بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


Semua tapi satu, banyak tetap satu, dan sikit juga adalah satu. Pokoknya jika lebih daripada satu tetap dipanggilnya satu. Ada dua belah kaki tetapi tetap kita katanya hak milik seorang individu, masakan kita kata dua belah kaki itu milik si fulan dan si fulan, tidak mungkin. Dua belah tangan juga dipanggilnya milik seseorang tidak dipanggil milik dua orang. Mata dan telinga juga milik seseorang, pasti pelik kita katakan kedua belah telinga itu adalah hak milik dua orang walhal telinga itu hanya sepasang. Dua = Sepasang.

Sepasang suami isteri; lelaki + perempuan, bukankah dua individu yang berbeza tetapi mengapa tetap digelarkan sepasang? Duduk bersandar di sepohon pokok sambil bertanya kepadanya, mengapa? Adakah hukum alam ini salah? Adakah ada perkara yang tidak kena dengan ilmu mantik yang pernah aku pelajari? 1+ 1=1?...1+2+3+4+5+9999+10000=1?

Pelbagai budaya yang lahir daripada pelbagai bangsa; Cina, India, Melayu, White, Black dan ramai lagi. Bukankah semua itu lebih daripada satu tetapi sehingga hari ini masih lagi kita katakan ianya tetap satu? Kesemua kamus dunia ini bersetuju menyatakan bahawa Cina, India, Melayu, White, Black ini adalah satu; manusia. Ya, mereka semua walaupun berlainan bangsa tetapi pada dasarnya tetap mempunyai hati dan perasaan. Cintakan keindahan alam dan cintakan kedamaian. Unik, sungguh unik.

Pelbagai jenis haiwan; harimau, kucing, biawak, landak tetapi kita tetap gelarkan mereka dengan satu gelaran iaitu haiwan. Tidak pula haiwan itu kita gelarkan tumbuhan atau kita gelarkan manusia. Begitu juga tumbuhan, pelbagai jenis adanya samada di hutan, di bandar, di lembah atau di gunung tetap semuanya itu bernaung di bawah satu nama tumbuhan.

Pelik tapi itulah dia; Satu, Esa, Wahid.

Pelbagai agama yang lahir; Kristian, Islam, Buddha, mahupun Hindu semuanya adalah satu. Atas dasar apakah yang satu itu? Ya, penyerahan diri, ketaatan, kedamaian jiwa itulah tujuannya. Tetapi masih tidak diterima apakah maksudnya 1+1+1+1=1, bukankah ini menyalahi konsep matematik yang telah dipersetujui sejak berkurun lama dahulu?

Mereka menjadikan orang-orang alim (Yahudi), dan rahib-rahibnya (Nasrani) sebagai tuhan selain Allah, dan (juga) Al-Masih putera Mariam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Maha Esa; tidak ada tuhan selain Dia. Mahasuci Dia dari apa yang mereka persekutukan. (9:31)

Mahu tidak mahu sebenarnya rumus matematik tidak mampu untuk merungkai persoalan ini. Berpuluh kapal berlayar di lautan tetaplah ia dipanggil kapal tidak pula dipanggil kereta, berpuluh kapal yang berlayar di lautan masih tetap lagi berada di sebuah planet yang digelar bumi. Inilah hakikat alam, tidak kira berapa banyak atau bilangannya sebenarnya ia terselimut oleh Angka yang bernilai Satu.

Katakanlah (Muhammad), “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia. (112:1-4)

Biarlah kita berlainan bangsa, berlainan budaya, hatta berlainan negara tetapi akar kepada sebuah pohon itu sebenarnya tetaplah Allah yang menjadikan. Dia-lah yang mencipta manusia, Dia jugalah yang menciptakan haiwan dan tumbuhan serta Dia jugalah yang mencipta alam. Agama yang berbeda bukanlah alasan untuk kita mendabik dada dan menghina yang lain tetapi sebenarnya adalah untuk memberikan peringatkan kepada hamba-Nya agar berfikir mencari hakikat sebenar kepada semua ciptaan ini. Jika tayar diperbuat daripada getah, minyak daripada petroleum, dan kuman daripada organisma, maka apakah atau siapakah yang membuat atau menciptakan manusia? Telah dinukirkan dalam Al-Quran perihal terciptanya manusia :

Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa. (2:21)

Maka terjawablah persoalan yang tidak dapat dijawab oleh rumus matematik iaitu Dia-lah; Allah Maha Esa.


Ads 468x60px

Featured Posts