Dan (ingatlah) tatkala Tuhan
engkau berkata kepada Malaikat : sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi
seorang Khalifah. Berkata mereka (Malaikat) : Apakah Engkau hendak menjadikan
padanya orang yang merusak di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami
bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau? Dia berkata :
Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah :
30)
Dan telah diajarkanNya kepada
Adam nama-nama semuanya, kemudian Dia kemukakan semua kepada Malaikat, lalu Dia
berkata : beritakanlah kepadaKu nama-nama itu semua, jika adalah kamu
makhluk-makhluk yang benar. (Al-Baqarah : 31)
Mereka menjawab : Maha Suci
Engkau! Tidak ada pengetahuan bagi kami kecuali yang Engkau ajarkan kepada
kami. Karena sesungguhnya Engkaulah Yang
Maha Tahu, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah : 32)
Berkata Dia : Wahai Adam!
Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya! Maka tatkala telah
diberitahukannya kepada mereka nama-nama itu semua, berfirmanlah Dia : bukankah
telah Aku katakan kepada kamu, bahawa sesungguhnya Aku lebih mengetahui rahsia
semua langit dan bumi, dan lebih aku ketahui apa yang kamu nyatakan dan apa
yang kamu sembunyikan. (Al-Baqarah : 33)
Potongan
ayat di atas menceritakan tentang suatu peristiwa besar yang telah berlaku di
mana sekiranya peristiwa ini tidak terjadi maka tiadalah kita pada hari ini.
Satu peristiwa yang menjadi sejarah dunia apabila manusia diciptakan dan
ditugaskan menjadi pemimpin di muka bumi. Maka bermulalah sejarah ketamadunan
ilmu apabila Adam diciptakan. Penulis ingin membawa pembaca berfikir tentang
falsafah kepada peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran melalui kaedah dialog.
Dialog ini memberikan nilai yang tersendiri apabila berlaku soal jawab antara
Allah, Malaikat, dan Adam. Allah sebagai Khaliq, Malaikat dan Adam adalah
sebagai makhluk ciptaan Allah.
Dalam
Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb mengatakan ayat ini adalah
berkaitan pentadbiran. Pentadbiran adalah sesuatu sistem yang besar dimana
merangkumi politik. Maka kita lihat apabila wujudnya Adam maka secara tidak
langsung bermulalah sistem politik di dunia ini kerana Adam dicipta untuk menjadi
pemimpin kepada sekalian makhluk. Untuk menjadi pemimpin dan memimpin perlu ada
ilmu politik. Bagaimana mungkin manusia mampu mentadbir alam sekiranya tidak
punyai ilmu politik. Mengatur, mengurus dan memastikan alam berada dalam
keadaan yang baik iaitu tugas Bani Adam memberikan gambaran manusia perlu
berfikir bagaimana untuk melakukannya. Justeru, itulah hikmah ilmu politik
dipelajari.
Dalam
Tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka pula ada menerangkan sedikit berkaitan
penerimaan beberapa ulama di manakah dialog ini diperkatakan. Terdapat dua
golongan iaitu Salaf dan Khalaf. Secara mudahnya kita memahami Salaf
adalah golongan yang hidup pada zaman Rasulullah dan sahabat, tabi’in (anak
murid sahabat) dan tabi’ tabiin (anak murid tabi’in).
Manakala Khalaf adalah golongan yang hidup selepas daripada ketiga-tiga
zaman yang disebutkan tadi.
Salaf menerima
ayat ini dengan tidak bertanya-tanya mahupun bersoal kerana beranggapan Allah
telah berkenan untuk menceritakan perkara ghaib kepada kita tetapi dengan
kemampuan fikiran manusia tetapi tidaklah pula kita mampu untuk masuk ke dalam
yang ghaib itu. Berbeza pula dengan penerimaan Khalaf, mereka
menggunakan kaedah mantik atau logik akal manusia untuk membuat pentafsiran
tetapi dalam lingkungan bilik luas yang mempunyai dinding dan bumbung. Maka
tidaklah mereka dibasahi hujan dan badai dalam membuat pentafsiran melainkan
yang dibenarkan syariat.
Diperhalusi
dialog antara Allah dengan Malaikat ini dapatilah kita sebenarnya lebih
dekatlah pendekatan Khalaf kerana Allah sendiri menunjukkan bukti kepada
Malaikat tentang sebab tindakan-Nya. Maka ketahuilah kita sebenarnya manusia
sememangnya memerlukan mantik dalam menerima sesuatu peristiwa yang berlaku di
sekeliling mereka. Tetapi sebenarnya Allah mahu juga menguji keimanan hamba-Nya,
maka dibuatkan peristiwa yang bertentangan dengan hukum mantik atau logik akal
manusia.
Diberitakan juga dalam Al-Quran berkaitan
peristiwa Ibrahim dibakar dalam rumpunan kayu api yang marak tetapi baginda
tidak tercedera sedikitpun. Waras akal api pastilah membakar dan air pastilah
membasah. Juga peristiwa Mariam mengandung dan melahirkan Isa tanpa seorang
lelaki melakukan persetubuhan dengannya. Sainstis hari ini tidak mahu menerima
peristiwa tersebut kerana sperma perlu bergabung dengan ovum di tiub fallopio
dan barulah boleh terciptanya kandungan. Dijawab oleh Al-Ghazali di sinilah
peranan iman dimainkan apabila bertindak menerima perkara ghaib yang
diceritakan Allah.
