Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Dingin subuh berseru; bangunlah penghuni bumi!!!. Membuka mata untuk seketika, kemudian kita menarik nafas, Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Allah Maha Besar, kita masih berpeluang untuk pulang ke rumah sementara; jasad. Bingkas mengorak langkah menunaikan kewajipan tatkala kepala masih kebingungan.

Selamat sejahtera kepadaMu,

Sejasad duduk bersandar di sebuah kerusi, memejamkan mata untuk merenung kegiatan semalam, menjiwai kelakuan semalam. Kosong...Kosong...langsung tidak terasa apa-apa. Bagaimana mahu menggambarkan jiwa. Jiwa menjerit, Arghhhhh!!!!!...“Ke mana semua orang?”...“Di mana kamu sewaktu diperlukan?”...Apakah kamu tidak dapat merasai apa yang saya rasai ketika ini”...

Mengapa semua ini terjadi?”... “Bilakah ianya akan berakhir”... “Penghabisan ini menyeronokkan atau sebaliknya?”...terlalu banyak persoalan yang timbul walaupun hanya seketika bersandar di kerusi. Wajah tidak mampu memainkan peranannya dengan baik, apabila wajah sendiri tidak tahu mereaksikan perasaan itu.

Duduk di dalam gelap sebentar, “Moga-moga hati ini tenang”. Ternyata gelap tidak mampu mengubah rasa ini. “Apakah perasaan ini?”...“Mengapa seperti tidak kelihatan akan panca indera ini?”...“Tunggu matahari bangun tidur kejaplah, pasti dia boleh membantu?”... “Pasti dia ada jawapan mengapa”...Meleset, ternyata cerah juga tidak mampu membantu.

Hati seperti kunci kepada semangat, jika hati itu kosong bagaimana mahu bersemangat.  Kadang-kadang hati dikawal oleh nafsu, setiap pergerakkan tangan, kaki, mulut diaturkan oleh hati yang dikawal oleh nafsu. “Hahahahahaha....bodoh.....bodoh.....”...Hati adalah kayu yang jika dibakar unggunnya akan memarak bersemangat, jika dibasahi hujan dingin menangisi.

Manisnya senyumanmu, mengapa dikau mampu tersenyum?”...“Sungguh beruntung ramai yang bersama dikau”... “ Semua sayangkan dikau, tidak seperti diri ini”...”Picisan...Arghhh...”...Cemburu ada baiknya ada buruknya, hati juga berperanan memandu cemburu itu. Jangan membiarkan hati menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya oleh nafsu.

“Mampukah aku tersenyum seperti dikau?”...“Kepada siapakah ingin aku mengadu, sudah terlalu lama menahan dan sudah tidak mampu lagi”...“Hati terlalu gersang inginkan air zamzam untuk dimandikan”...Tangisan hanya menjadikan lebih parah, perlu mencari sesuatu untuk membenarkan segala yang benar dan menyalahkan segala yang salah bukan sebaliknya.

Cukuplah, hari semakin senja, saya tidak mahu kesejukkan di malam hari”... “Hati ini terlalu lemah berbanding hambaMu yang sebenar”...“Sudah terlalu lama gersang kekeringan hati ini”...“Tidak lain hanya Kaulah yang mampu membantu”...Melabuhkan tengkuk di bantal, hati masih tidak tenteram dan kosong. Mengapa hati ini bisa membuatkan seseorang itu termenung berpanjangan?

Terlelap, selepas seketika, buaian mimpi beralun, berjalan ke arah sebuah rumah usang yang kedengaran sayup-sayup suara ketenangan. “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingat Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”...Tatkala suara bertemu dengan hati mereka saling memandang. Eh, perasaan apakah ini?”... “Tenangnya saya rasa”...“ Seperti berada di awangan yang dikelilingi bidadari”...

