Semasa menghadiri temuduga sebagai penunjuk ajar kokurikulum di Universiti Sains Islam Malaysia pada 2012, Dr Hishomuddin Ahmad yang ketika itu pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (2011-Mac 2013) menyatakan pusat ini bertindak sebagai kilang bagi menyediakan mahasiswa yang lengkap bersedia untuk terjun ke dalam medan pekerjaan sebaik saja tamat universiti.

Secara falsafah semata-mata tidaklah mampu untuk saya bersetuju. Bagaimanapun jika diteliti dan difahami keadaan dan keperluaan semasa mahu tidak mahu sememangnya tujuan melahirkan mahasiswa ke arah memenuhi kriteria majikan bagi mendapatkan pekerjaan perlu dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Johan Mahmood Merican menyatakan kebolehpasaran siszawah penting dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Bukanlah mutlak bagi mencapai status negara maju pada 2020, lalu, mahasiswa perlu menjalani pengilangan tetapi saya meletakkan ianya sebagai salah satu sifat daripada pelbagai sifat yang menerajui masyarakat ke arah kemajuan.

Konotasi kilang itu tidak mempunyai roh dan nilai sehingga boleh menyebabkan hasilnya seperti tidak berperikemanusiaan. Kerana ingin memudahkan pembaca memahami saya nyatakan yang dianggap kilang tadi adalah antara sifat bagi melahirkan mahasiswa mempunyai kebolehpasaran.

Melihat kepada kebolehpasaran, golongan yang paling terkesan kepada perkara ini adalah graduan daripada ijazah sarjana muda pendidikan (GISMP). Sudah menjadi kebiasaan selepas tamat pengajian mereka akan bekerja sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di mana akan ditempatkan di sekolah kerajaan sekitar tanah air.

Pada 11 Ogos 2014 yang lepas satu himpunan aman dan penyerahan memorandum diadakan di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia oleh Gerakan Calon Simpanan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bagi menuntut penempatan disegerakan. Seramai 1,595 orang calon yang masih tidak diberikan penempatan walaupun sudah berstatus lulus temuduga yang dijalankan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada Mei 2013, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata tiada jaminan penempatan untuk graduan institut perguruan (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (ISMP). Selepas itu pada November 2013, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching turut menyatakan tiada jaminan penempatan kepada graduan ijazah sarjana muda pendidikan kecuali mereka yang mendapat biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dasar ini sebenarnya sangat membantu mahasiswa ISMP dan IPG menghala ke arah kebolehpasaran yang berkualiti. Mentaliti sebelum ini, graduan bagi ISMP dan IPG merasakan mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari kerja kerana sudah dijanjikan pekerjaan selepas daripada tamat pengajian.

Tetapi apabila tidak dijanjikan penempatan atau penempatan yang terhad maka mereka yang terbaik dan paling berkualiti sahaja akan terpilih menjadi guru. Calon akan berusaha sehabis baik untuk menyediakan diri sebagai yang paling berkualiti semasa temuduga. Bagaimanapun masih lagi tertakhluk kepada kekosongan berdasarkan mata pelajaran yang ada di sekolah kerajaan.

Kerajaan sewajarnya bukan hanya melaksanakan dasar ini kepada graduan ISMP dan IPG sahaja tetapi perlu juga dilakukan kepada mana-mana laluan yang akan menjadi pesaing kepada graduan ISMP dan IPG seperti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah Guru Sandaran Tidak Terlatih (DPLI GSTT).

Jika DPLI GSTT ini di bawah tajaan kerajaan, menjadi persoalan mengapa diadakan laluan ini sedangkan masih terdapat graduan ISMP yang tidak diberikan penempatan. Sekiranya mahu juga dilaksanakan atas faktor mahu membantu GSTT yang terlalu lama hanya menjadi guru ganti sewajarnya peluang untuk mendapat penempatan di sekolah perlulah saksama dan tidak boleh mana-mana pihak dijadikan sebagai anak emas atau anak angkat.

