بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.


Alhamdulillah, pejam celik rupa sudah setahun genap mengalami kemalangan mengikut bulan Islam. 28 Syaaban 1431, Isnin, 17:55 pm; kenangan yang tidak dapat dilupakan. Semasa bersimen; mengajar diri ini walaupun tidak dapat diamalkan sepenuhnya. Ucapan terima kasih kepada segenap insan yang membantu serta mendoakan kesihatan saya dan ucapan Alhamdulillah buat Ilahi kerna hari ini sudah sembuh sepenuhnya. Jika selama perkenalan, tersepak serta terajang mohon maaf kerna mungkin diri ini pernah melupakan jasa baik sekalian dalam menempuh ranjau hidup.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berfikir memikirkan kenangan adalah ibarat bisa keris yang ditusuk ke hati ini apabila dikenang kembali sejarah yang tidak enak. Tidak kurang juga pilu dan sayu hati ini melihat kedua orang tuaku yang tidak pernah lelah membantu anak bongsunya ini. Inilah anak yang paling degil dalam keluargaku. Anak yang banyak melakukan dosa terhadap ibu bapanya tetapi aku berkata benar sesungguhnya aku sangat sayangkan kedua ibu bapaku. Kejadian setahun lepas 28 Syaaban 1431 bersamaan 9 Ogos 2010 adalah merupakan detik tarbiyyah buat diriku.

DiambilNya sebentar nikmat berjalan adalah pengalaman yang mungkin tidak semua orang merasainya. Tika kaki kiri berseorangan bersedih akan peristiwa yang berlaku datang dua batang tongkat yang memujuk kaki kiri itu. Diberinya nasihat; “InsyaAllah tidak ada apa-apa...Sabar....tak lama lagi sihat laa tu....” Pelbagai nasihat diberikannya agar kaki kiri itu bersemangat semula. Walau diri ini tahu akan tarbiyyah ingin diberikan tetapi diri ini kadang-kadang tidak mahu untuk menerimanya. Dibiarkan sahaja pesanan peristiwa itu pergi agar hati puas menurut katanya. Walaupun ketika Hidayah telah berjumpa jalan, rupanya Taufiq masih kebingungan mencari jalan keluar daripada kesesatan.

Sekejap sedar sekejap terlena daripada tidur adalah pengalaman yang selepas ini akan saya gunakan untuk hari-hari yang mendatang. Ucapan syukur Alhamdulillah kepada Allah mungkin tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nikmat yang diberikan kepadaku hari ini. Selama saya berada di dalam kamar hospital tidak tahu bagaimana hendak saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, sahabat, pensyarah dan sekalian yang telah membantu. Dilawatnya, ditanyanya khabar, diberinya nasihat, kata-kata semangat serta panduan. Ada juga yang membawa buah tangan sehingga ada jururawat mengatakan; “Dik, akak tengok kau dah macam orang bersalin pun ada banyaknya buah kat katil kau nie”. Subhanallah.


Tidak termampu diri ini ingin membalas jasa baik tuan-tuan sekalian. Hanya yang termampu adalah mendoakan rahmat buat tuan-tuan sekalian. Terlalu banyak coretan yang tidak dapat digambarkan; kerana keindahan dalam kesedihan itu berjaya memanyungi daripada basah hujan. Benar firman Allah :

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada  kemudahan. (94:5-6)


Ingatlah wahai anak Adam hidup ini dua kali, iaitu sebelum mati dan selepas mati tetapi jangan mengharapkan keindahan diri pada hidup yang kedua jika kita secara menerus membuat kerosakkan diri pada hidup yang pertama. Diberikan kita roh dan jasad pada kehidupan yang pertama sebenarnya bukanlah hak hakiki telah hanyalah sewaan semata-mata. Bayaran sewaan itu bukanlah wang pinta-Nya tetapi hanyalah ketaatan terhadap perintahnya. Selagi diberikan sewaan ini janganlah kita sia-siakannya tetapi manfaatkanlah sebaik-baiknya. Jangan sampai satu masa apabila kita diminta untuk membayar sewa, kita tidak mampu dan ketika itulah kita terkontang kanting untuk mencari wang. Maka sesungguhnya ketika itu kita berada dalam kerugian kerana tidak ada satupun kerja yang wujud lagi. Kedai-kedai telah musnah, jutawan-jutawan telah muflis, sawah-sawah kekontangan. Maka gunakan kesempatan yang ada ini untuk membentuk peribadi yang mulia supaya kita sentiasa dekat dengan-Nya. Akhir kata saya ucapkan terima kasih sekali lagi buat tuan-tuan yang telah banyak membantu saya. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas jasa tuan-tuan sekalian.


