Kata-bicara dianggap sabda,
konon untuk goncang dunia,
rupa hanya mendabik dada.

Sudah empat abad, dunia kehilangan Giordano Bruno (1548-1600 M) yang merupakan seorang saintis Itali yang dihukum bakar hidup-hidup kerana mempertahankan matahari sebagai pusat alam. Bruno bukanlah saintis pertama yang menyatakan sebegitu tetapi sebelum itu sudah wujud Nicolaus Copernicus (1473-1543 M) dan Phytagoras (570-495 SM) yang menyatakan bahawa alam ini bersifat heliosentrik atau matahari sebagai pusat alam. Bahkan Bruno juga, sebenarnya dipengaruhi oleh pemikiran Copernicus. 

Hukuman membakar hidup-hidup adalah disebabkan heliosentrik yang dijunjung oleh Bruno, merupakan satu nilai yang bertentangan dengan sistem nilai kepercayaan setempat (Eropah) ketika itu. Gereja dianggap sebagai wakil Tuhan dan setiap penemuan sains haruslah diharmonikan dengan pandangan gereja. Gereja berpendapat bahawa matahari bergerak mengelilingi bumi atau geosentrik. Gereja berpendapat seperti ini adalah disebabkan di dalam Kitab Perjanjian Lama, Surah Joshua/Yosua dalam fasa 10 ayat 12 (10:12-13) menyatakan :

Lalu Joshua berbicara kepada Tuhan pada hari Tuhan menyerahkan orang Amori itu kepada orang Israel; ia berkata di hadapan orang Israel; “Matahari, berhentilah di atas Gibeon dan engkau, bulan, di atas lembah Ayalon”. Maka berhentilah matahari dan bulan pun tidak bergerak, sampai bangsa itu membalaskan dendamnya kepada musuhnya. Bukankah hal itu telah tertulis dalam Kitab Orang Jujur? Matahari tidak bergerak di tengah langit dan lambat-lambat terbenam kira-kira sehari penuh. 
(Josua 10:12-13) 

Namun, setelah pengkajian demi pengkajian barulah kita faham, bahawa ayat ini bukanlah bermaksud literal atau mendatar. Ayat ini memerlukan kefahaman tentang penggunaan kata harian atau loghat manusia. Contohnya sehingga hari ini masyarakat masih lagi menggunakan istilah matahari terbit dan matahari terbenam sedangkan kita faham bahawa sebenarnya bumi yang mengelilingi matahari bukan matahari yang mengelilingi bumi tetapi itulah penggunaan istilah yang mudah difahami manusia. Walaupun memang peristiwa ini benar, tetapi bukanlah bermaksud matahari yang berhenti tetapi kemungkinan bumi yang berhenti jika dilihat dari logik aturan tabii yang telah berlaku ribuan tahun. 

Gereja telah membunuh ramai saintis dengan alasan mempertahankan kebenaran dan kesucian agama. Ternyata hari ini apa yang dilakukan oleh mereka suatu masa dahulu adalah salah sama sekali. Bahkan Copernicus, Bruno dan Galileo adalah yang berada di pihak yang benar walaupun berada di pihak minoriti dan terpencil dalam sistem nilai kepercayaan Eropah ketika itu. 

Ibnu Khaldun dalam bukunya, Mukadimah Ibnu Khaldun menerangkan tentang jatuh bangunnya sesebuah peradaban atau kini dikenali sebagai Teori Siklus (dahulunya ‘ashabiyyah). Di mana Ibnu Khaldun meletakkan lima peringkat; sukses, tirani, sejahtera, kepuasan hati, boros (disusun mengikut tertib pertama hingga kelima). Berdasarkan Ibnu Khaldun, jatuh bangunnya peradaban ini berkisar lebih kurang satu abad atau setiap seratus tahun yang dimulai dengan tahap sukses dan diakhiri tahap boros. Kemudiannya akan berlaku satu perubahan dan bermula semula tahap pertama sehingga kelima. Pemahaman saya, setiap sosok yang bergelar manusia pasti terlibat dengan peristiwa ini tetapi melakonkan watak yang berbeza.

Hari ini boleh dilihat di sekeliling kita penuh dengan manusia yang cuba melakonkan watak yang sama dengan tingkah lampau ‘gereja’. Golongan yang menggelar diri ‘ustaz’ dan ‘ulama’ mengeluarkan hujah agama agar masyarakat gerun dan tunduk memberikan taat setia kepadanya. Berkopiah, bersongkok, berjubah, dan berserban sepertinya melambangkan nilai budi agama tetapi semata-mata adalah untuk menggapai matlamat duniawi. Sesiapa yang tidak sependapat dengannya dianggap kafir, liberal, sosialis, tidak islamis, rosak fikrah, khawarij, wahabi dan syiah sehingga menyebabkan manusia yang tidak berfikir (pengikut) turut melabel. Kononnya tindakan seperti ini adalah jihad ‘amal makruf nahi mungkar’.

