بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.
Syair Sayid Abdullah bin Alwi Alhadad
Tetaplah teguh di hadapan gerbang pintu Tuhanmu,
Tetaplah teguh di hadapan gerbang pintu Tuhanmu,
Tinggalkanlah yang lain, dan memohonkan kepadanya selamat,
Dari negeri yang penuh fitnah ini,
Janganlah sempit dadamu, segala kejadian adalah kecil belaka.
Tuhan yang menentukan,
Dan alam berbagai ragam,
Jangan banyak dukacita,
Apa yang telah ditentukan, itulah yang terjadi.
“Kalau”, “Kenapa”, dan “ Betapa?”
Adalah cakap orang dungu,
Dia hendak merintangi Allah, dalam apa yang dia mahu,
Qadar dan taqdir, semuanya berlaku dengan sebenarnya,
Jangan banyak dukacita.
Apa yang ditentukan itulah yang terjadi.
Engkau dan semua makhluk, adalah hamba belaka.
Tuhan terhadap pada kita,
Berbuat sekehendak-Nya.
Duka dan murung, apalah faedahnya
Telah tertulis lebih dahulu, tenteramkanlah hatimu,
Jangan banyak dukacita,
Apa yang telah ditentukan itulah yang terjadi,
Yang untuk orang lain, tidaklah sampai kepadamu,
Apa yang untukmu, mestilah kamu capai.
Ingat saja Tuhanmu, dan terimalah bahagianmu.
Dalam mencari hakikat dan dalam memelihara syariat.
Jangan banyak dukacita,
Apa yang telah ditentukan,
Itulah yang terjadi.
Lenggok bahasanya sangat indah sehingga menyebabkan ramai yang mendengar syair ini pasti terpesona. Alunan serunai yang menjamah pendengaran sekalian manusia mengkagumkan. Dalam keenakan syair ini sebenarnya terselit pelbagai pesanan dan nasihat yang sangat bermakna buat kita semua.
Kita sering inginkan yang terbaik buat diri kita, sehingga satu masa melangkaui kemampuan dan kebatasan diri. Tidak pula difikirkan perihal orang lain. Samada sahabat atau keluarga atau juga yang awam. Nafsu mengalahkan iman maka kegagalan dikecapi, iman mengalahkan nafsu kejayaan digenggami.
Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (2:216)
Kesanggupan menerima dugaan dan cabaran dalam menjalani kehidupan adalah sukar untuk diterima buat sekalian manusia. Tidak ramai yang mengetahui bahawa ujian itu adalah tarbiyah buat dirinya. Tidak kurang juga kesulitan itu adalah penemannya di akhirat nanti. Keluhan demi keluhan dan keresahan sering kali bertakhta di bibir manusia. Benarlah firman-Nya:
Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur. (34:13)
Bukan benar atau tidak firmanNya menjadi persoalan kerana menjadi kewajipan seorang muslim itu mempercayai tanpa was-was setiap isi kandungan Quran. Sememangnya benar setiap firman di dalam Quran. Perasan atau tidak sebenarnya firman itu telah terkena pada kita, rakan-rakan, keluarga dan saudara kita. Jika firman yang terkena itu baik Alhamdulillah tetapi jika sebaliknya Nauzubillah.
Adakah kita membenarkan dengan rela untuk hati ini dibunuh dan diratah oleh serakah nafsu? Maka jadilah kita orang-orang yang rugi. Keyakinan terhadap Allah Sang Pencipta adalah yang Esa memberikan peneguhan dalam diri ini. Mula terbentuk hati yang bersih maka terbentuk jugalah peribadi yang mulia. Seringkali kita teralpa bahawa satu masa nanti akal akan bercerai dengan otak, hati akan berpisah dengan jiwa dan roh akan meninggalkan jasad. Tidak pulalah berharga senyum tawa melihat kezaliman dan tidak juga rugi tangis sedan menegakkan keadilan.
Badai, gersang, ribut dan taufan adalah teman sejati buat pejuang. Dilarikan diri ke dalam hutan, berjalannya di tepi pantai; adalah rutin buat manusia yang dahagakan ketenangan. Kicauan zikir tumbuhan serta lautan adalah pengubat dukacita.
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram. (13:28)
Hidup ini ibarat sebuah kain putih yang dicorakkan warna warni di atasnya dan setiap warna itu mempunyai tugas serta kelebihan tersendiri. Suka, duka, pahit, getir dan pelbagai lagi perasaan adalah mewakili warna warni itu. Itulah menjadi jalan hidup yang perlu ditempuhi setiap insan di dunia ini. Sekurang-kurangnya 17 kali dalam sehari kita ungkapkan; “Hanya engkaulah yang kami sembah, dan hanya Engkaulah kami mohon pertolongan” (1:5) tetapi masih lagi kita mengharapkan kepada ketidakpastian.
Sedang kita tawa di sini di hujung sana ada yang berduka. Tidak kisahkah kita melihat kedukaan mereka? Tidak terlintaskah di hati ingin membantu mereka? Senangkah diri kita duduk bersimpuh melihat kedukaan mereka? Hanya yang lebih hina daripada haiwan adalah rela membiarkan sebegitu rupa. Jadilah seorang yang siangnya menjadi pohon meredupkan dan malamnya menjadi bintang menghiaskan bumi. Tugas sebagai ahli bumi tidak pernah terhenti sehingga terhentinya sendiri dengan arahan penciptanya, maka teruskan setiap langkah dengan penuh kesabaran serta kecekalan. Keinginanku sangat tinggi; biarlah aku makan sedikit di perhentian kecil kelak aku akan makan banyak di perhentian besar.
Tuhanku, sesungguhnya engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takwil mimpi. (Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan muslim dan gabungkanlah aku dengan orang yang saleh. (12:101)
Catat Ulasan