بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Kita lihat sejak daripada mula rakyat Mesir memilih jalan raya untuk menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak, ramai pemimpin pakatan yang telah menyuarakan sokongan dan pendapat mereka. Ini adalah satu langkah yang berani dan bijak kerana pemimpin ini sedar akan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Mesir. Walaupun tindakan yang berani dan bijak ini telah diambil oleh beberapa pemimpin tertinggi daripada negara luar seperti Turki, Korea, dan Britain; mendesak Hosni Mubarak supaya meletakkan jawatan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak masih lagi dalam keadaan kebingungan.


Kebingungan kerana tidak berani untuk menyuarakan pendapat beliau berkenaan dengan kekejaman yang telah dilakukan terhadap rakyat Mesir. Adakah kerana takut terhadap ancaman daripada Israel? Datuk Seri Najib Razak sehingga hari ini masih lagi tidak memberikan sebarang kenyataan samada hendak mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan atau menyokong Hosni Mubarak mengekalkan jawatan sebagai Presiden Mesir. Sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah negara, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mencontohi pemimpin negara lain yang berani dan cerdik dalam menyuarakan hal ini; memberikan sokongan terhadap tindakan rakyat Mesir yang telah 30 tahun hidup dalam kesengsaraan.


Perlakuan Datuk Seri Najib Razak ini telah menimbulkan persoalan kepada orang ramai adakah beliau menyokong rakyat Mesir atau menyokong Rejim Hosni Mubarak? Sebagai pemimpin sebuah negara yang tidak berapa demokrasi, sepatutnya Datuk Seri Najib Razak memahami perasaan rakyat yang telah ditindas selama berpuluh tahun. 30 tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat dan semestinya penderitaan yang dialami oleh rakyat Mesir teramat pedih. 


Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang mengecam Pas dan PKR kerana mengadakan demonstrasi. Beliau juga mengatakan bahawa Pas dan PKR tidak menghormati Tahun Baru Cina hanya kerana membuat demonstrasi pada hari ke-2 Tahun Baru Cina dimana merupakan masih lagi cuti umum untuk rakyat di negara ini. Adakah begini pemimpin pada hari ini, sedang sibuk rakyat Mesir berjuang atas kekejaman pemimpin mereka, kita pula di sini bersenang lenang dan gelak ketawa. Kita menghormati Hari Raya Cina dengan tidak melakukan demonstrasi pada hari pertama Tahun Baru Cina tetapi kita menuntut pengorbanan dan perjuangan untuk kita bersama-sama rakyat Mesir menggulingkan Rejim Hosni Mubarak yang zalim pada hari ke-2 Tahun Baru Cina. Rakyat Mesir dalam keadaan yang kritikal manakala kita dalam keadaan bersenang lenang dan sepatutnya kita korbankan sedikit kesenangan itu untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada mereka.


Persoalan juga timbul adakah kerajaan sokong siapa apabila demonstrasi yang diadakan di Masjid KLCC ke Kedutaan Amerika Syarikat telah dicabuli oleh pihak Polis dengan penangkapan seramai 8 orang para demonstran dan disembur dengan air. Adakah semua ini kerana pemimpin negara ini takut akan apa yang berlaku di Mesir akan berlaku di Malaysia? Adakah takut selepas ini tidak boleh mendapatkan khidmat nasihat ataupun bantuan daripada pihak-pihak tertentu lagi? Jika tidak mahu perkara seperti di Mesir berlaku di Malaysia, sepatutnya kerajaan menyokong demonstrasi ini dilakukan. Mari bersama-sama rakyat turun menyatakan sokongan terhadap rakyat Mesir. Buka ruang yang lebih untuk rakyat menyuarakan suara mereka, bukan menyekat. Jika secara terus-menerus menyekat kebebasan rakyat bersuara tidak mustahil Malaysia turut mengikut jejak langkah Mesir iaitu fenomena Perubahan Politik Moden.


Persoalan satu lagi berkenaan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa janganlah ada pihak yang ingin mempolitikkan isu ini kerana mereka sentiasa berusaha menyelesaikan masalah ini dan kalau boleh pada hari itu juga mahu membawa pelajar Malaysia balik. Jika betul kenapa beliau membuat kenyataan semasa di PRK Tenang baru-baru ini dengan mengatakan bahawa kita tidak nampak keperluan untuk membawa pelajar kita pulang ke Malaysia. Sedangkan pada masa itu, negara lain seperti Jepun, German dan beberapa negara lagi tengah sibuk membawa pelajar mereka pulang ke negara masing-masing. Kita pula asyik sibuk berTENANG.


