Pages

Rabu, 25 Julai 2012

Manhaj Berdoa

Apabila Hasan Al Basri pernah berkata salah satu sebab kenapa doa tidak dimakbulkan adalah kerana; "Apabila berdoa manusia itu masih mempunyai perasaan besar diri".

Mana mungkin apabila kita hendak meminta pertolongan kepada seseorang tetapi dengan nada yang sombong. Adakah permintaan kita akan diberikan oleh manusia itu atau permintaan kita tidak dilayan? Kita sedia maklum, jika seseorang itu berkehendakan sesuatu maka pasti dia akan cuba mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh. Tidak kira dengan apa cara sekalipun jika perkara itu mampu dilakukannya pasti akan dilakukannya.

Hatta jika kita melihat seseorang lelaki ingin memikat seseorang gadis yang berkenan dihatinya pasti akan dipujuk rayunya supaya gadis itu berkenan pula dengan tingkah laku serta tatabicaranya. Mungkinkah gadis itu akan menerima lelaki yang ingin memikatnya dengan kata-kata yang membesarkan dirinya. Pasti gadis itu tidak memperdulikan pujuk rayu lelaki yang sombong dan bongkak. Bukanlah ingin samakan Tuhan dengan hambaNya tetapi Tuhan telah mengajarkan cara bagaimana manusia ingin memohon doa kepada Dia agar diperkenankan.

Dalam Al Quran telah diceritakan kisah-kisah terdahulu bagaimana manusia yang telah dipilih menjadi pesuruhNya diduga sehingga ada yang hampir berputus asa sebelum kembali tegar dalam jalan dakwah ini. Kita lihat bagaimana pesuruh Tuhan ini memohon doa dengan rendah diri dan tidak merasakan diri ini bongkak dan takabbur;

Nabi Adam dan Hawa telah memohon keampunan kepada Allah di atas kesalahan mereka memakan buah khuldi yang telah dilarang; "Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk dalam orang-orang yang rugi (7:23).


Nabi Yunus yang telah melakukan kesilapan dengan meninggalkan jalan dakwahnya apabila penduduk di Naywana menolak ajaran tauhid. Selepas berlalu daripada Naywana baginda telah menaiki sebuah kapal dan tiba-tiba kapal itu dilanda ribut taufan. Selepas dibuat undian maka Nabi Yunus dipilih untuk dibuang daripada kapal bersama barangan yang berada di atas kapal. Ketika Nabi Yunus terjun ke dalam laut maka baginda telah dimakan oleh Ikan Nun. Disebabkan baginda tahu akan kesalahannya meninggalkan jalan dakwah tanpa dipersutujui oleh Allah maka baginda telah berdoa; "Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim". (21:87)


Nabi Zakaria yang tidak mendapat zuriat sehingga berumur lebih 90 tahun kemudia baginda berdoa; "Ya Tuhanku janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah Ahli waris yang terbaik" (21:89).


Kita boleh lihat para anbiya ini berdoa dengan merendahkan dan menghina diri di hadapan Sang Penciptanya. Manhaj berdoa ini diceritakan di dalam Al Quran supaya kita yakni manusia mengambilnya sebagai pengajaran dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Kita diberitahu; "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintahKu) dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran". (2:186)

Apabila kita berdoa, sesungguhnya sudah pasti doa itu didengari oleh Allah, cuma perkenannya doa itu adalah hak Allah; lambat, cepat atau tidak dimakbulkan. Berdoalah dengan serendah hati yang mungkin, sesungguhnya Allah mengetahui setiap daripada isi hati hamba-hambaNya. Jangan menjadi manusia yang sombong seperti mana yang diceritakan di dalam surah Al-Kahfi iaitu ada dua orang pekebun.

Seorang yang kufur dengan nikmat kekayaan suburan tanamannya dan bermegah-megah dengan hasilnya. Seorang lagi yang bersyukur dengan nikmat ala kadar yang diberikan oleh Allah. Bagaimana apabila seseorang tadi menunjuk-nunjuk kelebihannya kepada maka Allah telah menurunkan hujan untuk menghapuskan segala tanamannya dan tidak ada yang tinggal sedikitpun boleh dibanggakannya lagi.

Semoga di dalam Ramadhan Al Mubarak (Yang Diberkati) ini dapat kita tadabbur isi Al-Quran dengan lebih mendalam dan menjadikan arah panduan hidup. Ketika diri yang hina ini mengharapkan keredhaanMu maka berdoalah dengan doa Nabi Musa; "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikkan yang Engkau turunkan kepadaku" (28:24).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan