Ini adalah adegan Soujiro Seta melawan Kenshin Himura (Algojo Battohsai) dalam siri Satria Pedang (komik) atau Samurai X (siri televisyen). Semasa perlawanan berlangsung; Soujiro berkata kepada Khensin, "If you are strong you live, and if you are weak you die".
Kata-kata ini adalah ungkapan daripada Makoto Shisio kepada Soujiro Seta sewaktu beliau masih lagi kecil, di mana ketika itu beliau duduk bersama dengan keluarga angkatnya dan didera, dipukul dan diperhambakan. Sewaktu itu beliau bertemu dengan Shisio yang menyelamatkannya daripada dibunuh.
"Yang kuat akan terus menang dan yang lemah akan terus kalah". Ini adalah ungkapan; 'Kapitalis' yang dijadikan falsafah oleh golongan kapitalisme. Sesiapa yang kaya akan terus menjadi kaya dan sesiapa yang miskin akan terus menjadi miskin. Merelakan diri diperhambakan oleh Kapitalis menyebabkan anda berlakon seolah-oleh merasakan kebahagian.
Siri cerita komik sebenarnya memberikan kritikan sinis kepada kehidupan seharian yang berlaku di sekeliling manusia. Cengkaman kapitalis terhadap manusia bukan hanya dalam konteks ekonomi semata-mata tetapi lebih daripada itu. Mereka memasukkan unsur ke dalam jiwa nurani manusia supaya rela diperhambakan.
Mengangkat golongan yang kuat untuk menzalimi golongan yang lemah adalah sesuatu tindakan biasa dalam kapitalisme. Saya menyarankan kepada kaki komik atau anime, "Apabila membaca komik, angkatlah kepala dan jenguk-jenguk masyarakat sekeliling kita, kerana dalam komik terdapat nilai yang menunjukkan keadaan apabila falsafah telah terpesong daripada jalan sebenarnya".
Sifat inilah yang menghancurkan umat masyarakat kerana ia membezakan lagi jurang antara si miskin dengan si kaya. Mereka membunuh sifat belas kasihan yang ada dalam diri manusia. Kerasukan, laba menjiwai dan menjadi pemandu dalam hidup manusia. Ini menyebabkan manusia tidak mahu menjadi lemah, melainkan berlumba-lumba menjadi yang kuat dan berlakulah pembunuhan, penindasan, penipuan, kebobrokan dan perkara yang berlawanan dengan fitrah manusia.
Lemah dalam erti kata mereka tidak lagi mahu menerima takdir yang ditentukan oleh Tuhan, tetapi menyalahkan Tuhan kerana nasib yang menimpa mereka. Yang duduk di atas mereka tidak lagi meninjau di bawah tetapi memijak-mijak kepala yang berada di bawah. Yang berada di bawah hanya menerima dengan kepedihan dan tidakkerelaan dalam penindasan ini.
Sifat kebinatangan manusia menjalar dalam segenap aliran darah mereka, kerana; "Yang kuat akan terus hidup dan yang lemah hanya layak mati". Masing-masing mencari kehidupan ibarat dua orang yang lemas, seorang akan membenam yang seorang lagi ke dalam air supaya dia boleh menghirup udara untuk bernafas. Pemikiran ini membentuk sosial budaya yang membeza-bezakan darjat bangsa dan kasta.
Bersama mencari erti kebebasan, memaknai falsafah keadilan, menjiwai kerendahan jiwa, membunuh bermegah-megahan, lalu bertasbih menerima kemenangan dalam ketenangan. Masyarakat bermakna diri sendiri, maka tanggungjawab bersama membina masyarakat berpikiran dan bersifat budiman. Membersihkan hati dari segelumak kehitaman, dibajai dengan zikrullah dan disirami dengan kejujuran.
Si kaya dengan si lemah wajib berkasih sayang, memberi dan menerima dalam senegap bentuk.
#PRU13 semakin hampir, laksanakan tanggungjawab membina masyarakat.
Home »
Catat Ulasan