Di antara pasakan gunung ada rahsia,
Di antara langit dan bumi ada rahsia,
Di antara lautan dan dataran ada rahsia,
Di sekelilingmu penuh dengan rahsia,

Tatkala langit yang cerah menjadi gelap dan kemudiannya cerah semula dan kemudiaannya gelap semula, maka sesungguhnya di sebalik kejadian itu punyai rahsia yang unik.

Tatkala bulan berbagai bentuk dalam siklusnya yang jujur tidak pernah ingkar, terdapat rahsia yang kita selalu lupakan.

Tatkala lautan kadang berada dalam keadaan tenang dan kadang dalam keadaan amarah. Dibelainya manusia dalam keadaan ketenangan dan dipukulnya dalam keadaan amarah, semua itu punyai rahsia pengajaran.

Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam di atas Arsy , Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah kepada yang lebih mengetahui tentang Dia. (QS. Al-Furqan : 59)

Rahsia itu perlu dirungkai, rahsia itu perlu dicari, rahsia itu perlukan jawapan. Maka apakah sama orang buta itu dengan orang yang celik? Maka apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang jahil? Maka apakah sama orang yang pekak dengan orang yang mendengar?

Dijadikan pokok dan batu yang seakan bentuk manusia, dan kemudiannya disujudkan ke tanah yakni bersujud kepada sesuatu yang berkuasa, tidak lain tidak bukan hanyalah ‘contoh’ kepada manusia agar dia mencari akan kebenaran.

Dalam mukhtasar tafsir ibnu kathir; diriwayatkan oleh Abi Ibn Hatim dan bin Hausyab menceritakan bahawa pada suatu hari Salman al Farisi berjalan di sebuah lorong dan berjumpa dengan Muhammad Abdullah, maka bersujudlah si Salman kepada Muhammad tetapi perbuatan ini disangkal oleh Muhammad;

                La tasjudli ya salman, wasjudlil hayyillazi la yamut.

                                Janganlah engkau sujud kepadaku, wahai Salman.
                                Bersujudlah kepada Tuhan yang Kekal dan tidak mati.

Maka sekali lagi kita bertanya; adakah sama orang yang buta itu dengan orang yang celik? Maka apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang jahil? Maka apakah sama orang yang pekak dengan orang yang mendengar?

Lihatlah bulan, lihatlah matahari, lihatlah burung, lihatlah lautan, lihatlah gunung dan lihatlah sekelilingmu. Maka peganglah dadamu dan ikhlaskan dirimu mencari jawapan di sebalik rahsia yang dicipta ini. Hanya yang ikhlas dan bersungguh; akan menjumpai jawapan kepada rahsia alam. 


Ads 468x60px

Featured Posts