Saya ditanyakan satu soalan oleh seorang sahabat yang saya hormati, saya cuba mengupasnya dengan bersahaja supaya mudah difahami oleh pembaca.

Boleh tolong huraikan tentang syura dan demokrasi? Ada yang kata,"Siapa jamin keputusan syura orang mana-mana entah yang dibuat lebih baik dari suara majoriti rakyat?" Mohon penjelasan, fikiran sangat bercelaru.

Pertamanya saya ucapkan terima kasih kerana sudi bertanya kepada diri yang terlalu faqir ini. Secara peribadi memang tiada jaminan keputusan syura yang dibuat oleh 'orang mana-mana entah' keputusannya lebih baik daripada suara majoriti rakyat. Tiada siapa yang mampu memberikan jaminan kerana jika 'orang mana-mana entah' itu tidak diketahui nilai ilmu yang ada padanya. Bersyura ini wajib orang yang berilmu dalam menentukan perkara yang mungkin mendatangkan maslahat atau mudarat kepada masyarakat.

Dalam konteks sesebuah negara, pasti terdapat pelbagai golongan rakyat dalam negara itu seperti sekular, sosialis, liberal, plural, islamik, dan banyak lagi. Apabila dalam sesuatu perkara yang kita sepakati seperti keadilan, ketelusan, kesamarataan maka bolehlah kita mendengar suara rakyat secara total kerana majoriti (semua golongan ini) akan bersatu tetapi timbul masalah apabila sampai kepada menjalankan perintah Allah yakni negara yang menjalankan dasar Islam.

Abraham Lincorn mentakrifkan demokrasi sebagai, "it is a government of the people, by the people and for the people," dan Daniel Webster pula mentakrifkan, "the people government made for the people, made by the people and answerable to the people".

Saya percaya pentadbiran sesebuah negara bukan hanya untuk rakyat tetapi adalah untuk Allah mutlaknya. Maka apabila kita hendak mentadbir sesebuah negara berlandaskan syariat Allah ianya memerlukan syura kerana dalam usaha ini pasti akan mendapat tentangan daripada golongan yang bukan Islamik; sekular, sosialis, liberal, plural, islamik, dan banyak lagi.

Saidina Ali pernah bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah! Jika kami menemui perkara yang tidak mempunyai sesuatu perintah tertentu daripada tuan, untuk melakukannya atau pun tidak, apakah yang tuan katakan berkenaan kami ini?" Baginda bersabda, "Apabila berlaku perkara itu, mintalah pandangan (bermesyuarat) dengan mereka yang mempunyai fahaman yang baik terhadap agama dan ahli ibadat yang kuat, dan janganlah membuat keputusan di atas pendapat individu" HR at-Tabarani, Majmi' al Zawaid.

Dalam sistem demokrasi kontemperori sudah wujud majlis syura yakni dewan parlimen. Di mana, wakil daripada setiap parlimen yang dipilih oleh rakyat sendiri akan hadir dengan membawa kata-kata (suara) rakyat ke dalam dewan parlimen. Wakil rakyat ini, apabila berhujah mesti memikirkan nasib rakyat bukan nasib atau kepentingan diri sendiri.

Maka di sini timbul pula tugas untuk memilih pemimpin yang akan menjadi wakil dan pembawa panji suara rakyak untuk diperdendangkan. Olehyangdemikian, wajibnya kita memilih pemimpin yang benar-benar berilmu, jujur, amanah dalam melaksanakan kerjanya. Juga orang yang faqih dalam bidang urusan undang-undang dan kerakyatan.

Ini boleh dilihat di negara Mesir yang berjaya menumbangkan kerajaan Hosni Mubarak, kejatuhan ini bukan kerana inginkan negara Islam tetapi kerana terlalu benci kepada Hosni Mubarak. Jadi apabila Morsi (Ikhwan al-Muslimin) naik dan mahu melaksanakan dasar Islam sedikit demi sedikit ianya akan ditentang oleh rakyat yang tidak menyokong Islam. Di sini peranan yang memerlukan majlis syura (parlimen).

Majlis syura ini akan mengambilkira semua hal-hal rakyat yang datang daripada pelbagai golongan dan kemudian membuat keputusan. Kemudian menerangkan mengapa dasar seperti itu dilaksanakan. Itu sewajarnya, supaya tidak berlaku huru hara dan ketidakfahaman dalam kalangan rakyat.