Semakin dekat melangkah semakin tenang rasanya. “Inilah yang saya cari selama ini, ketenangan hati dan jiwa”...Sedang menuju ke dalam rumah itu tiba-tiba terjatuh tetapi langkahan tetap dikayuh, seakan-akan tidak dirasai lagi kekosongan semalam.  Setibanya dalam rumah yang kelihatan hanya seorang lelaki tua, berjubah dan berserban putih sedang tersenyum, sedang dikelilingi itu terdapat cahaya putih yang terlalu cerah seperti datang ke arahnya.

Tersentak, panggilan subuh kedengaran, “Astaghfirullah apa yang telah saya lakukan selama ini”... “Bagaimana hendak tenang jika saya jauh dariMu”...“Maafkan saya kerana terlupa dengan pesanMu semalam”...Hanya tangisan mampu dilakukan tetapi rupanya kadang-kadang tangisan itu menjadi senjata manusia di dunia dan pelurunya walaupun ditembak berjuta kali tetap tidak akan mencederakan tetapi semakin menyembuhkan.

Setiap titisan tidak sia-sia lagi, kali ini air mata menghantar tetamunya pulang buat selamanya; dosa. “Maha Suci Tuhan yang Maha Pengampun”...


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Duta Pro-Mahasiswa UPM

Disebabkan terdapat permintaan daripada adik-adik junior supaya menerangkan berkenaan apakah itu Pro-Mahasiswa, insyaAllah akan saya cuba huraikan. Ini adalah pendapat individu seorang mahasiswa yang telah melihat persekitaran kampus dan cuba menterjemahkan dalam tulisan. Penulisan ini juga berniat supaya adik-adik mendapat gambaran awal terhadap apakah itu sebenarnya Pro-Mahasiswa. Pro-Mahasiswa atau Gabungan Mahasiswa secara amnya daripada pendapat saya adalah sebuah persatuan yang memperjuangkan hak kebebasan mahasiswa di kampus. Persatuan ini telah berjaya menyusup hampir ke semua kampus di negara ini.

Penerangan awal, berkenaan penulisan ini terlebih dahulu saya hanya ingin menerangkan apakah itu Pro-Mahasiswa secara umum. Tidak ada niat untuk menjatuhkan atau memburuk-burukkan mana-mana pihak. Sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat bahawa kita haruslah mempunyai identiti dan pendirian yang tersendiri, kita jangan membiarkan tangan-tangan ghaib mengawal atau mencaturkan perjalanan kita di kampus bahkan sebenarnya kitalah yang berhak untuk mengawal atau mencaturkan perjalanan kita sendiri.

Umur meningkat dewasa, jiwa memberontak dengan bijaksana, itulah mahasiswa. Idealisme untuk membela nasib negara yang tercinta. Pro-Mahasiswa merupakan satu rentetan pertubuhan yang bergerak di atas kaki mahasiswa sendiri tanpa campur tangan daripada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) atau mana-mana pihak lain. Segala aktiviti dilakukan secara berdikari dengan mengambil kira suara mahasiswa. Sejarah gerakan mahasiswa sudah terhasil sejak awal 70an lagi. Niat yang murni untuk menjaga kebajikan mahasiswa secara khususnya dan rakyat negara amnya, adalah agenda dan gagasan yang digendong oleh mereka. Mengelakkan daripada kesalahan maklumat buat pembaca, suka untuk saya nyatakan sekali lagi bahawa, Pro-Mahasiswa bukanlah semata-mata sebuah persatuan yang berbaur kepartian mahasiswa tetapi lebih kepada wawasan, idealisme mahasiswa, dan masa depan negara ini.


