Sudah menjadi satu kewajipan bagi sesebuah negara yang telah merdeka daripada genggaman penjajah pasti ada sejarah yang dinukirkan supaya menjadi tatapan dan pengajaran buat rakyat dikendian hari. Kebiasaannya sejarah akan ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan manakala golongan yang mengalami kekalahan dalam peperangan hanya akan menulis syair, puisi, ataupun sajak di helaian-helaian kertas. Inilah hakikat bagaimana sejarah ditulis oleh golongan yang tidak jujur dengan ilmu. 

Sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan sudah tentu akan menceritakan perkara yang baik-baik sahaja berkaitan mereka. Bahkan, apabila bercerita berkenaan musuhnya sudah tentu tiada satupun yang baik dan ditambah-tambah pula ceritanya agar rakyat merasa benci kepada musuhnya. Tidak cukup dengan penerapan kebencian rakyat yang sedia ada kepada musuhnya, difikirkan pula bagaimana hendak menerapkan perasaan kebencian itu kepada generasi akan datang.

Usaha memasukkan fakta sejarah ke dalam sistem pendidikan negara telah dilakukan untuk memastikan rakyat terus menerus menyanyangi mereka agar mereka boleh terus untuk berkuasa, manakala musuhnya tidak diberikan peluang sedikitpun untuk membela diri. Sedari kecil pelajar di sekolah rendah telah dihidangkan dengan hidangan yang tidak boleh dipersoalkan dari mana datangnya dan bagaimana cara membuatnya. Rentetan ini terus menerus berlaku sehinggalah pelajar itu bergelar mahasiswa.

Sedari kecil sehinggalah dewasa, rakyat tidak dibenarkan mempertikai mengapakah sejarah negara kita begini atau begitu, dan jika dipertikaikan ianya menjadi satu kesalahan kepada individu yang mempertikaikan; pengkhianat negara, memecah perpaduan negara dan menggugat negara. Ini dibuktikan apabila salah seorang tokoh politik yang datang daripada pembangkang mengatakan bahawa Mat Indera adalah pejuang negara. Maka, tanpa diselidik dan diteliti dahulu dikatanya tokoh itu penyokong komunis.

Tidak cukup dengan tuduhan yang melulu, tindakan seterusnya ialah melaporkan kepada pihak berkuasa dengan mengatakan bahawa tokoh tersebut cuba menghasut rakyat untuk memberontak dan menukarkan negara kepada corak pemerintahan komunis. Setelah itu, lahirlah pula golongan yang kecewa kerana seakan-akan perjuangan mereka selama ini tidak dihargai. Jerit perih dalam perjuangan menentang komunis dipandang enteng oleh tokoh politik itu kononnya.

Walaupun pada akhirnya tiada tindakan undang-undang yang diambil terhadap tokoh politik tersebut kerana beliau berjaya membuktikan apa yang diperkatakannya adalah benar berdasarkan fakta; fakta beraliran kiri. Rakyat secara umumnya terkejut kerana apa yang diperkatakan oleh tokoh politik tersebut bukanlah satu kebiasaan di negara yang rakyatnya menjadi kuih kepada acuan kerajaannya. Jika kuih itu berlainan daripada acuannya maka kuih itu akan dibuang dan tidak akan digunakan untuk perniagaan.

Sudah tiba pada masanya, rakyat bukan lagi menerima bulat-bulat fakta sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan tetapi sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada golongan yang mengalami kekalahan dalam peperangan untuk membela diri. Kini bukan masa lagi, rakyat berpuas hati dengan penjelasan daripada sebelah pihak sahaja tetapi rakyat sewajarnya mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak agar pisang tidak berbuah dua kali.

Dalam bidang penulisan sudah menjadi lumrah fakta yang ditulis kadang-kadang tidak benar atau kurang tepat. Ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kekeliruan maklumat, kekurangan maklumat, dan demi menjaga kepentingan segelintir kelompok. Jika perkara seperti ini berlaku, sewajarnya rakyat yang berada dalam arus kemodenan haruslah lebih terbuka menerima kritikan dan penyemakan semula penulisan tersebut agar keadilan ilmu tertegak.

