بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

"Cerita peranan mahasiswa/belia lebih disiar media baru daripada media arus perdana. Jangan salahkan orang muda tolak akhbar perdana!" - Dato' Saifuddin Abdullah.

Cadangan untuk memperluaskan Akta Mesin Cetak & Penerbitan 1984 ke atas media baru; blog, facebook, twitter, dan youtube ini tidak relevan kerana ada anasir-anasir yang ingin merencatkan peranan anak muda di negara kita. Juga melahirkan anak muda yang mempunyai idelogi berbeza dengan mereka. Jangan biarkan ini berlaku wahai rakyat sekalian. Rakyat mempunyai hak ke atas perkara ini. Jangan disekat hak-hak rakyat.

Jika perkara ini tetap dilaksanakan pasti mendapat penentangan yang hebat daripada setiap rakyat walaupun berbeza fahaman politik atau agama kerana hampir keseluruhan rakyat di negara ini menggunakan media baru ini untuk pelbagai kegunaan. Banyak usahawan akan mengalami kerugian dan kesempitan kerana salah satu medium paling penting untuk mempromosikan barangan mereka telah diperketatkan dan disekat. Mengapa ini berlaku; adakah takut akan kebangkitan anak muda?

Pemindaan akta in akan mengakibatkan kerugian yang besar kepada rakyat di negara ini antaranya :

1-      Tidak selari dengan negara menuju ke arah berteknologi tinggi.
2-      Memberikan keuntungan kepada segelintir yang berkepentingan dan kerugian kepada rakyat.
3-      Rakyat tidak mendapat berita yang sahih dan hanya mendapat berita daripada sebelah pihak sahaja.
4-      Pemikiran rakyat tidak berkembang kurang mendapat pendedahan daripada negara luar.
5-      Pemikiran rakyat didoktrin ke arah mengikut arahan dan kurang berpeluang untuk berinovasi.

Jangan biarkan diri kita terus menjadi kebodohan tanpa menyedari hak kita sedang dicabuli. Jika hak kita hendak dicabuli jangan kita terus berdiam diri. Jika perkara ini berlaku juga mari kita bersama-sama menyuarakan suara, hak kita dan tentang supaya akta ini tidak dipinda. Beri kebebasan kepada media baru ini kerana suara anak-anak muda yang mempunyai ideologi dan suara yang baru tidak akani diperdendangkan dalam akhbar atau media lama. Perkara seperti ini yang akan mendatangkan kerugian kepada rakyat dan seterusnya kepada negara untuk jangka masa yang panjang harus kita tentang!


Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam



بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Pilihanraya umum akan diadakan hujung tahun ini?
Mungkinkah akan berlaku perkara yang dasyat hujung tahun ini?
Merubah suasana dan keadaan Malaysia ini?

Kita merancang, Allah merancang, perancangan Allah lebih hebat daripada segala-galanya..
Tiada yang lebih mengetahui melainkan Allah yang Maha Mengetahui. Marilah kita bersama-sama mendoakan yang terbaik untuk umat Islam di negara ini. Semoga Allah melindungi mukmin di Malaysia ini. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Melindungi.....

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Setelah membaca buku bertajuk 'Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad' hasil karya Riduan Mohd Nor ianya memberikan satu pengalaman yang sangat berharga. Buku ini menerangkan rentetan perjalanan perjuangan mahasiswa/mahasiswi di negara ini dalam tahun 60an sehingga awal tahun 2007. Buku ini juga menerangkan kenapa berlakunya kemelesetan perjuangan dan kesedaran mahasiswa pada zaman sekarang ini. Pelbagai keintektualan mahasiswa/mahasiswi yang tercipta seterusnya membawa kepada perubahan negara pada masa itu. 

Saya telah terpanggil untuk membeli buku ini pada beberapa hari lepas semasa berjalan di dalam sebuah buku terletak di Ampangan, Seremban. Setelah membeli dan berpeluang untuk membaca buku ini sedikit sebanyak telah memberi saya pengetahuan sejarah berkenaan dengan rentetan perjuangan insan yang bergelar mahasiswa/mahasiswi. Terdetik dalam hati ini, masih adakah mahasiswa/mahasiswa pada zaman sekarang ini yang mempunyai kekuatan dan keberanian seperti tokoh-tokoh 60an sehingga 80an seperti Anuwar Ibrahim, Hadi Awang, Hishammudin Rais, dan beberapa tokoh lain yang sehingga kini masih lagi menjadi mainan di bibir kita. 