Marilah kita bersama-sama berdoa agar rakyat Mesir terus teguh memperjuangkan hak mereka dan diberikan kemenangan oleh Allah. Kepada rakyat Malaysia yang tidak berada di Mesir, marilah kita terus memberikan sokongan yang padu kepada rakyat Mesir untuk menjatuhkan Rejim Hosni Mubarak dan mendoakan agar digantikan dengan pemimpin daripada Ikhwanul Muslimin. Sesungguhnya pemimpin daripada Ikhwanul Muslimin adalah pemimpin yang ditakuti oleh Israel dan Amerika Syarikat. Seterusnya menjadi pemangkin kebangkitan umat Islam di serata dunia!!! Berdoalah juga kebangkitan umat Islam di Malaysia ini agar kebenaran itu menjadi nyata!!! Teruskan perjuanganmu mujahid Mesir!!!


Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam 


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.




Surah Al-Kahfi (18 : 60-82) 

Surah Al-Kahfi adalah merupakan surah yang ke-18 dalam Al-Quran. Dalam surah ini terselit banyak kisah yang membolehkan kita ambil sebagai pengajaran. Surah ini terdiri daripada 110 ayat. Diberitakan sebelum surah ini diturunkan Allah telah mendidik umat-umat Islam pada masa itu dengan akidah yang sungguh teguh pegangannya kepada agama. 

Dalam surah ini, menceritakan kepada kita tentang beberapa perkara iaitu :
  1. Ashabul Kahfi 
  2. Kisah Nabi Musa dengan Seorang Pemuda (Nabi Khidir)
  3. Yakjuj & Makjuj
  4. Iskandar Zulkarnain.
Ashabul Kahfi menceritakan tentang beberapa pemuda yang lari menyelamatkan diri daripada raja mereka yang zalim dan menyembunyikan diri di dalam gua. Allah telah menidurkan mereka selama 309 tahun di dalam gua tersebut tetapi mereka sendiri tidak tahu berapa lama mereka telah tidur. Walaupun mereka berbalah sesama mereka mengatakan berapa lama mereka telah tidur tetapi pada akhirnya mereka tetap menyandarkan semuanya kepada Allah yang Maha Mengetahui.

Kisah Nabi Musa dengan Seorang Pemuda yang dikatakan oleh para mufasir iaitu Nabi Khidir. Dalam kisah ini menceritakan Nabi Musa meempunyai banyak ilmu dan baginda telah meminta kepada Allah untuk diajarkan ilmu yang baru, disuruh oleh Allah untuk pergi ke sebuah tempat; pertemuan dua laut. Semasa Nabi Musa bersama pembantunya telah sampai ke tempat tersebut tanpa disedari mereka, bekalan makanan yakni ikan mereka hidup semula dan telah melompat masuk ke dalam laut tersebut. Berjalan semula mereka ke destinasi yang dituju tiba-tiba Nabi Musa terasa lapar dan pembantunya mengatakan bahawa ikan mereka telah melompat masuk ke dalam laut; Nabi Musa berkata sesungguhnya itulah tempat yang dicari. Setibanya kembali di tempat pertemuan dua laut itu maka berjumpalah mereka dengan Pemuda (Nabi Khidir); dimintanya untuk mengajarkan ilmu yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Pemuda (Nabi Khidir) iaitu ilmu laduni. Ilmu laduni adalah ilmu yang boleh mengetahui perkara akan berlaku pada masa hadapan. Pemuda  (Nabi Khidir) berkata sungguh kau tidak akan sanggup sabar bersamaku. Rayu Nabi Musa sesungguhnya kau akan dapati aku daripada golongan orang yang sabar. Maka mereka berdua pun berjalan bersama. Pemuda (Nabi Khidir) telah melakukan tiga perkara yang setiap kali Pemuda (Nabi Khidir) melakukan dan setiap kali akan ditanya oleh Nabi Musa iaitu membocorkan sampan, membunuh seorang kanak-kanak dan membetulkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh. Akhirnya, Nabi Musa berpisah dengan Pemuda (Nabi Khidir) kerana baginda (Nabi Musa) tidak dapat sabar akan perkara yang dilaluinya bersama Pemuda (Nabi Khidir). Sebelum mereka berpisah diterangkan oleh Pemuda (Nabi Khidir) kepada Nabi Musa berkenaan perkara yang tidak dapat disabarinya. Pertama membocorkan sampan kerana di hadapan lautan terdapat seorang raja yang zalim hendak merampas harta nelayan yang miskin maka karamlah sampan bersama-sama mereka. Keduanya membunuh seorang kanak-kanak kerana dikhuatiri anak tersebut akan membawa ibubapanya ke arah kejahilan dan berdoa akan menggantikan dengan anak yang soleh. Ketiga membetulkan dinding sebuah rumah yang hampir roboh kerana di bawah rumah itu tersimpan harta peninggalan ayah yang soleh kepada dua orang anaknya yang sudah yatim piatu; dikehendaki untuk mengeluarkan harta tersebut apabila mereka berdua telah dewasa sebagai rahmat daripada Allah. Berkata juga si Pemuda (Nabi Khidir), sesungguhnya apa yang dilakukan ini bukanlah semata-mata kerana kemahuan diri sendiri. 

Yakjuj & Makjuj adalah merupakan dua bangsa di muka bumi yang suka membuat kerosakkan dan kehancuran. Kisah Yakjuj & Makjuj ini mempunyai kesinambungan dengan kisah Iskandar Zulkarnain. Dalam ini juga menceritakan bagaimana Iskandar Zulkarnain membuat pengembaraan ke barat, ke timur dan ke utara. Sungguh hebat kawasan yang dikuasai oleh Iskandar Zulkarnain. Semasa beliau pergi ke arah utara beliau sampai di antara dua buah gunung yang kaum di situ tidak memahami serta tidak difahami bahasanya oleh beliau. Beliau telah dikhabarkan tentang keburukkan Yakjuj & Makjuj dan diminta membina sebuah benteng untuk memisahkan mereka dengan Yakjuj & Makjuj. Beliau telah bekerja bersama-sama dengan kaum tersebut untuk membina benteng besi setinggi puncak kedua-dua buah gunung tersebut. Dengan izin Allah dan kelebihan yang diberikan kepada beliau benteng tersebut telah berjaya disiapkan. Dan beliau juga mengingatkan akan tiba satu masa nanti maka benteng itu akan berjaya dirobohkan juga dengan izin Allah. 

Banyak perkara yang boleh kita halusi dan ikhtibar dalam perjuangan hidup seharian kita ini kerana hampir 75% ayat dalan surah ini berbentuk cerita. Surah ini juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Antara kelebihannya ialah dihindar daripada fitnah dajjal, jika dibaca pada hari Jumaat; diampunkan dosanya sehingga Jumaat minggu hadapan dan ditambah tiga hari lagi dan akan terpancar cahaya daripada tapak kakinya sehingga ke bahagian dada langit; dapat dilihat pada Hari Kiamat. Ini disokong dengan beberapa hadis nabi iaitu :

Dari Ali r.a berkata: "Barangsiapa membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan terhindar dari segala fitnah sehingga lapan hari yang akan datang walaupun dajjal keluar, dia akan terhindar daripadanya." (Tafsir Ibnu Kathir)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa membaca tiga ayat daripada surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal." (HR Tirmizi)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal. Dalam riwayat yang lain dinyatakan daripada akhir surah al-Kahfi." (HR Muslim)

Dari Sauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, maka sesungguhnya pembacaannya itu menghindarkannya daripada fitnah dajjal. (HR Nasai)

Dari Abu Said al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi (dengan huruf dan pembacaan yang betul) sebagaimana ia diturunkan, maka surah itu akan menjadi cahaya pada hari kiamat daripada tempat tinggalnya sehingga ke Mekah dan barangsiapa membaca sepuluh ayat yang akhir daripadanya, kemudian dajjal keluar, dajjal tidak dapat menguasainya." (HR Mustadrak Hakim)

Pesanan saya kepada diri saya sendiri dan semua umat Islam marilah kita mengamalkan ayatul kahfi ini kerana ternyata banyak kelebihan dalam surah ini. Semoga kita sentiasa meningkatkan amal ibadah kepada Allah s.w.t antaranya marilah kita bersama-sama memahami ayat-ayat suci Al-Quran dengan mempelajari tafsirnya kerana ramai antara umat Islam pada hari ini hanya pandai membaca Al-Quran tetapi tidak memahami maksudnya. Semoga Allah luruskan hati-hati kita dengan hidayah dan kekuatan untuk terus berjuang dalam kehidupan yang penuh dengan dugaan dan durinya. 

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam





بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Assalamualaikum w.b.t,

Ingin saya berkongsi kepada para mujahid-mujahid Islam berkenaan dengan 'SMS' yang baru saya terima daripada seorang sahabat saya;


Untuk renungan..Jika Mesir jatuh ke tangan Ikhwanul Muslimi, sempadan Rafah mungkin akan dibuka untuk pejuang Islam seluruh dunia..tak mustahil kurang setahun, negara Israel akan menjadi sejarah..perindu2 Syurga Firdausi, anda sudah bersedia merebut tiket...?Ayuh sahabat2!!Doakan Ikhwanul Muslimin berjaye menjatuhkan Hosni Mubarak!!

:-) sebarkan seramai mungkin.

Semalam selepas Husni Mubarak membuat kenyataan media secara langsung kepada rakyatnya yang sedang membuat demontrasi, Barrack Obama telah menelefon Husni Mubarak dan bercakap selama setengah jam. Selepas perbualan telefon tersebut, Barrack Obama telah memberikan kenyataan bahawa sudah sampai masanya Husni Mubarak mendengar suara rakyat Mesir supaya mengundurkan diri dan membuat peralihan kuasa dengan aman. Jika dilihat daripada usaha campur tangan Barrack Obama dalam hal ini sebenarnya mempunyai agenda lain; berusaha untuk mencari pengganti Husni Mubarak yang masih lagi mahu membuat rundingan damai dengan Israel. Maksudnya walaupun Husni Mubarak telah digulingkan biarlah Presiden Mesir yang akan dilantik masih lagi hendak menjadi orang suruhan atau suruh angguk, angguk dan suruh geleng, geleng ; kepada Amerika Syarikat dan Israel.

Amerika Syarikat dan Israel berada dalam keadaan gelisah sekarang ini kerana jika pengganti Presiden Mesir yang baru lahir daripada pihak Ikhwanul Muslimin pasti kuasa mereka akan tergugat oleh kebangkitan para mujahid Islam. Kedudukan negara Mesir yang menjadi pintu masuk ke negara Israel berupaya menggugat kedudukan Rejim Zionis daripada terus menduduki Palestin. Kedudukan Mesir yang berjiran dengan Arab Saudi, Sudan, Libya dan Jordan yang merupakan negara Islam; mampu membangkitkan semangat jihad untuk menentang Rejim Zionis daripada terus menzalimi rakyat Palestin. Dikhuatiri Mesir akan menjadi pemangkin kepada kesatuan negara Islam di bahagian Arab, Amerika Syarikat cuba untuk mempengaruhi rakyat Mesir dengan membuat kenyataan "Amerika Syarikat bersedia bersama dengan rakyat Mesir selepas berlaku peralihan kuasa daripada kerajaan Husni Mubarak".

Sudah semestinya juga jika Ikhwanul Muslimin diangkat menjadi Presiden Mesir yang baru mereka tidak akan menjalinkan hubungan baik, hubungan diplomatik atau sebarang bentuk rundingan dengan Israel dan Amerika Syarikat. Mari kita berdoa bersama-sama supaya kerajaan Husni Mubarak berjaya digulingkan dan seterusnya Presiden Mesir yang baru diangkat daripada golongan Ikhwanul Muslimin supaya selepas ini kebajikan rakyat Mesir terjaga. Hal yang paling penting ialah supaya agama Islam iaitu agama yang benar kembali bersinar di bumi Mesir; menjadi pemangkin kepada kebangkitan mujahid-mujahid Islam untuk menjatuhkan empayar Amerika Syarikat dan Israel yang selama ini telah banyak menekan dan menzalimi umat-umat Islam di seluruh dunia. 

Jika Husni Mubarak mengatakan kesediaan beliau untuk bersara daripada arena politik negara pada bulan September ini jangan kita termakan dengan kata-katanya yang telah terbukti selama ini menzalami rakyatnya sendiri. Setiap tahun Mesir telah mendapat bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat sebanyak US$1.3 billion untuk ketenteraan dan US$ 200 juta untuk ekonomi negara tetapi kemana semuanya pergi. Rakyatnya terus kebuluran, tidak mempunyai kerja dan ramai yang menjadi pengemis jalanan. Husni Mubarak juga tidak pernah menarik perintah darurat selepas beliau menjadi Presiden Mesir; dilihat siapa sahaja yang bangun untuk melawan beliau akan ditangkap dan dipenjara.

Semoga kita terus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Mesir yang teraniaya oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab. Semoga kita juga terasa akan tanggungjawab kebersamaan sesama umat Islam dikala saudara kita di Mesir syahid mempertahankan agama dan tanah air mereka. Semoga Allah terus-menerus melemparkan semangat jihad di dalam hati setiap rakyat Mesir. Bangkit wahai Mujahid Muda!!! Mujahid Islam!!! Allah bersama pihak yang benar!!! 

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam


Ads 468x60px

Featured Posts