Al Hafidz Ibnu Kathir dalam kitabnya Al Hidayah Wan Nihayah terdapat beberapa isi sejarah yang tersalah faktanya tetapi kemudiannya telah dilakukan pembetulan oleh Imam ath-Thabari dalam kitabnya Tarikh ath-Thabari. Contohnya Ibnu Kathir mengatakan Thulailah mempunyai seorang anak yang bernama Hibal. Apabila diselidiki dengan lebih mendalam oleh ath-Thabari rupanya Hibal bukanlah anak kepada Thulailah tetapi adalah anak saudara kepada Thulailah.

Rakyat sewajarnya menyemak semula setiap sejarah yang telah kita pelajari selama ini. Menyemak semula sejarah bukanlah bermaksud kita ingin menggugat kesejahteraan tanah air tetapi sebenarnya memberikan kita ruang dan peluang untuk mencintai tanah air dengan lebih mendalam. Tak kenal maka tak cinta; begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada tanah air kita. Bagaimana mungkin kita mampu untuk mencintai tanah air sendiri sekiranya kita tidak menghadami asal usul sejarah terlebih dahulu.

Lebih dibimbangi sekiranya kita mencintai seseorang berdasarkan bukan perwatakannya yang sebenar. Takut-takut perasaan yang tadinya luhur dan suci boleh bertukar kepada marah kebencian yang teramat. Kesimpulannya, selidik dan telitilah sejarah tanah air agar kita mampu memerdekakan diri dengan sebenar-benar merdeka. Sesungguhnya fakta tidak semestinya benar tetapi kebenaran tetap berada dalam kebenaran. Sehebat manapun penipuan dilakukan tidaklah dia mampu mengalahkan kebenaran.


Aku sisipkan lontaran sasterawan;
menongkah badai telaah ilmu.


Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali.
Tanpa himpunan ilmu di qalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di qalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu;
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fikir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur qalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah.
Kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

A Samad Said
17 Mac 2004

Rujukan : A. Samad Said, Mandala Sukma, A. Samad Said, M.S 432. (2005)


Melihat cermin yang memancarkan wajahku; khali dan berfikir. Merenung dengan lebih mendalam aku ternampak bentuk badanku secara fizikal. Kemudian aku memejamkan mata sambil menyentuh permukaan cermin, seolah aku berada dalam badanku sedang melihat peredaran darah atau sistem badanku. Aku meletakkan diri aku dalam kapilari darah yang membawa aku mengembara ke seluruh anggota badanku. Kini kuselami lautan darah lalu aku ternampak akan seekor berudu yang berjuang mendahului yang lain. 


Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
 (Surah Al-Alaq ayat 1-5)


Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?". 
(Surah Al-An'am ayat 50)


"Aku melihat cermin lalu ternampak aku, kemudian aku lihat aku lalu ternampak Dia."
"Dalam cermin ada aku, dalam aku ada Dia, dalam Dia ada kita dan ada semua"


Kadang-kadang apa yang kita nampak daripada luarannya tidaklah sama dengan isi dalamannya. Mungkin kita nampak di luarnya hanyalah kepah buruk tetapi rupanya di dalam tersorok mutiara yang tak ternilai harganya.


Seperti biasa Langit akan menunjukkan kebesaran dirinya, bermegah-megah dengan kelebihnnya kepada Bumi;



(Langit) Hei, Bumi tahukah engkau bahawasanya aku lebih mulia dan tinggi darjat daripadamu? Engkau terlalu rendah jika hendak dibanding dengan kemulianku. Kedudukan engkau yang berada di bawahku itupun sudah cukup menunjukkan aku lebih mulia dan tinggi daripadamu. Mana ada mereka yang mulia duduk di bawah, yang mulia semuanya berada di atas; arasy Allah, Malaikat, dan syurga semuanya berada di atas aku. Apakah yang ada pada engkau bumi? Engkau kotor, di dalamnya terlalu banyak manusia yang melakukan dosa dan maksiat. Engkau terlalu banyak pencemaran, masakan mampu menandingi aku?, 

(Bumi) Wahai Langit, memang benarlah apa yang diperkatakan oleh engkau bahawasanya aku ini adalah makhluk yang hina dan rendah martabatnya. Engkau lebih tinggi dan mulia daripada aku. Tidak mungkinlah aku mampu menandingimu dengan kehebatan; arasy Allah, Malaikat, dan syurga. Tetapi ingat wahai Langit ada sesuatu perkara yang sampai bila-bila pun engkau tidak akan dapat, hanya aku sahaja yang mampu memilikinya. 

(Langit) Apa dia Bumi? Katakan kepada aku, mana mungkin engkau mempunyai kemuliaan melebihi daripadaku!

