“Sistem pendidikan mestilah memainkan peranan yang penting disamping
sistem-sistem negara yang lain. Sistem pendidikan bukan saja mengajar ilmu
pengetahuan tetapi mestilah juga menciptakan keadaan mental yang bersesuaian
dengan masyarakat negara ini. Ianya hendaklah menuju ke arah membentuk satu
‘Bangsa’ di mana setiap seorang dapat melepaskan diri daripada belenggu dan
pergeseran akibat tuntutan-tuntutan kaum¹.”
Mahmod Kitom
Pada tahun 1968, Persatuan Bahasa
Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah menganjurkan Simposium Dasar Pelajaran
Kebangsaan. Di sini beberapa kertas kerja telah dibentangkan dan akibat
daripadanya telah banyak hasil perbincangan simposium tersebut yang memberi
kesan kepada pembangunan pendidikan dalam negara. Pendidikan merupakan sesuatu
yang luhur kerana ia (pendidikan) bisa menjadi agen perpaduan pelbagai kaum
khususnya di Malaysia tanpa pemaksaan bahkan dengan rela hati.
Antara kertas kerja yang penting
adalah ‘Pendidekan dan Pembangunan Negara’ oleh Allahyarham Prof. Emeritus Tan
Sri Awang Had Salleh. Beliau meletakkan asas sesebuah negara adalah tanah dan
orang². Lanjutnya,
Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang pengenalan tanah-nya mendahului
pengenalan orang-nya. Dimana Malaysia telah mencapai kemerdekaan tetapi masih
dalam proses pembinaan sebuah negara ‘Bangsa’.
Terdapat juga negara yang mencapai tahap pengenalan orang mendahului
pengenalan tanah seperti Israel dan yang mencapai pengenalan tanah dan orang
secara bersama seperti Indonesia.
Malaysia dalam fasa pembinaan
orang bagi membina sebuah negara bangsa memerlukan sistem pendidikan yang
bersifat merentasi kaum dalam pelbagai aspek. Awang Had Salleh menyarankan
pendidikan perlu digerakkan ke arah pembentukan peribadi kanak-kanak
perseorangan sesuai dengan masyarakat demokrasi, pembentukan satu bangsa yang
terdiri daripada berbagai kaum yang masing-masing dapat melepaskan diri
daripada belenggu prasangka pergeseran kaum, dan pembekalan tenaga manusia untuk
kemajuan ekonomi negara³.
Saya berpendapat bahawa setelah
46 tahun simposium ini dan Seminar Pendidikan di Malaysia 1968 diadakan, 58
tahun Penyata Razak 1956 diwujudkan dan 54 tahun Penyata Rahman Talib
dipersetujui, rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga golongan jenis masyarakat.
Yang pertama tidak peduli akan perihal yang berlaku di persekitarannya dan
hanya sibuk dengan dirinya sendiri. Kedua adalah golongan yang sederhana
sifatnya dimana boleh berkongsi dan bertolak ansur antara kaum. Ketiga adalah
ekstremis atau pelampau yang suka mengambil kesempatan apabila timbul isu
melibatkan perselisihan kaum dan agama.
Saya menulis Penyata Razak 1956,
Penyata Rahman Talib 1960, Seminar Pendidikan di Malaysia 1968 dan Simposium
Dasar Pelajaran Kebangsaan 1968 kerana keempat-empat perkara ini adalah
merupakan antara usaha terawal untuk membangunkan sistem pendidikan di Malaysia
sebelum dan selepas kemerdekaan. Keempat-empat ini jugalah yang telah
melahirkan tiga jenis golongan masyarakat seperti saya nyatakan tadi. Dimana
golongan yang pertama dan ketiga adalah reaksi negatif dan golongan kedua
adalah reaksi positif daripada tujuan asal sistem pendidikan yang dibina.
Bagi golongan pertama mereka
biasanya adalah individu yang lebih cenderung untuk menguruskan hal-hal
peribadi dan keluarga tanpa berminat untuk berpartisipasi dengan masyarakat dan
negara. Mereka hanya berminat melakukan rutin harian dan hanya akan tergadah
apabila sesuatu perkara terkena kepada diri sendiri atau keluarga. Golongan ini
tidaklah berbahaya berbanding golongan ketiga iaitu ekstremis kerana golongan
ini tidak sibuk mencari masalah dengan pihak lain.
