Pendapat saya berkaitan kenyataan Prof Aziz Bari berkenaan dengan Ustaz Azizan yang menyokong Auku sebenarnya adalah sindiran dan peringatan kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang lain. Apabila Prof Aziz Bari berkata seperti itu bukan bermakna beliau menyuruh Ustaz Azizan untuk lompat parti atau keluar daripada Pas tetapi adalah kata-kata nasihat supaya Ustaz Azizan khususnya dan pemimpin Pakatan Rakyat amnya tidak berpaling daripada apa yang telah dicatatkan di dalam Buku Jingga.

Jika bekas Menteri Besar Perak, YB Nizar Jamaluddin yang tidak bersetuju dengan ISA telah mengemukakan cadangan supaya ISA dikeluarkan atau dipindahkan daripada Perak iaitu negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Bukan pula menggunakan ISA untuk orang yang tidak bersependapat dengannya. Maka, dengan ini saya melihat sewajarnya Ustaz Azizan yang mewakili Pakatan Rakyat tidak menggunakan AUKU sebagai alasan sebuah akta sedia ada yang digunakan selagi mana Pakatan Rakyat tidak memerintah atau kerajaan memansuhkan.

Sewajarnya Ustaz Azizan mengikuti cara YB Nizar Jamaluddin dalam menangani permasalahan KUIN ini. Sekiranya Pakatan Rakyat ingin memenangi hati mahasiswa, perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku kerana mahasiswa berpegang dengan prinsip keadilan. Sekiranya Pakatan Rakyat tidak mampu untuk memenangi hati mahasiswa maka jangan harap untuk memenangi hati rakyat. Mahasiswa tetap dengan pendirian untuk mengkritik sesiapa sahaja yang berlaku tidak adil dengan mahasiswa dan rakyat.

Saya menyambut baik kritikan Prof Aziz Bari kerana kita yakin dengan kritikan akan ada perubahan. Saya juga ingin mengesyorkan jika ada mana-mana pihak yang ingin menyokong AUKU maka seharusnya dia pergi mengisi borang untuk menyertai UMNO. Saya akan bersama sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak kebebasan mahasiswa secara total hatta yang memperjuangkan itu adalah seorang tukang sapu.

Tarmizi Bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro-Mahasiswa UPM.


Ads 468x60px

Featured Posts