Atas prestij ‘ustaz’ dan ‘ulama’, seakannya mereka lebih mulia daripada insan yang lain. Ibnu Atha’illah As-Sakandari (1250-1309 M) dalam kitab al-Hikam menyatakan; “Dosa yang disesali lebih mulia daripada pahala yang dibanggakan” menyedarkan kita betapa ‘kebenaran itu merentasi gelaran’. Bahkan, gelaran ‘ulama’ khususnya telah disempitkan pengertian sebenarnya. Sesiapa sahaja boleh digelar ‘ulama’ asalkan mempunyai latar belakang pendidikan daripada bidang pengajian Islam. Sifat tidak profesional yang ditunjukkan oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar semasa forum anjuran Mysuara bertajuk ‘Penggunaan Kalimah Allah, Nama Allah Ekslusif Atau Tidak: Hukum Asal, Dakwah & Siasah’ yang secara sinis mempersoalkan Khalid Samad sebagai salah seorang ahli panel menunjukkan betapa istilah ulama itu telah dieksklusifkan.

Golongan Islamis terlalu sensitif dengan istilah ulama manakala golongan rasis (Melayu) sangat sensitif dengan istilah raja atau sultan. Melayu sangat sinonim dengan sejarah kesultanannya, bahkan Hikayat Hang Tuah (abad ke-18) karya Tun Sri Lanang yang dinobatkan sebagai Warisan Dunia dalam Daftar Ingatan Dunia (2001) turut berkisahkan tentang sultan. Laksamana Hang Tuah yang taat setia kepada Sultan Mansur Shah telah dihukum mati kerana ketidakcerdikan sultan dalam menimbangi khabaran yang diterima oleh pengampunya. 

Dalam Tuhfat al-Nafis (1885) karangan Raja Ali al Haji, memuatkan kisah tentang Laksamana Bentan dengan Sultan Mahmud Shah II. Laksamana Bentan atau Megat Seri Rama adalah merupakan seorang laksamana yang taat menjunjung titah perintah sultan, sehinggalah suatu hari apabila pulang daripada peperangan di perairan Johor, beliau mengamuk kerana isterinya (Dang Anum) dibunuh oleh Sultan Mahmud Shah II semasa sepermegiannya. Berpunca daripada hanya seulas nangka, perut Dang Anum telah dibelah dan dirobek sehingga menyebabkan kematiannya. Tindakan semborono kerana ‘berbaju besi’ dengan gelaran sultan menyebabkan rasional (mantik) dicampakkan ke tepi manakala ego digenggam erat rapat ke dada.

Kisah Yusuf dengan isteri al-Aziz si pemerintah Mesir [kononnya Zulaikha; saya lebih berminat menggunakan ‘wanita’] yang dikhabarkan dalam surah Yusuf ayat 23 sehingga 29, melihatkan kita bahawa kerabat atau darjat bukanlah benteng mengatakan ‘saya’ paling mulia dalam bentuk apa sekalipun. Demi menyelamatkan diri sendiri, wanita tersebut telah menfitnah Yusuf dengan mengatakan bahawa dia ingin dipujuk oleh Yusuf. Kemudian hadir salah seorang wanita lain yang datang mengajukan hujah sekiranya baju Yusuf koyak dari depan, maka Yusuf yang bersalah tetapi sekiranya koyak dari belakang maka wanita (isteri al-Aziz) yang bersalah. Berdasarkan hujah ini diketahuilah bahawa wanita itu yang bersalah. Lalu, mengertilah kita bahawa gelaran isteri sang pemerintah atau memegang apa-apa gelaran bukanlah bermaksud kata-kata atau tingkahnya tidak mungkin tersalah.

Setelah meneliti beberapa kisah di atas, cuba kita bandingkan keadaan semasa di negara Malaysia. Isu kontemporari yang melihatkan kita keadaan kosmologi pemikiran sang penguasa. Saya berpendapat, tindakan merobohkan surau resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor menjadi aras tahap pemikiran sultan untuk tatapan rakyat. Ketika Rasulullah s.a.w mengajar di Masjid al-Nabawi, baginda telah membenarkan golongan Yahudi (bukan beragama Islam) bersolat dengan cara mereka (Yahudi) di dalamnya. Kerisauan saya, implikasi terhadap peristiwa ini hanyalah memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam iaitu mendatangkan fitnah terhadap Islam. Ini adalah disebabkan Islam tidak pernah mengajar untuk merobohkan rumah ibadat bahkan dalam berperang sekalipun tidak boleh menyerang atau merosakkan sesekali rumah ibadat. 

Mengkaji sejarah dan meneliti keadaan persekitaran merupakan satu kemestian yang dilakukan oleh insan budiman. Kegersangan ilmu pengetahuan dalam membentuk keharmonian menunjukkan tanda aras kematangan dan keintelektualan seseorang. Tidak kira mempunyai gelaran ustaz, ulama, sultan atau raja, bukanlah suatu kepastian bahawa mereka adalah maksum dan titahnya adalah sabda. Setiap anak Adam itu adalah pendosa, dan sebaiknya pendosa adalah mereka yang bertaubat. Jangan menyalahkan masyarakat sekiranya kita sudah bertaubat tetapi kisah lama diungkap semula. Mengapa tidak ditimbangi antara kebaikkan dan keburukkan terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. 

Dunia tabii indahnya luas,
beri peluang berlaku buas,
mungkin kini diriku bebas,
fikirlah; benarkah terlepas?

Kebenaran tidak ditentukan oleh ‘prestij’ tetapi keharmonian qalbu dalam melakukan sesuatu yang menjadi cerminan kepada sosok tubuh si pelaku. Saya sisipkan kata-kata terakhir Laksamana Bentan agar kita bisa berfikir; “Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah”.


Ads 468x60px

Featured Posts