Sebab
itu seorang seorang ahli falsafah moden; Emmanuel Kant berkata, “Betapapun
kemajuan saya dalam berfikir, namun saya tetap mengosongkan sesudut dari jiwa
buat saya percaya.” Maklumlah kita sebenarnya mantik dan iman itu sepatutnya
bergerak seiring supaya tidak pula layang-layang terputus talinya kerana layang-layang
itu ibarat mantik manakala tali ibarat iman yang memandunya. Jika terputus tali
itu maka jatuhlah layang-layang dan jika tidak bertali tidaklah pula ianya
mampu terbang. Perlulah kita percaya bahawa manusia yang diagungkan bisa juga
melakukan kesilapan, maka perlu juga dikosongkan sedikit jiwa agar kita tidak
membabi-buta menyokong yang salah.
Berbalik
kepada dialog, Malaikat dikhabarkan oleh Allah ingin mencipta sejenis makhluk
yang menjadi khalifah di muka bumi. Kemudian Malaikat bertanya kepada Allah
mengapa ingin mencipta makhluk yang akan merusakkan bumi sedangkan bumi ini
sudah aman dan Malaikat pula sentiasa bertasbih dan memuji-Nya. Dalam dialog
ini ada satu perkara yang jarang kita bahaskan iaitu demokrasinya Allah.
Malaikat telah mempersoalkan tindakan yang akan Allah lakukan tetapi tidak pula
Allah memarahi Malaikat melainkan menjawabnya dengan mantik.
Dalam
Tafsir Al Maraghiy karangan Ahmad Musthafa al-Maraghi, beliau mengatakan Allah
bersabar dengan pertanyaan Malaikat. Di sini kita melihat Allah memberikan
ruang kepada Malaikat untuk mengajukan soalan dan mengkritik tindakan-Nya. Hari
ini kita melihat rakyat tidak boleh mempersoalkan tindakan kerajaan kerana
apabila mempersoalkan akan dianggap penentang kepada kerajaan dan tidak
bersyukur. Sedangkan rakyat berhak bertanya demi kepentingan mereka. Begitu
juga segelintir pensyarah yang dipersoalkan tindakan mereka oleh pelajarnya
maka diberikan markah yang rendah. Sungguh tidak demokratik!
Allah
juga sebenarnya mengajar kepada kita supaya lebih berfikiran kritikal iaitu
dengan mempersoalkan sesuatu tindakan sekiranya ia tampak tidak berfaedah.
Sekiranya sesuatu perkara itu tidak mendatangkan manfaat kepada manusia maka
ianya tidak perlu dilaksanakan. Rakyat perlu diberikan ruang untuk mengkritik
dan mempersoal setiap tindakan kerajaan supaya rakyat lebih kritikal dan mampu
memberikan faedah kepada negara. Bukan ditangkap dan didakwa sedangkan mereka
yang merasuah dan menipu dibiarkan terbahak. Tujuan manusia dicipta di bumi
adalah untuk menjadi pemimpin kepada umat manusia bukan menjadi perosak seperti
yang dikatakan oleh Malaikat.
Di
dalam dialog ini juga diajarkan kepada Adam tentang nama-nama kesemuanya yang
dianggap mantik manusia. Kemudian ditunjukkan kepada Malaikat tentang nama-nama
kesemuanya dan ditanyakan akan namanya. Malaikat tidak mampu menjawab dan
berkata Allah-lah yang lebih mengetahui. Di sini kita melihat Adam mempunyai
kelebihan dan Malaikat merendahkan diri dengan mengakui kekurangan dirinya.
Apabila Allah memerintahkan Adam mengkhabarkan nama-nama itu maka barulah
Malaikat ketahui akan kelebihan makhluk yang ingin diciptakan oleh Allah yang
dikatakannya perosak bumi.
Ketika
ini tahulah kita bahawasanya manusia dan Malaikat mengetahui sesuatu ilmu atau
perkara atas kehendak Allah. Pasti ada kekurangan ilmu dalam kalangan manusia
mahupun Malaikat. Kita lihat bagaimana rendah diri Malaikat menerima ilmu Adam
kerana Malaikat tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang nama-nama itu dan tidak pula
sombong tidak mahu mempelajarinya. Segelintir jemaah yang 'sombong' berkata kita
tidak memerlukan orang luar untuk memberikan tarbiyah kerana kita mempunyai
manhaj tarbiyah yang tersendiri. Ini sangat bertentangan kerana Malaikat
mengakui dan belajar daripada Adam. Kita pula yang lebih sombong!
Kesimpulannya
kita perlu membuat semakan terhadap diri sendiri adakah kita ini orang yang
demokratik kerana Allah tidak memarahami Malaikat apabila Malaikat mengkritik
tindakan Allah bahkan Allah menggunakan kaedah mantik dengan menunjukkan
nama-nama kepada Malaikat dan ditanyakan namanya. Apabila Malaikat tidak mampu
menjawab diperintahkan Adam untuk mengkhabarkan nama-nama itu. Maka barulah
Malaikat percaya bahawasanya mahkluk diciptakan Allah ini mempunyai kelebihan.
Malaikat mengakui kelemahan dan belajar daripada Adam, jadi adakah kita mahu
mengakui kelemahan kita dan menerima kritikan dan mempelajari daripada orang
lain? Adakah kita masih sombong dengan ilmu yang ada pada kita semata-mata?
Jika kita masih begitu maka ingatlah Allah sudah demokratik!