MENOLEH SEJARAH MENAFSIR KISAH : Sejarah : Perspektif Agama (Bahagian 1)

Oleh : Siddiq Fadzil

Sejarah : Perspektif Agama

Makalah ini tidak bermaksud untuk memasuki medan falsafah sejarah dengan segala alirannya. Yang akan dibahaskan di sini bukan sejarah dalam erti sekadar cacatan peristiwa; tetapi tafsiran, makna dan iktibar sesuatu peristiwa. Pendekatan ini serasi dengan gaya al-Quran yang apabila membicarakan sesuatu peristiwa, ia tidak memberikan pemerincian tentang tanggal dan saat terjadinya. Yang dipaparkan adalah tafsirannya, termasuk pengajaran dan petunjuk buat khalayaknya. Pendekatan al-Quran umumnya bersifat holistik dalam erti sorotannya tidak terpusat hanya pada gerak adegan lahiriah di pentas sejarah, tetapi menerobos hingga ke pedalaman jiwa dan minda pelaku-pelakunya. Dengan demikian pemeriannya adalah utuh dan menyeluruh, tidak terbatas dan tidak cuma bersifat serpihan.

Sejarah juga bukan peristiwa-peristiwa kebetulan, yang tiadk dapat difahami hujung pangkal sebab dan akibatnya. Sesuatu peristiwa sejarah tidak terjadi secara sewenang-wenang, tetapi berlaku menurut aturan tetap ketuhananm aturan Ilahi yang terjelma dalam hukum sebab-akibat. Itulah yang dinamakan sunnatu ‘Llah, undang-undang Tuhan yang tidak berubah. Apabila segala factor telah berkumpul, maka berlakulah kehendak Allah. Memang perilaku manusia sendiri merupakan faktor utama terjadinya peristiwa sejarah, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah kehendak Allah. Kerana itulah apabila al-Quran memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang ditonjolkan adalah kehadiran Allah, kudrat dan iradat-Nya. (rujuk surah al-An’am ayat 6)


Al-Quran adalah sumber petunjuk bagi manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya dengan secara langsung berbentuk perintah dan larangan. Tetapi tidak sedikit pula yang disampaikan secara tidak langsung. Misalnya menerusi kisah dan sejarah. Ini beerti fungsi kisah dan sejarah dalam al-Quran bukan untuk lipur lara atau sekadar untuk diketahui (knowledge for the sake of knowledge), tetapi untuk menyampaikan mesej petunjuk. Al-Quran banyak sekali membawakan ayat-ayat yang mengajak khalayaknya merenung untung nasib umat terdahulu sambil menilai diri dengan keinsafan bahawa nasib yang sama boleh menimpa siapa sahaja yang memiliki ciri dan faktor yang sama.


Kerelevenan al- Quran adalah universal dan abadi. Dengan demikian petunjuk-petunjuk dari kisah dan sejarah dalam al-Quran sentiasa relevan bila-bila dan di mana-mana pun. Memang tabiat manusia tetap sama, tidak berubah di sepanjang zaman. Demikianlah misalnya kedurjanaan dan petualangan manusia apabila merasakan kecukupan , merasa serba mampu kerana memiliki kekayaan dan kekuasaan. ( rujuk al-Alaq:6-7; al-Syura:27).

Watak-watak dalam al-Quran seperti Namrud, Firaun, Qarun dan lain-lainnya, sebagai individu memang semuanya merupakan watak-watak masa lalu yang sudah ribuan tahun menghilang dari pentas sejarah. Tetapi watak-watak manusia yang mirip atau persis seperti mereka akan sentiasa bermunculan di sepanjang zaman. Dengan ungkapan lain fenomena social-budaya kenamrudan, kekfiraunan dan keqarunan mungkin timbul dari semasa ke semasa.


Ads 468x60px

Featured Posts