Saya hanya memberikan gambaran awal kerana saya fikir ini adalah bahan bacaan yang menjadi titik tolak kepada pembaca untuk terus mencari dan mengenali apakah sebenarnya Pro-Mahasiswa. Apabila disebut Pro-Mahasiswa, masyarakat kampus ada yang memandang serong dan tidak kurang juga yang memandang lurus. Ada yang bersetuju dan ada sebaliknya. Itu lumrah dalam kehidupan di dunia ini tetapi usaha yang dilaksanakan oleh Pro-Mahasiswa untuk membebaskan cengkaman ideologi politik pihak tertentu di kampus wajar kita hargai. Pilihan raya kampus, sekian lamanya telah dicatur oleh orang-orang yang terpelajar dan berkepentingan iaitu orang yang mempunyai jawatan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar. 

Saya tidak mahu memburuk-burukkan BHEP tetapi itulah hakikat hampir di semua kampus yang rata-rata pegawai atasan mereka memikul agenda kerajaan untuk memastikan mereka terus berkuasa. Bagi pembaca yang kurang faham apakah kaitan antara politik kampus dan politik negara mari kita sama-sama renung dan fikirkan, untuk 15-30 tahun akan datang siapakah yang akan menjadi pemimpin negara, adakah masih Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnaya? Pasti tidak, dan pasti pemimpin yang memacu negara pada masa akan datang, adalah daripada kalangan anak-anak muda yang mungkin pada hari ini adalah mahasiswa.

Kegagalan mahasiswa mengambil tahu akan persekitaran kampus adalah langkah pertama berlakunya kejatuhan empayar negara ini. Justeru, sebagai mahasiswa yang mempunyai wawasan dan pendirian pasti kita tidak akan membiarkan negara kita pada masa hadapan diperintah oleh golongan yang hanya hidungnya diikat dan ditarik oleh pihak-pihak tertentu.


Pejuang kebebasan mahasiswa ini saban tahun akan menghantar wakil mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kampus untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar di setiap kampus. Kemelut perbahasan akan diterjemahkan dalam pilihan raya kampus, di sini kita akan melihat tingkah laku sebenar BHEP. Politik kampus juga mengajak kita agar lebih berfikiran matang dan bukan hanya menjadi mahasiswa ulat buku semata-mata.

Persatuan Mahasiswa UKM 2011/2012 (Diterajui oleh Gabungan Mahasiswa UKM)
Agenda dan objektif Pro-Mahasiswa disesuaikan mengikut persekitaran kampus, tetapi pada dasarnya agenda dan objektif itu dibentuk adalah berlandaskan kebajikan mahasiswa. Maka, saya menyeru agar semua pembaca apabila masuk ke kampus cuba mengenali dengan lebih mendalam apakah itu Pro-Mahasiswa. Mendengar tanpa melihat aksi sebenar di kampus pasti tidak mendapat pemahaman yang mencukupi.

Majlis Perwakilan Pelajar UM (diterajui oleh Pro-Mahasiswa UM)
Tambahan, di kampus Pro-Mahasiswa tidak berseorangan tetapi masih ada beberapa persatuan atau pertubuhan lain yang bersama-sama dengan Pro-Mahasiswa. Contohnya, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Malaysian Youth and Student Democratic Movement (Dema), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan beberapa lagi yang lain.  

Kesimpulannya, Pro-Mahasiswa adalah sebuah gerakan yang membawa gagasan buat mahasiswa dan rakyat negara bukan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang merasakan kuasa adalah milik hakiki mereka. Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan penulisan ini, saya tidak minta untuk anda bersetuju tetapi cukup dengan menghormati pendirian orang lain dan jadilah seorang yang berani untuk bersemuka atau bertanding dengan profesional. STUDENT POWER!!!






Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Lir-ilir, lir-ilir,
tandure wis sumilir,
Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar,
Cah angon-cah angon penekno blimbing kuwi,
Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro,
Dodotiro-dodotiro kumitir bedhah ing pinggir,
Dondomono jlumatono kanggo sebo mengko sore,
Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane,
Yo surako… surak hiyo…

Terjemahan dalam Bahasa Melayu :

Bangun-bangun, bangun-bangun,
Tanam-tanaman sudah mulai bersemi,
Demikian menghijau bagaikan ghairah pengantin baru,
Anak-anak pengembala, tolong panjatkan pohon belimbing itu,
Walaupun licin tetap panjatlah untuk mencuci pakaian,
Pakaian-pakaian yang koyak disisihkan,
Jahitlah benangilah untuk menghadap nanti petang,
Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang,
Mari bersorak-sorak ayo....

