Lebih seratus tahun dahulu isu
keperluan pendidikan tinggi telah dibincangkan oleh ilmuan di Malaysia yang
ketika itu masih lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Mesyuarat Majlis Raja-raja
pada tahun 1903 pernah membincangkan kepentingan ilmu ditanam menjadi darah
daging anak bangsa. Pada tahun 1917, Za’ba telah membangkitkan isu ini dalam
akhbar Lembaga Melayu. Begitu juga seorang tokoh pendidik tanah air, A. Kadir
Adabi yang telah menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan Kelantan pada tahun
1923. Semua ini adalah usaha untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan
memberikan sumbangan kepada tanah air tercinta.
Setengah abad selepas semboyan
perjuangan pendidikan tinggi dibunyikan, sinar keilmuan menjadi pasakan dalam
jiwa sanubari masyarakat seakan semakin mampu dimahkotai. Empat tahun selepas
kemerdekaan yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman iaitu pada tahun 1961,
institusi pendidikan tinggi negara yang pertama di Malaysia (masih Tanah Melayu
ketika itu) telah berjaya ditubuhkan. Universiti Malaya (1961), Universiti
Sains Malaysia (1969), Kolej Tunku Abdul Rahman (1969) dan Universiti
Kebangsaan Malaysia (1970) adalah merupakan antara institusi pendidikan tinggi
negara yang terawal berjaya ditubuhkan.
Dengan tertubuhnya institusi
pendidikan tinggi negara maka diharapkan akan lahirlah individu-individu yang
mampu membentuk sebuah masyarakat yang bertunjangkan ilmu pengetahuan. Namun,
setelah mencapai usia 52 tahun, institusi pendidikan tinggi negara tampaknya
kurang subur dalam melahirkan ilmuan yang berani menyuarakan pandangan supaya
mampu mengubah paradigma masyarakat ke arah bertunjangkan ilmu pengetahuan.
Sebaliknya kejayaan yang paling besar adalah melahirkan ilmuan dan masyarakat
yang takutkan perubahan, taat membabi-buta, bersifat perkauman yang tinggi, dan
kehakisan sifat mencintai ilmu.
Penulis cuba menggunakan susunan
ayat yang sesuai dengan golongan akedamik supaya diri ini tidak terlebih bicara
dan terkasar bahasa. Niat di hati; yang tua dihormati kerana kematangannya
dalam berfikir menegakkan kebenaran dan yang muda disayangi kerana
keikhlasannya dalam berjuang membenamkan kebatilan. Penulis cuba memberi
tasawwur (gambaran) secara jelas terhadap fenomena kelesuan golongan ini.
Hakikat fenomena kelesuan yang melanda akedamia perlu diambil serius kerana
golongan inilah yang bertindak sebagai pendidik, guru dan idola kepada
mahasiswa dan anak muda di sesebuah negara sewajarnya. Artikel ini memfokuskan
kepada sosok tubuh yang bergelar pensyarah di institusi pengajian tinggi dalam
negara supaya penerangan dan penjelasan dapat dilakukan dengan lebih ilmiah dan
jelas serta tidak tersimpang daripada landasan ilmu.
Prof Aziz Bari berkata, “Mereka
yang pergi ke Amsterdam atau Geneva untuk dianugerahkan pingat emas, menginap
di hotel lima bintang. Selepas itu, mereka pergi ke Kementerian Pengajian
Tinggi untuk mendapatkan lanjutan (kontrak mereka) untuk menjadi naib canselor
atau timbalan naib canselor. Ini yang berlaku”. Situasi yang sama berlaku dalam
kalangan akedamia yang berjawatan kontrak sebagai pengetua kolej kediaman.
Saling berlumba-lumba untuk mengipas timbalan naib canselor universiti supaya
dikekalkan jawatan yang disandang. Autoriti yang pada asalnya dicipta untuk
membimbing mahasiswa supaya terkehadapan dalam hal-hal kemasyarakatan kini
tidak lagi digunakan sebaik mungkin sebaliknya digunakan untuk membawa
kroni-kroni bersatu di bawah bumbung kolej.
Memberikan projek kepada saudara
mara terdekat dan mendahulukan pembayaran saudara mara berbanding projek yang telah
diselesaikan sebelumnya adalah sesuatu perbuatan yang tidak berintegriti.
Sanggup mendengar arahan timbalan naib canselor supaya membuang pelajar yang
menunjukkan pendirian yang berbeza dengan pihak universiti daripada kolej
kediaman demi menjaga kepentingan jawatan sungguh memalukan. Integriti seorang
akedamia telah menjadi buah mulut mahasiswa, adakah mereka mampu menjadi contoh
kepada mahasiswa dan anak muda walaupun mempunyai kelulusan ijazah falsafah
kedoktoran undang-undang sekalipun? Isu yang dibangkitkan oleh penulis adalah
isu dalaman dan merupakan realiti tingkahtanduk segelintir akedamia negara ini.
Seorang kakitangan kerajaan
dilarang untuk melakukan kerja sambilan atau perniagaan persendirian dalam
waktu bekerja. Hari ini terdapat akedamia yang terlalu inginkan kekayaan
sehingga mereka sanggup menggunakan waktu bekerja untuk urusan perniagaan
persendirian yang sepatutnya mereka penuhi dengan penyelidikan dan tugasan
rasmi sebagai pensyarah. Ketika mahasiswa ingin membuat temujanji dengannya
maka beliau berjanji untuk berjumpa tetapi tiba pada waktu temujanji rupanya
beliau tiada dan minta tunda pada waktu lain atas dasar ada urusan di luar.
