Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Lir-ilir, lir-ilir,
tandure wis sumilir,
Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar,
Cah angon-cah angon penekno blimbing kuwi,
Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro,
Dodotiro-dodotiro kumitir bedhah ing pinggir,
Dondomono jlumatono kanggo sebo mengko sore,
Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane,
Yo surako… surak hiyo…

Terjemahan dalam Bahasa Melayu :

Bangun-bangun, bangun-bangun,
Tanam-tanaman sudah mulai bersemi,
Demikian menghijau bagaikan ghairah pengantin baru,
Anak-anak pengembala, tolong panjatkan pohon belimbing itu,
Walaupun licin tetap panjatlah untuk mencuci pakaian,
Pakaian-pakaian yang koyak disisihkan,
Jahitlah benangilah untuk menghadap nanti petang,
Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang,
Mari bersorak-sorak ayo....

Bagi yang berada di Samudera pasti sudah tidak asing lagi apabila kita mendengar istilah atau nama Wali Songo kerana mereka ini telah banyak memberikan sumbangan dalam keutuhan Islam bukan sahaja di sekitar Tanah Jawa bahkan pengaruhnya sampai ke Tanah Melayu. Bernama, Raden Said atau gelarannya Sunan Kalijaga adalah merupakan salah seorang daripada tokoh ilmuwan Islam di Tanah Jawa. Sebelum menjadi salah seorang daripada wali songo; Raden Said adalah merupakan seorang perompak, dimana hasil daripada rompakan itu akan diberikannya kepada fakir miskin. Selepas berjumpa dengan seorang guru agama iaitu Sonan Bunang, kehidupannya berubah, tidak menjadi seorang perompak malah telah menjadi seorang daie atau pendakwah.

Kesenian dan kebudayaan yang unik telah dipilih sebagai sarananya untuk berdakwah. Jiwanya yang berseni telah memberikan kelebihan kepadanya apabila beliau telah berjaya memasuki budaya orang Jawa yang ratanya pada ketika itu mengamalkan kepercayaan Hindu dengan membawa syiar Islam. Secara perlahan-perlahan beliau telah berjaya memautkan hati orang Jawa dengan agama Islam. Syair-syair yang dialunkan menerusi ketajaman lidahnya telah memecahkan setiap benteng tinggi yang ada dalam hati orang-orang Jawa pada zaman itu. Berhala yang dahulunya didirikan dan disembah telah ditukarkan kepada solat lima waktu sehari semalam yakni menyembah Allah. Antara syair yang sehingga hari ini masih lagi dilagukan di Indonesia adalah Lir-ilir atau Bangun-bangun dalam bahasa Melayu.

Syair ini terliput berbagai siratan yang perlu diselami, ibarat penyelam mutiara yang menyelam ke dasar laut yang penuh dengan hidupan.

Kita lihat baris demi baris; “Lir-ilir”, Sunan Kalijaga mengingatkan agar orang-orang Islam segera bangun dan bergerak atau erti kata lain hiduplah dengan sebenar-benar kehidupan. Bingkas, bangun daripada lena kejahilan kepada membicarakan soal kehidupan; apakah erti kehidupan, untuk siapakah kita hidup, mengapakah kita ada di dunia ini, kenapa terdapat perbezaan antara haiwan dan tumbuhan dengan manusia? Juga merenung akibat apakah akan diperolehi seketika diminta bangun selepas sangkakala berderu.

“Tandure wis sumilir”, saatnya telah tiba untuk umat Islam berdiri berteguh membetulkan baris barisan yang selama ini seperti ular menyusur di pokok. Setelah kejatuhan kerajaan Majapahit, inilah perjuangan yang bersesuaian waktunya untuk menegakkan semula Islam. Bagaikan tanaman yang telah siap dituai atau dipetik bermaksud telah menerima petunjuk dan ajaran  Islam dari para wali Allah dan dikaitkan dengan pengantin baru.  Pengantin baru yang dianggap usianya masih muda; adalah penggambaran usia muda yang penuh harapan, penuh potensi, dan siap untuk berkarya.

“Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar”, kehijauan atau hijau adalah simbol warna kejayaan Islam, dan agama Islam digambarkan seperti pengantin baru yang akan menarik hati sesiapapun yang melihatnya dan membawa kebahagiaan bagi orang-orang sekitarnya samada Islam atau bukan. Ada juga berpendapat bahawa sinar baru buat Raja mereka apabila Baginda memeluk agama Islam.

“Setiap manusia adalah pengembala, dan setiap pengembala bertanggungjawab atas gembalaannya” itulah pesan Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Maka jika ditafsirkan yang disebut gembala dalam syair di atas adalah para pemimpin. Dan belimbing adalah buah yang berwarna hijau dan bersegi lima atau berbentuk bintang, yang merupakan simbolik kepada lima rukun Islam dan solat lima waktu. Para pemimpin diperintahkan oleh Sunan Kalijaga untuk memberi contoh kepada rakyatnya dengan menjalankan ajaran Islam secara benar iaitu dengan menjalankan lima rukun Islam dan solat lima waktu. Keseluruhan hukum Islam itu perlulah diikuti dan dilaksanakan bukan hanya mengikuti separuh atau yang bersesuaian dengan kehendak nafsu si pemerintah.

“Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro”, dodot adalah sejenis kain kebesaran orang  Jawa yang hanya digunakan dalam upacara-upacara atau keraian penting dan pada zaman dahulu belimbing sering digunakan sebagai pencuci kain kerana kandungan asamnya sangat membantu dalam untuk merawat dan mengawet kain batik supaya tetap warnanya. Dengan kalimat ini Sunan Kalijaga memerintahkan orang Islam untuk tetap berusaha menjalankan lima rukun Islam dan solat lima waktu walaupun banyak rintangannya yakni licin jalannya. Ancaman itu pasti buat semua hidupan di dunia; rusa berkejaran dengan harimau, pokok diancam kemaluan hujan, dan manusia diancam kehasadengkian. Setiapnya mempunyai ancaman tersendiri dan wajiblah bagi yang bergelar insan untuk berusaha melolosi setiap ancaman itu agar dapat mengisi bekal yang kosong. Semua itu diperlukan untuk menjaga kehidupan beragama mereka. Jika haiwan mempunyai bulu, kereta mempunyai tubuh keluli dan bangunan mempunyai konkrit, semua itu adalah pakaian kepada setiap yang disebutkan tadi. Jadi, tidak terkecuali bagi jiwa kerana ianya turut mempunyai pakaian yakni agama.

Defisit yang dialami oleh saham jiwa menyebabkan berlakunya kemerosotan moral dan ramai orang meninggalkan agama mereka sehingga  kehidupan beragama mereka digambarkan seperti pakaian yang telah rosak dan robek. Imam Al-Kindi telah berpesan dalam kitab Lamiyah ibnil Wardi iaitu “Usah dikenang hari-hari kejahilanmu kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah malap”. Pesanan ini menunjukkan agar kita meninggalkan segala kejahilan itu dan usah kita kenang kerana ianya bisa mengecewakan dan mengganggu jiwa yang ingin dibersihkan. Koyakkan baju-baju yang telah robek itu dan campakkan ke dalam tong sampah. Pakailah baju-baju yang bersih lagi putih ibarat sesuci dilahirkan.

“Seba” ertinya menghadap orang yang berkuasa atau raja, Sunan memerintahkan agar  orang-orang Islam memperbaiki kehidupan beragamanya yang telah rosak tadi dengan cara menjalankan ajaran agama Islam secara benar, untuk bekal menghadap Allah swt di hari nanti. Dalam falsafah belimbing terdapat lima cabang dan lima itu juga merujuk kepada rukun Iman yang kelima iaitu beriman kepada hari akhirat. Percaya akan dibangkitkan semula sesudah kematian memerlukan usaha menuju ke arah kematian. Saban saat kita semakin dekat dengan kematian dan semakin dekat dengan akhirat. Sebuah pasukan bola sepak berhasrat untuk menjuarai sebuah kejohanan yang dimasukinya, adakah bisa mereka memenangi kejohanan itu tanpa berlatih atau bersusah payah sebelum kejohanan itu? Pasti tidak. Begitu jugalah manusia adakah kita akan mendapat kebahagiaan di akhirat jika kita tidak membuat persediaan di dunia. Firman Allah dalam surah Al-An’am :

Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti? (6:32)

“Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane”, selagi masih banyak waktu, selagi masih banyak kesempatan, perbaikilah kehidupan beragamamu dan bertaubatlah. Itulah maksudnya akan “Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang”, berkali-kali kita diingatkan agar bersegera bertaubat supaya kita diampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Walaupun berkali-kali telah diingatkan tetapi Sunan Kalijaga terus mengingatkan kepada kita dengan tidak jemu kerana pentingnya mendapatkan maghfirah Allah swt.

Akhir sekali kita disapa oleh Sunan Kalijaga agar bergembiralah bersorak di akhir kehidupan kita semoga kalian mendapat anugerah  dari Tuhan. Disaatnya nanti apabila datang panggilan dari Yang Maha Kuasa, sepatutnya bagi mereka yang telah menjaga kehidupan beragamanya dengan baik akan menjawab panggilan tersebut dengan gembira. Bersorak jugalah bagi siapa yang telah menjaga dengan sebaik-baik agamanya maka tidak ada keraguan bahawa di akhirat nanti agamanya itulah akan menyelamatkannya daripada kemurkaan Allah swt.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai. (12:9)

 Bagi orang-orang yang berusaha untuk menjaga agama Allah tidak lain tidak bukan kejayaanlah yang didapatinya walaupun tidak di dunia tetapi pasti di akhirat. InsyaAllah. Ayuh; Lir-Ilir, Lir-Ilir!!!






Ads 468x60px

Featured Posts