Bagi yang berada di Samudera pasti sudah tidak asing lagi apabila kita mendengar istilah atau nama Wali Songo kerana mereka ini telah banyak memberikan sumbangan dalam keutuhan Islam bukan sahaja di sekitar Tanah Jawa bahkan pengaruhnya sampai ke Tanah Melayu. Bernama, Raden Said atau gelarannya Sunan Kalijaga adalah merupakan salah seorang daripada tokoh ilmuwan Islam di Tanah Jawa. Sebelum menjadi salah seorang daripada wali songo; Raden Said adalah merupakan seorang perompak, dimana hasil daripada rompakan itu akan diberikannya kepada fakir miskin. Selepas berjumpa dengan seorang guru agama iaitu Sonan Bunang, kehidupannya berubah, tidak menjadi seorang perompak malah telah menjadi seorang daie atau pendakwah.

Kesenian dan kebudayaan yang unik telah dipilih sebagai sarananya untuk berdakwah. Jiwanya yang berseni telah memberikan kelebihan kepadanya apabila beliau telah berjaya memasuki budaya orang Jawa yang ratanya pada ketika itu mengamalkan kepercayaan Hindu dengan membawa syiar Islam. Secara perlahan-perlahan beliau telah berjaya memautkan hati orang Jawa dengan agama Islam. Syair-syair yang dialunkan menerusi ketajaman lidahnya telah memecahkan setiap benteng tinggi yang ada dalam hati orang-orang Jawa pada zaman itu. Berhala yang dahulunya didirikan dan disembah telah ditukarkan kepada solat lima waktu sehari semalam yakni menyembah Allah. Antara syair yang sehingga hari ini masih lagi dilagukan di Indonesia adalah Lir-ilir atau Bangun-bangun dalam bahasa Melayu.

Syair ini terliput berbagai siratan yang perlu diselami, ibarat penyelam mutiara yang menyelam ke dasar laut yang penuh dengan hidupan.

Kita lihat baris demi baris; “Lir-ilir”, Sunan Kalijaga mengingatkan agar orang-orang Islam segera bangun dan bergerak atau erti kata lain hiduplah dengan sebenar-benar kehidupan. Bingkas, bangun daripada lena kejahilan kepada membicarakan soal kehidupan; apakah erti kehidupan, untuk siapakah kita hidup, mengapakah kita ada di dunia ini, kenapa terdapat perbezaan antara haiwan dan tumbuhan dengan manusia? Juga merenung akibat apakah akan diperolehi seketika diminta bangun selepas sangkakala berderu.

“Tandure wis sumilir”, saatnya telah tiba untuk umat Islam berdiri berteguh membetulkan baris barisan yang selama ini seperti ular menyusur di pokok. Setelah kejatuhan kerajaan Majapahit, inilah perjuangan yang bersesuaian waktunya untuk menegakkan semula Islam. Bagaikan tanaman yang telah siap dituai atau dipetik bermaksud telah menerima petunjuk dan ajaran  Islam dari para wali Allah dan dikaitkan dengan pengantin baru.  Pengantin baru yang dianggap usianya masih muda; adalah penggambaran usia muda yang penuh harapan, penuh potensi, dan siap untuk berkarya.

“Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar”, kehijauan atau hijau adalah simbol warna kejayaan Islam, dan agama Islam digambarkan seperti pengantin baru yang akan menarik hati sesiapapun yang melihatnya dan membawa kebahagiaan bagi orang-orang sekitarnya samada Islam atau bukan. Ada juga berpendapat bahawa sinar baru buat Raja mereka apabila Baginda memeluk agama Islam.

