa, dengan sendirinya timbullah SATU KATA, tidak berbilang. Hanya satu siasat; tidak mengenal mundur-maju dan ragu-ragu. Dan itulah yang akan menimbulkan segan dan malu bangsa-bangsanya”.

Khamis, 12 Januari 2012

Perjuangan Seorang Anak.


Sebuah lagu yang diubahsuai ke dalam Bahasa Melayu oleh Sharifah Aini dan dinyanyikan oleh kumpulan Carefree. Lagu yang mengajak bersama merenung di manakah kedudukan kedua ibu bapa pada kita. Setelah diberikan didikan dan kasih sayang di manakah kita tempatkan mereka. Perdengarkan lagu ini.

 

Lagu asal didendangkan oleh Freddie Aguilar, berasal daripada Philipina. Lagu yang sangat menyentuh jiwa buat insan yang bergelar anak. 


Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah telah menukirkan tanggungjawab seorang anak ke atas kedua ibu bapanya. Saya memetik tulisan semula oleh Syiekh Abdul Shamad Falimbhani dalam kitab Hidayatus Salikin membicarakan soal adab terhadap ibu bapa.

Pertama, bahawa mendengar dan mengikut akan segala perkataan ibu bapanya itu dan segala yang disuruh oleh ibu bapanya itu wajib ia menerima akan dia dan haram menyalahi akan dia. Dan segala yang ditegahkannya itu wajib menjauhkan akan dia.

Kedua, Hendaklah ia berdiri pada ketika berdiri ibu bapanya itu kerana menta'zimkan atau memuliakan akan dia.

Ketiga, bahawa jangan berjalan di hadapan ibu bapanya itu.

Keempat, Jangan ia mengangkat suaranya atas suara ibu bapanya itu.

Kelima, Apabila memanggil ibu bapanya akan dia, maka hendaklah dijawabnya dengan jawab yang sopan santun seperti dijawabnya dengan yang memberi tahu akan membesarkan ibu bapanya. Seperti perkataan, naam atau baik.

Keenam, Hendaklah bersungguh-seungguh ia memeliharakan atas menuntut keredhaan ibu bapanya itu, daripada perbuatanm dan perkataan, serta merendahkan dan menghinakan diri bagi ibu bapanya.

Ketujuh, Bahawa jangan membangkitkan atas ibu bapa itu dengan sebab berbuat kebajikan bagi keduanya itu, dan dengan sebab memeliharakan sekalian pekerjaan bagi keduanya.

Kelapan, Bahawa jangan menilik kepada keduanya itu dengan tilik yang menyakiti akan keduanya itu, atau dengan tilik marah akan keduanya.

Kesembilan, Bahawa jangan memasamkan muka pada hadapan ibu bapa itu sebab marah akan keduanya.

Kesepuluh, Bahawa jangan musafir melainkan dengan izin ibu bapa itu. Melainkan jika ada musafirnya itu kerana menunaikan haji yang fardhu 'ain atasnya maka iaitu tiada berkehendakkan dengan izin ibu bapanya itu. Tetapi sunat ia meminta izin daripada ibu bapanya itu. Adapun musafir kerana naik haji itu sunat, atau fardhu kifayah, maka iaitu tiada harus, melainkan dengan izin ibu bapanya itu. Dan demikian lagi musafir kerana menziarah kepada Anbiya' dan Auliya' dan barang sebagainya, maka iaitu tiada harus, melainkan dengan izin kedua ibu bapa itu. Tetapi harus musafir kerana menuntut ilmu dengan tiada izin ibu bapanya.

Terlalu banyak saya membelakangkan kedua ibu bapa, tetapi masih tidak terlambat kerana saya berdoa dan berusaha agar suatu hari nanti jenazah kedua ibu bapa akan dimandikan, disolatkan dan disemadikan oleh insan yang bernama ANAK.

Selasa, 10 Januari 2012

Bukan mahasiswa sahaja ditentang.

Pernah suatu masa dahulu Kyai Dahlan berputus asa kerana pasentrennya dirobohkan oleh masyarakat Kauman. Dia ingin membawa diri keluar dari Kauman tetapi ternyata takdir Allah dia berada di dalam Kauman. Di saat itu pernah terasa lelah tetapi dia tetap berpegang dalam membawa jalan dakwah pasti ada tentangan.

