Oleh : Siddiq Fadzil

Qarun

Situasi era tersebut digawatkan lagi oleh kemunculan satu watak lain iaitu al-Quran yang tampil dengan citra kerakusan hartawan lupa daratan. Al-Quran memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal dari kaum Nabi Musa a.s. meskipun datang dari kaum yang sama (Bani Israel), mereka tidak sehaluan. Sementara Musa a.s adalah pemimpin-pembela kaumnya, Qarun pula adalah penindas dan pemeras kaumnya sendiri. Qarun memang kaya luar biasa. Kunci-kunci khazanahnya sahaja tidak terpikul oleh sejumlah orang perkasa. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya sendiri, tetapi sebenarnya ia diperolehi secara zalim dengan memeras dan merampas hak bangsanya sendiri. Andainya pemerian al-Quran ini dilihat dari perspektif sosio-ekonomi –politik kontemperor, ia merupakan pendedahan tentang sejenis fenomena “penjajahan” ekonomi oleh golongan kapitalis peribumi. Ia bukan penjajahan kuasa luar, tetapi “penjajahan” kuasa dalaman yang tidak kurang bahayanya.

Qarun juga dikatakan mempunyai posisi politik yang cukup strategik. Sebagai salah seorang anggota kabinet Firaun, tentu sahaja beliau telah menggunakan posisi politiknya itu untuk mengaut keuntungan peribadi. Selain itu ia juga mempunyai cita-cita politik mengambil alih kedudukan Musa a.s sebagai pemimpin kaum Bani Israel. Kerana itu ia menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan kepemimpinan Musa a.s, termasuk mengupah seorang wanita agar membuat pengakuan pernah melakukan hubungan seks dengan Musa a.s. Bagaimanapun percubaan itu telah gagal. Dalam keterangannya sewaktu diadakan proses pembuktian, wanita tersebut mengaku telah diupah oleh Qarun (Al-Barawiy, 1978:121)

Al-Quran memberikan pemerian tentang penampilan Qarun yang suka mempamerkan kebesaran dan kekayaannya. Kebiasaan ini dilakukan bukan tanpa motif tertentu. Ia adalah suatu strategi menarik perhatian ramai agar ia dikagumi sebagai wira dan idola. Dengan mempamerkan kekayaannya ia juga bermaksud menghantar mesej bahawa ia mampu melakukan segala-gala; mengupah, membeli dna membiayai apa sahaja dan berapa sahaja. Seolah-seolah ia mahu memberi amaran kepada siapa sahaja, “Jangan cuba-cuba mencabar aku!”.

Dalam pemerian selanjutnya al-Quran menyebut tentang adanya kelompok yang memang mengangumi Qarun; iaitu golongan mata duitan yang terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan cara apa sahaja. Bagi kelompok materialistil ini, Qarunlah yang menjadi idola pujaan. Mereka ingin menjadi Qarun, kerana ia adalah lambing kejayaan seorang usahawan., kejayaan yang hanya diukur dari jumlah yang tertimbun, tanpa mengambil kira dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.

Qarun memang diidolakan oleh para pengagumnya, tetapi pada hakikatnya fenomena keqarunan, adalah gejala kehancuran. Kerana itu Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragik, hancur luluh ditelan bumi. Al-Quran memberikan gambaran bagaimana Qarun terbenam ke dalam bumi bersama rumahnya sekali. Dari sekian banyak hartanya yang turut musnah, al-Quran secara khusus menyebut rumahnya. MUngkin kerana rumah mewahnya (pintu-pintunya diperbuat daripada emas) itulah yang menjadi simbol kekayaan dan kebanggaannya selama ini (al-Qasas:76-81). Qarun memang bersalah kerana memeras, menyalahkgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lain lagi. Tetapi ada lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang menginzinkan fenomena keqarunan itu berlaku.


Ads 468x60px

Featured Posts