Home » 2011
Sebagai seorang mahasiswa dan rakyat Malaysia saya merasakan sangat kecewa dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam yang telah dipersetujui oleh majoriti Parlimen Malaysia pada 29 November 2011 yang lepas. Saya berpendapat bahawa peraturan yang cuba diketengahkan ini bukan satu usaha ke arah penambahbaikan negara tetapi lebih kepada usaha pihak kerajaan untuk menyekat pihak oposisi dan rakyat daripada menegur kesilapan mereka. Datuk Seri Najib Razak berkata dengan adanya undang-undang ini kerajaan telah membuat satu revolusi kerana telah memberikan peluang kepada rakyat untuk berhimpun. Percaya atau tidak kenyataan Perdana Menteri Malaysia ini telah disambut dengan helai tawa di jalanan oleh golongan mahasiswa, NGO dan pertubuhan masyarakat sivil pada hari yang sama dengan persetujuan parlimen.
Peraturan ini juga seperti ingin menyindir rakyat, bahawa yang sebenarnya rakyat di negara ini tidak matang dan tidak mampu untuk membezakan antara permata dengan kaca iaitu antara perhimpunan aman dengan perhimpunan rusuhan. Secara tidak langsung ianya juga memberikan imej yang buruk terhadap negara kerana seolah-olah rakyat di negara ini adalah pemberontak, pengganas dan perosak kerana itu tidak boleh diberikan kebebasan protes jalanan sama sekali. Myanmar yang masih dibawah pemerintahan ‘Tentera Berdaulat’ menyaksikan hak demokrasi rakyat mereka lebih terbuka berbanding di negara kita. Myanmar hanya memerlukan sekurang-kurangnya 5 hari untuk memohon permit berbanding Malaysia yang memerlukan selama 30 hari.
30 hari sekurang-kurangnya tempoh memohon permit untuk melakukan perhimpunan adalah satu tempoh yang tidak relevan. Sekiranya sesuatu isu itu memerlukan sokongan rakyat dengan kadar yang segera maka tempoh ini akan menjadi benteng penghalang yang besar kepada rakyat untuk bersama-sama menyatakan sokongan. Contohnya jika perkara yang berkaitan dengan sensitiviti rakyat maka rakyat terpaksa menunggu selama 30 hari untuk membuat bantahan sedangkan pada masa itu perkara tersebut telah menjadi parah dan mungkin mendatangkan kemudaratan kepada negara.
Sekiranya penganjur gagal atau tidak mengemukakan notis untuk menganjurkan perhimpunan maka pihak penganjur akan dikenakan denda sebanyak RM10, 000 dan mana-mana warganegara yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut akan dikenakan denda sebanyak RM20, 000 oleh pihak polis. Secara ikhlas dari sudut pandangan saya sebenarnya kerajaan tidak mahu langsung memberikan ruang untuk rakyat mengkritik atau bersuara tetapi kerajaan bijak dengan menggunakan kaedah kau ambil satu aku ambil sembilan supaya rakyat tertipu dengan helah yang seakan-akan hak mereka terbela.
Dalam rang undang-undang yang dibentangkan juga, warganegara yang berumur bawah 21 tahun tidak dibenarkan menganjur sebarang perhimpunan aman dan warganegara yang berumur bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan. Merujuk kepada Perlembagaan Malaysia Perkara 10 (a) dan (b) dimana setiap warganegara berhak bebas bercakap dan berhimpun secara aman dengan tidak bersenjata, secara terang-terangan rang undang-undang yang dibentangkan bertentangan dengan perlembagaan kerana dalam perlembagaan tidak menyatakan had umur yang sepatutnya dicapai bagi menyertai sebarang perhimpunan tetapi perlembagaan menyatakan untuk bebas bercakap dan berhimpun secara aman tanpa bersenjata adalah hak setiap warganegara.