(Bumi) Ingatlah wahai Langit, walaupun aku tidak mempunyai arasy Allah, Malaikat dan syurga tetapi aku mempunyai jasad Nabi Muhammad s.a.w. yang sampai bila-bila pun engkau tidak mampu memilikinya.

Akhirnya Langit menangis merugu-rugu kerana kelebihan yang ada pada Bumi. 

Imam Al-'Arif billah Al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as Sakandari dalam kitab Hikam ada memperkatakan; "Maksiat atau dosa yang menimbulkan rasa rendah diri diikuti dengan taubat dan memerlukan rahmat Allah adalah lebih baik daripada ketaatan kepada Allah yang menimbulkan kesombongan dalam diri; ujub".

Apabila kita melihat kisah mengapa Musa pergi mencari Khidir adalah kerana Musa ditegur oleh tuhannya kerana Musa telah bercakap besar di hadapan rakyatnya yang menanyakan siapakah yang lebih 'alim daripadamu Musa dan baginda menjawab; akulah yang paling 'alim. Tuhan menegur tingkahlaku Musa yang bercakap besar dan mengkhabarkan berita berkenaan Khidir yang lebih 'alim daripadanya. (Rujuk Surah Al-Kahfi)

Begitu juga kepada Muhammad memalingkan muka daripada seorang lelaki buta bernama Abdullah bin Umu Maktum apabila ditanyakan soalan; "Ya Rasulullah, alimni mimmaa 'allamaka Allahu" yang bermaksud Wahai Rasulullah ajarkan kepadaku apa yang diajarkan Allah kepadamu. Seketika itu sebenarnya Muhammad sedang duduk berbincang bersama dengan pembesar kafir Quraisy iaitu Utbah, Syaibah, Rabi'ah, Abu Jahal bin Hisyam, Al-Abbas bin Abdil Muttalib, Umayyah bin Khalaf dan Al-Walid Al-Mughirah. Maka Muhammad masam dan memalingkan muka daripada si buta tadi, maka Allah telah menegur Muhammad dengan mengatakan; "Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat al Quran adalah pengajaran dan peringatan". (Rujuk Surah Al-Abasa)

Berdasarkan daripada beberapa kisah yang diceritakan dalam Al-Quran dan kata-kata hikmah daripada Al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as Sakandari maka boleh disimpulkan sebenarnya jika kita rasa diri kita mulia cepat-cepatlah kita beristighfar mohon keampunan kepada Tuhan. Tiada yang lebih mulia dan tinggi darjatnya melainkan daripada orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Saya juga ingin kaitkan ini dengan satu keadaan di mana ianya antara pelajar dan pensyarahnya. Tidak semua yang diperkatakan oleh pensyarah itu adalah sesuai bagi pelajar itu. Mungkin sesuai untuk diri pensyarah itu sendiri tetapi tidak sesuai untuk pelajar itu. Jangan pula sebagai seorang pelajar menganggap apa yang diperkatakan oleh pensyarah itu adalah ibarat wahyu daripada Tuhan yang tidak boleh diingkari atau tidak diikuti. Benar kita hormat pada pensyarah kerana dia adalah guru kita tetapi tidak bermakna semua tingkahlaku kita perlu mengikut telunjuk pensyarah itu. 

Berbeza pendapat itu tidak sama dengan melawan guru, berbeza pendapat di kala kita tidak sama pemikiran tetapi masih mampu untuk berhubung sebagai manusia biasa. Manakala pensyarah itu juga tidak boleh mengatakan bahawasanya pelajar ini kurang ajar dan tidak hormat kepadanya, sebaliknya sebagai seorang pendidik wajarlah dia meraikan pendapat tersebut melainkan pendapat itu secara terang-terangan bersalahan dengan syariat Islam. Tetapi jika pensyarah itu tidak mahu untuk meraikan maka sebagai pelajar anda juga perlu berpegang kepada prinsip yang diyakini benar itu. Tetapi pada masa yang sama harus berpegang bahawa bukanlah kita adalah yang terbaik.

Kadang-kadang mereka yang bekerja sebagai penyapu di jalanan lebih mulia dan tinggi ilmunya berbanding mereka yang mempunyai gelaran Dr. Jangan kita terlalu mengagungkan jawatan sementara di dunia ini tetapi kembalilah ke hakikat sebenar mengapa kita diperjalankan di dunia ini.








Ads 468x60px

Featured Posts