Keyakinannya yang tinggi; "Wahai orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong dan mengukuhkan kedudukanmu" (47:7). Niat baik membawa tajdid dalam masyarakatnya ditentang oleh orang Islam yang taksub dengan penghulu mereka sehingga mereka dangkal dengan Islam itu sendiri.

Pernah juga dia dituduh kyai kafir kerana membawa tajdid yang dianggap bertentangan dengan Islam. Mereka menyempitkan pemikiran, dengan menganggap apabila mengadakan hubungan baik bersama bukan Islam itu menjadi sesat. Golongan yang dangkal dengan Islam pasti akan menentang golongan yang membawa Islam secara syumul.

Saya melihat golongan masyarakat hari ini sentiasa mengatakan golongan yang membawa tajdid itu adalah sesat dan berkepentingan. Sedangkan mereka tidak pasti adakah pegangan mereka selama berpuluh tahun ini adalah yang benar. Mereka menolak tajdid di kala mereka sendiri tidak faham agama mereka.

Mereka bercakap soal Islam tetapi mereka tidak faqih dengan apa yang diperkatakan. Kebenaran hanya milik Allah, kita hanya berikhtiar agar berjumpa dengan kebenaran. Masyarakat hari ini mempunyai masalah tidak mahu mencari ilmu agama, tetapi lebih teruknya apabila mereka sendiri menjadi penghalang dalam kerja-kerja dakwah ini. Sudahlah tidak mahu belajar ilmu agama, tidak cukup dengan itu mereka menjadi pembenci kepada orang yang mengajar dan belajar ilmu agama sehingga sanggup dihalangnya.

Cilakalah golongan ini kata nabi kerana nabi mencintai golongan yang berdakwah dan membenci golongan yang benci kepada kerja dakwah. Lalu apakah kedudukan kita ketika ini? Kita membantu kerja dakwah atau membunuh kerja dakwah? Kesabaran Kyai Dahlan dalam membawa jalan dakwah ini wajar dijadikan pedoman buat pendakwah di luar sana kerana mereka perlu jelas bahawa musuh Islam bukan hanya orang kafir tetapi yang lebih bahaya adalah golongan munafiq yang menentang Islam secara sembunyi.

Saat Kyai Dahlan membawa kerja dakwah, kuantiti tidak berpihak kepadanya. Bilangan anak muridnya tidak seperti golongan yang menentangnya. Dia sedar kuantiti bukan segalanya maka kerja dakwahnya tidak pernah berhenti walaupun kafir dipanah ke arahnya. Pelbagai mehnah dan tribulasi dihujaninya oleh orang Islam sendiri, tetapi berkat kesabarannya, akhirnya matlamat menubuhkan Muhammadiyyah itu terlaksana.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah padahal dia diajak kepada (agama) Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang Zalim. Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya." (61:7-8)

Kita yang bernama Muslim sewajibnya bersama-sama mereka yang inginkan Islam menjadi ad-din dalam hidup ini. Bukan nasionalisme, sekularisme atau sosialisme yang perlu didukung untuk kepentingan sejagat kerana ianya akan lebih memecahkan tatkala mulut berzikir mengatakan bersatu. Kesatuan hanya dicipta dengan dasar keimanan yang satu yakni Al-Haq. Bukan nasionalisme, sekularisme atau sosialisme.

Sekiranya kita merasakan diri kita sudah terlambat, nabi tidak pernah mengajar umatnya erti terlambat. Kata nabi jika esok hari kiamat dan ditanganmu ada benih maka tanamlah benih itu. Ajaran ini menunjukkan Allah tidak pernah menutup jalan hambaNya ke arah kebenaran sekiranya hamba itu ingin berubah ke arah kebenaran. Masa yang masih ada perlu digunakan untuk mengubah segenap penjuru untuk membentuk sebuah negara Islam yang diredhai Allah. Tujuan hidup mencari redha Allah, jika negara yang dibina tidak mendapat redha Allah maka tidak ada ertinya keIslaman negara itu.

