Ramadhan bakal melabuhkan tirai dan aidilfitri mengunjung tiba; Taqaballahu minna waminkum.

Dalam menunggu ketibaan Syawal, menjadi satu kepastian dan kegemaran bagi masyarakat Islam di Malaysia mendengar lagu raya. Sedari kecil sehinggalah dewasa tidak terlepas untuk bersama-sama meraikan hari kemenangan melalui bibit-bibit lagu. Seni itulah yang wujud dalam sanubari manusia berjiwa.

Dua lagu yang saya fikir memberikan nilai tinggi dalam kesenian dan kebudayaan tanah air iaitu Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina) dan Satu Hari di Hari Raya (M. Nasir).

Berdasarkan pengkajian etnomuzik kita boleh mendapati bahaya lagu Suasana Hari Raya adalah sebuah lagu yang menggambarkan bagaimana masyarakat Melayu di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Penceritaan tentang anak muda pulang ke desa, keriangan ibu bapa, ziarah menziarahi, adab bertamu, jenis makanan tradisi, perbualan antara sanak saudara, pemberian duit raya seakan-akan telah menggambarkan secara lengkap budaya dan tatacara menyambut Aidilfitri oleh masyarakat di Malaysia.

Ronasinar Kartunis dalam satu artikelnya bertajuk 'Lagu Raya yang Sempurna' telah menyatakan, "Untuk saya, lagu ‘Suatu Hari di Hari Raya’ ini sama ada versi lama atau sudah disusun semula muziknya dengan tiupan seruling yang mencucuk kalbu paling dalam, adalah lagu raya yang sempurna, lengkap pengertiannya dari sudut zahir dan batin dalam merungkai makna sebenar hari raya itu sendiri".

M Nasir telah melahirkan pengertiannya terhadap Aidilfitri bukan sekadar keriangan berziarah sanak saudara tetapi di sebalik keriangan tersembunyi keriangan hakiki iaitu yang membawa kepada pengertian metafizik.

Dua buah lagu ini merupakan lagu yang memberikan pengertian besar dalam seni tanah air. Jika terdapat kelompok yang sudi melakukan pengkajian etnomuzik pasti dua buah lagu ini merupakah lagu yang pasti dikaji kerana ia adalah khazanah Melayu Islam di Malaysia.

Rujukan :

1) http://liriklagump3.blogspot.com/2009/08/lirik-suasana-hari-raya-anuar-zain.html

2) http://jalantelawi.com/2013/07/lagu-raya-yang-sempurna/
 — with Ronasina Kartunis.


Seketika berbual dengan Prof. Dr. Shaharir Mohd Zain perihal penulisan untuk seseorang tokoh, beliau berpandangan tokoh yang dipilih untuk ditulis pemikirannya perlulah sudah tiada lagi di muka bumi ini (meninggal dunia). Ini disebabkan oleh, tiada lagi penambahan pemikiran yang baharu atau perubahan pemikiran oleh tokoh tersebut dan barulah kajian tentang tokoh tersebut boleh dianggap lengkap.

Prof. Dr. Hamka telah menulis pendapatnya yang sedikit berbeza perihal penulisan tentang seseorang tokoh yang masih hidup. 

"Sebetulnya ramai orang berpendapat orang yang masih hidup, jangan dahulu ditulis riwayatnya, tetapi saya telah melanggar pendapat itu. Sebab saya tidak akan memandang guru saya itu sebagai dewa. Saya jelaskan di sini segi kebesarannya, dan tentu orang akan mengetahui pula bahawa ada pula segi kelemahannya sebagai manusia. Saya karangkan kehidupan orang besar itu, sebagai penunjuk jalan bagi penyelidik di belakang untuk menuliskannya lebih lengkap. Mana tahu entah saya lebih dahulu dari beliau mati nanti." - Falsafah Hidup/ms 7/2009(Edisi Terkini)/Pustaka Dini.

Walaupun Prof. Dr. Shaharir berpendapat bahawa penulisan tentang seseorang tokoh sewajarnya selepas kematiannya tetapi beliau tetap melakukan sebaliknya iaitu menulis pemikiran tentang insan yang masih bernafas di muka bumi ini. Satu buku penulisan beliau yang bertajuk 'Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman' yang mana beliau telah menggunakan beberapa teori kepemimpinan (al-Ghazali, Chakravantin, Kirkeby, Bukhary al-Jawhari) dibandingkan dengan aksiom kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Dalam penulisan pemikiran atau keperibadian seseorang tokoh, saya melihat terdapat kesamaan antara Prof. Dr. Shaharir dengan Prof. Dr. Hamka, di mana ketelusan dan keikhlasan dalam menulis sejarah. Sebagai seorang manusia, sebesar atau sehebat manapun tokoh tersebut, kita perlu sedar bahawa dia juga bisa melakukan kesilapan. Prof. Dr. Shaharir telah mengkritik beberapa kriteria yang ada pada Tok Guru Nik Aziz semasa mengemudi Kerajaan Negeri Kelantan. Begitu juga Prof. Dr. Hamka yang menulis perihal ayahnya (Haji Abdul Karim Amrullah) dalam 'Kenang-Kenangan Hidup Hamka' telah mengkritik beberapa sifat yang ada pada ayahnya.

Penulisan seperti ini lebih bersifat adil dalam membuat pertimbangan atau melihat sudut pandang pemikiran seseorang tokoh. Bukan sahaja mengemukakan kehebatan dan kemahsyuran pemikir tersebut tetapi pada masa yang sama menyelitkan juga beberapa kelemahannya. Ini menyedarkan kita bahawa manusia itu bukanlah dewa atau malaikat sifatnya melainkan hamba jua yang mendambakan keredhaan Sang Pemeriksa. Penulisan seperti ini mampu untuk menghakis perasaan taksub dan takliq membabi buta terhadap seseorang tokoh. Juga sebagai menjadi pedoman buat budiman yang hidup semasa dan selepas zaman penulis.

Memulakan penulisan dengan mengharapkan akan lahir penulis selepasnya adalah nilai yang dikongsi oleh Prof. Dr. Shaharir dan Prof. Dr. Hamka. Penelitian terhadap penulisan aksiom kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz salah satunya, Prof. Dr. Saharir menyarankan kepada pembaca agar terus melakukan pengkajian dan penulisan terhadap aksiom tersebut agar mampu menjadi teorem. Begitu juga Prof. Dr. Hamka dalam Falsafah Hidup turut menyarankan agar terdapat budiman yang mampu melengkapkan penulisannya tentang seseorang tokoh sekiranya beliau telah berangkat meninggalkan dunia ini.

Dalam penulisan saya percaya ramai yang mahu menjaga kelemahan tokoh yang disajunginya atau mungkin hanya melihat kelebihan dengan menidakkan kelemahan, juga mungkin ketakutan kerana terdapat hadith Rasulullah; "man satara musliman, satarallahu fid dunya wal akhirah" yang menyuruh menjaga aib seseorang nescaya Allah akan menjaga aib kamu di dunia dan akhirat. Pada hemah saya dalam konteks keilmuan dan dalam melahirkan masyarakat yang bertamadun kita perlu didedahkan kedua-duanya. Juga pendedahan ini bukanlah untuk menjatuhkan atau memalukan sesiapa tetapi agar kita tidak menjadi golongan yang taksub kepada satu tokoh dan tidak menjadi golongan yang tidak mahu menerima atau menghormati kepelbagaian pandangan.


Ads 468x60px

Featured Posts