“Setiap manusia adalah pengembala, dan setiap pengembala bertanggungjawab atas gembalaannya” itulah pesan Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Maka jika ditafsirkan yang disebut gembala dalam syair di atas adalah para pemimpin. Dan belimbing adalah buah yang berwarna hijau dan bersegi lima atau berbentuk bintang, yang merupakan simbolik kepada lima rukun Islam dan solat lima waktu. Para pemimpin diperintahkan oleh Sunan Kalijaga untuk memberi contoh kepada rakyatnya dengan menjalankan ajaran Islam secara benar iaitu dengan menjalankan lima rukun Islam dan solat lima waktu. Keseluruhan hukum Islam itu perlulah diikuti dan dilaksanakan bukan hanya mengikuti separuh atau yang bersesuaian dengan kehendak nafsu si pemerintah.

“Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro”, dodot adalah sejenis kain kebesaran orang  Jawa yang hanya digunakan dalam upacara-upacara atau keraian penting dan pada zaman dahulu belimbing sering digunakan sebagai pencuci kain kerana kandungan asamnya sangat membantu dalam untuk merawat dan mengawet kain batik supaya tetap warnanya. Dengan kalimat ini Sunan Kalijaga memerintahkan orang Islam untuk tetap berusaha menjalankan lima rukun Islam dan solat lima waktu walaupun banyak rintangannya yakni licin jalannya. Ancaman itu pasti buat semua hidupan di dunia; rusa berkejaran dengan harimau, pokok diancam kemaluan hujan, dan manusia diancam kehasadengkian. Setiapnya mempunyai ancaman tersendiri dan wajiblah bagi yang bergelar insan untuk berusaha melolosi setiap ancaman itu agar dapat mengisi bekal yang kosong. Semua itu diperlukan untuk menjaga kehidupan beragama mereka. Jika haiwan mempunyai bulu, kereta mempunyai tubuh keluli dan bangunan mempunyai konkrit, semua itu adalah pakaian kepada setiap yang disebutkan tadi. Jadi, tidak terkecuali bagi jiwa kerana ianya turut mempunyai pakaian yakni agama.

Defisit yang dialami oleh saham jiwa menyebabkan berlakunya kemerosotan moral dan ramai orang meninggalkan agama mereka sehingga  kehidupan beragama mereka digambarkan seperti pakaian yang telah rosak dan robek. Imam Al-Kindi telah berpesan dalam kitab Lamiyah ibnil Wardi iaitu “Usah dikenang hari-hari kejahilanmu kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah malap”. Pesanan ini menunjukkan agar kita meninggalkan segala kejahilan itu dan usah kita kenang kerana ianya bisa mengecewakan dan mengganggu jiwa yang ingin dibersihkan. Koyakkan baju-baju yang telah robek itu dan campakkan ke dalam tong sampah. Pakailah baju-baju yang bersih lagi putih ibarat sesuci dilahirkan.

“Seba” ertinya menghadap orang yang berkuasa atau raja, Sunan memerintahkan agar  orang-orang Islam memperbaiki kehidupan beragamanya yang telah rosak tadi dengan cara menjalankan ajaran agama Islam secara benar, untuk bekal menghadap Allah swt di hari nanti. Dalam falsafah belimbing terdapat lima cabang dan lima itu juga merujuk kepada rukun Iman yang kelima iaitu beriman kepada hari akhirat. Percaya akan dibangkitkan semula sesudah kematian memerlukan usaha menuju ke arah kematian. Saban saat kita semakin dekat dengan kematian dan semakin dekat dengan akhirat. Sebuah pasukan bola sepak berhasrat untuk menjuarai sebuah kejohanan yang dimasukinya, adakah bisa mereka memenangi kejohanan itu tanpa berlatih atau bersusah payah sebelum kejohanan itu? Pasti tidak. Begitu jugalah manusia adakah kita akan mendapat kebahagiaan di akhirat jika kita tidak membuat persediaan di dunia. Firman Allah dalam surah Al-An’am :

Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti? (6:32)

“Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane”, selagi masih banyak waktu, selagi masih banyak kesempatan, perbaikilah kehidupan beragamamu dan bertaubatlah. Itulah maksudnya akan “Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang”, berkali-kali kita diingatkan agar bersegera bertaubat supaya kita diampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Walaupun berkali-kali telah diingatkan tetapi Sunan Kalijaga terus mengingatkan kepada kita dengan tidak jemu kerana pentingnya mendapatkan maghfirah Allah swt.