Sedangkan keutamaan ketika itu adalah tugasan rasminya bukan berjumpa Dato’
atau Tan Sri untuk mendapatkan projek. Apabila mahasiswa itu gagal melaksanakan
tugasan dengan baik maka dikatakan mahasiswa itu pemalas dan sebagainya.
Walhal, akedamia itu sendiri sibuk dengan urusan perniagaannya.
Pendoktrinisasian terhadap
mahasiswa yang mengatakan perlu bersyukur dengan apa yang kerajaan telah
sediakan tanpa membincangkan konteks hak mahasiswa dan rakyat dengan lebih
meluas dan terperinci adalah salah satu pembunuhan kosmologi pemikiran
mahasiswa. Penulis ketika menuntut di peringkat ijazah pertama dan pernah menjadi
timbalan presiden kolej kediaman selalu disuapkan dengan kata-kata “Jangan
menggigit jari tangan yang menyuap kita makan”. Penulis yang juga merupakan
pemegang Biasiswa Kementerian Belia dan Sukan ketika itu pernah dinasihatkan
supaya jangan melawan kerajaan kerana anda adalah anak kerajaan yang bermaksud
dibiayai oleh kerajaan. Kosmologi pemikiran akedamia seperti ini telah
membuatkan mahasiswa takut untuk menyuarakan suara mereka. Mahasiswa tidak
mampu mencari akedamia yang boleh dijadikan contoh untuk terkehadapan dalam isu
kemanusiaan yang melibatkan pentadbiran negara.
Penulis dengan rendah diri
mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beberapa akedamia yang desawarsa
ini; Prof. Madya Dr. Asri , Dr. Maslee Maleek, Prof. Madya Dr. Abu Hassan,
Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Dr.
Zaharuddin Abdul Rahman, dan beberapa lagi yang sudah berani membicarakan soal
kosmologi pemikiran mahasiswa secara terbuka dan ilmiah. Sedikit sebanyak hujah-hujah
mereka yang bertaraf ‘Dr’ ini boleh dijadikan senjata buat mahasiswa untuk
bangkit memperjuangkan kebebasan akedamik. Walaupun begitu, penulis mendapati
bilangan akedamia yang mahu berjuang bersama rakyat ini perlu berkembang, tidak
boleh statik dan selesa dengan jumlah yang sedia ada. Mahasiswa memerlukan
sokongan moral yang lebih kuat daripada golongan akedamia bukan bermakna tidak
mahu berusaha sendiri tetapi ini adalah tanggungjawab bersama dalam membentuk
sebuah tamadun yang masyarakatnya cintakan ilmu dan bersih daripada
anasir-anasir korupsi.
Kehebatan sesebuah tamadun diukur
berdasarkan buku-buku (ilmu) hasil karangan ilmuwan dalam tamadun tersebut.
Kosmologi pemikiran ilmuwan dalam tamadun itu akan membentuk masyarakat ke arah
pembaharuan dari segi kosmologi pemikiran itu sendiri dan membentuk tingkahlaku
ke arah yang lebih baik. Mahasiswa hari ini memerlukan akedamia yang mahu
membawa negara kepada perubahan ke arah yang lebih baik, bukan akedamia yang
sibuk hendak membuat jurnal berwasit supaya boleh mendapat jawatan pengetua
kolej, ketua jabatan, timbalan naib canselor, naib canselor, Profesor Madya,
Profesor, atau Profesor Emeritus. Berdasarkan jawatan yang diperolehi maka
akedamia boleh mendapatkan wang yang banyak apabila dipanggil memberikan
ceramah tentang ilmu yang ada pada dirinya tetapi sebaliknya akedamia itulah
yang perlu berkorban dengan menyumbangkan tenaga dan ilmunya tanpa mengharapkan
pangkat, wang atau balasan oleh masyarakat atau rakyat. Menjadi akedamia ini
hidupnya adalah untuk masyarakat bukan kepentingan peribadi, maka berbaktilah
kepada masyarakat.
Penulis mengunjurkan kepada diri
sendiri dan golongan akedamia supaya membebaskan diri daripada belenggu
rantaian kelesuan yang menjaga periuk nasi sendiri tetapi membiarkan masyarakat
dalam negara ini mengalami kemarau yang membutuhkan ilmu. Suatu masa dahulu
penulis dimomokkan dengan istilah mahasiswa lesu, hari ini secara jujurnya
prestasi akedamia dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan masih diperingkat
memerlukan rawatan segera kerana tidak ramai yang berani tampil ke hadapan
bersuara memberikan pandangan tentang isu-isu semasa. Penulis yakin setiap
manusia itu mempunyai tahap keupayaannya yang tersendiri tetapi penulis
tinggalkan satu persoalan kepada sosok tubuh bergelar akedamia, bertanya kepada
diri sendiri di mana sumbangan anda terhadap masyarakat? Semoga dengan
persoalan itu mampu mengubah negara Malaysia menjadi negara yang lebih baik dan
kosmologi pemikiran rakyatnya mampu mencipta sebuah tamadun yang hebat.
Catat Ulasan