Kira-kira tiga bulan yang lepas saya ada menulis satu artikel bertajuk Tentang Atlet Wanita Berseluar Pendek iaitu berkaitan seorang pelajar wanita yang menyertai acara larian jalan kaki di Kejohanan Olahraga Masjlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kulaijaya dengan secara sukarelanya telah memakai seluar pendek tetapi memakai tudung.

Ternyata isu ini telah mendapat perhatian masyarakat walaupun secara asasnya mereka tidak memahami peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap atlet mahupun pegawai pertandingan. Yang menariknya, rata-rata yang memberi komen ataupun respon berkaitan isu tersebut adalah berpaksikan agama dan berbentuk cemuhan semata-mata.

Dalam beberapa yang hari lepas, isu yang lebih kurang sama telah berlaku. Apabila Farah Ann Abdul Hadi yang merupakan atlet gimnastik negara telah memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura dicemuh kerana dikatakan tidak menutup aurat. Ternyata, rata-rata masyarakat masih memandang sukan dari sudut hukum hakam semata-mata tetapi tidak melihat dari segi intipati dan semangat kesukanan itu secara keseluruhan.

Satu perkara yang amat baik apabila seseorang itu mengambil berat sesuatu perkara yang berlaku di sekelilingnya. Ini disebabkan oleh, seseorang individu adalah sebuah karekter yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Tanpa individu tidak akan wujud masyarakat dan tanpa masyarakat sudah tentu tidak akan mewujudkan sesebuah negara.

Tidak kira apapun yang berlaku di sekeliling kita, setiap individu mempunyai hak untuk berpatisipasi dalam memberikan pandangan mereka tetapi mestilah dengan tanggungjawab iaitu memahami kandungan sesuatu perkara itu dengan sebaiknya. Individu tersebut juga mestilah memahami had kebebasan yang dimilikinya dan ruang kebebasan yang dimiliki oleh individu lain dalam memberikan pandangannya.

Dalam isu Farah ini, saya tidak bersetuju dengan pihak yang menggunakan alasan agama untuk mencemuh pakaian yang telah dipakainya. Bahkan, saya juga menolak pendapat Harussani selaku Mufti Perak yang mengatakan bahawa sukan gimnastik bukan untuk orang Islam. Pendapat seperti ini bagi saya adalah keterlaluan dan pemikiran yang terlalu cetek.

Pertamanya, saya melihat bahawa Farah selaku individu, beliau berhak memilih tatacara pemakaian yang diingininya. Saya yakin bahawa orang ramai akan berkata bahawa selaku muslim dia wajib menutup auratnya tetapi saya berpendapat bahawa wajib itu antara dia dengan Tuhan bukan dengan masyarakat kerana tuntutan agama itu bersifat peribadi dan bukan paksaan tetapi secara suka rela.   

Seseorang yang mempercayai Islam sebagai agama yang benar, dia tidak berhak untuk memaksakan kepercayaannya itu kepada orang lain. Ataupun jika seseorang itu percaya kepada sesuatu tuntutan dalam sesebuah agama, dia juga tidak berhak untuk memaksakan perlaksanaan itu kepercayaannya itu kepada orang lain. Agama tidak sewajarnya bersifat pemaksaan kerana ianya hanya akan membuatkan orang muak dan benci dengan agama.  

Asas kepada pemakaian gimnastik tersebut adalah untuk memudahkan juri melihat dan membuat pengadilan dalam setiap gerak yang dilakukan oleh atlet. Dimana sukan ini mementingkan gerak geri yang lancar dan kemas. Sekiranya pakaian yang longgar dan besar dikenakan oleh altet maka ianya sukar untuk juri melakukan pengadilan yang tepat.

Keduanya, rata-rata atlet gimnastik menerima pemakaian seperti itu adalah sebagai salah satu etika pemakaian semasa pertandingan. Makanya, Farah hanya memakai pakaian seperti itu di dalam gelanggang pertandingan. Tindakannya itu dianggap beretika apabila berada di dalam gelanggang atau sekitar kawasan pertandingan. 

Dalam isu ini juga perlunya kita memahami konsep private sphere (ruang peribadi) dan public sphere (ruang awam). Dalam konteks ini gelanggang adalah private sphere bagi atlet untuk mengenakan pemakaian yang dianggap olehnya sesuai dan beretika. Saya percaya bahawa kita tidak akan melihat Farah memakai pakaian yang sama berjalan-jalan di tengah kota atau pusat membeli belah.

Ketiganya, pada saya adalah sesuatu perkara yang sangat penting untuk juga ditekankan iaitu isu kesaksamaan jantina. Oleh disebabkan Farah ini adalah seorang wanita, maka dia telah ditempelak dan dicemuh dengan pelbagai kata-kata yang kesat. Sedangkan atlet lelaki dalam sukan yang lain seperti sukan terjun, bina badan dan renang tidak pula diperlakukan seperti Farah.

Walaupun perbahasan aurat dalam agama Islam berbeza antara lelaki dan perempuan tetapi bagaimanapun hak untuk memilih tatacara pemakaian atau cara pemakaian itu adalah perlu diberikan secara saksama kepada sesiapa sahaja. Tidak kira samada lelaki mahupun perempuan.

Novriantoni Kahar dalam novelnya bertajuk Imaji Cinta Halima mengkritik budaya pemakaian ini dengan bernas sekali. Apabila watak dalam kisah tersebut yang kebetulan bernama Farah walaupun telah mengenakan purdah dan tudung berlitup tetapi mata lelaki-lelaki masih sahaja memandangnya dengan pandangan tajam (berahi).

Zakiah yang merupakan kakak senior Farah menyatakan bahawasanya bukan Farah yang menggoda tetapi tingkah laku sang lelakilah yang perlu dibina dan hasrat mereka yang kurang berbudaya. Kita perlu belajar dan terus belajar bahawa golongan wanita tidak wajar dilihat sebagai objek seks tetapi mereka juga adalah insan yang perlu diperlakukan dengan nilai-nilai kemanusiaan seperti manusia yang lain.

Saya percaya bahawa setiap agama secara asasnya menganjurkan perkara yang membawa manusia ke arah kebaikkan dan saya juga percaya bahawa penganut yang mencemuh dan meletakkan dirinya sebagai bayang-bayang Tuhan hanya akan memberi kesan yang buruk kepada agama itu sendiri.
Penganut agama yang baik adalah dia mampu untuk mengajar manusia ke arah kebaikkan tanpa melakukan apa-apa paksaan. Dia juga mampu untuk menghormati pendirian dan pegangan orang lain tanpa memaksakan kepercayaan yang dipercayainya benar.

Mengharamkan atau menghalang seseorang muslim menceburi sukan gimnastik semata-mata kerana aurat adalah sesuatu yang ketinggalan pemikiran dan pengetahuan. Dalam bidang pemakaian sukan sebenarnya sudahpun berevolusi atau berkembang dengan mengambilkira budaya dan kepercayaan atlet.


Menjadi pilihan atlet tersebut untuk mengenakan jenis pemakaian yang difikirkan selesa dan mudah untuk melakukan gerak geri semasa pertandingan. Selagi mana, tingkah laku seseorang atau atlet tersebut tidak mengganggu kebebasan dan keamanan orang lain maka selagi itu beliau mempunyai ruang kebebasan untuk dipraktikan.   


Ads 468x60px

Featured Posts