Saya berharap agar pihak kerajaan tidak meneruskan niat untuk MENIPU rakyat dengan mewujudkan undang-undang yang menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat kerana dalam perlembagaan sudah jelas memberikan rakyat hak untuk bersuara dan berhimpun dengan aman. Sekiranya pihak kerajaan ingin meneruskan juga perlaksanaan akta ini, saya mencadangkan agar pihak kerajaan mengharamkan seluruh umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadah haji kerana ibadah ini juga menganjurkan agar umat islam berhimpun tanpa dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah.
Tarmizi bin Anuwar,
Pengerusi,
Pro Mahasiswa UPM.
Ibn Khaldun seorang ilmuwan Islam telah menggariskan tentang hierariki tenggelam timbul peradaban suatu Negara atau sebuah tamadun beradasarkan lima tahap iaitu tahap yang pertama ialah sukses atau tahap konsolidasi, dimana autoriti negara didukung oleh masyarakat yang berhasil menggulingkan kedaulatan dinasti yang sebelumnya. Tahap yang kedua ialah tahap tirani, dimana pada tahap ini penguasa akan berbuat sesuka hati pada rakyatnya. Pada tahap ini juga, orang yang memimpin negara hidup senang dengan mengumpulkan dan memperbanyak pengikut. Penguasa juga menutup pintu bagi mereka yang ingin turut serta dalam pemerintahannya. Maka segala perhatiannya ditujukan untuk kepentingan mempertahankan dan memenangkan keluarganya. Tahap kedua ini telah membuat satu tempbok dinding pemisah di antara jurang kemiskinan dengan kekayaan dimana yang miskin terus miskin dan kaya terus kaya. Tahap seterusnya adalah tahap sejahtera, ketika ini kedaulatan dan kekayaan telah dinikmati. Segala perhatian penguasa tercurah pada usaha membangunkan Negara pula supaya seperti nampak membantu rakyatnya tetapi dalam diam mereka membunuh hak rakyat dengan sopan. Tahap keempat ialah kepuasan hati, tenteram dan damai. Pada tahap ini, penguasa merasa puas dengan segala sesuatu yang telah dibangunkan para pemerintah atau pemimpin sebelumnya. Tahap terakhir pemerintah atau pemimipin akan hidup boros dan berlebihan. Pada tahap ini, pemerintah atau pemimpin menjadi perosak warisan yang mewariskan tampuk penguasa kepadanya, pemuas hawa nafsu dan kesenangan. Pada tahap ini, negara atau peradaban tersebut sedang menunggu untuk kehancurannya.
Tahap-tahap itu menurut Ibnu Khaldun akan mewujudkan tiga generasi, iaitu yang pertama ialah generasi pembangun, yang dengan segala kesederhanaan dan solidariti yang tulus tunduk dibawah autoriti kekuasaan yang didukungnya. Generasi kedua ialah generasi penikmat, iaitu mereka yang mendapat keuntungan secara ekonomi dan politik dalam sistem kekuasaan dan pemerintahan ketika itu sehingga menjadi tidak peka lagi terhadap kepentingan bangsa dan Negara melainkan periuk nasi dia dan keluarganya sahaja. Generasi yang ketiga ialah generasi yang tidak lagi memiliki hubungan emosional dengan negara. Mereka dapat melakukan apa saja yang mereka sukai tanpa memedulikan nasib diri, bangsa dan Negara. Jika suatu bangsa sudah sampai pada generasi ketiga ini, maka keruntuhan negara seperti telur di hujung tanduk; pada bila-bila masa sahaja Negara itu akan runtuh. Menurut Ibnu Khaldun juga proses ini berlangsung sekitar satu abad. Ibn Khaldun juga mengatakan bahawa sebuah peradaban besar dimulai dari masyarakat yang telah ditempa dengan kehidupan keras yakni kesempitan, kemiskinan dengan penuh perjuangan. Keinginan hidup dengan makmur dan terbebas dari kesusahan hidup ditambah dengan semangat bermasyarakat di antara mereka membuatkan mereka berusaha keras untuk mewujudkan cita-cita mereka dengan perjuangan yang keras. Impian yang tercapai kemudian memunculkan sebuah peradaban baru. Dan kemunculan peradaban baru ini pula biasanya diikuti dengan kemunduran suatu peradaban lain. Hierarki ini kemudiannya akan berulang lagi, dan begitulah seterusnya hingga teori ini dikenal dengan Teori Siklus.
