Jumaat lepas pada 3 Mac 2012 mahasiswa telah turun ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyerahkan memorandum menuntut pilihanraya kampus diadakan dengan lebih awal. Pada hari itu juga mahasiswa (saya turut bersama) telah memberikan ‘batu nisan’ sebagai satu simbolik matinya demokrasi kampus akibat pembunuhan yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Selang dua hari selepas itu, Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengeluarkan satu kenyataan balas berikutan insiden yang berlaku. Beliau telah mengatakan bahawa mahasiswa yang hadir pada hari itu tidak matang kerana memberikan batu nisan. Semalam beliau sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan PTPTN yang digesa oleh mahasiswa dan pembangkang agar dihapuskan atau dilupuskan.

Berdasarkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi rupanya boleh saya simpulkan bahawa beliaulah yang tidak matang, bukan mahasiswa. Kenyataan beliau mengatakan jika diberikan pendidikan percuma kepada rakyat maka IPTS terpaksa ditutup ini adalah salah kerana IPTS boleh dibiarkan terus beroperasi dan seperti biasa sesiapa yang mahu belajar di IPTS maka dia perlu membiayainya sendiri.

Soal IPTS perlu ditutup tidak perlu timbul sekiranya kerajaan menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat kerana yang diberikan percuma hanyalah IPTA. IPTA mempunyai tanda aras atau kelayakkan yang perlu dilepasi oleh setiap pelajar jika ingin menyambung pelajaran di dalamnya. Maka, secara logiknya pasti akan ada pelajar yang berjaya dan tidak berjaya melepasi kelayakkan tersebut.

Kepada pelajar yang berjaya melepasi , mereka berhak untuk mendapat tajaan dan pendidikan percuma. Kepada yang tidak berjaya mereka mempunyai pilihan lain untuk sambung di IPTS. Satu lagi pilihan untuk pelajar yang tidak berjaya adalah memasuki institusi pengajian awam yang lain seperti politeknik, kolej politech mara dan yang lain sewajibnya dengan percuma kerana dalam sesebuah negara pendidikan adalah merupakan hak asasi setiap daripada rakyat yang menjadi warganegaranya.

Isu ini juga bukan hanya hak asasi rakyat untuk mendapatkan pendidikan percuma tetapi isu ini juga berkaitan dengan integriti dan amanah kerajaan Malaysia iaitu Barisan Nasional yang telah melupuskan hutang Tan Sri Tajuddin Ramli yang merupakan bekas Pengerusi Majlis Penerbangan Malaysia sebanyak RM589 juta terhadap Pengurusuan Danaharta Nasional Bhd. Jika hutang kroni atau ‘sahabat karib’ boleh dilupuskan sebanyak RM589 juta untuk seorang, maka apakah tidak boleh kerajaan melupuskan hutang PTPTN yang berjumlah 4.7 bilion untuk 887, 995 orang yang jika dibahagikan hanya lebih kurang RM529, 283 untuk seorang.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa mahasiswa bukanlah bodoh dan tidak matang tetapi mahasiswa adalah merupakan golongan cerdik pandai yang bakal menjadi peneraju pimpinan negara pada masa depan. Saya juga ingin tegaskan bahawa sesiapa atau mana-mana pihak yang ingin memperkotak-katikkan mahasiswa dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak munasabah adalah merupakan pihak yang sebenarnya tidak matang. Saya tuntut agar PTPTN ini dihapuskan segera.







Bersih 3.0 bakal diadakan pada 28 April 2012. Mahasiswa perlu memastikan mereka turun bersama-sama dengan rakyat Malaysia untuk menuntut pilihanraya umum di negara ini dilakukan dengan telus. 9 Julain 2011 (709) adalah detik bersejarah buat negara apabila lebih 200, 000 rakyat yang turun ke jalan raya di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya dilakukan dengan adil. Ini belum kira mereka yang ditahan di luar KL dan tidak dapat menghadirkan diri.


