Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.




Surah Al-Kahfi (18 : 60-82) 

Surah Al-Kahfi adalah merupakan surah yang ke-18 dalam Al-Quran. Dalam surah ini terselit banyak kisah yang membolehkan kita ambil sebagai pengajaran. Surah ini terdiri daripada 110 ayat. Diberitakan sebelum surah ini diturunkan Allah telah mendidik umat-umat Islam pada masa itu dengan akidah yang sungguh teguh pegangannya kepada agama. 

Dalam surah ini, menceritakan kepada kita tentang beberapa perkara iaitu :
  1. Ashabul Kahfi 
  2. Kisah Nabi Musa dengan Seorang Pemuda (Nabi Khidir)
  3. Yakjuj & Makjuj
  4. Iskandar Zulkarnain.
Ashabul Kahfi menceritakan tentang beberapa pemuda yang lari menyelamatkan diri daripada raja mereka yang zalim dan menyembunyikan diri di dalam gua. Allah telah menidurkan mereka selama 309 tahun di dalam gua tersebut tetapi mereka sendiri tidak tahu berapa lama mereka telah tidur. Walaupun mereka berbalah sesama mereka mengatakan berapa lama mereka telah tidur tetapi pada akhirnya mereka tetap menyandarkan semuanya kepada Allah yang Maha Mengetahui.

Kisah Nabi Musa dengan Seorang Pemuda yang dikatakan oleh para mufasir iaitu Nabi Khidir. Dalam kisah ini menceritakan Nabi Musa meempunyai banyak ilmu dan baginda telah meminta kepada Allah untuk diajarkan ilmu yang baru, disuruh oleh Allah untuk pergi ke sebuah tempat; pertemuan dua laut. Semasa Nabi Musa bersama pembantunya telah sampai ke tempat tersebut tanpa disedari mereka, bekalan makanan yakni ikan mereka hidup semula dan telah melompat masuk ke dalam laut tersebut. Berjalan semula mereka ke destinasi yang dituju tiba-tiba Nabi Musa terasa lapar dan pembantunya mengatakan bahawa ikan mereka telah melompat masuk ke dalam laut; Nabi Musa berkata sesungguhnya itulah tempat yang dicari. Setibanya kembali di tempat pertemuan dua laut itu maka berjumpalah mereka dengan Pemuda (Nabi Khidir); dimintanya untuk mengajarkan ilmu yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Pemuda (Nabi Khidir) iaitu ilmu laduni. Ilmu laduni adalah ilmu yang boleh mengetahui perkara akan berlaku pada masa hadapan. Pemuda  (Nabi Khidir) berkata sungguh kau tidak akan sanggup sabar bersamaku. Rayu Nabi Musa sesungguhnya kau akan dapati aku daripada golongan orang yang sabar. Maka mereka berdua pun berjalan bersama. Pemuda (Nabi Khidir) telah melakukan tiga perkara yang setiap kali Pemuda (Nabi Khidir) melakukan dan setiap kali akan ditanya oleh Nabi Musa iaitu membocorkan sampan, membunuh seorang kanak-kanak dan membetulkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh. Akhirnya, Nabi Musa berpisah dengan Pemuda (Nabi Khidir) kerana baginda (Nabi Musa) tidak dapat sabar akan perkara yang dilaluinya bersama Pemuda (Nabi Khidir). Sebelum mereka berpisah diterangkan oleh Pemuda (Nabi Khidir) kepada Nabi Musa berkenaan perkara yang tidak dapat disabarinya. Pertama membocorkan sampan kerana di hadapan lautan terdapat seorang raja yang zalim hendak merampas harta nelayan yang miskin maka karamlah sampan bersama-sama mereka. Keduanya membunuh seorang kanak-kanak kerana dikhuatiri anak tersebut akan membawa ibubapanya ke arah kejahilan dan berdoa akan menggantikan dengan anak yang soleh. Ketiga membetulkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh kerana di bawah rumah itu tersimpan harta peninggalan ayah yang soleh kepada dua orang anaknya yang sudah yatim piatu; dikehendaki untuk mengeluarkan harta tersebut apabila mereka berdua telah dewasa sebagai rahmat daripada Allah. Berkata juga si Pemuda (Nabi Khidir), sesungguhnya apa yang dilakukan ini bukanlah semata-mata kerana kemahuan diri sendiri. 