Dalam sebuah pasukan bola sepak, perlu mempunyai seorang ketua pasukan yang memimpin pasukannya. Ketua pasukan itu tidak boleh suka-suka marah anak pasukannya dan begitu juga sebaliknya. Tetapi ketua pasukan itu juga pasti akan melakukan kesilapan maka wajib anak pasukan itu menegur dan ‘memarahinya’. Ketua pasukan tidak boleh main berseorangan tanpa anak pasukan yang lain kerana faktor bilangan dan kudratnya. Begitu juga dengan anak pasukan, mesti mempunyai ketua. Jika tiada ketua pasukan itu akan menjadi tidak tentu arah dengan pelbagai kepala yang ingin memimpinnya mengikut cara tersendiri.

Itulah yang berlaku dalam sesebuah negara, jika rakyat berkuasa melebihi penguasa maka ianya akan membawa negara kepada arah yang tidak tentu arah dengan mengikut fahaman sekular, plural, liberal, sosialis masing-masing. Tetapi dengan berpandukan syura (orang yang benar-benar berilmu bukan entah siapa) insyaAllah akan mendatangkan berkat kepada manusia. Ini sudah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran dalam surah al-Syura ayat 38:

Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Terakhir sekali saya percaya suara rakyat sangat berguna apabila majlis syura (parlimen) tidak lagi didiami oleh orang yang tidak berilmu dan berkepentingan sendiri! Maka, tika ini janganlah anda berdiam diri dan taat patuh membuta tuli melainkan berjuang untuk menegakkan keadilan dan hak rakyat.

Wallahualam.




Lebih seratus tahun dahulu isu keperluan pendidikan tinggi telah dibincangkan oleh ilmuan di Malaysia yang ketika itu masih lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Mesyuarat Majlis Raja-raja pada tahun 1903 pernah membincangkan kepentingan ilmu ditanam menjadi darah daging anak bangsa. Pada tahun 1917, Za’ba telah membangkitkan isu ini dalam akhbar Lembaga Melayu. Begitu juga seorang tokoh pendidik tanah air, A. Kadir Adabi yang telah menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan Kelantan pada tahun 1923. Semua ini adalah usaha untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan memberikan sumbangan kepada tanah air tercinta.

Setengah abad selepas semboyan perjuangan pendidikan tinggi dibunyikan, sinar keilmuan menjadi pasakan dalam jiwa sanubari masyarakat seakan semakin mampu dimahkotai. Empat tahun selepas kemerdekaan yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman iaitu pada tahun 1961, institusi pendidikan tinggi negara yang pertama di Malaysia (masih Tanah Melayu ketika itu) telah berjaya ditubuhkan. Universiti Malaya (1961), Universiti Sains Malaysia (1969), Kolej Tunku Abdul Rahman (1969) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970) adalah merupakan antara institusi pendidikan tinggi negara yang terawal berjaya ditubuhkan.

Dengan tertubuhnya institusi pendidikan tinggi negara maka diharapkan akan lahirlah individu-individu yang mampu membentuk sebuah masyarakat yang bertunjangkan ilmu pengetahuan. Namun, setelah mencapai usia 52 tahun, institusi pendidikan tinggi negara tampaknya kurang subur dalam melahirkan ilmuan yang berani menyuarakan pandangan supaya mampu mengubah paradigma masyarakat ke arah bertunjangkan ilmu pengetahuan. Sebaliknya kejayaan yang paling besar adalah melahirkan ilmuan dan masyarakat yang takutkan perubahan, taat membabi-buta, bersifat perkauman yang tinggi, dan kehakisan sifat mencintai ilmu.

Penulis cuba menggunakan susunan ayat yang sesuai dengan golongan akedamik supaya diri ini tidak terlebih bicara dan terkasar bahasa. Niat di hati; yang tua dihormati kerana kematangannya dalam berfikir menegakkan kebenaran dan yang muda disayangi kerana keikhlasannya dalam berjuang membenamkan kebatilan. Penulis cuba memberi tasawwur (gambaran) secara jelas terhadap fenomena kelesuan golongan ini. Hakikat fenomena kelesuan yang melanda akedamia perlu diambil serius kerana golongan inilah yang bertindak sebagai pendidik, guru dan idola kepada mahasiswa dan anak muda di sesebuah negara sewajarnya. Artikel ini memfokuskan kepada sosok tubuh yang bergelar pensyarah di institusi pengajian tinggi dalam negara supaya penerangan dan penjelasan dapat dilakukan dengan lebih ilmiah dan jelas serta tidak tersimpang daripada landasan ilmu.


