بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.
Bermula dengan terlentang, seketikanya meniarap, kemudian berdiri pula, sudah berdiri berlari pula, tidak cukup berlari mulalah memanjat, sedang memanjat kadang jatuh dan kadang sampai ke atas. Bila sampai berloncat-loncatlah pula. Sedang meloncat, tergelincirnya maka tersungkurlah dia. Kadang terbenjol kadang terkehel. Sesudah sembuh dipanjatnya lagi tapi kali ini dia lebih berhati-hati kerana dia telah belajar daripada pengalaman. Erti perjuangan sedari terlentang sehingga ke melompat itulah yang mengajarnya agar dia bisa terus berjuang.
Inilah persoalan yang sudah terdahulu lagi bermain di fikiran manusia. Sejak Adam hingga Muhammad, sejak siang berganti malam, sehingga malam berganti siang, dan daripada kuno kepada moden; tidak pernah persoalan ini berhenti dibicarakan. Soalan mengkehendakkan jawapan. Jadi pelbagai jawapan yang lahir, ada yang menjawab untuk kebebasan, ada juga untuk keseronokkan, tidak kurang juga ada yang tidak dapat menjawab persoalan itu walaupun setiap soalan mengkehendakkan jawapan.
Mari kita tinggalkan sebentar soal perjuangan dan beralih ke arah bulan. Mengapa bulan? Mengapa tidak matahari atau bintang? Setiap penciptaan itu terselit berjuta hikmah bahkan lebih daripada berjuta kepada siapa yang berfikir. Biarlah untuk kali ini kita sentuh peribadi bulan, bukan kerana untuk sisihkan penciptaan lain tetapi hanyalah untuk pemahaman secara lebih mendalam. Benih yang sepuluh jika tidak dibajai kesepuluhnya dengan keseriusan pasti benih itu mati atau tidak subur jadi biarlah kita ambil satu benih itu tapi kita bajainya dengan penuh kasih sayang kelak pasti ianya menjadi pohon yang rendang.
Peribadi bulan; daripada tidak kelihatan menjadi sesabit, daripada sesabit berubah menjadi separa, daripada separa berubah menjadi tiga perempat dan kemudian menjelmalah purnama. Malangnya purnama bukanlah kekal, berubahnya semula kepada tiga perempat, tiga perempat kepada separa, separa berbalik kepada sesabit dan akhirnya gelaplah semula waktu malam. Pesanan bulan buat manusia, diberitahunya secara sinis bahawa manusia ibarat bulan. Daripada tiada kepada ada, diusungnya selama sembilan bulan ke hulu ke hilir, selepas itu lahirlah ke dunia. Sedari kecil dibesarkan, sedari lemah dikuatkan. Selepas beberapa ketika, tiba masanya menuruni tangga. Zaman mudanya melambai tangan, zaman tua menggamit tiba. Sesudah tua berjalan pun tidak larat maka berbaringlah dan diusung sekali lagi untuk disemadikan buat selama-lamanya.
Memahami peribadi bulan adalah erti sebenar sebuah perjuangan. Dipesannya kepada manusia bahawa satu hari nanti kita pasti mati. Begitulah setiap bulan sepanjang tahun tidak pernah bulan serik akan pesannya pada manusia. Perjuangan kita adalah untuk hidup, ya perjuangan kita adalah untuk hidup tetapi untuk hidup di mana, bukankah kita telah hidup di dunia ini, mengapa masih memerlukan perjuangan? Perjuangan hidup di dunia ini adalah perjuangan hidup hakiki di akhirat kelak. Makanan yang kita beli di dunia ini akan kita makan di akhirat kelak. Cuba bayangkan jika makanan yang kita bawa itu adalah ulat-ulat dan serangga yang kita lihat sendiri pun tidak selera apatah lagi makan tetapi jika makanan yang kita bawa itu adalah ayam, daging dan buah-buahan alangkah berseleranya kita makan di akhirat kelak.
Bagaimakah kita hendak membeli makanan jika kita tidak mempunyai duit atau wang? Ya, makanan itulah amalan dan wang itulah agama. Bila ditanya perihal apakah itu agama? Berkata orang sufi; “Agama itu ibarat irama muzik yang menyusup ke dalam sanubari jiwa, dilenggokkan dan digemalaikan sehingga terasa indah dan tenang. Bila beragama kita akan merasakan keindahan akan dunia ini, terasa tenang pula hati ini, dan terasa juga cinta serta rindu kepada Sang Penciptanya.”
Dituruti segala kemahuan Penciptanya, digumpal, dikonyok dan dicampak segala kemahuan nafsunya ke dalam tempat buangan sampah. Ingkar tidak pula berani sekali-kali, azab di akhirat dijadikan amaran kesayangan buat dirinya di dunia ini. Direbutnya setiap peluang membuat amal kebajikan, pantang melihat orang menghulur tangan pasti disambutnya. Itulah orang beragama yang bertauhidkan Yang Esa.
Pernah suatu ketika Syeikh Muhammad Abduh berkata; “Agama Islam itu tertutup buat orang Islam sendiri, Islam semakin jauh buat orang Islam itu sendiri kerana difahami secara dangkal*”
*belum faham atau belum mendalami dengan sebenar-benarnya.
Begitulah perjuangan hidup ini, hendak tidak perlu diselidiki dahulu akan ilmu yang dipelajarinya takut-takut pisau yang dipegang hari ini itulah yang membunuhnya di kemudian hari. Perlu didalami dan difahami akan maksud ilmu yang dipelajari. Jangan kita menjadi orang yang beramal tetapi amalan kita sesat. Jangan kita menjadi guru yang mengajar tetapi ajaran kita tahyul dan khurafat. Jangan kita menjadi penjual buah tetapi buah itu buah beracun yang bisa merosakkan hati dan sanubari. Biarlah kita menjadi orang beramal tetapi amalannya itulah memberatkan neraca akhirat kelak. Biarlah kita menjadi guru yang mengajar tetapi ajarannya itu tidaklah luput dek zaman kerana kebenarannya dan biarlah kita menjadi penjual buah tetapi buah itu akan sentiasa dinikmati kemanisannya oleh setiap pembelinya sehingga berkali-kali pula datang membeli lagi.
Catat Ulasan