Jatuhnya sesuatu peradaban itu adalah kerana berlakunya kepincangan dalaman peradaban itu sendiri. Ketamakkan dan kebakhilan memakan harta rakyat pencetus kepada kebangkitan rakyat menjatuhkan pemerintah. Sejarah menunjukkan era kegemilangan Islam dijatuhkan dengan perpecahan dalaman umat Islam yang berada di era itu. Nafsu yang memboncah meyakinkan bahawa harta mampu memberikan kebahagian dan kejayaan tetapi mereka terlupa akan amanah yang dipikul di bahunya.
Kaki berjalan dan terus berjalan menuju ke suatu tempat yang tidak tahu bila akan tiba. Jangkamasa setiap orang yang menuju ke tempat itu tidak menentu, ada yang berjaya sampai dengan cepat dan ada yang berjaya sampai juga tetapi dengan lewat sedikit. Ada yang berjaya sampai dengan kegembiraan tetapi ada yang berjaya sampai dengan kesedihan dan ketakutan. Destinasi itu pasti dituju oleh setiap insan yang bergelar hidupan. Itulah kematian.
Saat kelahiran bermula, itulah saat itu kematian berkira-kira. Wahai kehidupan mengapa kau menipu kematian. Kau katakan kehidupan ini hanya sekali kepada kematian. Kau katakan kehidupan ini hanyalah untuk keseronokkan dunia tidak untuk akhirat. Kau terlalu berlagak kehidupan sehingga merasakan kau mampu menandingi kematian. Mungkin kematian tidak melawan dengan apa yang kau katakan tetapi kematian tidak pernah melupakan setiap apa yang kau lakukan wahai kehidupan.
Terasa ingin merajuk dengan kehidupan kerana selalu ditipu olehnya. Hampir setiap hari diri ditipu tetapi hati ini tetap sayangkan akan kehidupan. Wahai kehidupan mengapa kau sering menipu insan-insan yang sayangkan kamu. Sepatutnya engkau membimbing akan insan-insan itu bukan engkau menipu mereka. Sudah terlalu lama engkau menipu wahai kehidupan. Tidakkah engkau terfikir untuk
mengubah kehidupanmu?
Sampai bila kehidupan, sampai bila engkau hendak berbangga dengan penipuan ini. Ingatlah kehidupan sehebat mana kekuasaan engkau di dunia ini kau pasti tewas dengan kematian, walaupun selama ini kematian tidak pernah merungut tetapi dia tetap memendam rasa atas penipuan yang telah kau lakukan. Sudah-sudahlah wahai kehidupan kami sudah muak dengan penipuanmu. Insaflah wahai kehidupan. Marilah kembali kepada sehelai kain putih, cucilah kain itu dan jangan lagi diconteng-conteng dengan gambar yang tidak berseni tetapi lakarkanlah permandangan yang indah buat bukti penyesalanmu.
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang
Sahabat seperjuangan yang mendambakan ilmu, selamat pulang ke kampus dan menjalani perjalanan ilmu sekali lagi. Setelah 4 bulan bercuti pasti ada dalam kalangan kita yang tidak sabar hendak meneruskan pengajian dan ada juga yang sebaliknya. Walau bagaimanapun hati dan perasaan kita yang pastinya kaki telah berpijak di kawasan kampus yang penuh dengan barakah ilmu.
Dalam keghairahan mencari ilmu duniawi jangan dilupakan bahawa satu hari nanti kita akan meninggalkan fatamorgana dunia ini untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Perjalanan pencarian ilmu pasti mengundang keluh kesah yang kadang-kadang melelahkan. Tekanan tugasan yang melimpah ruah sudah menjadi asam garam dalam berkehidupan di kampus.
