Dalam tempoh seminggu yang lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu Datuk Hamzah Zainuddin telah mengeluarkan satu kenyataan berkenaan pertimbangan kerajaan bagi membuat pengasingan troli di pasaraya antara produk halal dengan yang tidak halal. Kononnya adalah bagi melegakan kekhuatiran penganut Islam mencampurkan barangan mereka dengan produk yang tidak halal.

Ini merupakan salah satu peristiwa yang jika diteliti mempunyai persamaan dengan beberapa peristiwa lain yang berlaku. Antaranya adalah penganjuran program I Want to Touch a Dog, membasuh darah akibat coklat Cadbury yang dikatakan mempunyai deoxyribonucleic acid (DNA) babi, demonstrasi membantah tanda Salib sebuah gereja di Taman Medan, penggunaan kalimah Allah dalam Bible edisi bahasa Melayu dan pengharaman filem Noah daripada ditayangkan dalam negara.

Persamaan yang dimaksudkan adalah kurangnya keyakinan diri penganut agama Islam atau Muslim dalam mendepani persekitaran masyarakat yang semakin terbuka dan berfikir secara rasional hingga menyebabkan perlunya polisi yang spesifik bagi melindungi mereka. Ini disebabkan oleh apabila cabaran itu dilihat dari sudut ancaman dan bersifat negatif semata-mata kepada masyarakat Muslim di negara ini.

Berdasarkan statistik bancian Jabatan Perangkaan Malaysia yang terakhir iaitu pada tahun 2010, komposisi agama di Malaysia adalah 61.3% menganut agama Islam, 19.8% beragama Buddha, 9.2% beragama Kristian, 6.3% beragama Hindu manakala beragama lain dan tidak beragama masing-masing 1.7% dan 1.7%.

Dimana jumlah di atas menunjukkan masyarakat Muslim di Malaysia adalah merupakan yang terbesar komposisi mereka berbanding dengan agama lain. Dengan jumlah majoriti yang besar sebegini sepatutnya menjadikan Muslim di Malaysia tidak merasakan sebarang ancaman daripada pihak agama lain. Bahkan, adalah tidak wajar apabila menjadikan sebarang inisiatif dakwah agama lain sebagai satu ancaman kepada orang Islam.

Islam adalah sebuah agama hujah dan ianya perlu ditegakkan tanpa dan tidak memerlukan sebarang pemaksaan kepada orang lain untuk menerimanya. Sebagai penganut agama Islam, sudah tentu percaya bahawa Islam adalah sebuah agama yang adil dimana ianya tidak akan mendiskriminasi mana-mana agama lain dalam apa juga bentuk. Perlu juga faham bahawa agama lain turut mempunyai hak yang perlu diberikan walaupun ianya berbentuk yang dianggap sebagai ancaman kepada agama Islam. 

Setiap agama di dunia ini mahukan ajarannya disampai dan disebarkan kepada masyarakat. Ini adalah merupakan salah satu asas terpenting bagi memastikan kemampanan agama itu dapat diteruskan atau dikembangkan. Bermakna ini adalah merupakan hak yang perlu diberikan kepada setiap agama oleh semua pihak. Bagaimanapun di Malaysia perkara ini tidak berlaku, sebaliknya hanya Islam satu-satunya agama yang boleh disebarkan kepada orang lain.

Menghalang sesebuah agama daripada mendapatkan hak mereka adalah merupakan satu tindakan penindasan manakala tindakan yang hanya membenarkan satu agama sahaja menyebarkan dakwah pula adalah diskriminasi kepada agama yang lain. Selagi mana ajaran agama yang disebarkan itu tidak membawa kepada keganasan, kecederaan dan menggugat kesejahteraan masyarakat maka hak itu perlu diberikan.

Menjadi tanggungjawab setiap penganut agama untuk menjaga perasaan dan sensitiviti penganut agama yang lain dengan tidak menghina atau memburukkan agama yang lain. Jika ini secara berterusan berlaku ianya akan menanam biji kebencian dalam hati penganut agama yang mana akan membawa kepada tindakan politik pihak penguasa seperti menghalang atau mengharamkan sesuatu perkara dengan alasan demi menjadi kesucian agama yang tertentu.

