Semasa membentangkan kertas kerja (separa siap) bertajuk Falsafah Etnomatematik di Inspem (UPM) tempoh hari, saya ada menerangkan tentang perbezaan pendapat dalam definisi. Saya menerangkan definisi tamadun yang dibawa oleh Syed Naquib al-Attas dan Shaharir Mohd Zain. 

Naquib al-Attas menerangkan bahawa tamadun hanya wujud selepas kedatangan Islam kerana sesuatu tamadun itu wujud berlandaskan ilmu. Ilmu hanya boleh diterima apabila memenuhi adab. Bermaksud sesuatu ilmu itu mesti membawa makna yang benar dan bertepatan dengan Islam. Contoh, sebelum kedatangan Islam, masyarakat di Alam Melayu (Malayonesia) yang beragama Hindu dianggap tidak bertamadun kerana mereka menyembah Tuhan, tetapi Tuhan yang salah. Mereka memahami Tuhan dalam konteks yang salah.

Berbeza dengan Shaharir Mohd Zain (boleh saya andaikan berdasarkan pembacaan daripada penulisan beliau) menganggap zaman yang mempunyai masyarakat beragama walaupun selain daripada Islam, boleh dianggap bertamadun. Dalam satu makalah yang bertajuk 'Ilmu Malayonesia: Telah, Lani, dan Kelak' (http://www.kesturi.net/?p=577), Shaharir membahagikan Alam Melayu (Malayonesia) kepada tiga tamadun. Pertama tamadun Melayonesia Kuna/Kuno atau Hindu-Buddha (sebelum Islam; abad 2-13), kedua Tamadun Melayonesia Klasik atau Islam (semasa Islam; abad 13-19) dan Tamadun Melayonesia Moden (mulai awal abad 20). Juga dalam buku beliau bertajuk Pembinaan Semula Teori Kepengurusan dan Kepemimpinan Rumpun Melayu, digali semula prasasti untuk diasimilasikan dengan nilai semasa Islam.

Secara tidak langsung sebenarnya Shaharir telah menganggap bahawa sebelum kedatangan Islam di alam Melayu (Malayonesia) masyarakat di sini sudahpun bertamadun. Manakala, Syed Naquib al-Attas mengatakan masyarakat sebelum kedatangan Islam tidak bertamadun tetapi hanya mempunyai kemahiran tetapi kemahiran tersebut tidak sampai kepada tahap ilmu kerana nilai adab tidak dipenuhi.

Perbezaan definisi sesuatu istilah merupakan sesuatu yang perlu dihormati. Sesuatu pihak biasanya akan cuba berbahas dalam konteks definisi yang mereka cipta. Apabila wujud tafsiran yang lain selain daripada tafsiran mereka, maka pihak yang tidak sependapat akan dilabel dengan pelbagai panggilan. Tidak ada masalah sesuatu pihak ingin berpegang kepada tafsiran mereka kerana lebih banyak tafsiran lebih memperkayakan ilmu tersebut. Cuma permasalahannya apabila mereka cuba mengheret pihak yang tidak sependapat ke dalam definisi mereka dan sekiranya tidak bersetuju maka akan dilabel liberal, sekular dan plural. Secara jujurnya ini berlaku kepada pihak dalam al-Attas.

Dalam buku 'Pembinaan Semula Teori Kepengurusan dan Kepemimpinan Rumpun Melayu', Shaharir telah mengasimilasikan teori Kepemimpinan Cakravantin (Pemimpin Alam). Cakravantin ini dijumpai daripada Batu Bersurat Campa pada tahun 1010 Saka/1088 M. Menceritakan tentang 32 sifat Raja Campa yang bernama Indrawarmadewa/Indravarmadeva. 32 sifat ini berdasarkan ciri-ciri Buddha. Walaupun Buddha berbeza dengan Islam tetapi tidak menjadi masalah kepada kita untuk mengambil perkara yang baik daripada Buddha. Shaharir telah melakukan beberapa gabungan sifat dan mengasimilasikan dengan nilai Islam semasa. Kemudian menjadikan teori kepemimpinan alam melayu. Mengasimilasikan dengan nilai Islam bukan bermaksud tidak mengiktiraf ketamadunan ketika itu tetapi lebih kepada penyesuaian untuk kegunaan zaman lani.

Menggelapkan sejarah Hindhu-Buddha sebelum kedatangan Islam dan tidak mengiktiraf ilmu mereka adalah satu kesilapan besar. Masyarakat di zaman itu telah berjaya mengira sehingga ribu/riwu, manakala ketika zaman yang sama Eropah masih lagi tidak tahu mengira dan membaca. Satu kesilapan di mana kita telah menghilangkan keintelektualan masyarakat yang pernah wujud satu masa dahulu demi memperjuangkan Islam. Islam tidak pernah mengajar agar menolak unsur-unsur yang baik dalam sesuatu masyarakat. Bahkan terdapat juga budaya yang wujud sejak sebelum kedatangan Islam yang Muhammad tidak mansuhkan dan menerima dengan baik. Rasulullah sendiri pernah mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak Quraisy kerana baginda sangat membutuhkan ketika itu. Nilai yang baik tidak perlu dibuang dan jangan malu untuk mengaku kita pernah berada di zaman Hindhu-Buddha satu masa dahulu.


Ads 468x60px

Featured Posts