Prof Aziz Bari berkata, “Mereka yang pergi ke Amsterdam atau Geneva untuk dianugerahkan pingat emas, menginap di hotel lima bintang. Selepas itu, mereka pergi ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan lanjutan (kontrak mereka) untuk menjadi naib canselor atau timbalan naib canselor. Ini yang berlaku”. Situasi yang sama berlaku dalam kalangan akedamia yang berjawatan kontrak sebagai pengetua kolej kediaman. Saling berlumba-lumba untuk mengipas timbalan naib canselor universiti supaya dikekalkan jawatan yang disandang. Autoriti yang pada asalnya dicipta untuk membimbing mahasiswa supaya terkehadapan dalam hal-hal kemasyarakatan kini tidak lagi digunakan sebaik mungkin sebaliknya digunakan untuk membawa kroni-kroni bersatu di bawah bumbung kolej.

Memberikan projek kepada saudara mara terdekat dan mendahulukan pembayaran saudara mara berbanding projek yang telah diselesaikan sebelumnya adalah sesuatu perbuatan yang tidak berintegriti. Sanggup mendengar arahan timbalan naib canselor supaya membuang pelajar yang menunjukkan pendirian yang berbeza dengan pihak universiti daripada kolej kediaman demi menjaga kepentingan jawatan sungguh memalukan. Integriti seorang akedamia telah menjadi buah mulut mahasiswa, adakah mereka mampu menjadi contoh kepada mahasiswa dan anak muda walaupun mempunyai kelulusan ijazah falsafah kedoktoran undang-undang sekalipun? Isu yang dibangkitkan oleh penulis adalah isu dalaman dan merupakan realiti tingkahtanduk segelintir akedamia negara ini.

Seorang kakitangan kerajaan dilarang untuk melakukan kerja sambilan atau perniagaan persendirian dalam waktu bekerja. Hari ini terdapat akedamia yang terlalu inginkan kekayaan sehingga mereka sanggup menggunakan waktu bekerja untuk urusan perniagaan persendirian yang sepatutnya mereka penuhi dengan penyelidikan dan tugasan rasmi sebagai pensyarah. Ketika mahasiswa ingin membuat temujanji dengannya maka beliau berjanji untuk berjumpa tetapi tiba pada waktu temujanji rupanya beliau tiada dan minta tunda pada waktu lain atas dasar ada urusan di luar. Sedangkan keutamaan ketika itu adalah tugasan rasminya bukan berjumpa Dato’ atau Tan Sri untuk mendapatkan projek. Apabila mahasiswa itu gagal melaksanakan tugasan dengan baik maka dikatakan mahasiswa itu pemalas dan sebagainya. Walhal, akedamia itu sendiri sibuk dengan urusan perniagaannya.

Pendoktrinisasian terhadap mahasiswa yang mengatakan perlu bersyukur dengan apa yang kerajaan telah sediakan tanpa membincangkan konteks hak mahasiswa dan rakyat dengan lebih meluas dan terperinci adalah salah satu pembunuhan kosmologi pemikiran mahasiswa. Penulis ketika menuntut di peringkat ijazah pertama dan pernah menjadi timbalan presiden kolej kediaman selalu disuapkan dengan kata-kata “Jangan menggigit jari tangan yang menyuap kita makan”. Penulis yang juga merupakan pemegang Biasiswa Kementerian Belia dan Sukan ketika itu pernah dinasihatkan supaya jangan melawan kerajaan kerana anda adalah anak kerajaan yang bermaksud dibiayai oleh kerajaan. Kosmologi pemikiran akedamia seperti ini telah membuatkan mahasiswa takut untuk menyuarakan suara mereka. Mahasiswa tidak mampu mencari akedamia yang boleh dijadikan contoh untuk terkehadapan dalam isu kemanusiaan yang melibatkan pentadbiran negara.