Sedar atau tidak sedar, generasi pimpinan era 60an sehingga 80an ini, telah sampai ke penghujung eranya dan akan meninggalkan harta pusaka ini kepada generasi muda yang ada sekarang. Persoalannya adakah mahasiswa/mahasiswi sekarang ini sudah bersedia dengan perjuangan ini? Adakah mahasiswa/mahasiswi tahu akan hak mereka di universiti? Adakah mahasiswa/mahasiswi tahu tanggungjawab mereka sebagai seorang insan yang bergelar mahasiswa/mahasiswi? Adakah datang ke universiti ini semata-mata hendak menjadi ulat buku dan memegang segulung ijazah selepas 3 atau 4 tahun belajar di universiti?

Itulah hakikatnya fenomena yang sedang melanda mahasiswa/mahasiswi sekarang ini. Mereka tidak peka kepada keadaan sekeliling sehingga ada yang tidak mengenali rakan atau jiran bersebelahan bilik. Apatah lagi isu-isu semasa dalam dan luar kampus. Walaupun fenomena ini terus melanda mahasiswa/mahasiswi di setiap universiti, Alhamdulillah masih lagi terdapat sebilangan mahasiswa/mahasiswi yang tersedar daripada lena ini. Mahasiswa/mahasiswi ini tidak pernah berputus asa untuk memperjuangkan hak dan keadilan untuk mereka. Mahasiswa/mahasiswi ini juga sedar akan tanggungjawab mereka selepas bergraduat satu hari nanti dimana merekalah penyambung warisan kepimpinan negara pada masa hadapan. Mahasiswa/mahasiswi inilah bergelar Pro-Mahasiswa.

Pro-Mahasiswa ini bukanlah fokus penulisan saya pada kali ini tetapi fokus saya ialah membawa mahasiswa/mahasiswi ke arah keterbukaan minda supaya sedar akan tanggungjawab mahasiswa/mahasiswi bukanlah sekadar mendapatkan segulung ijazah. Dilihat daripada perjuangan mahasiswa/mahasiswi dahulu hingga menyebabkan Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah berundur atas desakan mereka. Peristiwa ini telah menunjukkan bahawa kekuatan mahasiswa/mahasiswi pada masa itu sangat digeruni oleh segenap masyarakat pada masa itu. Sebagai mahasiswa/mahasiswi mempunyai keintelektualan yang tinggi saya seru, marilah kita bersama-sama bangun dan bangkit dalam mengembalikan zaman kegemilangan mahasiswa/mahasiswi.

Saya yakin dan percaya bahawa keintektualan yang ada pada kita mampu mengubah keadaan negara kita yang hanya mementingkan kekayaan dan kebahagiaan di dunia tidak kira melalui cara yang halal atau haram. Dasar pemerintahan negara kita juga telah banyak membuka ruang kepada kejatuhan akhlak rakyatnya. Kita telah lupa bahawa Islam mempunyai cara hidup yang sempurna. Banyak ayat Quran yang menasihati dan mengajar kita bagaimana cara untuk hidup di dunia. Allah juga telah memberikan peringatan kepada kita tentang Yahudi dan Nasrani tetapi pemimpin negara kita ini masih lagi mengagung-agungkan pemimpin Amerika Syarikat yang telah banyak membawa kepada banyak kerosakkan dan kehancuran negara-negara yang dianggap tidak bersekutu dengan mereka:

“Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang sudah terpesong). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak haa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuna kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” ( Surah Al-Baqarah;120)

Justeru, wahai mahasiswa/mahasiswi teman seperjuanganku mari kita bersama-sama mengubah ini semua. Kembalikan dasar pemerintahan Islam. Kita mulakan dengan Pilihanraya Kampus 2011 yang tidak lama lagi akan berlangsung lebih kurang sebulan daripada sekarang. Cuba luaskan pandangan dan ilmu anda dengan pembacaan apakah itu Pro-Mahasiswa dan apakah itu Pilihanraya Kampus. Jangan biarkan kampus dan negara kita ini hancur dengan keruntuhan akhlak. Sekali lagi saya tegaskan, saya yakin dan percaya kita mampu mengubahnya!!!!!!!! 

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam



Hari Ini Bukan Semalam,
Hari Ini Bukan Esok Atau Lusa,
Tetapi Hari Ini Adalah Hari Ini
Dan Hari Ini Adalah Perjuangan.

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Secara amnya semalam adalah hari sebelum hari ini, esok adalah hari selepas hari ini dan lusa adalah hari selepas esok. Apa yang saya cuba bawakan hari ini adalah berkenaan dengan fahaman ‘semalam’ bukanlah semata-mata hari sebelum hari ini tetapi bagi saya adalah hari yang telah berlalu dan tidak mungkin akan datang kembali hari itu malah ianya telah pergi buat selama-lamanya. Saya juga ingin membawa fahaman ‘esok’ dan ‘lusa’ bukanlah semata-mata keesokkan harinya atau keesokkan esoknya tetapi adalah berkenaan dengan hari-hari yang mendatang iaitu masa depan kita.

