بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

“Apakah sama antara orang yang buta dengan orang yang melihat? Apakah kamu tidak memikirkan(nya)?”. (Al-An’aam; 6:50)

Sudah menjadi kepastian bahawa tidak sama seseorang yang buta itu dengan orang yang boleh melihat; orang yang buta tidak boleh melihat manakala orang yang celik boleh melihat. Begitulah apa yang digambarkan dalam ayat di atas sebenarnya hendak memberitahu kepada manusia agar berfikir dengan apa yang diperlihatkan kepada mereka. Terbentang luas keindahan alam yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini tidak dapat ditandingi oleh seorang pun manusia.  

Allah-lah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang Dia kehendaki, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu engkau lihat hujan keluar  dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka gembira. (Ar-Ruum; 30:48)

Sepoi, nyaman dan selesa itulah yang dirasai apabila berlalu angin meniupkan ke muka manusia. Keindahan di dalam hutan melihat tumbuh-tumbuhan, tepi lautan yang terbentang luas dan sawah padi yang menghijau semuanya adalah ciptaan Allah. Zikir yang dialunkan oleh hidupan yang berada di sekeliling kita membuatkan kita terasa nikmatnya. Sedangkan mereka (haiwan dan tumbuhan) tidak berhenti berzikir walau sesaat tidak kira waktunya tetapi adakah kita melakukannya walau sesaat?

Pemerhatian demi pemerhatian diperlihatkan tetapi adakah ianya pemerhatian yang menyedarkan kita daripada lena ataupun sebenarnya terus menerus melenakan kita di atas katil yang empuk? Kerangka dunia yang pelbagai menyentuh sanubari manusia supaya mereka berfikir akan keajaiban yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Dipasak dengan gunung ganang, dihamparkan dengan lautan, disinari dengan matahari, dilampui dengan bulan purnama, dan dirahmati dengan titisan hujan adalah peneguhan kepada hambaNya.

Bingkas daripada lena, si hamba terdengar tapakan titisan, berlarilah si hamba ke jendela maka diperlihatkan kepadanya akan kekuasaan Allah. Hujan bercucuran menghilangkan dahaga si bumi. Mengagumi kesungguhan si hujan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan Sang Pencipta kepadanya. Begitulah nikmat Allah yang tidak terkapai keupayaan manusia untuk menandinginya.
Teringat akan satu cerita yang memberikan peringatan akan dugaan yang datang daripada segala pelusuk.

Terdapat seekor monyet yang hebat dalam memetik buah kelapa. Di tempatnya beliau mendapat gelaran Raja Petik Kelapa. Suatu hari beliau dicabar untuk membuat rekod memetik buah kelapa sebanyak mungkin dalam masa satu minit. Maka, berlarilah beliau memeluk pokok kelapa lalu dipanjatnya sehingga ke atas puncak. Tidak disedari rupa-rupanya terdapat 3 jenis angin sedang menunggunya di atas puncak pokok kelapa itu. Pertama angin ribut, kedua angin taufan, dan ketiga angin puting beliung. Tidak lain tidak bukan niat angin-angin tersebut hanyalah untuk menduga kehebatan monyet ini. Ternyata kegagahan dan kekuatan fizikal bukanlah masalah bagi monyet itu apabila angin ribut, taufan dan puting beliung menyerang si monyet sekaligus, sedikitpun tidak berganjak. Dalam keghairahan memetik buah dan merasakan tiada lagi yang boleh menghalangnya dalam mencipta rekod tiba-tiba datang satu angin lagi iaitu angin sepoi-sepoi. Berlalulah angin itu kepada monyet tersebut. Dipejamkan matanya dan dinikmati sepuas-puas akan keasyikkan angin sepoi-sepoi itu. Tidak disedari tangannya telah melepaskan pokok kelapa yang dipegangnya dan akhirnya terjatuhlah si monyet itu ke bawah. Maka gagallah si monyet dalam mencipta rekod.

Dalam kehidupan yang penuh dengan cobaan ini diajarkan kepada kita dengan pelbagai keindahan alam supaya dapat kita menjadikannya sebagai alat untuk berfikir dan mencari jawapan atas dasar apakah aku hidup di dunia ini.  

Dan Dia-lah Allah (yang disembah), di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan dan mengetahui (pula) apa yang kamu kerjakan. (Al-An’aam; 6:3)

Tidaklah dapat dirahsiakan tentang apa yang telah kita kerjakan selama hidup di dunia ini. Perjuangan hidup yang dianalogikan seperti sebuah pendakian gunung oleh seorang pendaki yang akan tiba di puncaknya dan kemudiannya akan turun semula ke kaki gunung. Daripada kecil sehinggalah dewasa kepada tua dan akhirnya sampai di sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah pasti menuntut pelbagai suka dan duka. Semasa dalam pendakian jika terjatuh itu biasalah, jika terluka itu pun pastilah tetapi kesakitan dialami semasa pendakian itu hilang apabila sampai di puncaknya. Begitu juga semasa menuruni gunung pasti akan terjatuh dan terluka tetapi ianya dapat diubati dengan kedinginan air terjun yang membasahi badan kita. Tidak lupa juga kicauan daripada burung-burung yang menasihati kita agar bertenang dan bersabar.

Apakah engkau tidak memerhatikan, bahawa Allah menurunkan air dari langit, lalu diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian dengan air itu ditumbuhnya tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, kemudian menjadi kering, lalu engkau melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikanNya hancur berderai-derai. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal sihat. (Az-Zumar; 39:21)

Pada akhirnya manusia itu akan ditanya perihal yang dilakukan semasa mendaki dan menuruni gunung tersebut. Tidak kira gunung manakah yang didakinya pasti ianya akan ditanya. Maka, akan dibentangkan tentang apa yang didapatinya selama pendakian itu. Berdasarkan dapatan pendakian itu dapatlah diketahui bahawa adakah manusia itu menggunakan akal yang diberikan kepadanya untuk berfikir tentang perkara yang bermanfaat atau sebaliknya. Kelak akan diberikan anugerah kepada pendaki yang menjaga kesejahteraan gunung yang didakinya dan akan didenda kepada pendaki yang merosakkan gunung yang didakinya.




Ads 468x60px

Featured Posts