Sudah menjadi satu kewajipan bagi sesebuah negara yang telah
merdeka daripada genggaman penjajah pasti ada sejarah yang dinukirkan supaya
menjadi tatapan dan pengajaran buat rakyat dikendian hari. Kebiasaannya sejarah
akan ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan manakala golongan yang
mengalami kekalahan dalam peperangan hanya akan menulis syair, puisi, ataupun
sajak di helaian-helaian kertas. Inilah hakikat bagaimana sejarah ditulis oleh
golongan yang tidak jujur dengan ilmu.
Sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan sudah
tentu akan menceritakan perkara yang baik-baik sahaja berkaitan mereka. Bahkan,
apabila bercerita berkenaan musuhnya sudah tentu tiada satupun yang baik dan
ditambah-tambah pula ceritanya agar rakyat merasa benci kepada musuhnya. Tidak
cukup dengan penerapan kebencian rakyat yang sedia ada kepada musuhnya,
difikirkan pula bagaimana hendak menerapkan perasaan kebencian itu kepada
generasi akan datang.
Usaha memasukkan fakta sejarah ke dalam sistem pendidikan negara
telah dilakukan untuk memastikan rakyat terus menerus menyanyangi mereka agar
mereka boleh terus untuk berkuasa, manakala musuhnya tidak diberikan peluang
sedikitpun untuk membela diri. Sedari kecil pelajar di sekolah rendah telah
dihidangkan dengan hidangan yang tidak boleh dipersoalkan dari mana datangnya
dan bagaimana cara membuatnya. Rentetan ini terus menerus berlaku sehinggalah
pelajar itu bergelar mahasiswa.
Sedari kecil sehinggalah dewasa, rakyat tidak dibenarkan
mempertikai mengapakah sejarah negara kita begini atau begitu, dan jika
dipertikaikan ianya menjadi satu kesalahan kepada individu yang mempertikaikan;
pengkhianat negara, memecah perpaduan negara dan menggugat negara. Ini
dibuktikan apabila salah seorang tokoh politik yang datang daripada pembangkang
mengatakan bahawa Mat Indera adalah pejuang negara. Maka, tanpa diselidik dan
diteliti dahulu dikatanya tokoh itu penyokong komunis.
Tidak cukup dengan tuduhan yang melulu, tindakan seterusnya ialah
melaporkan kepada pihak berkuasa dengan mengatakan bahawa tokoh tersebut cuba
menghasut rakyat untuk memberontak dan menukarkan negara kepada corak
pemerintahan komunis. Setelah itu, lahirlah pula golongan yang kecewa kerana
seakan-akan perjuangan mereka selama ini tidak dihargai. Jerit perih dalam
perjuangan menentang komunis dipandang enteng oleh tokoh politik itu kononnya.
Walaupun pada akhirnya tiada tindakan undang-undang yang diambil
terhadap tokoh politik tersebut kerana beliau berjaya membuktikan apa yang
diperkatakannya adalah benar berdasarkan fakta; fakta beraliran kiri. Rakyat
secara umumnya terkejut kerana apa yang diperkatakan oleh tokoh politik
tersebut bukanlah satu kebiasaan di negara yang rakyatnya menjadi kuih kepada
acuan kerajaannya. Jika kuih itu berlainan daripada acuannya maka kuih itu akan
dibuang dan tidak akan digunakan untuk perniagaan.
Sudah tiba pada masanya, rakyat bukan lagi menerima bulat-bulat
fakta sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan tetapi
sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada golongan yang mengalami kekalahan
dalam peperangan untuk membela diri. Kini bukan masa lagi, rakyat berpuas hati
dengan penjelasan daripada sebelah pihak sahaja tetapi rakyat sewajarnya
mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak agar pisang tidak berbuah dua kali.
Dalam bidang penulisan sudah menjadi lumrah fakta yang ditulis
kadang-kadang tidak benar atau kurang tepat. Ini disebabkan oleh beberapa
faktor antaranya kekeliruan maklumat, kekurangan maklumat, dan demi menjaga
kepentingan segelintir kelompok. Jika perkara seperti ini berlaku, sewajarnya
rakyat yang berada dalam arus kemodenan haruslah lebih terbuka menerima
kritikan dan penyemakan semula penulisan tersebut agar keadilan ilmu tertegak.
Al Hafidz Ibnu Kathir dalam
kitabnya Al Hidayah Wan
Nihayah terdapat beberapa isi sejarah yang tersalah faktanya tetapi
kemudiannya telah dilakukan pembetulan oleh Imam ath-Thabari dalam kitabnya Tarikh ath-Thabari. Contohnya
Ibnu Kathir mengatakan Thulailah mempunyai seorang anak yang bernama Hibal.
Apabila diselidiki dengan lebih mendalam oleh ath-Thabari rupanya Hibal
bukanlah anak kepada Thulailah tetapi adalah anak saudara kepada Thulailah.
Rakyat sewajarnya menyemak semula setiap sejarah yang telah kita
pelajari selama ini. Menyemak semula sejarah bukanlah bermaksud kita ingin
menggugat kesejahteraan tanah air tetapi sebenarnya memberikan kita ruang dan
peluang untuk mencintai tanah air dengan lebih mendalam. Tak kenal maka tak cinta;
begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada tanah air kita. Bagaimana
mungkin kita mampu untuk mencintai tanah air sendiri sekiranya kita tidak
menghadami asal usul sejarah terlebih dahulu.
Lebih
dibimbangi sekiranya kita mencintai seseorang berdasarkan bukan perwatakannya
yang sebenar. Takut-takut perasaan yang tadinya luhur dan suci boleh bertukar
kepada marah kebencian yang teramat. Kesimpulannya, selidik dan telitilah
sejarah tanah air agar kita mampu memerdekakan diri dengan sebenar-benar
merdeka. Sesungguhnya fakta tidak semestinya benar tetapi kebenaran tetap
berada dalam kebenaran. Sehebat manapun penipuan dilakukan tidaklah dia mampu
mengalahkan kebenaran.
Catat Ulasan