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah-Ku) dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.(2:186)
Buat sahabat jika kita renung dan mendalami ayat di atas ini, sebenarnya Allah memujuk dan memotivasikan kita. Dia-lah pencipta si hamba, Dia sangat memahami isi hati akan si hamba. Allah sangat menghampiri kita tetapi kita sahaja yang menjauhi-Nya. Allah mengkabulkan doa kita tetapi kita sahaja yang sombong dan tidak mahu berdoa kepada-Nya.
Seperti seorang majikan memberikan amanah dan tugasan kepada pekerjanya untuk disiapkan, pasti majikan itu mengharapkan pekerjanya memberikan prestasi yang terbaik dan cemerlang barulah tenang hatinya untuk memberikan gaji kepada pekerja itu. Lihat kedudukan kita, adakah kita menjalankan setiap amanah daripada Allah itu dengan terbaik dan cemerlang atau hanya melepaskan batuk di tangga atau terpaksa untuk menjaga nama baik dalam kalangan manusia.
Berketepatan dengan hari permulaan kuliah, mari sama-sama kita merenung semula di mana kedudukan kita di sisi Allah dan di mana kedudukan Allah di sisi kita. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama hamba-Nya tidak kira dalam keadaan susah atau senang. Mencari ilmu bukanlah semata-mata ilmu dunia yang dicari tetapi ilmu yang berguna pada kemudian hari dan paling penting adalah ilmu yang bisa menjadi pemandu arah ketika sangkala ditiupkan untuk membawa kita menuju ke syurga. Wallahualam.
Seperti seorang majikan memberikan amanah dan tugasan kepada pekerjanya untuk disiapkan, pasti majikan itu mengharapkan pekerjanya memberikan prestasi yang terbaik dan cemerlang barulah tenang hatinya untuk memberikan gaji kepada pekerja itu. Lihat kedudukan kita, adakah kita menjalankan setiap amanah daripada Allah itu dengan terbaik dan cemerlang atau hanya melepaskan batuk di tangga atau terpaksa untuk menjaga nama baik dalam kalangan manusia.
Berketepatan dengan hari permulaan kuliah, mari sama-sama kita merenung semula di mana kedudukan kita di sisi Allah dan di mana kedudukan Allah di sisi kita. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama hamba-Nya tidak kira dalam keadaan susah atau senang. Mencari ilmu bukanlah semata-mata ilmu dunia yang dicari tetapi ilmu yang berguna pada kemudian hari dan paling penting adalah ilmu yang bisa menjadi pemandu arah ketika sangkala ditiupkan untuk membawa kita menuju ke syurga. Wallahualam.
Selamat menempuh renjau pencarian ilmu di kampus.
Tiada nikmat yang kekal di dunia,
Begitu juga tiada duka yang kekal di dunia ini.
Begitu juga tiada duka yang kekal di dunia ini.
Terkadang seperti terasa beriman,
Terkadang seperti terlalu berdosa,
Dalam kesukaan ngilai tawa terasa berdosa,
Dalam kesedihan menangis, kesesalan menggamit.
Hancur kemusnahan dalam kegelapan,
Lebur kehancuran dalam kejahilan,
Ketika alam mula mengamuk;
Gunung mengeluarkan api,
Air dingin bertukar larva,
Beranikah berlawan dengan alam waktu itu?
Sesal, yakni kesesalan yang menyakitkan,
Tidak bisa mengubah sesaat lampau,
Tidak terdaya memusingkan walaupun sedetik,
Setitik demi setitik mata berkaca,
Hati seakan dihempap beban,
Gedik dan luasnya keterlaluan; gunung dan lautan.
Tangis dan tawa, dosa dan pahala,
Fitrah dimiliki manusia; jahil atau beriman,
Kekalahan semalam usah dikenang,
Mara bergerak membina kemenangan,
Panji hamba digendong berperang,
Redha-Nya bersama pejuang.
Gedik mana kemurkaan-Mu,
Gedik lagi keampunan-Mu,
Aku berjalan, Kau berlari,
Aku sehasta tapi Kau sedepa,
Kau meluaskan tapi aku menyempitkan,
Nikmat apa yang telah aku dustakan ini?
Dalam gelap Kau hadiahkan cahaya,
Hadiah; membuatkan hati ditombo-i,
Nikmat apa yang telah aku dustakan ini?
KHALI,
Khusnul dan suul itu kepunyaan-Mu,
Tidak layak dirku untuk mempersoalkan,
Tetapi satu sahaja permintaanku,
Jangan pernah Kau lepaskan tangan yang telah dipimpin ini.
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang
Dingin subuh berseru; bangunlah penghuni bumi!!!. Membuka mata untuk seketika, kemudian kita menarik nafas, Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Allah Maha Besar, kita masih berpeluang untuk pulang ke rumah sementara; jasad. Bingkas mengorak langkah menunaikan kewajipan tatkala kepala masih kebingungan.
Selamat sejahtera kepadaMu,
Sejasad duduk bersandar di sebuah kerusi, memejamkan mata untuk merenung kegiatan semalam, menjiwai kelakuan semalam. Kosong...Kosong...langsung tidak terasa apa-apa. Bagaimana mahu menggambarkan jiwa. Jiwa menjerit, Arghhhhh!!!!!...“Ke mana semua orang?”...“Di mana kamu sewaktu diperlukan?”... “Apakah kamu tidak dapat merasai apa yang saya rasai ketika ini”...
“Mengapa semua ini terjadi?”... “Bilakah ianya akan berakhir”... “Penghabisan ini menyeronokkan atau sebaliknya?”...terlalu banyak persoalan yang timbul walaupun hanya seketika bersandar di kerusi. Wajah tidak mampu memainkan peranannya dengan baik, apabila wajah sendiri tidak tahu mereaksikan perasaan itu.
Duduk di dalam gelap sebentar, “Moga-moga hati ini tenang”. Ternyata gelap tidak mampu mengubah rasa ini. “Apakah perasaan ini?”...“Mengapa seperti tidak kelihatan akan panca indera ini?”...“Tunggu matahari bangun tidur kejaplah, pasti dia boleh membantu?”... “Pasti dia ada jawapan mengapa”...Meleset, ternyata cerah juga tidak mampu membantu.
Hati seperti kunci kepada semangat, jika hati itu kosong bagaimana mahu bersemangat. Kadang-kadang hati dikawal oleh nafsu, setiap pergerakkan tangan, kaki, mulut diaturkan oleh hati yang dikawal oleh nafsu. “Hahahahahaha....bodoh.....bodoh.....”...Hati adalah kayu yang jika dibakar unggunnya akan memarak bersemangat, jika dibasahi hujan dingin menangisi.
“Manisnya senyumanmu, mengapa dikau mampu tersenyum?”...“Sungguh beruntung ramai yang bersama dikau”... “ Semua sayangkan dikau, tidak seperti diri ini”...”Picisan...Arghhh...”...Cemburu ada baiknya ada buruknya, hati juga berperanan memandu cemburu itu. Jangan membiarkan hati menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya oleh nafsu.
“Mampukah aku tersenyum seperti dikau?”...“Kepada siapakah ingin aku mengadu, sudah terlalu lama menahan dan sudah tidak mampu lagi”...“Hati terlalu gersang inginkan air zamzam untuk dimandikan”...Tangisan hanya menjadikan lebih parah, perlu mencari sesuatu untuk membenarkan segala yang benar dan menyalahkan segala yang salah bukan sebaliknya.
