Pages

Selasa, 23 Ogos 2011

Pro-Mahasiswa?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Duta Pro-Mahasiswa UPM

Disebabkan terdapat permintaan daripada adik-adik junior supaya menerangkan berkenaan apakah itu Pro-Mahasiswa, insyaAllah akan saya cuba huraikan. Ini adalah pendapat individu seorang mahasiswa yang telah melihat persekitaran kampus dan cuba menterjemahkan dalam tulisan. Penulisan ini juga berniat supaya adik-adik mendapat gambaran awal terhadap apakah itu sebenarnya Pro-Mahasiswa. Pro-Mahasiswa atau Gabungan Mahasiswa secara amnya daripada pendapat saya adalah sebuah persatuan yang memperjuangkan hak kebebasan mahasiswa di kampus. Persatuan ini telah berjaya menyusup hampir ke semua kampus di negara ini.

Penerangan awal, berkenaan penulisan ini terlebih dahulu saya hanya ingin menerangkan apakah itu Pro-Mahasiswa secara umum. Tidak ada niat untuk menjatuhkan atau memburuk-burukkan mana-mana pihak. Sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat bahawa kita haruslah mempunyai identiti dan pendirian yang tersendiri, kita jangan membiarkan tangan-tangan ghaib mengawal atau mencaturkan perjalanan kita di kampus bahkan sebenarnya kitalah yang berhak untuk mengawal atau mencaturkan perjalanan kita sendiri.

Umur meningkat dewasa, jiwa memberontak dengan bijaksana, itulah mahasiswa. Idealisme untuk membela nasib negara yang tercinta. Pro-Mahasiswa merupakan satu rentetan pertubuhan yang bergerak di atas kaki mahasiswa sendiri tanpa campur tangan daripada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) atau mana-mana pihak lain. Segala aktiviti dilakukan secara berdikari dengan mengambil kira suara mahasiswa. Sejarah gerakan mahasiswa sudah terhasil sejak awal 70an lagi. Niat yang murni untuk menjaga kebajikan mahasiswa secara khususnya dan rakyat negara amnya, adalah agenda dan gagasan yang digendong oleh mereka. Mengelakkan daripada kesalahan maklumat buat pembaca, suka untuk saya nyatakan sekali lagi bahawa, Pro-Mahasiswa bukanlah semata-mata sebuah persatuan yang berbaur kepartian mahasiswa tetapi lebih kepada wawasan, idealisme mahasiswa, dan masa depan negara ini.


Saya hanya memberikan gambaran awal kerana saya fikir ini adalah bahan bacaan yang menjadi titik tolak kepada pembaca untuk terus mencari dan mengenali apakah sebenarnya Pro-Mahasiswa. Apabila disebut Pro-Mahasiswa, masyarakat kampus ada yang memandang serong dan tidak kurang juga yang memandang lurus. Ada yang bersetuju dan ada sebaliknya. Itu lumrah dalam kehidupan di dunia ini tetapi usaha yang dilaksanakan oleh Pro-Mahasiswa untuk membebaskan cengkaman ideologi politik pihak tertentu di kampus wajar kita hargai. Pilihan raya kampus, sekian lamanya telah dicatur oleh orang-orang yang terpelajar dan berkepentingan iaitu orang yang mempunyai jawatan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar. 

Saya tidak mahu memburuk-burukkan BHEP tetapi itulah hakikat hampir di semua kampus yang rata-rata pegawai atasan mereka memikul agenda kerajaan untuk memastikan mereka terus berkuasa. Bagi pembaca yang kurang faham apakah kaitan antara politik kampus dan politik negara mari kita sama-sama renung dan fikirkan, untuk 15-30 tahun akan datang siapakah yang akan menjadi pemimpin negara, adakah masih Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnaya? Pasti tidak, dan pasti pemimpin yang memacu negara pada masa akan datang, adalah daripada kalangan anak-anak muda yang mungkin pada hari ini adalah mahasiswa.

Kegagalan mahasiswa mengambil tahu akan persekitaran kampus adalah langkah pertama berlakunya kejatuhan empayar negara ini. Justeru, sebagai mahasiswa yang mempunyai wawasan dan pendirian pasti kita tidak akan membiarkan negara kita pada masa hadapan diperintah oleh golongan yang hanya hidungnya diikat dan ditarik oleh pihak-pihak tertentu.


Pejuang kebebasan mahasiswa ini saban tahun akan menghantar wakil mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kampus untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar di setiap kampus. Kemelut perbahasan akan diterjemahkan dalam pilihan raya kampus, di sini kita akan melihat tingkah laku sebenar BHEP. Politik kampus juga mengajak kita agar lebih berfikiran matang dan bukan hanya menjadi mahasiswa ulat buku semata-mata.

Persatuan Mahasiswa UKM 2011/2012 (Diterajui oleh Gabungan Mahasiswa UKM)
Agenda dan objektif Pro-Mahasiswa disesuaikan mengikut persekitaran kampus, tetapi pada dasarnya agenda dan objektif itu dibentuk adalah berlandaskan kebajikan mahasiswa. Maka, saya menyeru agar semua pembaca apabila masuk ke kampus cuba mengenali dengan lebih mendalam apakah itu Pro-Mahasiswa. Mendengar tanpa melihat aksi sebenar di kampus pasti tidak mendapat pemahaman yang mencukupi.

Majlis Perwakilan Pelajar UM (diterajui oleh Pro-Mahasiswa UM)
Tambahan, di kampus Pro-Mahasiswa tidak berseorangan tetapi masih ada beberapa persatuan atau pertubuhan lain yang bersama-sama dengan Pro-Mahasiswa. Contohnya, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Malaysian Youth and Student Democratic Movement (Dema), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan beberapa lagi yang lain.  

Kesimpulannya, Pro-Mahasiswa adalah sebuah gerakan yang membawa gagasan buat mahasiswa dan rakyat negara bukan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang merasakan kuasa adalah milik hakiki mereka. Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan penulisan ini, saya tidak minta untuk anda bersetuju tetapi cukup dengan menghormati pendirian orang lain dan jadilah seorang yang berani untuk bersemuka atau bertanding dengan profesional. STUDENT POWER!!!


1 ulasan:

  1. belum masuk sesi baru pengajian..dah mula semarak bahang politik kampus.. =)

    BalasPadam