Pada tahun 2014, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan filem Noah daripada ditayangkan di pagawam atas alasan tidak sensitif kepada orang Islam. Filem ini mengisahkan kehidupan Nabi Nuh yang dihormati oleh penganut Kristian dan Islam. Manakala Pengerusi Lembaga Penapisan Filem, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, menyatakan keputusan yang diambil itu adalah sebagai ‘langkah berjaga-jaga’ kerana ajaran Islam tidak membenarkan imej nabi dipamerkan.

Bagaimanapun, Mustafa Akyol, pemikir Muslim berkelahiran Turki menulis satu artikel bertajuk Why Muslims should be able to see ‘Noah’ menyatakan bahawa sejarah penentangan atau larangan mana-mana karya yang menyifatkan nabi Allah adalah tidak berasas kepada satu-satunya sumber yang sahih dalam Islam iaitu al-Quran.

Tetapi larangan ini berkembang pada zaman awal Islam dengan logik yang munasabah iaitu Islam melarang terhadap penyembahan berhala dan bimbang sebarang patung berupa nabi (atau mana-mana manusia) boleh membawa kepada penyembahan berhala. Mustafa Akyol juga berpandangan bahawa dalam al-Quran tidak ada menyatakan bahawa nabi Allah tidak boleh digambarkan.

Permasalah sebegini bukan hanya semata-mata berlaku dalam negara ini (Malaysia) tetapi ia juga merupakan masalah yang meliputi Muslim di kebanyakkan negara Islam. Filem Noah turut diharamkan di beberapa negara yang lain seperti Pakistan, Bahrain, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Indonesia, Timur Tengah dan Afrika Utara. Bahkan turut mendapat tentangan daripada Jawatankuasa Sarjana Tertinggi Universiti Al-Azhar dengan menyatakan filem Noah bertentangan dengan kedudukan tinggi seorang nabi dan utusan serta memprovokasi emosi umat Islam.

Terbaru di Scotland, The Grosvenor Cinema telah membatalkan tayangan filem The Messenger yang dianjurkan oleh Islamic Society of Britain (ISB) oleh kerana terdapat 94 orang individu yang tidak bernama menandatangani satu petisyen. Mereka yang datang daripada Scotland, Nigeria, Bahrain dan Arab Saudi mengatakan bahawa filem tersebut tidak sesuai dan menghina Islam kerana terdapat muzik dan tarian serta mendakwa terdapat kesalahan fakta di dalamnya tentang sahabat-sahabat baginda.

Sewajarnya, jika benar terdapat kesalahan fakta di dalam filem tersebut, mereka perlulah memberikan kritikan secara berfakta dan ilmiah. Nyatakan di bahagian mana terdapat kesalahan dan berikan fakta yang pada pandangan mereka adalah benar. Bukan menghalang orang lain untuk menonton dan menilai akan fakta filem tersebut. Manakala tarian dan nyanyian adalah kebudayaan yang wujud pada zaman Nabi Muhammad serta dibenarkan sendiri oleh Baginda, masakan boleh dikatakan menghina.

Umat Islam atau Muslim perlu terus bergerak ke arah kematangan dalam menguruskan hal-hal yang dianggap sensitif. Tindakan dan pemikiran sebilangan umat Islam tidaklah boleh dijadikan gambaran bagi keseluruhan pemikiran Islam itu sendiri.  Begitu juga dengan penganut agama lain. Bagaimanapun perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana ianya boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat dan melobi keputusan kerajaan.

Walaupun dalam sebuah negara yang majoritinya Islam tidak bermakna kita boleh menekan dan mendiskriminasi penganut agama yang lain. Muslim perlu memberi ruang dan hak yang saksama serta bersaing secara sihat dengan penganut agama yang lain tanpa perlu ada rasa prejudis dan kebencian. Jika Muslim ingin dilayan secara saksama dan adil di negara yang majoriti bukan Islam, agenda ini perlu diutamakan seperti mana James B. Donovan meyakinkan Judge Byers bagi tidak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Rudolf Abel dalam Brigde of Spies.


Ads 468x60px

Featured Posts