Sebelum pilihanraya umum yang dikatakan bakal menjelang pada bulan Jun ini.


Laporan daripada blogger UMNO. Jadi kita tuntut untuk mahasiswa turun bersama-sama ke jalan raya. Janga takut AUKU.....Jangan takut ISA.....Jangan takut Polis.....apa yang kita tuntut ini adalah untuk ana cucu kita di kemudian hari....ayuh mahasiswa....Ke jalan raya pada 28 April 2012; Pak Samad bakal mencipta sejarah untuk negara....



Bahlul; beliau adalah seorang yang bijaksana. Tingkahlakunya sering dipersoalkan oleh orang ramai kerana seakan-akan gila dan lain daripada kebiasaan yang biasa dilakukan oleh manusia. 

Beliau hidup pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid. Kebijaksanaannya mampu membuatkan Khalifah menangis apabila dia bertutur menasihati baginda. Pernah suatu ketika apabila beliau ditanyakan oleh Khalifah mengapa namamu Bahlul, maka Bahlul menjawab kerana aku memang bahlul. 

Ditanya semula oleh Khalifah, "Apakah tiada yang lebih Bahlul daripadamu?". Bahlul menjawab, "Tidak pernah hamba berjumpa dengan orang yang lebih bahlul daripada hamba". Maka ketika itu Bahlul diberikan tongkat oleh Khalifah dengan berpesan sekiranya kamu berjumpa dengan orang yang lebih bodoh daripadamu maka berika kepadanya.

Setelah Lama berpisah dengan Khalifah, tiba-tiba Bahlul mendengar khabar baginda sakit keras dan diramalkan akan segera mangkat. Maka dengan susah payah Bahlul menemui Khalifah. Tentu saja dengan membawa tongkat pemberian yang dibanggakannya.

“Wahai Amirul Mukminin, bagaimana khabarmu?”

“Aku akan pergi jauh, Bahlul. Jauh sekali, tak akan kembali,” jawab Khalifah.

“Pergi jauh? Apakah baginda sudah menyiapkan bekalan dan askar yang akan menjagamu?” tanya Bahlul.

“Dalam perjalanan yang satu ini, wahai Bahlul, kau tak bisa membawa bekal,” kata Khalifah.

Lalu Bahlul berkata, "Wahai Amirul Mukminin, tuanku melalui perjalanan selama satu atau dua hari dengan persiapan yang sangat mahal tetapi tuanku ingin pergi ke tempat yang tidak akan tuanku kembali tanpa membawa sebarang bekalan". Bahlul bangun dan berkata lagi, "Inilah tongkat sesungguhnya sekarang saya telah menjumpai orang yang lebih memerlukannya."

Sesungguhnya kebijaksanaan Bahlul ini dalam menasihati Khalifah Harun Ar Rasyid jarang diperdengarkan. Semoga beliau dirahmati Allah s.w.t.


Persoalan siapakah yang membiayai majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak timbul semula apabila Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mengemukakan resit yang telah dikeluarkan oleh Hotel Shangri-La kepada Pejabat Perdana Menteri.


Selepas Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan media berkenaan resit tersebut, pihak daripada Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan balas dengan menafikan pembayaran tersebut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri tetapi dibayar oleh Datuk Seri Najib sendiri dan menyuruh Rafizi Ramli memohon maaf atas fitnah yang dibuat.

Saya mencabar kepada Pejabat Perdana Menteri atau Datuk Seri Najib khususnya, sekarang bukanlah masa untuk memohon maaf atau bersujud di kaki. Jika tidak benar apa yang diperkatakan oleh Rafizi, Pejabat Perdana Menteri harus memfailkan saman terhadap Rafizi. Jangan hanya menafikan secara buta tuli tanpa mengemukakan bukti yang kukuh bahawa pembiayaan majlis pertunangan tersebut dibuat oleh Datuk Seri Najib sendiri.