Yakjuj & Makjuj adalah merupakan dua bangsa di muka bumi yang suka membuat kerosakkan dan kehancuran. Kisah Yakjuj & Makjuj ini mempunyai kesinambungan dengan kisah Iskandar Zulkarnain. Dalam ini juga menceritakan bagaimana Iskandar Zulkarnain membuat pengembaraan ke barat, ke timur dan ke utara. Sungguh hebat kawasan yang dikuasai oleh Iskandar Zulkarnain. Semasa beliau pergi ke arah utara beliau sampai di antara dua buah gunung yang kaum di situ tidak memahami serta tidak difahami bahasanya oleh beliau. Beliau telah dikhabarkan tentang keburukkan Yakjuj & Makjuj dan diminta membina sebuah benteng untuk memisahkan mereka dengan Yakjuj & Makjuj. Beliau telah bekerja bersama-sama dengan kaum tersebut untuk membina benteng besi setinggi puncak kedua-dua buah gunung tersebut. Dengan izin Allah dan kelebihan yang diberikan kepada beliau benteng tersebut telah berjaya disiapkan. Dan beliau juga mengingatkan akan tiba satu masa nanti maka benteng itu akan berjaya dirobohkan juga dengan izin Allah. 

Banyak perkara yang boleh kita halusi dan ikhtibar dalam perjuangan hidup seharian kita ini kerana hampir 75% ayat dalan surah ini berbentuk cerita. Surah ini juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Antara kelebihannya ialah dihindar daripada fitnah dajjal, jika dibaca pada hari Jumaat; diampunkan dosanya sehingga Jumaat minggu hadapan dan ditambah tiga hari lagi dan akan terpancar cahaya daripada tapak kakinya sehingga ke bahagian dada langit; dapat dilihat pada Hari Kiamat. Ini disokong dengan beberapa hadis nabi iaitu :

Dari Ali r.a berkata: "Barangsiapa membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan terhindar dari segala fitnah sehingga lapan hari yang akan datang walaupun dajjal keluar, dia akan terhindar daripadanya." (Tafsir Ibnu Kathir)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa membaca tiga ayat daripada surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal." (HR Tirmizi)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal. Dalam riwayat yang lain dinyatakan daripada akhir surah al-Kahfi." (HR Muslim)

Dari Sauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, maka sesungguhnya pembacaannya itu menghindarkannya daripada fitnah dajjal. (HR Nasai)

Dari Abu Said al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi (dengan huruf dan pembacaan yang betul) sebagaimana ia diturunkan, maka surah itu akan menjadi cahaya pada hari kiamat daripada tempat tinggalnya sehingga ke Mekah dan barangsiapa membaca sepuluh ayat yang akhir daripadanya, kemudian dajjal keluar, dajjal tidak dapat menguasainya." (HR Mustadrak Hakim)

Pesanan saya kepada diri saya sendiri dan semua umat Islam marilah kita mengamalkan ayatul kahfi ini kerana ternyata banyak kelebihan dalam surah ini. Semoga kita sentiasa meningkatkan amal ibadah kepada Allah s.w.t antaranya marilah kita bersama-sama memahami ayat-ayat suci Al-Quran dengan mempelajari tafsirnya kerana ramai antara umat Islam pada hari ini hanya pandai membaca Al-Quran tetapi tidak memahami maksudnya. Semoga Allah luruskan hati-hati kita dengan hidayah dan kekuatan untuk terus berjuang dalam kehidupan yang penuh dengan dugaan dan durinya. 

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam




One Comment

mylittlepencil berkata...

Assalamualaikum...ana mohon copy...jazakillah.

Ads 468x60px

Featured Posts