بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.


Alhamdulillah, pejam celik rupa sudah setahun genap mengalami kemalangan mengikut bulan Islam. 28 Syaaban 1431, Isnin, 17:55 pm; kenangan yang tidak dapat dilupakan. Semasa bersimen; mengajar diri ini walaupun tidak dapat diamalkan sepenuhnya. Ucapan terima kasih kepada segenap insan yang membantu serta mendoakan kesihatan saya dan ucapan Alhamdulillah buat Ilahi kerna hari ini sudah sembuh sepenuhnya. Jika selama perkenalan, tersepak serta terajang mohon maaf kerna mungkin diri ini pernah melupakan jasa baik sekalian dalam menempuh ranjau hidup.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berfikir memikirkan kenangan adalah ibarat bisa keris yang ditusuk ke hati ini apabila dikenang kembali sejarah yang tidak enak. Tidak kurang juga pilu dan sayu hati ini melihat kedua orang tuaku yang tidak pernah lelah membantu anak bongsunya ini. Inilah anak yang paling degil dalam keluargaku. Anak yang banyak melakukan dosa terhadap ibu bapanya tetapi aku berkata benar sesungguhnya aku sangat sayangkan kedua ibu bapaku. Kejadian setahun lepas 28 Syaaban 1431 bersamaan 9 Ogos 2010 adalah merupakan detik tarbiyyah buat diriku.

DiambilNya sebentar nikmat berjalan adalah pengalaman yang mungkin tidak semua orang merasainya. Tika kaki kiri berseorangan bersedih akan peristiwa yang berlaku datang dua batang tongkat yang memujuk kaki kiri itu. Diberinya nasihat; “InsyaAllah tidak ada apa-apa...Sabar....tak lama lagi sihat laa tu....” Pelbagai nasihat diberikannya agar kaki kiri itu bersemangat semula. Walau diri ini tahu akan tarbiyyah ingin diberikan tetapi diri ini kadang-kadang tidak mahu untuk menerimanya. Dibiarkan sahaja pesanan peristiwa itu pergi agar hati puas menurut katanya. Walaupun ketika Hidayah telah berjumpa jalan, rupanya Taufiq masih kebingungan mencari jalan keluar daripada kesesatan.

Sekejap sedar sekejap terlena daripada tidur adalah pengalaman yang selepas ini akan saya gunakan untuk hari-hari yang mendatang. Ucapan syukur Alhamdulillah kepada Allah mungkin tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nikmat yang diberikan kepadaku hari ini. Selama saya berada di dalam kamar hospital tidak tahu bagaimana hendak saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, sahabat, pensyarah dan sekalian yang telah membantu. Dilawatnya, ditanyanya khabar, diberinya nasihat, kata-kata semangat serta panduan. Ada juga yang membawa buah tangan sehingga ada jururawat mengatakan; “Dik, akak tengok kau dah macam orang bersalin pun ada banyaknya buah kat katil kau nie”. Subhanallah.


Tidak termampu diri ini ingin membalas jasa baik tuan-tuan sekalian. Hanya yang termampu adalah mendoakan rahmat buat tuan-tuan sekalian. Terlalu banyak coretan yang tidak dapat digambarkan; kerana keindahan dalam kesedihan itu berjaya memanyungi daripada basah hujan. Benar firman Allah :

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada  kemudahan. (94:5-6)


Ingatlah wahai anak Adam hidup ini dua kali, iaitu sebelum mati dan selepas mati tetapi jangan mengharapkan keindahan diri pada hidup yang kedua jika kita secara menerus membuat kerosakkan diri pada hidup yang pertama. Diberikan kita roh dan jasad pada kehidupan yang pertama sebenarnya bukanlah hak hakiki telah hanyalah sewaan semata-mata. Bayaran sewaan itu bukanlah wang pinta-Nya tetapi hanyalah ketaatan terhadap perintahnya. Selagi diberikan sewaan ini janganlah kita sia-siakannya tetapi manfaatkanlah sebaik-baiknya. Jangan sampai satu masa apabila kita diminta untuk membayar sewa, kita tidak mampu dan ketika itulah kita terkontang kanting untuk mencari wang. Maka sesungguhnya ketika itu kita berada dalam kerugian kerana tidak ada satupun kerja yang wujud lagi. Kedai-kedai telah musnah, jutawan-jutawan telah muflis, sawah-sawah kekontangan. Maka gunakan kesempatan yang ada ini untuk membentuk peribadi yang mulia supaya kita sentiasa dekat dengan-Nya. Akhir kata saya ucapkan terima kasih sekali lagi buat tuan-tuan yang telah banyak membantu saya. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas jasa tuan-tuan sekalian.


“Semoga Engkau memberikan redha-Mu dan memberikan ganjaran syurga serta dijauhkan daripada api neraka buat sekalian yang telah membantuku tidak kira yang nampak atau tidak. Dan sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. Sesungguh Engkau jugalah yang telah menyuruh umat-Mu agar berdoa dan sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji-Mu. Amiin ya Rabbal Alamin.”   
  



          






Ads 468x60px

Featured Posts