Kyai Dahlan berpesan; "Setiap manusia itu berhak untuk menjadi benar". Maka, kita perlu berikhtiar dan bersama-sama mereka yang membawa kebenaran. Hari ini kita belajar dan berjuang untuk menjadi mulia di mata Allah. Gunakan ilmu itu bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk kemaslahatan manusia sejagat. Jika tidak ditentang arus yang deras pasti kita lemas dan hanyut dibawah arus. Ingatlah Allah bersama dengan orang-orang yang peduli. 

Khamis, 5 Januari 2012

Kepada Pejuang


Jika kamu dibenci jangan kamu bersedih kerana kebenaran sentiasa dibenci. Maka jika kamu dibenci insyaAllah kamu berada dalam kebenaran. Betul atau tidak pernyataan ini?

    "Nabi Musa dibenci oleh Firaun kerana baginda mebawa kebenaran"

           "Nabi Hud ditinggalkan anak dan isterinya kerana baginda membawa kebenaran"

           "Sultan Muhammad Al-Fateh dibenci oleh Kaisar kerana baginda turut membawa kebenaran"

Jika kita rasa kita inginkan pengikut jangan kita membawa kebenaran tetapi bawalah kezaliman, sebab ramai yang tidak mahu menentang tetapi ramai yang mahu mengikut. Kalau nak membawa kebenaran kena akui yang Nabi Ibrahim hanya mempunyai pengikut tidak sampai 20 orang. Apa yang pelik jika ditohmah oleh orang jika kamu membawa kebenaran?
Jamaluddin Al-Afghani berkata “Saya merasa hairan melihat kamu. Sebagai peladang kamu mencangkul tanah dengan cangkulmu bagi mencari rezeki. Mengapa tidak kamu cangkul sahaja dada orang yang menzalimimu?”

Berkata pula Al Kawakibi, “Diktator bertindak melampaui batas tanpa mengira sebarang halangan. Kalaulah mereka melihat ada pedang di pinggang orang yang dizalimi, tentu mereka tidak sanggup berlaku zalim.”

Berkata pula anak murid Jamaluddin Al-Afghani iaitu Muhammad Abduh, “Kalau tuanku mahu semua anggota majlis itu dilantik mengikut kehendak tuanku sendiri, tuanku boleh mewartakan satu undang-undang lain bagi memansuhkan undang-undang sedia ada”.

Ketiga-tiga tokoh pejuang ini tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mereka adalah pejuang. Merubah system kezaliman yang dilakukan pemerintah kepada rakyatnya dengan segenap cara. Berperang, ilmu, pena dan sebagainya. Kalau hendak hidup ini dimuliakan di dunia jangan kau melawan arus. Ikut dan taatilah. Jangan bersuara.

Tetapi sekiranya kamu berjiwa Pemimpin-mu; Nabi, Sahabat, Ulama; kamu dipersilakan menuruti jalan juang ini. Kamu sendiri buat pilihan di mana kedudukan yang diidamkan. Jangan menyalahkan orang lain kerana telah ramai yang memberikan kamu peringatan dan nasihat. Pilihan di tangan kamu.

*Aku berfikir; Kalaulah nabi menuruti kemahuan umatnya, apatah mampu aku mengecapi Islam?.


Selasa, 3 Januari 2012

Menyelidik atau bercerita; mana lebih penting?

Sudah lama tidak terusik ‘keyboard’ ini dengan penulisan yang membawa kepada peneguhan ilmu di dada. Kesibukan yang dibuat-buat menyebabkan terlupa tidak ada beza masa yang diberikan antara saya dengan insan lain; 24 jam. Mungkin sibuk dan mungkin tidak, tetapi kali ini ingin menulis sesuatu yang membuatkan otak ini berfikir dengan lebih mendalam akan hakikat sekelilingku.

Saat berpijak di bumi yang nyata mahu atau tidak pasti bersama dengan insan lain di dunia ini. Berkomunikasi bersama mereka merupakan keperluan untuk menjalinkan ukhuwah atau persaudaraan. Hidup ini penuh dengan penipuan. Saat kita melalui satu titian yang di kiri dan kanannya penuh dengan ikan berenang seolah-olah tempat yang indah untuk diduduki. Apabila melompat barulah kita tahu rupanya susah untuk bernafas dan mungkin kelemasan.

