Selamat maju jaya buat sahabat-sahabat yang sedang dan akan menduduki peperiksaan akhir semester. Dulu mungkin kita sendiri pernah melakukan penipuan dalam peperiksaan bahkan menjadi kebiasaan buat mahasiswa di universiti. Tetapi semakin hari semakin kita fahami bahawa mereka yang benar-benar cintakan ilmu pasti tingkahlakunya semakin berubah ke arah penambahbaikan.

"Ada soalan ada juga jawapannya", falsafah yang mengajar kita untuk mencari jalan keluar daripada setiap permasalahan. Tidak kira sama ada peperiksaan atau masalah dalam kehidupan seharian yang perlu diharungi oleh setiap insan bergelar manusia, hakikatnya setiap permasalahan itu pasti ada jalan keluarnya. Cepat atau lambat bergantung kepada usaha, doa serta tawakkal insan tersebut.

Saat berada dalam situasi yang diibaratkan seperti "telur di hujung tanduk" pasti kita merasakan kita bakal kecundang dan akan dihukumi, maka ketika itu kita berada di dua persimpangan iaitu samada kita terus berusaha memastikan telur itu terus berada di atas tanduk dan seterusnya menetas menjadi pejuang kehidupan atau membiarkan telur tersebut digelincirkan oleh tanduk dan pecah tembelangnya.

Apabila kita telah lepas daripada permasalahan dan berada di puncak kecemerlangan kita wajib berfikir semula, atas usaha siapakah kita berada di kedudukan ini. Adakah kita berjaya memimpin diri kita sendiri atau kita hanya mengharapkan keajaiban toyol dan kekuasaan nota?


Ads 468x60px

Featured Posts