Di antara pasakan gunung ada
rahsia,
Di antara langit dan bumi ada
rahsia,
Di antara lautan dan dataran ada
rahsia,
Tatkala langit yang cerah menjadi
gelap dan kemudiannya cerah semula dan kemudiaannya gelap semula, maka
sesungguhnya di sebalik kejadian itu punyai rahsia yang unik.
Tatkala bulan berbagai bentuk
dalam siklusnya yang jujur tidak pernah ingkar, terdapat rahsia yang kita
selalu lupakan.
Tatkala lautan kadang berada
dalam keadaan tenang dan kadang dalam keadaan amarah. Dibelainya manusia dalam
keadaan ketenangan dan dipukulnya dalam keadaan amarah, semua itu punyai rahsia
pengajaran.
Yang menciptakan langit dan
bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam
di atas Arsy , Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah kepada yang lebih mengetahui
tentang Dia. (QS. Al-Furqan : 59)
Rahsia itu perlu dirungkai,
rahsia itu perlu dicari, rahsia itu perlukan jawapan. Maka apakah sama orang
buta itu dengan orang yang celik? Maka apakah sama orang yang berilmu dengan
orang yang jahil? Maka apakah sama orang yang pekak dengan orang yang mendengar?
Dijadikan pokok dan batu yang
seakan bentuk manusia, dan kemudiannya disujudkan ke tanah yakni bersujud
kepada sesuatu yang berkuasa, tidak lain tidak bukan hanyalah ‘contoh’
kepada manusia agar dia mencari akan kebenaran.
Dalam mukhtasar tafsir ibnu
kathir; diriwayatkan oleh Abi Ibn Hatim dan bin Hausyab menceritakan bahawa
pada suatu hari Salman al Farisi berjalan di sebuah lorong dan berjumpa dengan
Muhammad Abdullah, maka bersujudlah si Salman kepada Muhammad tetapi perbuatan
ini disangkal oleh Muhammad;
La
tasjudli ya salman, wasjudlil hayyillazi la yamut.
Janganlah
engkau sujud kepadaku, wahai Salman.
Bersujudlah
kepada Tuhan yang Kekal dan tidak mati.
Maka sekali lagi kita bertanya;
adakah sama orang yang buta itu dengan orang yang celik? Maka apakah sama orang
yang berilmu dengan orang yang jahil? Maka apakah sama orang yang pekak dengan
orang yang mendengar?
Lihatlah bulan, lihatlah
matahari, lihatlah burung, lihatlah lautan, lihatlah gunung dan lihatlah
sekelilingmu. Maka peganglah dadamu dan ikhlaskan dirimu mencari jawapan di sebalik
rahsia yang dicipta ini. Hanya yang ikhlas dan bersungguh; akan menjumpai
jawapan kepada rahsia alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan