Seorang pemuda sedang membaca buku dalam bahasa Inggeris di sebuah taman, lalu muncul seorang lelaki tua bertanya kepadanya. "Mengapa kamu membaca bahasa Inggeris, adakah kamu sudah membaca semua buku bahasa Melayu di rantau ini? Adakah kamu sudah mengetahui semua erti perkataan bahasa Melayu? Sekiranya belum, eloklah kamu jangan membaca buku bahasa Inggeris ini kerana kamu masih belum habis membaca dan mempelajari bahasa Melayu. Bahasa Melayu sendiri tidak faqih sudah mahu mempelajari bahasa Inggeris!".
Situasi di atas sebenarnya ingin saya kiaskan kepada satu situasi di mana terdapat individu yang menghalang perbincangan atau mengamalkan sesuatu mazhab selain daripada Syafi'i. Di Malaysia sememangnya majoriti mengamalkan mazhab Syafi'i (tidak kesuluruhan). Apabila timbul penolakan untuk membincangkan kepelbagaian mazhab (intipati) kerana belum selesai mempelajari mazhab Syafi'i itu sendiri, saya berpendapat tindakan ini mengecilkan keterbukaan dan pengkayaan ilmu dalam Islam.
Di Malaysia, menggunakan mazhab Syafi’i dalam banyak situasi tetapi terdapat juga beberapa situasi yang menggunakan mazhab lain sebagai penyelesaian kerana ketidaksesuaian keadaan semasa dengan pendapat ulama dalam mazhab Syafi'i. Contohnya dalam urusan zakat fitrah, di Malaysia menggunakan wang yang senilai dengan makanan asasi sesebuah negara; pendapat mazhab Hanafi (walaupun secara dalilnya tidak dijumpakan nabi pernah menukarkan makanan dengan wang). Tetapi adakah kita berhak mengatakan pendapat mazhab Syafi'i benar manakala pendapat mazhab Hanafi itu salah. Tidak sewenang-wenangnya.
Perbahasan dan perbincangan sesuatu perkara mesti berlandaskan ilmu. Sekiranya seseorang itu cenderung kepada hanya satu pendapat, kebarangkalian dirinya akan menjadi individu yang melihat dunia dari lubang tempurung dan gagal menjadi individu yang melihat dunia dari kaca mata burung.
Perbahasan dan perbincangan sesuatu perkara mesti berlandaskan ilmu. Sekiranya seseorang itu cenderung kepada hanya satu pendapat, kebarangkalian dirinya akan menjadi individu yang melihat dunia dari lubang tempurung dan gagal menjadi individu yang melihat dunia dari kaca mata burung.
Seorang ahli perniagaan berjaya, beliau mempunyai doktor peribadi yang sentiasa menjadi penasihat kesihatan untuk dirinya. Satu hari, beliau menghidapi satu penyakit kronik yang tidak mampu dirawat oleh doktor peribadinya. Beliau terpaksa pergi mendapatkan rawatan dengan beberapa doktor lain, bahkan sehingga ke luar negara. Akhirnya, dengan izin Tuhan beliau sihat. Analogi ini menunjukkan betapa harmoninya kepelbagaian. Bayangkan sekiranya doktor peribadinya enggan memberikan kebenaran untuk berawat dengan doktor lain atau beliau sendiri tidak mahu mendapatkan rawatan selain daripada doktor peribadinya. Sudah tentu kesan yang lebih buruk akan terjadi terhadap dirinya.
Sejarah ketamadunan Babylon, Mesir, Yunani, Islam, dan Eropah penuh dengan kepelbagaian ilmu dan telah menjadi satu budaya bagi masyarakat ketika itu untuk berbeza dalam sudut pendapat dan cara pandang sisi. Sudah pastinya pembacaan, pengalaman, dan pemikiran akan membezakan prinsip seseorang individu dalam mendepani sesuatu situasi. Apabila berlakunya penghalangan atau pembinaan tembok untuk mempelajari sudut pandang yang berbeza, secara tidak langsung meletakkan diri kita sepertinya berada dalam keadaan yang sentiasa benar.
Hamka dalam Falsafah Hidup (1939) melontarkan satu pandangan; "Sekiranya mereka salah, adakah kita benar?". Melihatkan perlunya ada toleransi dalam perbincangan dan perbahasan semasa mendepani sesuatu situasi. Justifikasi kami benar dan mereka salah adalah berdasarkan kaca mata dan definisi yang menganggap diri benar. Sedangkan kita wajar mendepani sesuatu situasi dengan memahami konteks perbahasan dalam kaca mata dan definisi yang dituduh salah.
Berbeza bukan bermakna sesat, tetapi perlu difahami mengapa perbezaan itu terjadi. Mendepani sesuatu situasi berdasarkan keadaan semasa (waqi') perlulah diberikan perhatian. Ibnu Taimiyah mengharamkan pembelajaran mantik kerana Muktazilah merupakan dominasi dan sarjana pada zamannya yang mungkin akan mempengaruhi akidah masyarakat awam.
Mendokong pendapat tokoh yang lalu perlu juga disertai pemahaman keadaan semasa atau sekeliling yang menjadi asbab kepada lahirnya pendapat sebegitu. Kebarangkalian pendapat Ibnu Taimiyah sudah boleh dianggap tidak relevan lagi (khususnya mantik) kerana kebebasan capaian terhadap maklumat hari ini yang belum tentu kesahihannya membutuhkan kemahiran mantik untuk membezakan yang benar dengan sebaliknya.
Pembinaan tembok atau menghalang daripada individu mempelajari mazhab atau cabang ilmu yang lain dengan alasan satu mazhab atau cabang ilmu masih belum dikuasai perlu diruntuhkan. Keutamaan (aula) perlu dilaksanakan tetapi dalam pada masa yang sama tidak boleh menidakkan keperluan kepelbagaian dalam mendepani kepelbagaian situasi. Kedua-dua perkara ini perlu bergerak seiring agak mampu membebaskan diri daripada taqlid buta. Juga mengharmonikan perbezaan yang menuju kepada matlamat yang sama dan bukan menyesatkan sesama sendiri. – 9 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
* Artikel ini telah disiarkan oleh TheMalaysianInsider pada 9/9/2013.
Catat Ulasan