“Cukuplah, hari semakin senja, saya tidak mahu kesejukkan di malam hari”... “Hati ini terlalu lemah berbanding hambaMu yang sebenar”...“Sudah terlalu lama gersang kekeringan hati ini”...“Tidak lain hanya Kaulah yang mampu membantu”...Melabuhkan tengkuk di bantal, hati masih tidak tenteram dan kosong. Mengapa hati ini bisa membuatkan seseorang itu termenung berpanjangan?
Terlelap, selepas seketika, buaian mimpi beralun, berjalan ke arah sebuah rumah usang yang kedengaran sayup-sayup suara ketenangan. “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingat Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”...Tatkala suara bertemu dengan hati mereka saling memandang. “Eh, perasaan apakah ini?”... “Tenangnya saya rasa”...“ Seperti berada di awangan yang dikelilingi bidadari”...
Semakin dekat melangkah semakin tenang rasanya. “Inilah yang saya cari selama ini, ketenangan hati dan jiwa”...Sedang menuju ke dalam rumah itu tiba-tiba terjatuh tetapi langkahan tetap dikayuh, seakan-akan tidak dirasai lagi kekosongan semalam. Setibanya dalam rumah yang kelihatan hanya seorang lelaki tua, berjubah dan berserban putih sedang tersenyum, sedang dikelilingi itu terdapat cahaya putih yang terlalu cerah seperti datang ke arahnya.
Tersentak, panggilan subuh kedengaran, “Astaghfirullah apa yang telah saya lakukan selama ini”... “Bagaimana hendak tenang jika saya jauh dariMu”...“Maafkan saya kerana terlupa dengan pesanMu semalam”...Hanya tangisan mampu dilakukan tetapi rupanya kadang-kadang tangisan itu menjadi senjata manusia di dunia dan pelurunya walaupun ditembak berjuta kali tetap tidak akan mencederakan tetapi semakin menyembuhkan.
Setiap titisan tidak sia-sia lagi, kali ini air mata menghantar tetamunya pulang buat selamanya; dosa. “Maha Suci Tuhan yang Maha Pengampun”...
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang
Disebabkan terdapat permintaan daripada adik-adik junior supaya menerangkan berkenaan apakah itu Pro-Mahasiswa, insyaAllah akan saya cuba huraikan. Ini adalah pendapat individu seorang mahasiswa yang telah melihat persekitaran kampus dan cuba menterjemahkan dalam tulisan. Penulisan ini juga berniat supaya adik-adik mendapat gambaran awal terhadap apakah itu sebenarnya Pro-Mahasiswa. Pro-Mahasiswa atau Gabungan Mahasiswa secara amnya daripada pendapat saya adalah sebuah persatuan yang memperjuangkan hak kebebasan mahasiswa di kampus. Persatuan ini telah berjaya menyusup hampir ke semua kampus di negara ini.
Penerangan awal, berkenaan penulisan ini terlebih dahulu saya hanya ingin menerangkan apakah itu Pro-Mahasiswa secara umum. Tidak ada niat untuk menjatuhkan atau memburuk-burukkan mana-mana pihak. Sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat bahawa kita haruslah mempunyai identiti dan pendirian yang tersendiri, kita jangan membiarkan tangan-tangan ghaib mengawal atau mencaturkan perjalanan kita di kampus bahkan sebenarnya kitalah yang berhak untuk mengawal atau mencaturkan perjalanan kita sendiri.
Umur meningkat dewasa, jiwa memberontak dengan bijaksana, itulah mahasiswa. Idealisme untuk membela nasib negara yang tercinta. Pro-Mahasiswa merupakan satu rentetan pertubuhan yang bergerak di atas kaki mahasiswa sendiri tanpa campur tangan daripada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) atau mana-mana pihak lain. Segala aktiviti dilakukan secara berdikari dengan mengambil kira suara mahasiswa. Sejarah gerakan mahasiswa sudah terhasil sejak awal 70an lagi. Niat yang murni untuk menjaga kebajikan mahasiswa secara khususnya dan rakyat negara amnya, adalah agenda dan gagasan yang digendong oleh mereka. Mengelakkan daripada kesalahan maklumat buat pembaca, suka untuk saya nyatakan sekali lagi bahawa, Pro-Mahasiswa bukanlah semata-mata sebuah persatuan yang berbaur kepartian mahasiswa tetapi lebih kepada wawasan, idealisme mahasiswa, dan masa depan negara ini.