Penulis dengan rendah diri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beberapa akedamia yang desawarsa ini; Prof. Madya Dr. Asri , Dr. Maslee Maleek, Prof. Madya Dr. Abu Hassan, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, dan beberapa lagi yang sudah berani membicarakan soal kosmologi pemikiran mahasiswa secara terbuka dan ilmiah. Sedikit sebanyak hujah-hujah mereka yang bertaraf ‘Dr’ ini boleh dijadikan senjata buat mahasiswa untuk bangkit memperjuangkan kebebasan akedamik. Walaupun begitu, penulis mendapati bilangan akedamia yang mahu berjuang bersama rakyat ini perlu berkembang, tidak boleh statik dan selesa dengan jumlah yang sedia ada. Mahasiswa memerlukan sokongan moral yang lebih kuat daripada golongan akedamia bukan bermakna tidak mahu berusaha sendiri tetapi ini adalah tanggungjawab bersama dalam membentuk sebuah tamadun yang masyarakatnya cintakan ilmu dan bersih daripada anasir-anasir korupsi.

Kehebatan sesebuah tamadun diukur berdasarkan buku-buku (ilmu) hasil karangan ilmuwan dalam tamadun tersebut. Kosmologi pemikiran ilmuwan dalam tamadun itu akan membentuk masyarakat ke arah pembaharuan dari segi kosmologi pemikiran itu sendiri dan membentuk tingkahlaku ke arah yang lebih baik. Mahasiswa hari ini memerlukan akedamia yang mahu membawa negara kepada perubahan ke arah yang lebih baik, bukan akedamia yang sibuk hendak membuat jurnal berwasit supaya boleh mendapat jawatan pengetua kolej, ketua jabatan, timbalan naib canselor, naib canselor, Profesor Madya, Profesor, atau Profesor Emeritus. Berdasarkan jawatan yang diperolehi maka akedamia boleh mendapatkan wang yang banyak apabila dipanggil memberikan ceramah tentang ilmu yang ada pada dirinya tetapi sebaliknya akedamia itulah yang perlu berkorban dengan menyumbangkan tenaga dan ilmunya tanpa mengharapkan pangkat, wang atau balasan oleh masyarakat atau rakyat. Menjadi akedamia ini hidupnya adalah untuk masyarakat bukan kepentingan peribadi, maka berbaktilah kepada masyarakat.

Penulis mengunjurkan kepada diri sendiri dan golongan akedamia supaya membebaskan diri daripada belenggu rantaian kelesuan yang menjaga periuk nasi sendiri tetapi membiarkan masyarakat dalam negara ini mengalami kemarau yang membutuhkan ilmu. Suatu masa dahulu penulis dimomokkan dengan istilah mahasiswa lesu, hari ini secara jujurnya prestasi akedamia dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan masih diperingkat memerlukan rawatan segera kerana tidak ramai yang berani tampil ke hadapan bersuara memberikan pandangan tentang isu-isu semasa. Penulis yakin setiap manusia itu mempunyai tahap keupayaannya yang tersendiri tetapi penulis tinggalkan satu persoalan kepada sosok tubuh bergelar akedamia, bertanya kepada diri sendiri di mana sumbangan anda terhadap masyarakat? Semoga dengan persoalan itu mampu mengubah negara Malaysia menjadi negara yang lebih baik dan kosmologi pemikiran rakyatnya mampu mencipta sebuah tamadun yang hebat.









Sangkakala berderu jiwaku tergetar,
hancur luruh dimamah lava,
merah pekat membara mengarangi alam.
kala Israfil mengaluni lunak siulan.
Masa; memandang ke belakang,
saat manusia mula berbondong ke dataran,
memori dilayar di hadapan mata,
Sesaat-pun tidak terkurang atau terlebih.
kiri menghulur disorok, dibebel,
kanan menghulur dicanang, diwarta.
Dihempapkan gunung buat yang;
angkuh, ingkar, dan loba kepada kehidupan pertama.
Sinar kurnia bercahaya buat yang;
luhur, zuhud, dan cintakan kehidupan kedua.
Silang kehidupan dacing pembalasan.
Tersentak; lamunan, angan, dan khayalanku;
bicara hati (monolog) insan seorang lelaki,
jujur, luhur lalu berbisik manja, jiwa dan akalnya;
kiri, kanan, gunung dan cahaya?
Tatkala berdiri menghadap dacing pembalasan.

Mudarristarmizi
20/1/2013
4.11 am.



Ads 468x60px

Featured Posts