Saya telah selesai membaca buku
ini. Risalah yang ditulis oleh filasuf Immanuel Kant yang bertajuk Beantwortung
der Frage: Was ist Aufklarung? dalam bahasa Jerman, manakala apabila
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menjadi Apa itu pencerahan?.
Buku ini ditulis pada tahun 30
September 1784 oleh filasuf besar Immanuel Kant. Tahap pemikiran dan pandangan beliau
dipengaruhi oleh suasana di Eropah ketika itu. Di Eropah, ketika itu sedang
berlaku perubahan zaman kegelapan kepada zaman pencerahan. Berdasarkan fakta sejarah, zaman
kegelapan disebabkan oleh pihak gereja ketika itu dianggap wakil Tuhan yang
tidak boleh dikritik. Pencapaian sains tabii oleh masyarakat Eropah terbantut
kerana terlalu banyak hasil cerapan bertentangan dengan kitab suci mereka bernama Bible.
Sainsis yang mengemukakan hasil
cerapan atau kajian mereka yang didapati bertentangan dengan sabda Bible,
sainsis itu akan dipanggil oleh mahkamah gereja untuk diadili. Mengaku bersalah
(bertaubat) atau maut sekiranya mempertahankan pendirian diri menjadi pilihan
buat sainsis yang gigih mencari ilmu kebenaran. Kejadian ini menyebabkan
masyarakat Eropah menjadi tidak berani untuk menentang pihak gereja dan cuba
mencari jalan kebenaran yang sebenar.
Selepas beberapa siri pembunuhan
kepada sainsis seperti Bruno yang dibakar dan Galileo Galilei yang dipenjara
seumur hidup di rumahnya muncul individu-individu yang cuba meloloskan diri
daripada cengkaman pihak gereja yang sekian lama menggunakan istilah agama
untuk menguasai masyarakat Eropah ketika itu. Immanuel Kant adalah salah
seorang individu yang lahir selepas peristiwa itu berlaku dan pada zamannya
juga sudah terlalu hampir zaman pencerahan.
Pemikirannya dalam risalah ini
lebih tertumpu kepada kebobrokan yang dibawa oleh pihak gereja dan penguasa
yang ingin menggunakan rakyat demi kepentingan mereka tanpa boleh dipersoalkan
satu pun. Kelebihan yang dibawa oleh filasuf ini adalah beliau telah berjaya
membawa masyarakat di Jerman ketika itu untuk berubah menjadi manusia yang
berfikir. Sehinggakan beliau mengangkat berfikir lebih utama berbanding agama.
Dalam sejarah zaman kegelapan
Eropah, pemerintahan ketika itu berbentuk kuku besi atau teokrasi. Maka
masyarakat Eropah hari ini mengatakan mana-mana bentuk pemerintahan yang
menggunakan agama sebagai dasar adalah bentuk pemerintahan teokrasi. Eropah
membuat kesimpulan tersebut berdasarkan pengalaman bersama pihak gereja yang
gagal menjadi contoh terbaik untuk mereka. Disebabkan pihak gereja maka seluruh
institusi agama disalahkan dan disamaratakan.
Pemerintahan Islam sentiasa
mengajar penganutnya berfikir memerhatikan alam semesta. Setiap cerapan dan
kajian filasuf Islam yang ikhlas mencari kebenaran jarang bertentangan dengan
kitab suci al-Quran. Bahkan semasa pemerintahan Rasulullah, banyak peristiwa
yang menunjukkan kebebasan para sahabat untuk memberikan cadangan, mengkritik
dan berfikir mengenai sistem pemerintahan, peperangan dan pemimpin itu sendiri.
Pernah pada zaman Umar al-Khattab
menjadi Amirul Mukminin, beliau telah memecat Saad bin Abi Waqqas
disebabkan aduan yang tidak benar. Hendak menunjukkan kerisauan Islam dalam
mentadbir mesti adil dan menjaga kepentingan manusia bukan hanya penganutnya
sahaja. Sejak ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah, Iqra’ (baca)
yang menunjukkan manusia itu perlu berfikir dalam mencari ilmu pengetahuan.
Bahan bacaan yang didapati perlu
diperhalusi, difahami dan dianalisis supaya tidak berlaku kelolosan ilmu daripada
landasan yang sebenar. Apabila digunakan oleh individu yang ke arah kebatilan
maka ilmu tersebut juga dipandang menjadi batil tetapi jika digunakan oleh
individu yang ke arah kebaikkan maka sebaliknya akan terjadi. Ilmu berfikir
adalah sebuah ilmu yang terlalu indah, tidak ada harganya melainkan untuk
mereka yang ingin membuat perniagaan.
Kesimpulannya, buku ini sesuai
dijadikan bahan bacaan untuk membebaskan pemikiran daripada terus menjadi pentakliq buta tetapi saya mengharapkan si pembaca mengambil kira
keadaan ketika risalah di dalamnya ditulis. Keadaan ketika itu capaian maklumat
bukanlah seperti hari ini yang hanya boleh sampai dalam beberapa saat di hujung jari walaupun jauh
beratus ribu batu. Buatlah analisis kerana pendapat saya tidak semua maklumat di
dalam ini boleh digunakan untuk pasakan hidup. Pemikiran yang bebas tanpa
mengambilkira falsafah kehidupan (matlamat agama) akan rosak pada akhir kehidupannya.
Catat Ulasan