Bahlul; beliau adalah seorang yang bijaksana. Tingkahlakunya sering dipersoalkan oleh orang ramai kerana seakan-akan gila dan lain daripada kebiasaan yang biasa dilakukan oleh manusia. 

Beliau hidup pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid. Kebijaksanaannya mampu membuatkan Khalifah menangis apabila dia bertutur menasihati baginda. Pernah suatu ketika apabila beliau ditanyakan oleh Khalifah mengapa namamu Bahlul, maka Bahlul menjawab kerana aku memang bahlul. 

Ditanya semula oleh Khalifah, "Apakah tiada yang lebih Bahlul daripadamu?". Bahlul menjawab, "Tidak pernah hamba berjumpa dengan orang yang lebih bahlul daripada hamba". Maka ketika itu Bahlul diberikan tongkat oleh Khalifah dengan berpesan sekiranya kamu berjumpa dengan orang yang lebih bodoh daripadamu maka berika kepadanya.

Setelah Lama berpisah dengan Khalifah, tiba-tiba Bahlul mendengar khabar baginda sakit keras dan diramalkan akan segera mangkat. Maka dengan susah payah Bahlul menemui Khalifah. Tentu saja dengan membawa tongkat pemberian yang dibanggakannya.

“Wahai Amirul Mukminin, bagaimana khabarmu?”

“Aku akan pergi jauh, Bahlul. Jauh sekali, tak akan kembali,” jawab Khalifah.

“Pergi jauh? Apakah baginda sudah menyiapkan bekalan dan askar yang akan menjagamu?” tanya Bahlul.

“Dalam perjalanan yang satu ini, wahai Bahlul, kau tak bisa membawa bekal,” kata Khalifah.

Lalu Bahlul berkata, "Wahai Amirul Mukminin, tuanku melalui perjalanan selama satu atau dua hari dengan persiapan yang sangat mahal tetapi tuanku ingin pergi ke tempat yang tidak akan tuanku kembali tanpa membawa sebarang bekalan". Bahlul bangun dan berkata lagi, "Inilah tongkat sesungguhnya sekarang saya telah menjumpai orang yang lebih memerlukannya."

Sesungguhnya kebijaksanaan Bahlul ini dalam menasihati Khalifah Harun Ar Rasyid jarang diperdengarkan. Semoga beliau dirahmati Allah s.w.t.


Ads 468x60px

Featured Posts