Kebolehpasaran graduan ISMP boleh ditingkatkan sekiranya mereka diberi pilihan untuk melakukan latihan mengajar atau praktikal selain daripada sekolah. Sama ada praktikal boleh dilakukan di sektor swasta atau kerajaan yang mempunyai kaitan dengan kandungan kursus yang dijalankan universiti. Atau melakukan sekurang-kurangnya 2 kali praktikal di mana pertama wajib melakukan latihan mengajar di sekolah dan praktikal boleh dilakukan di mana-mana sektor swasta atau kerajaan yang berkaitan dengan kursus calon. Pengalaman praktikal khususnya akan memberi nilai tambah kepada graduan untuk memohon kerja selain daripada bidang perguruan.

Dasar ini, sebenarnya mengajar graduan untuk tidak terus bergantung kepada kerajaan. Tidak sewajarnya mahasiswa yang tamat pengajian terus berharap kepada kerajaan memberikan ihsan selama berpuluh tahun mendatang. Sekiranya guru adalah kerjaya pilihan, sekolah swasta sebenarnya terlalu luas tetapi barangkali tidaklah mendapat keistimewaan seperti bekerja dengan kerajaan. Tetapi tidak kurang juga sekolah swasta memberikan bayaran yang tinggi kepada gurunya.

Bagaimanapun pihak kerajaan perlu menunjukkan kepada rakyat dasar ini memberi kesan yang baik kepada pencapaian akademik dan ekonomi negara. Pencapaian ranking Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) perlu dijadikan ukuran untuk melihat sejauh mana keberkesanan di peringkat antarabangsa dasar ini dijalankan. Sekiranya kerajaan mahu menjimatkan kos belanja membiayai gaji guru yang tidak memberikan kesan secara efisien kepada pencapaian pendidikan negara sewajarnya kerajaan juga menunjukkan contoh yang sebaiknya dalam pengurusan kewangan kementerian.

Bidang pendidikan bukan bidang yang hanya boleh diaplikasikan sekiranya graduan ISMP atau IPG itu menjadi guru di sekolah tetapi kemahiran mendidik itu boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang lain seperti penyelidikan, penulisan, latihan, usahawan, pengurusan dan pentadbiran. Graduan ISMP dan IPG sewajarnya menunjukkan kepada sektor swasta akan kebolehpasaran anda dalam mendepani pasaran yang lebih bebas dan tidak hanya berfokus kepada bidang keguruan semata-mata.

Lalu, langkah pertama adalah menyediakan mentaliti yang tidak berharap kepada kerajaan untuk menyediakan kerja selepas tamat pengajian.
 
Artikel ini telah disiarkan di TheMalaysianInsider pada 10 September 2014.


Bercakap soal kebebasan ianya tidak wujud secara vakum atau tiba-tiba. Ianya melalui satu proses yang panjang dan penuh dengan cabaran serta pengorbanan. A. C. Grayling dalam bukunya bertajuk Towards the Light: The Story of the Struggle for Liberty and Rights That Made the Modern West mencatatkan bagaimana proses yang dilalui oleh masyarakat barat sejak awal abad ke-16 sehingga Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948 diwujudkan.

Buku tersebut menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tempoh perjuangan masyarakat barat memperjuangkan kebebasan berfikir, melawan totalitarian, dan menuntut pembebasan hamba, pekerja dan wanita. Tidak dinafikan perjuangan ini adalah respon terhadap pengalaman hitam yang dilalui oleh masyarakat eropah terhadap penguasaan gereja. Grayling menyifatkan kebebasan berfikir adalah merupakan intipati siasatan dan penyiasatan bebas yang menghasilkan konsep alam semesta yang sama sekali berbeza dari apa-apa yang difikirkan dunia ini hanya dijadikan sebagai teater untuk takdir moral dan rohani manusia oleh tuhan antroposentik¹.

Mungkin disebabkan oleh kekhuatiran sejarah cengkaman institusi keagamaan kepada masyarakat eropah berlaku pula di negara ini, 25 orang Melayu ternama telah menulis satu surat kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak. Mereka terdiri daripada bekas penjawat awam yang pernah menjawat antara jawatan tinggi dalam pentadbiran negara.

