Persoalan siapakah yang membiayai majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak timbul semula apabila Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mengemukakan resit yang telah dikeluarkan oleh Hotel Shangri-La kepada Pejabat Perdana Menteri.


Selepas Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan media berkenaan resit tersebut, pihak daripada Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan balas dengan menafikan pembayaran tersebut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri tetapi dibayar oleh Datuk Seri Najib sendiri dan menyuruh Rafizi Ramli memohon maaf atas fitnah yang dibuat.

Saya mencabar kepada Pejabat Perdana Menteri atau Datuk Seri Najib khususnya, sekarang bukanlah masa untuk memohon maaf atau bersujud di kaki. Jika tidak benar apa yang diperkatakan oleh Rafizi, Pejabat Perdana Menteri harus memfailkan saman terhadap Rafizi. Jangan hanya menafikan secara buta tuli tanpa mengemukakan bukti yang kukuh bahawa pembiayaan majlis pertunangan tersebut dibuat oleh Datuk Seri Najib sendiri.

Walaupun RM 409, 767 tidaklah sebanyak RM250, 000, 000 atau RM 24, 000, 000, Datuk Seri Najib masih perlu menjawab persoalan ini dengan mengemukakan bukti yang kukuh bahawa majlis pertunangan anak perempuannya dibiayai oleh beliau sendiri. Ini adalah penting untuk membersihkan nama beliau sendiri kerana kerajaan Barisan Nasional telah mempunyai banyak sejarah bekenaan rasuah antaranya Khir Toyo dan Isa Samad.

Walaupun sejarah ini nampak seakan tidak ada kena-mengena tetapi secara tidak langsung ia menggambarkan integriti Barisan Nasional itu sendiri. Saya cabar sekali lagi supaya perkara ini tidak selesai dengan hanya meminta maaf tetapi dibawa ke medan kehakiman supaya rakyat dapat mengetahui siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Jangan hanya pandai menguruskan ahli yang melakukan rasuah tetapi diri sendiri melakukan rasuah. 

Jika perkara ini tidak diambil serius oleh Datuk Seri Najib, maka sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Najib untuk membebaskan Barisan Nasional daripada rasuah adalah retorika semata-mata dan indah khabar dari rupa. Jika Datuk Seri Najib masih berdiam diri maka rakyat boleh simpulkan bahawa Datuk Seri Najib hanyalah diibaratkan ketam mengajar anak berjalan lurus tetapi diri sendiri masih berjalan senget.

Tarmizi Bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro Mahasiswa,
Universiti Putra Malaysia.


Ads 468x60px

Featured Posts