Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Serbuan yang berlaku pada 3 Ogos 2011 lepas adalah merupakan satu perkara yang sangat menyentuh sensitiviti keagamaan di negara Malaysia ini. Saya mempunyai pendapat yang kurang setuju dengan serbuan yang dilakukan. Ini kerana pada pendapat saya, terdapat hak kebebasan dalam untuk melaksanakan dakwah terhadap agama masing-masing. Tidak kira agama hindu, buddha, kristian dan agama apa sekalipun mereka mempunyai hak untuk berdakwah.

Gereja yang menjadi sasaran juga adalah merupakan tindakan yang kurang bijak kerana ianya secara tidak langsung telah menjatuhkan air muka Islam itu sendiri. Saya melihat di kebanyakkan negara Islam mereka tidak meredhai orang yang bukan Islam itu untuk memegang, melihat atau menggunakan Al-Quran, perkara ini menyebabkan orang bukan Islam itu tidak tahu apakah isu kandungannya. Bagaimana kita hendak mengimani sesuatu sedangkan kita tidak tahu apakah yang ada di dalamnya.


“The majority of muslims do not allowed the people who are not yet Muslim even touch the Quran. How we can read the Quran if you are not given an oppurtunity even touch the Quran.” (Hussain Yee)

Kita sibuk memperkatakan kristian melakukan dakwah kepada orang Islam di negara ini, tetapi adakah kita sendiri beriman sebenar-benar iman dengan agama Islam itu sendiri? Saya percaya jika pada hari ini di tanya untuk mengaji Al-quran pun masih ramai lagi umat-umat Islam di Malaysia ini tidak mampu dan tergagap. Kegagalan umat Islam untuk berdakwah kepada sesama umatnya sendiri adalah punca berlaku murtad. Kegagalan mendidik keluarganya sendiri juga adalah punca kepada berlakunya perpecahan keluarga, masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Juga kegagalan sistem pendidikan dalam negara Malaysia untuk membentuk peribadi Muslim yang bertaqwa kerana menggunakan sistem sekular.

Tindakan membebani umat agama lain terhadap masalah yang berlaku kepada agama Islam itu secara keseluruhannya adalah tidak adil kerana mereka mempunyai kepercayaan mereka sendiri dan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan serta berdakwah kepada orang yang bukan agama mereka. Cuba kita renung di Malaysia ini, jika berlaku perkara-perkara seperti dakwah terhadap penganut agama lain; Islam boleh laksanakan tetapi tidak untuk agama lain. Apakah ini akan menarik minat dan memberikan kelebihan kepada umat Islam? Sebenarnya jika dilihat secara mendalam, tindakan ini adalah liabiliti kepada Islam itu sendiri kerana tindakan ini tidak adil. Islam boleh berdakwah kepada agama lain tetapi agama lain tidak boleh berdakwah kepada Islam. Ini adalah perkara yang menyebabkan agama lain memandang bahawa Islam itu adalah tidak adil dan berat sebelah serta Double Standard.


Buka fikiran kita; cuba kita membenarkan dakwah mereka dilaksanakan, pada masa yang sama kita juga berdakwah, kebajikan rakyat dijaga, Al-Quran dan Sunnah diterapkan dalam setiap hati muslim, dan sebagai pemimpin perlu memerintah dengan adil dan saksama. Jika perkara ini semua dilaksanakan dengan baik, adakah umat Islam pada hari ini akan pergi kepada agama lain? Pasti tidak dan bahkan mereka yang berdakwah kepada umat Islam pasti pelik mengapa sungguh kuat pegangan umat Islam ini terhadap agamanya. Apakah rahsia Islam itu? Secara tidak langsung mereka akan berusaha untuk merungkai rahsia itu dan pasti mereka pula akan teruja akan keindahan rahsia Islam itu.

Selidiki semula sirah Umar ibn Khattab, suis hati beliau dipetik oleh Allah swt untuk memeluk Islam apabila membaca surah Taha ayat 1-5. Ketika beliau membaca ayat-ayat Al-Quran itulah maka barulah hati beliau diterangi dengan lampu Islam. Mengapa tidak kita ambil ikthibar daripada sirah ini untuk berdakwah samada kepada orang agama Islam mahupun bukan Islam. Perkara yang paling penting adalah memasakkan dalam diri setiap umat Islam itu dengan Al-Quran dan hadis maka insya-Allah jika selepas itu datangnya dakwah daripada agama lain yang menyekutukan Allah pasti tidak akan terdetik sedikit pun untuk mempercayai kata-kata mereka.

Islam itu mudah, Islam itu cantik, dan Islam itu sempurna tetapi umat Islam itu susah, umat Islam itu hodoh dan umat Islam itu tidak sempurna. Sibuk bercerita keburukan orang lain tetapi terlupa rupanya keburukkan diri sendiri lebih banyak. Itulah hakikat umat Islam di Malaysia ini.

Umat Islam, terasa agama ini adalah hak mereka sahaja tetapi sebenarnya adalah hak orang bukan Islam juga kerana telah Allah turunkan agama Islam ini untuk sekalian umat manusia di dunia, bukan semata-mata umat Islam. Rahmatallil ‘alamin (rahmat sekalian alam) bermaksud Islam itu memayungi keseluruhan alam tidak kira apa jua bangsa dan agama. Adakah pemimpin di malaysia ini berjaya membawa umat bukan Islam di bawah naungan keadilan dan berkebajikan? Sehingga ke hari ini masih ada lagi rakyat yang tidak terbela nasib mereka, bantuan kepada mereka tidak dihulurkan. Di Sabah dan Sarawak rakyat mereka masih lagi berada dalam keadaan kemunduran. Sekolah beratapkan daun kelapa dan belantaikan buluh, tiada tandas yang ada hanya tandas di sungai dan semak, dan bekalan elektrik yang hanya menggunakan generator. Pemimpin terus menerus mendapat kekayaan tetapi rakyat di pendalaman terus menerus mendapat kemiskinan. 


Terakhirnya, saya hendak berpesan kepada diri sendiri dan sahabat semua, kita perlu untuk menjiwai Islam itu sendiri, fahami sedalam-dalamnya. Kemudian, kita keluar daripada kepompong bahawa Islam itu bukanlah semata-mata hak Islam tetapi adalah hak semua tetapi perlulah diawasi supaya tidak menjadi bahan mainan. Perlu dibezakan antara kesungguhan dan permainan. Jika kesungguhan seperti Umar ibn Khattab hendak mempelajari Islam adakah kita berhak menidakkan hak Islam untuk mereka? Jangan menjadi tamak untuk agama sehingga menjadi musuh kepada agama.

Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku. (109:1-6)

Jangan dipersalahkan agama lain tetapi perbaikilah umat Islam itu sendiri kerana jika pasakan iman telah berada dalam hati sanubari mukmin itu pasti ianya akan menjadi pegangan dan panduan dalam perjuangan hidup ini.

Wallahualam.


Ads 468x60px

Featured Posts