Walaupun RM 409, 767 tidaklah sebanyak RM250, 000, 000 atau RM 24, 000, 000, Datuk Seri Najib masih perlu menjawab persoalan ini dengan mengemukakan bukti yang kukuh bahawa majlis pertunangan anak perempuannya dibiayai oleh beliau sendiri. Ini adalah penting untuk membersihkan nama beliau sendiri kerana kerajaan Barisan Nasional telah mempunyai banyak sejarah bekenaan rasuah antaranya Khir Toyo dan Isa Samad.

Walaupun sejarah ini nampak seakan tidak ada kena-mengena tetapi secara tidak langsung ia menggambarkan integriti Barisan Nasional itu sendiri. Saya cabar sekali lagi supaya perkara ini tidak selesai dengan hanya meminta maaf tetapi dibawa ke medan kehakiman supaya rakyat dapat mengetahui siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Jangan hanya pandai menguruskan ahli yang melakukan rasuah tetapi diri sendiri melakukan rasuah. 

Jika perkara ini tidak diambil serius oleh Datuk Seri Najib, maka sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Najib untuk membebaskan Barisan Nasional daripada rasuah adalah retorika semata-mata dan indah khabar dari rupa. Jika Datuk Seri Najib masih berdiam diri maka rakyat boleh simpulkan bahawa Datuk Seri Najib hanyalah diibaratkan ketam mengajar anak berjalan lurus tetapi diri sendiri masih berjalan senget.

Tarmizi Bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro Mahasiswa,
Universiti Putra Malaysia.


Secara kebiasaannya setiap tahun hanya sekali sahaja akan diadakan pemilihan pimpinan baru setiap persatuan tetapi bagi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia, mereka telah berjaya membuat satu rekod baru iaitu dengan mengadakan pemilihan pimpinan sebanyak dua kali bukan dalam setahun tetapi dalam dua minggu. Pelik tetapi itulah yang telah terjadi kepada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia atau PMIUPM yang telah selesai Mesyuarat Agung Tahunan pada 8 Mac 2012.

Walaupun setelah dua kali mesyuarat dilakukan, akhirnya keputusan syura telah memilih Mohd Hazim Bin Mohd Noh sekali lagi untuk menjadi Presiden PMIUPM bagi sesi 2012/2013. Pada mesyuarat kali kedua, Hazim yang dipilih untuk menjadi Presiden telah meletakkan jawatan kerana telah menerima pelbagai tekanan dan tuduhan oleh beberapa pihak yang tidak menyokong dan tidak sependapat dengan beliau. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Saudara Amirul Rahman Mohd Khozam selaku teman serumahnya.

Tindakan Hazim tersebut telah membuatkan seluruh hadirin terkejut dan terpiga kerana belum pernah lagidilakukan oleh Presiden sebelum-sebelum ini. Sudah menjadi resam dunia apabila seseorang itu berada di atas pasti ada yang memandangnya dengan perasaan yang hasad untuk menjatuhkannya. Itulah yang terjadi kepada Hazim apabila beliau beberapa kali cuba dijatuhkan tetapi ternyata peracangan Allah lebih hebat daripada segala-galanya dan beliau masih lagi memegang jawatan Presiden walaupun beliau sendiri telah menolak jawatan itu.

A006
 Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya) (96:6)
 
A007
 Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (96:7)

Manusia yang merasakan dirinya telah cukup maka mereka akan cuba untuk menjatuhkan mereka yang tidak sependapat dengannya. Walaupun mereka yang tidak sependapat itu ingin melihat kebenaran tertegak tetapi sekiranya tidak sependapat, maka mereka akan ditentang kerana sebelah pihak itu merasakan diri mereka telah cukup dan pendapat selain daripadanya adalah tidak benar dan tidak berkualiti.

Akhirnya saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia di atas perlatikkan yang diberikan. Semoga barisan kepimpinan yang telah dipilih berjaya melahirkan sebuah masyarakat yang berpegang kepada kebenaran dan keadilan.

Tarmizi Bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro Mahasiswa UPM.


Ads 468x60px

Featured Posts