Pernah suatu masa dahulu Kyai Dahlan berputus asa kerana pasentrennya dirobohkan oleh masyarakat Kauman. Dia ingin membawa diri keluar dari Kauman tetapi ternyata takdir Allah dia berada di dalam Kauman. Di saat itu pernah terasa lelah tetapi dia tetap berpegang dalam membawa jalan dakwah pasti ada tentangan.

Keyakinannya yang tinggi; "Wahai orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong dan mengukuhkan kedudukanmu" (47:7). Niat baik membawa tajdid dalam masyarakatnya ditentang oleh orang Islam yang taksub dengan penghulu mereka sehingga mereka dangkal dengan Islam itu sendiri.

Pernah juga dia dituduh kyai kafir kerana membawa tajdid yang dianggap bertentangan dengan Islam. Mereka menyempitkan pemikiran, dengan menganggap apabila mengadakan hubungan baik bersama bukan Islam itu menjadi sesat. Golongan yang dangkal dengan Islam pasti akan menentang golongan yang membawa Islam secara syumul.

Saya melihat golongan masyarakat hari ini sentiasa mengatakan golongan yang membawa tajdid itu adalah sesat dan berkepentingan. Sedangkan mereka tidak pasti adakah pegangan mereka selama berpuluh tahun ini adalah yang benar. Mereka menolak tajdid di kala mereka sendiri tidak faham agama mereka.

Mereka bercakap soal Islam tetapi mereka tidak faqih dengan apa yang diperkatakan. Kebenaran hanya milik Allah, kita hanya berikhtiar agar berjumpa dengan kebenaran. Masyarakat hari ini mempunyai masalah tidak mahu mencari ilmu agama, tetapi lebih teruknya apabila mereka sendiri menjadi penghalang dalam kerja-kerja dakwah ini. Sudahlah tidak mahu belajar ilmu agama, tidak cukup dengan itu mereka menjadi pembenci kepada orang yang mengajar dan belajar ilmu agama sehingga sanggup dihalangnya.

Cilakalah golongan ini kata nabi kerana nabi mencintai golongan yang berdakwah dan membenci golongan yang benci kepada kerja dakwah. Lalu apakah kedudukan kita ketika ini? Kita membantu kerja dakwah atau membunuh kerja dakwah? Kesabaran Kyai Dahlan dalam membawa jalan dakwah ini wajar dijadikan pedoman buat pendakwah di luar sana kerana mereka perlu jelas bahawa musuh Islam bukan hanya orang kafir tetapi yang lebih bahaya adalah golongan munafiq yang menentang Islam secara sembunyi.

Saat Kyai Dahlan membawa kerja dakwah, kuantiti tidak berpihak kepadanya. Bilangan anak muridnya tidak seperti golongan yang menentangnya. Dia sedar kuantiti bukan segalanya maka kerja dakwahnya tidak pernah berhenti walaupun kafir dipanah ke arahnya. Pelbagai mehnah dan tribulasi dihujaninya oleh orang Islam sendiri, tetapi berkat kesabarannya, akhirnya matlamat menubuhkan Muhammadiyyah itu terlaksana.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah padahal dia diajak kepada (agama) Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang Zalim. Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya." (61:7-8)

Kita yang bernama Muslim sewajibnya bersama-sama mereka yang inginkan Islam menjadi ad-din dalam hidup ini. Bukan nasionalisme, sekularisme atau sosialisme yang perlu didukung untuk kepentingan sejagat kerana ianya akan lebih memecahkan tatkala mulut berzikir mengatakan bersatu. Kesatuan hanya dicipta dengan dasar keimanan yang satu yakni Al-Haq. Bukan nasionalisme, sekularisme atau sosialisme.

Sekiranya kita merasakan diri kita sudah terlambat, nabi tidak pernah mengajar umatnya erti terlambat. Kata nabi jika esok hari kiamat dan ditanganmu ada benih maka tanamlah benih itu. Ajaran ini menunjukkan Allah tidak pernah menutup jalan hambaNya ke arah kebenaran sekiranya hamba itu ingin berubah ke arah kebenaran. Masa yang masih ada perlu digunakan untuk mengubah segenap penjuru untuk membentuk sebuah negara Islam yang diredhai Allah. Tujuan hidup mencari redha Allah, jika negara yang dibina tidak mendapat redha Allah maka tidak ada ertinya keIslaman negara itu.

Kyai Dahlan berpesan; "Setiap manusia itu berhak untuk menjadi benar". Maka, kita perlu berikhtiar dan bersama-sama mereka yang membawa kebenaran. Hari ini kita belajar dan berjuang untuk menjadi mulia di mata Allah. Gunakan ilmu itu bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk kemaslahatan manusia sejagat. Jika tidak ditentang arus yang deras pasti kita lemas dan hanyut dibawah arus. Ingatlah Allah bersama dengan orang-orang yang peduli. 


Ads 468x60px

Featured Posts