Kadang-kadang apa yang kita nampak daripada luarannya tidaklah sama dengan isi dalamannya. Mungkin kita nampak di luarnya hanyalah kepah buruk tetapi rupanya di dalam tersorok mutiara yang tak ternilai harganya.


Seperti biasa Langit akan menunjukkan kebesaran dirinya, bermegah-megah dengan kelebihnnya kepada Bumi;



(Langit) Hei, Bumi tahukah engkau bahawasanya aku lebih mulia dan tinggi darjat daripadamu? Engkau terlalu rendah jika hendak dibanding dengan kemulianku. Kedudukan engkau yang berada di bawahku itupun sudah cukup menunjukkan aku lebih mulia dan tinggi daripadamu. Mana ada mereka yang mulia duduk di bawah, yang mulia semuanya berada di atas; arasy Allah, Malaikat, dan syurga semuanya berada di atas aku. Apakah yang ada pada engkau bumi? Engkau kotor, di dalamnya terlalu banyak manusia yang melakukan dosa dan maksiat. Engkau terlalu banyak pencemaran, masakan mampu menandingi aku?, 

(Bumi) Wahai Langit, memang benarlah apa yang diperkatakan oleh engkau bahawasanya aku ini adalah makhluk yang hina dan rendah martabatnya. Engkau lebih tinggi dan mulia daripada aku. Tidak mungkinlah aku mampu menandingimu dengan kehebatan; arasy Allah, Malaikat, dan syurga. Tetapi ingat wahai Langit ada sesuatu perkara yang sampai bila-bila pun engkau tidak akan dapat, hanya aku sahaja yang mampu memilikinya. 

(Langit) Apa dia Bumi? Katakan kepada aku, mana mungkin engkau mempunyai kemuliaan melebihi daripadaku!

(Bumi) Ingatlah wahai Langit, walaupun aku tidak mempunyai arasy Allah, Malaikat dan syurga tetapi aku mempunyai jasad Nabi Muhammad s.a.w. yang sampai bila-bila pun engkau tidak mampu memilikinya.

Akhirnya Langit menangis merugu-rugu kerana kelebihan yang ada pada Bumi. 

Imam Al-'Arif billah Al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as Sakandari dalam kitab Hikam ada memperkatakan; "Maksiat atau dosa yang menimbulkan rasa rendah diri diikuti dengan taubat dan memerlukan rahmat Allah adalah lebih baik daripada ketaatan kepada Allah yang menimbulkan kesombongan dalam diri; ujub".

Apabila kita melihat kisah mengapa Musa pergi mencari Khidir adalah kerana Musa ditegur oleh tuhannya kerana Musa telah bercakap besar di hadapan rakyatnya yang menanyakan siapakah yang lebih 'alim daripadamu Musa dan baginda menjawab; akulah yang paling 'alim. Tuhan menegur tingkahlaku Musa yang bercakap besar dan mengkhabarkan berita berkenaan Khidir yang lebih 'alim daripadanya. (Rujuk Surah Al-Kahfi)

Begitu juga kepada Muhammad memalingkan muka daripada seorang lelaki buta bernama Abdullah bin Umu Maktum apabila ditanyakan soalan; "Ya Rasulullah, alimni mimmaa 'allamaka Allahu" yang bermaksud Wahai Rasulullah ajarkan kepadaku apa yang diajarkan Allah kepadamu. Seketika itu sebenarnya Muhammad sedang duduk berbincang bersama dengan pembesar kafir Quraisy iaitu Utbah, Syaibah, Rabi'ah, Abu Jahal bin Hisyam, Al-Abbas bin Abdil Muttalib, Umayyah bin Khalaf dan Al-Walid Al-Mughirah. Maka Muhammad masam dan memalingkan muka daripada si buta tadi, maka Allah telah menegur Muhammad dengan mengatakan; "Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat al Quran adalah pengajaran dan peringatan". (Rujuk Surah Al-Abasa)

Berdasarkan daripada beberapa kisah yang diceritakan dalam Al-Quran dan kata-kata hikmah daripada Al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as Sakandari maka boleh disimpulkan sebenarnya jika kita rasa diri kita mulia cepat-cepatlah kita beristighfar mohon keampunan kepada Tuhan. Tiada yang lebih mulia dan tinggi darjatnya melainkan daripada orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Saya juga ingin kaitkan ini dengan satu keadaan di mana ianya antara pelajar dan pensyarahnya. Tidak semua yang diperkatakan oleh pensyarah itu adalah sesuai bagi pelajar itu. Mungkin sesuai untuk diri pensyarah itu sendiri tetapi tidak sesuai untuk pelajar itu. Jangan pula sebagai seorang pelajar menganggap apa yang diperkatakan oleh pensyarah itu adalah ibarat wahyu daripada Tuhan yang tidak boleh diingkari atau tidak diikuti. Benar kita hormat pada pensyarah kerana dia adalah guru kita tetapi tidak bermakna semua tingkahlaku kita perlu mengikut telunjuk pensyarah itu. 

Berbeza pendapat itu tidak sama dengan melawan guru, berbeza pendapat di kala kita tidak sama pemikiran tetapi masih mampu untuk berhubung sebagai manusia biasa. Manakala pensyarah itu juga tidak boleh mengatakan bahawasanya pelajar ini kurang ajar dan tidak hormat kepadanya, sebaliknya sebagai seorang pendidik wajarlah dia meraikan pendapat tersebut melainkan pendapat itu secara terang-terangan bersalahan dengan syariat Islam. Tetapi jika pensyarah itu tidak mahu untuk meraikan maka sebagai pelajar anda juga perlu berpegang kepada prinsip yang diyakini benar itu. Tetapi pada masa yang sama harus berpegang bahawa bukanlah kita adalah yang terbaik.

Kadang-kadang mereka yang bekerja sebagai penyapu di jalanan lebih mulia dan tinggi ilmunya berbanding mereka yang mempunyai gelaran Dr. Jangan kita terlalu mengagungkan jawatan sementara di dunia ini tetapi kembalilah ke hakikat sebenar mengapa kita diperjalankan di dunia ini.








Ads 468x60px

Featured Posts