Hari Ini Bukan Semalam,
Hari Ini Bukan Esok Atau Lusa,
Tetapi Hari Ini Adalah Hari Ini
Dan Hari Ini Adalah Perjuangan.
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.
Secara amnya semalam adalah hari sebelum hari ini, esok adalah hari selepas hari ini dan lusa adalah hari selepas esok. Apa yang saya cuba bawakan hari ini adalah berkenaan dengan fahaman ‘semalam’ bukanlah semata-mata hari sebelum hari ini tetapi bagi saya adalah hari yang telah berlalu dan tidak mungkin akan datang kembali hari itu malah ianya telah pergi buat selama-lamanya. Saya juga ingin membawa fahaman ‘esok’ dan ‘lusa’ bukanlah semata-mata keesokkan harinya atau keesokkan esoknya tetapi adalah berkenaan dengan hari-hari yang mendatang iaitu masa depan kita.
Fitrah sebagai seorang manusia pasti melalui fasa ‘Semalam’ tetapi mungkin fasa ‘Esok’ dan ‘Lusa’ tidak mungkin dikecapi kerana hidup dan mati ini telah ditentukan oleh KHALIK (Sang Pencipta) kita; ALLAH s.w.t. Walaupun hidup dan mati telah ditentukan oleh ALLAH s.w.t, kita masih berpeluang untuk memperbaiki diri kita untuk masa-masa yang mendatang.
Jika ‘Semalam’ kita adalah seorang yang bermasalah, penipu, ahli maksiat, dan pengamal kepada kemungkaran tetapi ‘hari ini’ kita masih lagi diberi kesempatan oleh ALLAH s.w.t untuk menghirup udara yang segar, untk merasa kasih sayang sesama insan, nikmat dan rezeki yang tidak terhitung banyaknya. Mari kita timbulkan persoalan dalam diri kita adakah apa yang diberi oleh ALLAH s.w.t ‘Hari Ini’ untuk kita meneruskan kejahilan yang telah dilakukan?
‘Hari Ini’ ini adalah perjuangan untuk hari-hari yang mendatang, 'Hari Ini' adalah pengampunan yang diberikan oleh ALLAH s.w.t atas dosa-dosa yang telah kita lakukan ‘Semalam’, ‘Hari Ini’ adalah peluang untuk kita bertaubat kepada ALLAH s.w.t, ‘Hari Ini’ adalah peluang untuk kita meluruskan diri kita yang selama ini penuh dengan likunya. Pelbagai rezeki yang telah diberikan oleh ALLAH s.w.t supaya kita sedar bahawa mati itu adalah pasti dan selepas itu barulah kehidupan yang selama-lamanya berlaku. Bersama kita renungkan hadith ini :
Dari Anas bin Malik r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesunggunhnya ALLAH lebih suka menerima taubat seorang hambaNYA melebihi kesenenangan seorang yang menemukan kembali tiba-tiba untanya yang telah hilang daripadanya di tengah-tengah hutan.
(Bukhari-Muslim)
Di dalam hadis yang lain :
Sesungguhnya ALLAh lebih gembira atas taubatnya seorang hamba daripada :
· orang yang kehausan lalu menemukan sumber air
· dan lebih gembira daripada wanita mandul yang dapat melahirkan
· dan lebih gembira daripada orang yang kehilangan lalu menemukan yang hilang itu.
Barangsiapa bertaubat kepada ALLAH dengan taubat yang murni, maka ALLAH melupakan malaikat pencatit amalnya, semua anggota tubuhnya dan tempa-tempat ia melakukan dosa, sehingga semuanya tidak dapat menjadi saksi bagi kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang dikerjakan (sebelum ia bertaubat) - Riwayat Abu Abbas al Hamadani.
Jangan kerana ‘Hari Ini’ kita memperjudikan dan mempersiakan nasib ‘Esok’ atau ‘Lusa’. ‘Esok’ dan ‘Lusa’ adalah hasil daripada semaian perjuangan kita pada ‘Hari Ini’. Semoga kita sentiasa memperbetulkan diri kita untuk mencapai kerehdaan ALLAH s.w.t pada kemudian hari. Pesanan ikhlas kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat.
Kesalilah Apa Yang Telah Dilakukan ‘Semalam’ Demi Kebangkitan ‘Hari Ini’, Bangkitlah ‘Hari Ini’ Dengan Meluruskan Saf Perjuangan Demi Mengecapi Hasil ‘Esok’ Atau ‘Lusa’, Dan Kecapilah Kejayaan ‘Esok’ Dan ‘Lusa’ Hasil Daripada Semaian ‘Hari Ini’.
Mudarristarmizi
Membangun Bersama Islam
Catat Ulasan