Prof. Dr. Yusuf Qardawi
menggariskan enam ciri-ciri ekstremis iaitu fanatik pada suatu pendapat dan
tidak mengakui pendapat orang lain, mewajibkan sesuatu kepada menusia sesuatu
yang tidak diwajibkan Allah kepada mereka, memperberatkan yang tidak kena pada
tempatnya, sikap kasar dan keras, buruk sangka terhadap manusia dan terjerumus
ke dalam jurang pengkafiran⁴.
Kebiasaannya di Malaysia pada hari ini kita boleh lihat bagaimana ciri-ciri di
atas secara jelas berlaku di sekeliling kita.
Timbul persoalan adakah mereka
yang berpegang secara kuat dan serius kepada kepercayaan mereka adalah seorang
ekstremis. Selagi mereka berpegang kepada kepercayaan sendiri tanpa memaksa
orang lain menerima dan meninggalkan kepercayaan tersebut tidaklah boleh
dianggap sebagai ekstremis. Melainkan dia merasakan selain daripada dia (atau
gurunya) adalah salah dan semua perlu mengikuti pandangannya maka itu adalah
ekstremis.
Golongan yang kedua adalah
golongan yang diidam-idamkan oleh sistem pendidikan yang sebenarnya. Tanpa
mengira kaum, setiap individu cuba membina sebuah masyarakat dan negara yang
penuh dengan keharmonian dan kesaksamaan. Saya perlu bersetuju apabila Mahmod
Kitom menyatakan bahawa sistem pendidikan perlulah membentuk satu ‘Bangsa’ di
mana setiap seorang dapat melepaskan diri daripada belenggu dan pergeseran
akibat tuntutan-tuntutan kaum. Bahkan saya menambah perlu adanya hak sama rata
antara rakyat khususnya dari sudut kewarganegaraan.
Dr. Jasser Auda semasa memberikan
ucapan peluncuran buku terjemahan Mudahnya Maqasid Syariah di UNITEN pada 30
Mei 2014 tempoh hari menyatakan bahawa isu kalimah Allah di Malaysia ini hanya
isu yang terpencil dari mata pandangannya. Banyak isu yang lebih besar perlu
diberikan perhatian seperti kemiskinan, kesihatan awam dan kewarganegaraan. Dalam isu kewarganegaraan tidak perlu lagi ada
warganegara kelas pertama atau kelas kedua tetapi semuanya perlu sama rata.
Dalam konteks Malaysia samada Melayu, Cina, India atau apa sahaja kaum, yang
lahir dan hidup berpuluh tahun bersama, sewajarnya perlu diberikan hak yang
sama rata tanpa perlu ada mana-mana kaum berada di atas kaum yang lain.
Dasar pendidikan yang dijalankan
di Malaysia ini masih memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Kualiti
pendidikan yang diidamkan masih belum mampu untuk dicapai. Kondisi demokrasi
dan perhubungan kaum masih boleh dipersoalkan akan kemurniannya. Kita
memerlukan lebih ramai orang dalam tanah Malaysia ini terus berfikir secara
rasional dan bersangka baik antara satu sama lain. Melihat bahawa dasar-dasar
yang pernah dilaksanakan sebelum ini sebagai sesuatu yang fleksibel dan bukan
statik (tetap) melalui konsep demokrasi yang luhur.
[1] Mahmod Kitom dalam
pendahuluan buku Dasar Pendidekan Di-Malaysia: Apa PBMUM dan PKPIM Persoalkan
(1969).
[2] Kertas kerja Awang Had Salleh
bertajuk Pendidekan dan Pembangunan Negara (1968). Disusun dalam buku Dasar
Pendidekan Di-Malaysia: Apa PBMUM dan PKPIM Persoalkan (1969), hal. 17.
[3] Ibid., hal. 19.
[4] Yusuf Qardawi, Islam
‘Ekstrem’ Suatu Analisis dan Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam (2002).
Percetakan Putrajaya Sdn. Bhd., hal. 13-28.
* Penulisan ini telah diterbitkan di surat khabar Roketkini bagi bulan September 2014.