Sudah lama tidak terusik ‘keyboard’ ini dengan penulisan yang membawa kepada peneguhan ilmu di dada. Kesibukan yang dibuat-buat menyebabkan terlupa tidak ada beza masa yang diberikan antara saya dengan insan lain; 24 jam. Mungkin sibuk dan mungkin tidak, tetapi kali ini ingin menulis sesuatu yang membuatkan otak ini berfikir dengan lebih mendalam akan hakikat sekelilingku.

Saat berpijak di bumi yang nyata mahu atau tidak pasti bersama dengan insan lain di dunia ini. Berkomunikasi bersama mereka merupakan keperluan untuk menjalinkan ukhuwah atau persaudaraan. Hidup ini penuh dengan penipuan. Saat kita melalui satu titian yang di kiri dan kanannya penuh dengan ikan berenang seolah-olah tempat yang indah untuk diduduki. Apabila melompat barulah kita tahu rupanya susah untuk bernafas dan mungkin kelemasan.

Manusia suka berkongsi cerita itulah fitrah manusia. Sedangkan di dalam Al Quran digunakan kaedah bercerita kerana dengan bercerita manusia tidak akan bosan tetapi ralik mendengarnya. Persoalannya benar atau tidak bukan yang terutama tetapi yang paling penting cerita itu sedap didengari. Kita ketepikan soal kebenaran dan yang paling penting cerita itu sesuai dengan jiwa masyarakat dan tidak akan dicemuh dan ditertawakan apabila kita ceritakan kepada orang lain.

Zaman dahulu kala, apabila orang memperkatakan jika anjing menyalak pada waktu bulan purnama maka akan ada hantu di luar dan jika sesiapa yang keluar pada waktu itu akan terserempaklah dengan hantu. Maka orang kampong pun mempercayainya, tidaklah mereka keluar pada waktu itu dan duduklah di dalam rumah. Sedangkan yang ditakuti itu tidaklah wujud sekalipun.

Apabila telinga terasa berdesing difikirnya akan ada yang mati dan hati mula resah gelisah memikirkan siapakah yang akan mati. Mengharapkan agar bukan orang yang disayanginya mati tetapi biarlah orang lain. Telingakah yang menentukan soal kematian? Sedangkan telinga itu gunanya untuk mendengar bukan untuk menentukan kematian.

Sedang menyiarap di lantai sambil kaki ‘menyabung’ ke atas dimarahi oleh kedua ibu bapa; "Adakah kau nak mak dan abah mati cepat?" Rupanya dengan mengangkat kaki ke belakang semasa menyiarap dikatakan boleh menyebabkan proses kematian ibu bapa menjadi lebih cepat daripada sepatutnya. Kanak-kanak yang sayangkan ibu bapa mereka bertekad tidak mahu membuat perkara itu lagi kerana takut kehilangan kedua orang tua yang disayanginya.

Soalnya kenapa masyarakat kita mempercayai sedangkan tidak ada perkara yang diajarkan di dalam agama kita seperti ini. Bahkan jika diperhalusi perkara ini telah menggoyahkan pegangan akidah kita yang mengakui ke-Esa-an Allah. Mengapa perlu diterima sedangkan kita sudah diberitakan tiada yang mampu melawan kekuasaan Allah?

Pokoknya kita kekurangan ilmu, kita suka membicara dan bercerita tentang perkara yang kita sendiri tidak pasti. Percaya atau tidak jika ditanya kepada si pencerita pasti dia akan berkata bahawa neneknya yang mengajarinya. Jika ditanya kepada nenek, jawapannya pun begitu. Kita terikut-ikut dengan cerita orang-orang dahulu atau zaman dulu kala. Kita terlalu mempercayai kata-kata orang yang kita sayangi dan kita hormati tanpa diselidiki atas dasar apa nenek memperkatakan begitu.

Selepas diselidiki barulah tahu nenek tidak mahu kita keluar waktu malam kerana takut-takut nanti akan berlaku kesulitan yang tidak diingini, bukan kerana hantu. Berdesing telinga itu kerana keadaan sekeliling yang tekanannya tinggi sedikit berbanding kebiasaan kita, bukan orang mati. Kita juga tahu rupa-rupanya ‘menyabung’ itu tidak molek kerana tingkahlakunya seperti kurang hormat kepada orang tua bukan mahu membunuh orang tua kita.

Perkara-perkara ini perlu diselidiki dengan sedalam-dalamnya sebelum disampaikan kepada orang lain kerana takut nanti sudahlah pegangan akidah kita goyah, rupa-rupanya kita turut mengajak orang lain ke arah kegoyahan akidah. Setiap perkara itu perlu dihadamkan sebelum kita sampaikan supaya tidak mudarat menjadi peneman di akhirat kelak. Jangan mengira sehingga sepuluh jika tidak mengira daripada pertama dan jangan hanya mengira yang pertama kerana ada hikmahnya yang kesepuluh.


Ads 468x60px

Featured Posts