Saya hanya memberikan gambaran awal kerana saya fikir ini adalah bahan bacaan yang menjadi titik tolak kepada pembaca untuk terus mencari dan mengenali apakah sebenarnya Pro-Mahasiswa. Apabila disebut Pro-Mahasiswa, masyarakat kampus ada yang memandang serong dan tidak kurang juga yang memandang lurus. Ada yang bersetuju dan ada sebaliknya. Itu lumrah dalam kehidupan di dunia ini tetapi usaha yang dilaksanakan oleh Pro-Mahasiswa untuk membebaskan cengkaman ideologi politik pihak tertentu di kampus wajar kita hargai. Pilihan raya kampus, sekian lamanya telah dicatur oleh orang-orang yang terpelajar dan berkepentingan iaitu orang yang mempunyai jawatan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Saya tidak mahu memburuk-burukkan BHEP tetapi itulah hakikat hampir di semua kampus yang rata-rata pegawai atasan mereka memikul agenda kerajaan untuk memastikan mereka terus berkuasa. Bagi pembaca yang kurang faham apakah kaitan antara politik kampus dan politik negara mari kita sama-sama renung dan fikirkan, untuk 15-30 tahun akan datang siapakah yang akan menjadi pemimpin negara, adakah masih Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnaya? Pasti tidak, dan pasti pemimpin yang memacu negara pada masa akan datang, adalah daripada kalangan anak-anak muda yang mungkin pada hari ini adalah mahasiswa.
Kegagalan mahasiswa mengambil tahu akan persekitaran kampus adalah langkah pertama berlakunya kejatuhan empayar negara ini. Justeru, sebagai mahasiswa yang mempunyai wawasan dan pendirian pasti kita tidak akan membiarkan negara kita pada masa hadapan diperintah oleh golongan yang hanya hidungnya diikat dan ditarik oleh pihak-pihak tertentu.
Pejuang kebebasan mahasiswa ini saban tahun akan menghantar wakil mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kampus untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar di setiap kampus. Kemelut perbahasan akan diterjemahkan dalam pilihan raya kampus, di sini kita akan melihat tingkah laku sebenar BHEP. Politik kampus juga mengajak kita agar lebih berfikiran matang dan bukan hanya menjadi mahasiswa ulat buku semata-mata.
Persatuan Mahasiswa UKM 2011/2012 (Diterajui oleh Gabungan Mahasiswa UKM) |
Agenda dan objektif Pro-Mahasiswa disesuaikan mengikut persekitaran kampus, tetapi pada dasarnya agenda dan objektif itu dibentuk adalah berlandaskan kebajikan mahasiswa. Maka, saya menyeru agar semua pembaca apabila masuk ke kampus cuba mengenali dengan lebih mendalam apakah itu Pro-Mahasiswa. Mendengar tanpa melihat aksi sebenar di kampus pasti tidak mendapat pemahaman yang mencukupi.
Tambahan, di kampus Pro-Mahasiswa tidak berseorangan tetapi masih ada beberapa persatuan atau pertubuhan lain yang bersama-sama dengan Pro-Mahasiswa. Contohnya, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Malaysian Youth and Student Democratic Movement (Dema), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan beberapa lagi yang lain.
Kesimpulannya, Pro-Mahasiswa adalah sebuah gerakan yang membawa gagasan buat mahasiswa dan rakyat negara bukan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang merasakan kuasa adalah milik hakiki mereka. Kepada mereka yang tidak bersetuju dengan penulisan ini, saya tidak minta untuk anda bersetuju tetapi cukup dengan menghormati pendirian orang lain dan jadilah seorang yang berani untuk bersemuka atau bertanding dengan profesional. STUDENT POWER!!!