Surat itu menerangkan perlunya ada penyelesaian berkaitan pertikaian yang berterusan mengenai kedudukan dan pelaksanaan perundangan Islam di negara ini. Mereka juga menyatakan kerisauan bahawa kewujudan ekstremis agama yang sekiranya dibiarkan berlarutan akan menjejaskan komitmen Malaysia kepada prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, sikap tidak bertoleransi kaum dan ketaksuban, dan telah meningkatkan kebimbangan terhadap kedamaian dan kestabilan negara.

Kenyataan ini telah disokong oleh 93 pertubuhan bukan kerajaan, 22 aktivis Muslim muda dan golongan profesional yang percaya bahawa dialog adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku ketika ini. Saya merupakan salah seorang daripada 22 aktivis Muslim muda dan bercakap bagi pihak Suara Rakyat Malaysia (Suaram) iaitu salah satu daripada 93 pertubuhan kerajaan semasa sidang media tempoh hari percaya bahawa dalam negara demokrasi yang majmuk seperti Malaysia perlu mengambil kira suara rakyat daripada pelbagai kaum dan mentafsirkan undang-undang Islam menerusi kaedah maqasid syariah dan bukan secara literal atau harfiah teks semata-mata.

Berdasarkan kaedah fekah; “hukum itu berlegar atas perkara yang diberi nama, bukan pada nama” sangat penting diberikan perhatian. Kegagalan kita melihat “substance over form” lebih penting daripada “form over substance” akan menyebabkan masyarakat bukan Islam memandang sinis kepada agama dan juga akan mewujudkan sekelompok yang melampau-lampau dalam kelakuan beragama. Jasser Auda menyatakan kita (Islam) membezakan dengan pembezaan yang jelas antara dosa-dosa antara hamba dengan Tuhannya dan antara jenayah-jenayah yang berlaku bawah hukuman undang-undang². Persoalan inilah yang perlu difahami oleh masyarakat supaya mampu membezakan kesalahan yang bersifat antara manusia dengan tuhannya yang tidak perlu dijadikan undang-undang dan kesalahan sesama manusia yang boleh dan perlu dijadikan undang-undang.

Walaupun negara ini dari sudut perlembagaan tercatat bahawa Islam merupakan agama rasmi negara tetapi bukanlah satu tiket untuk segolongan umat Islam memaksa apa yang dipercayainya perlu diterima dan dipercayai oleh seluruh umat Islam dan masyarakat di negara ini. Tindakan yang menganggap apa sahaja boleh dilakukan atas nama “tuan tanah” kepada “pendatang” secara paksaan sebenarnya tidak menggambarkan langsung tujuan agama itu sendiri. Bahkan, tidak berbeza dengan tindakan gereja di eropah pada abad ke-16 dahulu yang memaksa masyarakat menerima apa sahaja tafsiran tentang agama Kristian tanpa boleh mempersoalkan apa-apa.  

Tindakan Ibrahim Ali pada Januari 2013 yang mengancam akan membakar Bible milik agama Kristian hanya kerana terdapat kalimah Allah di dalamnya tidak menunjukkan praktikal agama Islam yang sebenar. Bahkan, respon Jabatan Peguam Negara mengatakan bahawa ancaman tersebut adalah hasrat Ibrahim Ali mempertahankan kesucian agama Islam adalah hujah yang tidak logik dan juga bertentangan dengan tujuan Islam yang mengajak kepada keharmonian dan menghormati antara sesama agama.

Surat terbuka 25 Melayu ternama itu juga adalah merupakan respon kepada kenyataan Datuk Seri Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2014 berkaitan dengan pengekalan Akta Hasutan. Imej Datuk Seri Najib yang dianggap sederhana sebelum ini telah tercalar kerana tidak menepati janjinya pada tahun 2012 untuk memansuhkan akta drakonian tersebut. Dengan masih wujudnya akta hasutan ini, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10³ dalam Perlembagaan Malaysia tidak dapat dijalankan dengan baik. Bahkan, ianya akan terus mewujudkan situasi prejudis terhadap kaum dan agama lain apabila akta hasutan ini digunakan hanya untuk pihak yang dianggap tidak bersama dengan kerajaan.