Akhir sekali kita disapa oleh Sunan Kalijaga agar bergembiralah bersorak di akhir kehidupan kita semoga kalian mendapat anugerah  dari Tuhan. Disaatnya nanti apabila datang panggilan dari Yang Maha Kuasa, sepatutnya bagi mereka yang telah menjaga kehidupan beragamanya dengan baik akan menjawab panggilan tersebut dengan gembira. Bersorak jugalah bagi siapa yang telah menjaga dengan sebaik-baik agamanya maka tidak ada keraguan bahawa di akhirat nanti agamanya itulah akan menyelamatkannya daripada kemurkaan Allah swt.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai. (12:9)

 Bagi orang-orang yang berusaha untuk menjaga agama Allah tidak lain tidak bukan kejayaanlah yang didapatinya walaupun tidak di dunia tetapi pasti di akhirat. InsyaAllah. Ayuh; Lir-Ilir, Lir-Ilir!!!






 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


Mengembara mencari ilmu itu merupakan tradisi para ulama sepanjang zaman. Mereka rela mengorbankan segala kerehatan dan keselesaan demi mencapai ilmu yang diidamkan-idamkan. Mereka sabar meninggalkan keluarga di kampung untuk mengembara di negeri orang kerana mahu mendapatkan ilmu. Setelah dada mereka penuh dengan ilmu, baru mereka balik ke kampung, untuk melanjutkan perjuangan dengan membimbing masyarakat dan memimpin mereka ke jalan Allah.

“Kegemaranmu tinggal di kampung merupakan satu kelemahan yang ketara. Oleh itu pergilah merantau mencari ilmu yang pasti kau temukan ganti dari keluarga yang ditinggalkan. Air yang tenang itu akan menjadi busuk. Begitu pula seandainya anak bulan itu tidak berjalan, maka sudah tentu ai tidak akan menjadi purnama.” (Al-Kindi)

Kenapa seorang pelajar itu perlu mengembara mencari ilmu? Ia perlu mengembara kerana menghilangkan rasajemu dan jenuh duduk di kampung dan untuk mendapat suasana yang berbeza dari apa yang dilihatnya di kampungnya sendiri, dan supaya kurang gangguan dengan sebab banyaknya orang yang dikenali. Maka ketika ia berada di negeri orang maka ia akan dapat memberikan penumpuan pada ilmu yang dipelajarinya, selain dari wujudnya persaingan dari berbagai-bagai tempat, bagi membuktikan keunggulan dan martabat masing-masing negeri yang diwakili.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). (96:1)

Ayat yang pertama turun ketika Rasulullah bersendirian di dalam gua Hira’ adalah berkenaan dengan bacaan. Bacaan adalah salah seorang anak kepada ilmu. Telah menjadi kewajipan setiap daripada anak Adam untuk menuntut ilmu. Pergi kau menimba pengalaman dan pengajaran di negeri orang. Bertahun kau duduk di kampung meneliti gelagat orang yang sama sehingga engkau hampir gila. Katak di bawah tempurung hanya akan merugikan engkau, walaupun dapat bersembunyi daripada panas terik dan hujan badai tetapi ia tidak berkembang tetap dungu sebegitu. Jika semalam dia tahu mengira daripada satu sehingga sepuluh, hari ini dia juga hanya tahu mengira satu hingga sepuluh, dan esok serta hari-hari seterusnya begitulah dia tidak berkembang.

