Apabila wahyu pertama diturunkan, Iqra’ (bacalah), ia menjadi satu falsafah perjuangan yang relevan selagi mana wujudnya penindasan, penipuan dan segala kebobrokan di muka bumi ini. Daripada kegelapan kepada pencerahan. Itulah reformasi yang perlu dilakukan dan akan terus dilakukan oleh para pecinta yang asyik dengan kebenaran.

Dua peristiwa yang berlaku baru-baru ini, iaitu demonstrasi untuk mempertahankan kebebasan akademik setelah Prof Madya Dr Azmi Sharom didakwa di bawah Akta Hasutan dan acara pidato umum “Anwar Ibrahim: 40 Tahun, Dari UM ke Penjara” mengingatkan saya kepada pengalaman beberapa tahun yang lepas – perjuangan menegakkan nilai yang sama tetapi peristiwanya berbeza.

Kebebasan akademik adalah perjuangan yang sekiranya tidak diperjuangkan maka tidak akan relevanlah mana-mana gerakan atau kumpulan mahasiswa itu.

Tanggal 23 Februari 2011 adalah antara hari bersejarah buat saya yang tidak mungkin dilupakan. Ketika itu saya memegang jawatan Timbalan Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa, Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia (KTDI, UPM). Kejadian pecah pintu di Universiti Putra Malaysia telah menjadi satu berita hangat selama seminggu di dada-dada akhbar dan berita perdana dalam negara.

Kejadian tersebut adalah reaksi mahasiswa kerana 11 calon Pro-Mahasiswa yang menang pilihanraya kampus dibatalkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (ketika itu Prof. Dr. Fauzi Ramlan) atas alasan yang tidak munasabah, iaitu berkempen di media sosial. Saya yang ketika itu baru sahaja berjinak-jinak dengan gerakan mahasiswa mula menyedari bagaimana mereka yang berpendidikan tinggi digunakan dan menggunakan autoriti di kampus untuk menyekat kebebasan mahasiswa.

Tahun yang sama pada 21 Oktober 2011, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah diadakan satu demonstrasi membela Dr. Aziz Bari yang digantung daripada perkhidmatan oleh pentadbiran universiti atas alasan memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti. Kenyataan berlandaskan akademik yang dikeluarkan oleh Dr. Aziz Bari mengkritik titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya telah dianggap sebagai bertentangan dengan kepentingan universiti.

Sekali lagi kebebasan akademik dirampas oleh golongan yang sewajarnya memperjuangkan dan berpegang dengan prinsip kebebasan akademik. Ternyata pendidikan bertahap doktor falsafah atau memegang gelaran profesor bukanlah satu kepastian bahawa seseorang itu tidak akan dipengaruhi oleh kepentingan kuasa dan politik peribadi. 

Saya telah menulis satu artikel bertajuk; “Kelesuan para akademia Malaysia” pada Januari 2013 yang disiarkan di beberapa portal internet berkaitan betapa lesunya golongan akademia daripada bersetiakawan bersama-sama mahasiswa dalam isu kebebasan akademik. Namun, demonstari membela kebebasan akademik untuk Azmi Sharom yang diadakan di Universiti Malaya tempoh hari telah menunjukkan bahawa sebenarnya golongan akademia juga mampu dan telah mula untuk berdiri sebaris bersama mahasiswa dalam isu ini.

Risiko yang diambil oleh Pro-Mahasiswa UPM pada tahun 2011 dengan merempuh pintu Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga pecah memberikan kesan apabila pada tahun-tahun selepasnya tidak lagi timbul masalah berhubung pilihanraya kampus seperti sebelumnya, iaitu ketika dua tahun berturut-turut calon Pro-Mahasiswa dibatalkan dengan alasan yang tidak munasabah. Mungkin kesan seakannya juga yang akan berlaku kepada Universiti Malaya selepas rempuhan pagar oleh mahasiswa. Mahasiswa selepas ini akan terus memberikan tekanan dan mengasak pihak pentadbiran universiti supaya akur pada tuntutan mahasiswa, khususnya kebebasan akademik.

Saya percaya gerakan mahasiswa bukanlah hanya pandai berdemonstrasi semata-mata tetapi gerakan mahasiswa juga telah banyak melahirkan individu yang cakna dengan isu sosial dalam negara. Rempuhan yang berlaku di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2011 dan Universiti Malaya baru-baru ini adalah disebabkan pintu rundingan bersama pihak pentadbiran telah menjumpai jalan buntu dan keintelektualan disekat tanpa sebab yang munasabah.

Rempuhan di Universiti Putra Malaysia tidak akan berlaku sekiranya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar turun bertemu dengan mahasiswa bagi menjelaskan dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan. Rempuhan di Universiti Malaya tidak akan berlaku sekiranya pihak universiti bersikap seimbang dan adil kepada pihak kerajaan mahupun pembangkang, selari dengan prinsip kebebasan akademik.

Mahasiswa perlu sedar bahawa perjuangan ini penuh cabaran. Tetapi ingatlah, Giordano Bruno dibakar hidup-hidup oleh gereja kerana berpendirian bahawa bumi yang mengelilingi matahari dan bukan matahari yang mengelilingi bumi; Galileo Galilei pula dihukum penjara seumur hidup di rumahnya kerana berpendirian sama seperti mana Bruno. Kedua-dua sosok ini memperjuangkan kebebasan akademik dalam kerangka zaman dan cara mereka yang tersendiri.

Mahasiswa pada hari ini bertanggungjawab mengambil peranan yang sama untuk merealisasikan kebebasan akademik dalam mengikut acuan yang sesuai dengan zaman kontemporari.

Kita melihat kini mahasiswa sedang menghampiri ambang perubahan. Seperti disebut tadi, mereka bukan hanya tahu berdemonstrasi. Buktinya, di merata-rata kampus, hampir di seluruh negara, kini telah muncul pelbagai ‘grup diskusi’ yang bergerak di luar kampus. Lalu kita mendengar nama seperti “Buku Jalanan” dan “Universiti Terbuka Anak Muda”. 

Sambil menuntut kebebasan daripada universiti dan membela kebebasan akademik, mahasiswa mula sedar bahawa ada ruang untuk mereka bergiat, menimba ilmu, dan mengasah kemahiran di luar kampus. Dengan kesedaran ini, kita seharusnya yakin bahawa perubahan telah semakin hampir.

Artikel ini telah diterbitkan di Roketkini bercetak keluaran November 2014.


Ads 468x60px

Featured Posts