Fitrah sebagai seorang manusia pasti melalui fasa ‘Semalam’ tetapi mungkin fasa ‘Esok’ dan ‘Lusa’ tidak mungkin dikecapi kerana hidup dan mati ini telah ditentukan oleh KHALIK (Sang Pencipta) kita; ALLAH s.w.t.  Walaupun hidup dan mati telah ditentukan oleh ALLAH s.w.t, kita masih berpeluang untuk memperbaiki diri kita untuk masa-masa yang mendatang.

Jika ‘Semalam’ kita adalah seorang yang bermasalah, penipu, ahli maksiat, dan pengamal kepada kemungkaran tetapi ‘hari ini’ kita masih lagi diberi kesempatan oleh ALLAH s.w.t untuk menghirup udara yang segar, untk merasa kasih sayang sesama insan, nikmat dan rezeki yang tidak terhitung banyaknya.  Mari kita timbulkan persoalan dalam diri kita adakah apa yang diberi oleh ALLAH s.w.t ‘Hari Ini’ untuk kita meneruskan kejahilan yang telah dilakukan? 

‘Hari Ini’ ini adalah perjuangan untuk hari-hari yang mendatang, 'Hari Ini' adalah pengampunan yang diberikan oleh ALLAH s.w.t atas dosa-dosa yang telah kita lakukan ‘Semalam’, ‘Hari Ini’ adalah peluang untuk kita bertaubat kepada ALLAH s.w.t, ‘Hari Ini’ adalah peluang untuk kita meluruskan diri kita yang selama ini penuh dengan likunya. Pelbagai rezeki yang telah diberikan oleh ALLAH s.w.t supaya kita sedar bahawa mati itu adalah pasti dan selepas itu barulah kehidupan yang selama-lamanya berlaku. Bersama kita renungkan hadith ini :

Dari Anas bin Malik r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesunggunhnya ALLAH lebih suka menerima taubat seorang hambaNYA melebihi kesenenangan seorang yang menemukan kembali tiba-tiba untanya yang telah hilang daripadanya di tengah-tengah hutan.
(Bukhari-Muslim)

Di dalam hadis yang lain :
Sesungguhnya ALLAh lebih gembira atas taubatnya seorang hamba daripada :

·         orang yang kehausan lalu menemukan sumber air
·         dan lebih gembira daripada wanita mandul yang dapat melahirkan
·         dan lebih gembira daripada orang yang kehilangan lalu menemukan yang hilang itu.

Barangsiapa bertaubat kepada ALLAH dengan taubat yang murni, maka ALLAH melupakan malaikat pencatit amalnya, semua anggota tubuhnya dan tempa-tempat ia melakukan dosa, sehingga semuanya tidak dapat menjadi saksi bagi kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang dikerjakan  (sebelum ia bertaubat) - Riwayat Abu Abbas al Hamadani.

Jangan kerana ‘Hari Ini’ kita memperjudikan dan mempersiakan nasib ‘Esok’ atau ‘Lusa’.  ‘Esok’ dan ‘Lusa’ adalah hasil daripada semaian perjuangan kita pada ‘Hari Ini’.  Semoga kita sentiasa memperbetulkan diri kita untuk mencapai kerehdaan ALLAH s.w.t pada kemudian hari.  Pesanan ikhlas kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat.

Kesalilah Apa Yang Telah Dilakukan ‘Semalam’ Demi Kebangkitan ‘Hari Ini’, Bangkitlah ‘Hari Ini’ Dengan Meluruskan Saf Perjuangan Demi Mengecapi Hasil ‘Esok’ Atau ‘Lusa’, Dan Kecapilah Kejayaan ‘Esok’ Dan ‘Lusa’ Hasil Daripada Semaian ‘Hari Ini’.