Luka, sakit, lecet adalah biasa ketika kau meredah hutan. Walaupun kadang-kadang kau tidak mampu untuk mengubati kecedaraan kau itu usah kau pedulikan kerana ianya pasti terubat sendiri. Orang lain yang membantu tidak merasakan apa yang kau rasakan, kau tetap diri kau. Keaiban kau hanya kau yang tahu. Kelebihan kau hanya kau yang tahu. Dalam erti kata lain kau lebih mengetahui diri kau berbanding dari orang lain mengetahui diri kau. Jika kau terjatuh semasa memanjat pokok jangan kau takut untuk panjat pokok itu lagi. Jika kau tergelincir ketika meyusuri gaung jangan kau gentar untuk menyusurinya lagi. Kau akan datang adalah apa yang kau buat pada hari ini.

Semalam adalah kenangan, hari ini adalah perjuangan, esok adalah pengharapan, dan lusa adalah kejayaan.

Catur dan corakkan perjalanan kau pada hari ini untuk menuntuk ilmu, kelak kau pasti tersenyum pada sinaran mentari setelah kau bersedih di kala hujan badai. "Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek". Jika musuh sanggup kita jejaki sehingga ke liang cacing, jadi mengapa tidak ilmu? Jejakilah ia selagi mana kita mampu.




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


 “Sekali-sekali tinggalkanlah orang yang kau kasihi, dan sekali-sekali datanglah berkunjung ke rumah sahabat, nescaya bertambah kecintaan sesama kamu. Maka barang siapa yang tidak pernah meninggalkan kekasihnya atau terlalu kerap datang berziarah ke rumah sahabatnya maka yang demikian itu akan menjemukan.”

Sekali-sekali menghilanglah dari orang yang kau kasihi, sekali-sekali tinggalkanlah isteri yang tercinta, bukan kerana marah atau benci tetapi kerana ada suatu tugas di tempat lain. Apabila ini kau laksanakan pasti akan bertambah rasa kecintaan antara satu sama lain. Memang kalau kita selamanya di sisi kekasih atau isteri yang tercinta maka yang demikian itu akan menjemukan. Bersamaan dengan pepatah Melayu; “Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan”.

Percaya atau tidak itulah hakikatnya; berjauhan mula terasa rindu dan bila berdekatan terasa jemu. Manusia punyai nafsu yang inginkan sesuatu yang lebih daripada apa yang digenggamnya tetapi apabila dalam genggaman terlepas barulah dia mula tercari-cari, mengangis dan bersedih. Di kala itu menyesal pun tidak berguna. Gunakan kesempatan yang ada untuk memperbaiki kasih sayang yang ada sesama manusia lebih-lebih lagi dengan orang yang disayangi. Biar jauh di pandangan mata tetapi dekat di hati.

Begitu pula berkunjung ke rumah kawan-kawan dan juga keluarga adalah sesuatu yang sangat baik. Ia sangat berkesan untuk mengeratkan tali persaudaraan dan menambahkan mahabbah (cinta) antara satu sama lain. Banyak masalah yang dapat diselesaikan melalui suatu pertemuan yang dilaksanakan. Begitu pula banyak perselisihan yang dapat diluruskan setelah timbul dari salah faham atau terjadi dari sebab kesilapan maklumat yang disampaikan. Semuanya ini dapat diselesaikan melalui perjumpaan dan perbincangan.

Tetapi ziarah atau berkunjung ini jangan terlalu kerap, kerana yang demikian itu akan membosankan dan menghilangkan faedah dari kunjungan tersebut.

Sumber rujukan :

Nasihat Imam Zainuddin Ibnul Wardi Al-Kindi (Al-Kindi) dalam kitab “Lamiyah Ibnil Wardi” yang  diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ahmad Fahmi Zamzam dalam kitab “Ya Bunayya”.


Ads 468x60px

Featured Posts