Manusia suka berkongsi cerita itulah fitrah manusia. Sedangkan di dalam Al Quran digunakan kaedah bercerita kerana dengan bercerita manusia tidak akan bosan tetapi ralik mendengarnya. Persoalannya benar atau tidak bukan yang terutama tetapi yang paling penting cerita itu sedap didengari. Kita ketepikan soal kebenaran dan yang paling penting cerita itu sesuai dengan jiwa masyarakat dan tidak akan dicemuh dan ditertawakan apabila kita ceritakan kepada orang lain.

Zaman dahulu kala, apabila orang memperkatakan jika anjing menyalak pada waktu bulan purnama maka akan ada hantu di luar dan jika sesiapa yang keluar pada waktu itu akan terserempaklah dengan hantu. Maka orang kampong pun mempercayainya, tidaklah mereka keluar pada waktu itu dan duduklah di dalam rumah. Sedangkan yang ditakuti itu tidaklah wujud sekalipun.

Apabila telinga terasa berdesing difikirnya akan ada yang mati dan hati mula resah gelisah memikirkan siapakah yang akan mati. Mengharapkan agar bukan orang yang disayanginya mati tetapi biarlah orang lain. Telingakah yang menentukan soal kematian? Sedangkan telinga itu gunanya untuk mendengar bukan untuk menentukan kematian.

Sedang menyiarap di lantai sambil kaki ‘menyabung’ ke atas dimarahi oleh kedua ibu bapa; "Adakah kau nak mak dan abah mati cepat?" Rupanya dengan mengangkat kaki ke belakang semasa menyiarap dikatakan boleh menyebabkan proses kematian ibu bapa menjadi lebih cepat daripada sepatutnya. Kanak-kanak yang sayangkan ibu bapa mereka bertekad tidak mahu membuat perkara itu lagi kerana takut kehilangan kedua orang tua yang disayanginya.

Soalnya kenapa masyarakat kita mempercayai sedangkan tidak ada perkara yang diajarkan di dalam agama kita seperti ini. Bahkan jika diperhalusi perkara ini telah menggoyahkan pegangan akidah kita yang mengakui ke-Esa-an Allah. Mengapa perlu diterima sedangkan kita sudah diberitakan tiada yang mampu melawan kekuasaan Allah?

Pokoknya kita kekurangan ilmu, kita suka membicara dan bercerita tentang perkara yang kita sendiri tidak pasti. Percaya atau tidak jika ditanya kepada si pencerita pasti dia akan berkata bahawa neneknya yang mengajarinya. Jika ditanya kepada nenek, jawapannya pun begitu. Kita terikut-ikut dengan cerita orang-orang dahulu atau zaman dulu kala. Kita terlalu mempercayai kata-kata orang yang kita sayangi dan kita hormati tanpa diselidiki atas dasar apa nenek memperkatakan begitu.

Selepas diselidiki barulah tahu nenek tidak mahu kita keluar waktu malam kerana takut-takut nanti akan berlaku kesulitan yang tidak diingini, bukan kerana hantu. Berdesing telinga itu kerana keadaan sekeliling yang tekanannya tinggi sedikit berbanding kebiasaan kita, bukan orang mati. Kita juga tahu rupa-rupanya ‘menyabung’ itu tidak molek kerana tingkahlakunya seperti kurang hormat kepada orang tua bukan mahu membunuh orang tua kita.

Perkara-perkara ini perlu diselidiki dengan sedalam-dalamnya sebelum disampaikan kepada orang lain kerana takut nanti sudahlah pegangan akidah kita goyah, rupa-rupanya kita turut mengajak orang lain ke arah kegoyahan akidah. Setiap perkara itu perlu dihadamkan sebelum kita sampaikan supaya tidak mudarat menjadi peneman di akhirat kelak. Jangan mengira sehingga sepuluh jika tidak mengira daripada pertama dan jangan hanya mengira yang pertama kerana ada hikmahnya yang kesepuluh.