Kira-kira tiga bulan
yang lepas saya ada menulis satu artikel bertajuk Tentang Atlet Wanita Berseluar Pendek iaitu berkaitan seorang
pelajar wanita yang menyertai acara larian jalan kaki di Kejohanan Olahraga
Masjlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kulaijaya dengan secara sukarelanya telah
memakai seluar pendek tetapi memakai tudung.
Ternyata isu ini telah
mendapat perhatian masyarakat walaupun secara asasnya mereka tidak memahami
peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap atlet mahupun pegawai pertandingan. Yang
menariknya, rata-rata yang memberi komen ataupun respon berkaitan isu tersebut
adalah berpaksikan agama dan berbentuk cemuhan semata-mata.
Dalam beberapa yang
hari lepas, isu yang lebih kurang sama telah berlaku. Apabila Farah Ann Abdul
Hadi yang merupakan atlet gimnastik negara telah memenangi pingat emas di
temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura dicemuh kerana dikatakan tidak menutup
aurat. Ternyata, rata-rata masyarakat masih memandang sukan dari sudut hukum
hakam semata-mata tetapi tidak melihat dari segi intipati dan semangat
kesukanan itu secara keseluruhan.
Satu perkara yang amat
baik apabila seseorang itu mengambil berat sesuatu perkara yang berlaku di
sekelilingnya. Ini disebabkan oleh, seseorang individu adalah sebuah karekter
yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Tanpa individu tidak akan wujud
masyarakat dan tanpa masyarakat sudah tentu tidak akan mewujudkan sesebuah negara.
Tidak kira apapun yang
berlaku di sekeliling kita, setiap individu mempunyai hak untuk berpatisipasi
dalam memberikan pandangan mereka tetapi mestilah dengan tanggungjawab iaitu memahami
kandungan sesuatu perkara itu dengan sebaiknya. Individu tersebut juga mestilah
memahami had kebebasan yang dimilikinya dan ruang kebebasan yang dimiliki oleh
individu lain dalam memberikan pandangannya.
Dalam isu Farah ini,
saya tidak bersetuju dengan pihak yang menggunakan alasan agama untuk mencemuh
pakaian yang telah dipakainya. Bahkan, saya juga menolak pendapat Harussani
selaku Mufti Perak yang mengatakan bahawa sukan gimnastik bukan untuk orang
Islam. Pendapat seperti ini bagi saya adalah keterlaluan dan pemikiran yang
terlalu cetek.
Pertamanya, saya
melihat bahawa Farah selaku individu, beliau berhak memilih tatacara pemakaian
yang diingininya. Saya yakin bahawa orang ramai akan berkata bahawa selaku
muslim dia wajib menutup auratnya tetapi saya berpendapat bahawa wajib itu
antara dia dengan Tuhan bukan dengan masyarakat kerana tuntutan agama itu
bersifat peribadi dan bukan paksaan tetapi secara suka rela.
Seseorang yang
mempercayai Islam sebagai agama yang benar, dia tidak berhak untuk memaksakan
kepercayaannya itu kepada orang lain. Ataupun jika seseorang itu percaya kepada
sesuatu tuntutan dalam sesebuah agama, dia juga tidak berhak untuk memaksakan
perlaksanaan itu kepercayaannya itu kepada orang lain. Agama tidak sewajarnya
bersifat pemaksaan kerana ianya hanya akan membuatkan orang muak dan benci
dengan agama.
Asas kepada pemakaian
gimnastik tersebut adalah untuk memudahkan juri melihat dan membuat pengadilan
dalam setiap gerak yang dilakukan oleh atlet. Dimana sukan ini mementingkan
gerak geri yang lancar dan kemas. Sekiranya pakaian yang longgar dan besar
dikenakan oleh altet maka ianya sukar untuk juri melakukan pengadilan yang
tepat.
Keduanya, rata-rata
atlet gimnastik menerima pemakaian seperti itu adalah sebagai salah satu etika
pemakaian semasa pertandingan. Makanya, Farah hanya memakai pakaian seperti itu
di dalam gelanggang pertandingan. Tindakannya itu dianggap beretika apabila
berada di dalam gelanggang atau sekitar kawasan pertandingan.
Dalam isu ini juga
perlunya kita memahami konsep private
sphere (ruang peribadi) dan public sphere
(ruang awam). Dalam konteks ini gelanggang adalah private sphere bagi atlet untuk mengenakan pemakaian yang dianggap
olehnya sesuai dan beretika. Saya percaya bahawa kita tidak akan melihat Farah
memakai pakaian yang sama berjalan-jalan di tengah kota atau pusat membeli
belah.
Ketiganya, pada saya
adalah sesuatu perkara yang sangat penting untuk juga ditekankan iaitu isu
kesaksamaan jantina. Oleh disebabkan Farah ini adalah seorang wanita, maka dia
telah ditempelak dan dicemuh dengan pelbagai kata-kata yang kesat. Sedangkan
atlet lelaki dalam sukan yang lain seperti sukan terjun, bina badan dan renang
tidak pula diperlakukan seperti Farah.
Walaupun perbahasan
aurat dalam agama Islam berbeza antara lelaki dan perempuan tetapi bagaimanapun
hak untuk memilih tatacara pemakaian atau cara pemakaian itu adalah perlu
diberikan secara saksama kepada sesiapa sahaja. Tidak kira samada lelaki
mahupun perempuan.
Novriantoni Kahar dalam
novelnya bertajuk Imaji Cinta Halima mengkritik budaya pemakaian ini dengan
bernas sekali. Apabila watak dalam kisah tersebut yang kebetulan bernama Farah
walaupun telah mengenakan purdah dan tudung berlitup tetapi mata lelaki-lelaki
masih sahaja memandangnya dengan pandangan tajam (berahi).
Zakiah yang merupakan
kakak senior Farah menyatakan bahawasanya bukan Farah yang menggoda tetapi
tingkah laku sang lelakilah yang perlu dibina dan hasrat mereka yang kurang
berbudaya. Kita perlu belajar dan terus belajar bahawa golongan wanita tidak
wajar dilihat sebagai objek seks tetapi mereka juga adalah insan yang perlu
diperlakukan dengan nilai-nilai kemanusiaan seperti manusia yang lain.
Saya percaya bahawa
setiap agama secara asasnya menganjurkan perkara yang membawa manusia ke arah
kebaikkan dan saya juga percaya bahawa penganut yang mencemuh dan meletakkan
dirinya sebagai bayang-bayang Tuhan hanya akan memberi kesan yang buruk kepada
agama itu sendiri.
Penganut agama yang
baik adalah dia mampu untuk mengajar manusia ke arah kebaikkan tanpa melakukan
apa-apa paksaan. Dia juga mampu untuk menghormati pendirian dan pegangan orang
lain tanpa memaksakan kepercayaan yang dipercayainya benar.
Mengharamkan atau
menghalang seseorang muslim menceburi sukan gimnastik semata-mata kerana aurat
adalah sesuatu yang ketinggalan pemikiran dan pengetahuan. Dalam bidang
pemakaian sukan sebenarnya sudahpun berevolusi atau berkembang dengan
mengambilkira budaya dan kepercayaan atlet.
Menjadi pilihan atlet
tersebut untuk mengenakan jenis pemakaian yang difikirkan selesa dan mudah
untuk melakukan gerak geri semasa pertandingan. Selagi mana, tingkah laku
seseorang atau atlet tersebut tidak mengganggu kebebasan dan keamanan orang
lain maka selagi itu beliau mempunyai ruang kebebasan untuk dipraktikan.