Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang
Mengembara mencari ilmu itu merupakan tradisi para ulama sepanjang zaman. Mereka rela mengorbankan segala kerehatan dan keselesaan demi mencapai ilmu yang diidamkan-idamkan. Mereka sabar meninggalkan keluarga di kampung untuk mengembara di negeri orang kerana mahu mendapatkan ilmu. Setelah dada mereka penuh dengan ilmu, baru mereka balik ke kampung, untuk melanjutkan perjuangan dengan membimbing masyarakat dan memimpin mereka ke jalan Allah.
“Kegemaranmu tinggal di kampung merupakan satu kelemahan yang ketara. Oleh itu pergilah merantau mencari ilmu yang pasti kau temukan ganti dari keluarga yang ditinggalkan. Air yang tenang itu akan menjadi busuk. Begitu pula seandainya anak bulan itu tidak berjalan, maka sudah tentu ai tidak akan menjadi purnama.” (Al-Kindi)
Kenapa seorang pelajar itu perlu mengembara mencari ilmu? Ia perlu mengembara kerana menghilangkan rasajemu dan jenuh duduk di kampung dan untuk mendapat suasana yang berbeza dari apa yang dilihatnya di kampungnya sendiri, dan supaya kurang gangguan dengan sebab banyaknya orang yang dikenali. Maka ketika ia berada di negeri orang maka ia akan dapat memberikan penumpuan pada ilmu yang dipelajarinya, selain dari wujudnya persaingan dari berbagai-bagai tempat, bagi membuktikan keunggulan dan martabat masing-masing negeri yang diwakili.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). (96:1)
Ayat yang pertama turun ketika Rasulullah bersendirian di dalam gua Hira’ adalah berkenaan dengan bacaan. Bacaan adalah salah seorang anak kepada ilmu. Telah menjadi kewajipan setiap daripada anak Adam untuk menuntut ilmu. Pergi kau menimba pengalaman dan pengajaran di negeri orang. Bertahun kau duduk di kampung meneliti gelagat orang yang sama sehingga engkau hampir gila. Katak di bawah tempurung hanya akan merugikan engkau, walaupun dapat bersembunyi daripada panas terik dan hujan badai tetapi ia tidak berkembang tetap dungu sebegitu. Jika semalam dia tahu mengira daripada satu sehingga sepuluh, hari ini dia juga hanya tahu mengira satu hingga sepuluh, dan esok serta hari-hari seterusnya begitulah dia tidak berkembang.
Luka, sakit, lecet adalah biasa ketika kau meredah hutan. Walaupun kadang-kadang kau tidak mampu untuk mengubati kecedaraan kau itu usah kau pedulikan kerana ianya pasti terubat sendiri. Orang lain yang membantu tidak merasakan apa yang kau rasakan, kau tetap diri kau. Keaiban kau hanya kau yang tahu. Kelebihan kau hanya kau yang tahu. Dalam erti kata lain kau lebih mengetahui diri kau berbanding dari orang lain mengetahui diri kau. Jika kau terjatuh semasa memanjat pokok jangan kau takut untuk panjat pokok itu lagi. Jika kau tergelincir ketika meyusuri gaung jangan kau gentar untuk menyusurinya lagi. Kau akan datang adalah apa yang kau buat pada hari ini.
Semalam adalah kenangan, hari ini adalah perjuangan, esok adalah pengharapan, dan lusa adalah kejayaan.
Catur dan corakkan perjalanan kau pada hari ini untuk menuntuk ilmu, kelak kau pasti tersenyum pada sinaran mentari setelah kau bersedih di kala hujan badai. "Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek". Jika musuh sanggup kita jejaki sehingga ke liang cacing, jadi mengapa tidak ilmu? Jejakilah ia selagi mana kita mampu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan