Beberapa hari yang lepas saya ke
Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) iaitu salah sebuah kolej kediaman di Universiti
Putra Malaysia. Saya pernah menginap di sini selama empat tahun semasa
menyempurnakan pengajian sarjana muda dahulu. Lebih kurang jam 2.30 pagi, dalam
perjalanan mahu pulang ke rumah sewa, saya singgah di salah sebuah bilik rakan.
Baru sahaja masuk bilik, beberapa rakan yang sedang melepak menarik saya dan
berkata mahu menanyakan satu soalan.
Apakah definisi matang?
Saya dengan acuh tak acuh
menjawab bahawa matang adalah seseorang itu mampu untuk membezakan perkara yang
benar dan salah. Mereka mengatakan bahawa definisi itu terlalu biasa dan semua
orang boleh jawab. Ternyata saya terlalu mengambil mudah soalan yang ditanyakan
kerana sebelum ini mereka jarang bertanya dalam keadaan yang bersungguh.
Mendengar respon mereka
membuatkan saya terdiam sejenak dan mula berfikir apakah erti sebenar matang.
Dalam benak fikiran, saya menyatakan ini adalah satu perbahasan tentang
falsafah dan jiwa mulai rasa keghairahan akan perbincangan ini. Lalu, saya cuba
untuk memberikan respon yang lebih baik kepada persoalan yang dibincangkan.
Mendefinisikan matang hanya dalam
kerangka salah dan benar atau hitam dan putih adalah sesuatu tindakan yang
terlalu mudah kerana mengikut pengertian ini akan wujud situasi seseorang yang
dianggap matang berada dalam keadaan yang tidak matang. Contohnya, apabila
seseorang yang dianggap matang mencuri, dia sebenarnya telah melakukan tindakan
yang tidak matang dan ini telah meletakkan dirinya dalam keadaan yang tidak
matang.
Tanpa menafikan peri pentingnya
perlu ada pembatasan makna atau definisi yang jelas supaya mudah digunakan
untuk penulisan atau apa-apa penggunaan harian, saya melihat maksud yang
disampaikan oleh definisi tadi masih kabur dan terlalu sempit.
Saya klasifikasikan matang kepada
tiga jenis iaitu biologi, pemikiran dan tingkah laku. Secara asas seseorang itu
mencapai tahap matang biologi adalah apabila pertama kali bagi seseorang wanita
datang bulan dan lelaki mengeluarkan air mani. Dimana jika mereka melakukan
hubungan seks mampu untuk “mencipta” anak. Bahagian yang lebih penting adalah
matang pemikiran dan tingkah laku, yang mana merupakan tujuan utama penulisan ini
dilakukan.
Disebabkan saya tidak mampu
memberikan definisi yang ringkas dan tepat maka saya menganggapkan bahawa
matang pemikiran dan tingkah laku adalah bulatan yang difahami dalam konsep
geometri dan aplikasi penggunaan terbatas dalam kejuruteraan.
Dalam pembinaan sesebuah bangunan,
jurutera menganggap bahawa permukaaan tanah adalah rata seperti garisan lurus
yang dilukis dalam pelan pembinaan. Bagaimanapun, itu adalah dalam kerangka
yang kecil tetapi jika dilihat dalam kerangka yang lebih luas, sebenarnya permukaan
tanah tadi tidaklah lurus tetapi ia adalah satu garisan lengkung yang membentuk
bulatan. Permukaan tanah rata atau garis lurus sebenarnya tidak benar untuk
digunakan oleh ruang secara keseluruhan.
Ini bermaksud dalam kerangka yang
terbatas perlu ada maksud atau definisi yang jelas tetapi dalam kerangka yang
lebih luas ianya tidaklah menjadi satu kemestian bahawa matang adalah “satu
garisan lurus”.
Maka, matang pemikiran dan
tingkahlaku perlu dikaitkan dengan tiga perkara iaitu pengalaman seseorang,
keadaan semasa yang berlaku, dan tujuan pada masa hadapan.
Seseorang individu mendapat
pengalaman daripada perkara yang dilihat dan dengar samada melalui diri sendiri
atau orang lain. Hasil daripada pemahaman pengalaman itu seseorang akan
menggunakannya untuk respon kepada keadaan semasa yang berlaku di
sekelilingnya. Kemudian, pengalaman dan respon
keadaan semasa (telah bertukar menjadi pengalaman) akan digunakan untuk tujuan
pada masa hadapan.
Apabila seorang individu pergi
menghadiri temuduga untuk mendapatkan pekerjaan, dia diberitahu bahawa perlu
memakai pakaian yang kemas. Maka, berdasarkan maklumat tadi itu adalah
pengalaman dia. Kemudian, semasa temuduga dia hadir dengan pakaian yang kemas
dan itu adalah respon keadaan semasa hasil daripada pengalamannya. Dengan
harapan bahawa dia akan diterima bekerja di syarikat tersebut. Jika tidak
berjaya maka pengalaman yang ada akan digunakan untuk temuduga yang lain.
Saya tidak akan mencipta satu
definisi “matang” untuk pembaca kerana ianya seperti satu nilai yang sudah tercipta
secara semulajadi bersama kewujudan manusia.
Contohnya, di Amerika Syarikat
ketika perhambaan masih dibenarkan, majikan boleh memaksa hamba melakukan seks
(merogol) dan tiada siapa akan ambil peduli. Apabila perubahan zaman berlaku,
masyarakat belajar bahawa merogol itu tindakan yang tidak matang dan perlu
dihapuskan serta maruah wanita perlu dijaga. Pada saya, ini bukanlah satu nilai
yang baru wujud tetapi baru sahaja disedari akan kepentingannya.
Jadi menyedari pengalaman setiap
individu adalah berbeza maka tidak adil untuk menghukum orang lain berdasarkan
pengalaman saya secara membuta-tuli. Saya kembalikan kepada pembaca untuk
membuat keputusan apakah yang dimaksudkan dengan matang.
Akhirnya, ingin saya tambah
bahawa mereka yang tidak matang pemikiran atau tingkahlaku tidak akan memberi
kesan kepada matang biologi tetapi tidak matang biologi mungkin memberi kesan
kepada matang pemikiran dan tingkahlaku. Beerti juga tidak semestinya mereka
yang tidak matang biologi tidak boleh menjadi matang pemikiran dan tingkahlaku.
Sehingga sekarang saya masih
terus merasa ghairah!