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam





بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Dalam suka ada dukanya,

Dalam manis ada pahitnya,

Dalam sejuk ada panasnya,

Dalam cerah ada mendungnya,

Dalam lurus ada likunya,

Dalam angin ada taufannya,

Dalam pandai ada bodohnya,

Dalam tulus ada helahnya,

Dalam sayang ada bencinya,

Dalam bangun ada jatuhnya,

Dalam nampak ada butanya,

Dalam tenang ada badainya,


Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam


Alhamdulillah akhirnya pada tanggal 1 Januari 2011 berakhirnya Kursus Kepimpinan Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail 2010 Siri (03) atau lebih dikenali dengan KUKEM 2010 Siri (03). KUKEM 2010 Siri (03) bermula daripada 26 Disember 2010 sehingga 1 Januari 2011 merupakan tarikh yang keramat untuk aku dan teman seperjuanganku bersama membanting tulang dalam melaksanakan amanah yang dipikul kerana Allah. Bukan kerana pangkat, nama, dan kuasa tetapi kerana mencari keredhaan Allah untuk 'Membentuk Generasi Pemimpin' yang ada di Kolej Tun Dr. Ismail ini. 'Kepemimpinan Teras Kejayaan' merupakan satu semangat yang disuarakan oleh barisan kepimpinan Kolej Tun Dr. Ismail sebagai satu wadah untuk membangkitkan semula zaman kegemilangan kepimpinan Islam di Kolej Tun Dr. Ismail. Kepimpinan yang berteraskan Islam akan mencipta 'Pemimpin Pemacu Kegemilangan' yang sanggup berkorban hanya kerana agama dan kolej tercinta ini.

KUKEM 2008 Siri (01) merupakan satu permulaan yang hebat kerana telah menjadi landasan kepada KUKEM 2009 Siri (02) dan KUKEM 2010 Siri (03). 'Membentuk Generasi Pemimpin' merupakan slogan yang digunakan dalam KUKEM 2008 Siri (01) bertepatan dengan kehendak barisan kepimpinan Kolej Tun Dr. Ismail pada masa itu yang ingin melahirkan pemimpin yang hebat dalam kemahiran insaniahnya dan disegani oleh kolej-kolej kediaman yang lain di Universiti Putra Malaysia. KUKEM 2008 Siri (01) yang telah diadakan di Kem Sg. Pauh, Cameron Highland telah mencatatkan sejarah tersendirinya apabila telah berjaya menjadi pemula untuk direkodkan edisi KUKEM ini.

Usaha membentuk seseorang atau generasi pemimpin itu bukanlah dapat dilakukan hanya dalam masa seminggu atau tujuh hari tetapi memerlukan satu jangkamasa yang lama.  Justeru itu, KUKEM 2009 Siri (02) telah dilaksanakan bagi memastikan legasi kepimpinan Kolej Tun Dr. Ismail menjadi semakin matang dan mantap. 'Kepemimpinan Teras Kejayaan' merupakan slogan KUKEM 2009 Siri (02) menyedarkan kepada warga Kolej Tun Dr. Ismail bahawa untuk mencapai kejayaan perlulah adanya barisan kepimpinan yang mantap. Sejarah mengajar kita bagaimana dengan barisan kepimpinan Rasulullah s.a.w yang hebat telah berjaya membawa kepada keagungan Islam suatu masa dahulu.

'Pemimpin Pemacu Kegemilangan' merupakan slogan KUKEM 2010 Siri (03) yang menggambarkan bahawa pemimpin itu adalah tonggak atau playmaker kepada kegemilangan Islam dan Kolej Tun Dr. Ismail. Jangan kita membiarkan agama dan kolej kita diperkotak-katikkan oleh orang lain tetapi jadilah seorang pelindung kepada agama dan kolej ini. Walaupun terdapat pelbagai agama dalam kolej ini tetapi ianya tidak menjadi penghalang untuk agama selain daripada Islam mendapat hak yang sepatutnya mereka dapat. Pemimpin-pemimpin inilah yang ingin kita lahirkan supaya nasib warga kolej ini terbela. Biarpun dicaci dan dihina tetapi selagi apa yang dilakukan itu benar, insyaALLAH akan mendapat perhatian daripada Allah.

Jangan dikuathiri ditentang dan dihina oleh orang lain kerana itulah asam garam menjadi seorang pemimpin. Pemimpin ada yang menentang kebenaran dan ada pemimpin yang memperjuangkan kebenaran. Janganlah menjadi pemimpin yang menentang kebenaran kerana tidak ramai pemimpin yang ingin memperjuangkan kebenaran. Hak pelajar harus diutamakan, kepentingan peribadi harus diketepikan. Berjaya atau tidak lain ceritanya tetapi yang paling utama adalah perjuangan. Lihatlah di Semenanjung Gaza, perjuangan mereka tidak pernah selesai dan semangat itulah yang perlu dicontohi oleh barisan kepimpinan Kolej Tun Dr. Ismail supaya dalam usaha 'Membentuk Generasi Pemimpin' menyedarkan bahawa 'Kepemimpinan Teras Kejayaan' dan akan lahirlah 'Pemimpin Pemacu Kegemilangan'.

Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam


Ads 468x60px

Featured Posts