Berkaitan isu kebebasan bersuara Maszlee Malik mendefinisikan suasana yang memungkinkan seseorang individu ataupun kumpulan untuk menyuarakan pendapat mereka ataupun tidak menyuarakan pendapat mereka dengan rela hati tanpa dipaksa atau tanpa campur tangan pihak lain dan berlaku tanpa sebarang halangan. Kebebasan tersebut pula hendaklah tidak melampaui batas syarak dan tidak pula mencabuli hak pihak yang lain⁴. Tindakan Ibrahim Ali telah melampaui batas syarak dan mencabuli hak pihak lain bagaimanapun tiada apa-apa tindakan diambil kepadanya.

Bukanlah bermaksud saya supaya Ibrahim Ali dikenakan akta hasutan. Saya secara konsisten menolak sebarang dakwaan di bawah akta hasutan kerana saya percaya kepada hak kebebasan bersuara walaupun kepada mereka yang tidak sependapat dengan saya. Dakwaan seperti ini perlu dihentikan segera dengan digantikan dengan proses dialog yang lebih terbuka. Saya berpendapat bahawa perkara-perkara yang kononnya sebelum ini dianggap sensitif seperti hak keistimewaan bumiputera dan agama perlulah dibincangkan secara terbuka dan matang di ruang awam tanpa sebarang prejudis.

Seperti yang kita ketahui bahawa perlembagaan dan sosial kontrak bukanlah sesuatu yang statik sifatnya tetapi bersifat dinamik iaitu boleh diubah atau dipinda mengikut kesesuaian semasa. Orang Melayu sewajarnya tidak perlu takut akan ancaman bahawa kuasa politik mereka akan hilang tetapi sudah perlu bergerak ke arah yang lebih matang iaitu berkongsi kuasa politik secara saksama. Bukan lagi memandang bahawa kaum lain sebagai pesaing atau musuh politik tetapi sebagai sahabat dan saudara dalam membina sebuah negara yang maju dan harmoni.

Harmoni bukanlah bermaksud tidak langsung mempunyai perbezaan pandangan dan konflik antara kaum dan agama tetapi bagaimana ianya mampu diuruskan dengan baik tanpa melahirkan perasaan prejudis dan kebencian kepada kaum dan agama lain serta situasi ketegangan yang tidak berterusan. Bagaimanapun apabila kaum dan agama dikaitkan dengan kuasa politik ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diuruskan. Peristiwa perebutan kuasa khalifah oleh Muhajirin, Ansar dan Bani Hashim sejurus kewafatan Rasulullah di Saqifah Bani Saadah⁵ membuktikan bahawa mereka yang menggunakan alasan kaum (ataupun golongan) dan agama sebagai asas perjuangan tidak lari daripada melakukan kesilapan dan keinginan untuk berkuasa melebihi orang lain.

Dalam sebuah negara demokrasi sekiranya tidak mempunyai apa-apa konflik di dalamnya maka ianya bukanlah demokrasi yang sihat. Demokrasi yang sihat adalah penghuninya berbeza pendapat dan berani memperbaharui pandangan lama yang dianggap tidak bersesuaian dengan keadaan semasa. Tidak menjadikan kuasa sebagai senjata untuk menutup mulut dan membunuh idea pihak lawan yang berbeza pendapat. Juga menjadikan dialog sebagai asas perdebatan idea dalam menuju ke arah masyarakat yang lebih bertamadun.

Rujukan:

  1. A. C. Grayling, Towards the Light: The Story of the Struggle for Liberty and Rights That Made the Modern West (London, 2007), hal. 59.
  2. Jasser Auda (ter: Marwan Bukhari), Mudah Maqasid Syariah (PTS, 2014), hal. 170.
  3. Rujuk Perlembagaan Malaysia Perkara 10 (1) (a).
  4. Maszlee Malik, Menuju Sejahtera Meraih Bahagia (Karangkraf, 2014), hal. 227.
  5. Khalid Jaafar, Metafizik dan Kosmopolitan (IKD, 2009), hal. 62-91. 


Ads 468x60px

Featured Posts