“Semoga Engkau memberikan redha-Mu dan memberikan ganjaran syurga serta dijauhkan daripada api neraka buat sekalian yang telah membantuku tidak kira yang nampak atau tidak. Dan sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. Sesungguh Engkau jugalah yang telah menyuruh umat-Mu agar berdoa dan sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji-Mu. Amiin ya Rabbal Alamin.”   
  



          






بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.


Bermula dengan terlentang, seketikanya meniarap, kemudian berdiri pula, sudah berdiri berlari pula, tidak cukup berlari mulalah memanjat, sedang memanjat kadang jatuh dan kadang sampai ke atas. Bila sampai berloncat-loncatlah pula. Sedang meloncat, tergelincirnya maka tersungkurlah dia. Kadang terbenjol kadang terkehel.  Sesudah sembuh dipanjatnya lagi tapi kali ini dia lebih berhati-hati kerana dia telah belajar daripada pengalaman. Erti perjuangan sedari terlentang sehingga ke melompat itulah yang mengajarnya agar dia bisa terus berjuang.

Atas dasar apakah perjuangan itu dilakukan? Untuk siapakah perjuangan ini? 


Inilah persoalan yang sudah terdahulu lagi bermain di fikiran manusia. Sejak Adam hingga Muhammad, sejak siang berganti malam, sehingga malam berganti siang, dan daripada kuno kepada moden; tidak pernah persoalan ini berhenti dibicarakan. Soalan mengkehendakkan jawapan. Jadi pelbagai jawapan yang lahir, ada yang menjawab untuk kebebasan, ada juga untuk keseronokkan, tidak kurang juga ada yang tidak dapat menjawab persoalan itu walaupun setiap soalan mengkehendakkan jawapan.

Mari kita tinggalkan sebentar soal perjuangan dan beralih ke arah bulan. Mengapa bulan? Mengapa tidak matahari atau bintang? Setiap penciptaan itu terselit berjuta hikmah bahkan lebih daripada berjuta kepada siapa yang berfikir. Biarlah untuk kali ini kita sentuh peribadi bulan, bukan kerana untuk sisihkan penciptaan lain tetapi hanyalah untuk pemahaman secara lebih mendalam. Benih yang  sepuluh jika tidak dibajai kesepuluhnya dengan keseriusan pasti benih itu mati atau tidak subur jadi biarlah kita ambil satu benih itu tapi kita bajainya dengan penuh kasih sayang kelak pasti ianya menjadi pohon yang rendang.

Peribadi bulan; daripada tidak kelihatan menjadi sesabit, daripada sesabit berubah menjadi separa, daripada separa berubah menjadi tiga perempat dan kemudian menjelmalah purnama. Malangnya purnama bukanlah kekal, berubahnya semula kepada tiga perempat, tiga perempat kepada separa, separa berbalik kepada sesabit dan akhirnya gelaplah semula waktu malam. Pesanan bulan buat manusia, diberitahunya secara sinis bahawa manusia ibarat bulan. Daripada tiada kepada ada, diusungnya selama sembilan bulan ke hulu ke hilir, selepas itu lahirlah ke dunia. Sedari kecil dibesarkan, sedari lemah dikuatkan. Selepas beberapa ketika, tiba masanya menuruni tangga. Zaman mudanya melambai tangan, zaman tua menggamit tiba. Sesudah tua berjalan pun tidak larat maka berbaringlah dan diusung sekali lagi untuk disemadikan buat selama-lamanya.

Memahami peribadi bulan adalah erti sebenar sebuah perjuangan. Dipesannya kepada manusia bahawa satu hari nanti kita pasti mati. Begitulah setiap bulan sepanjang tahun tidak pernah bulan serik akan pesannya pada manusia. Perjuangan kita adalah untuk hidup, ya perjuangan kita adalah untuk hidup tetapi untuk hidup di mana, bukankah kita telah hidup di dunia ini, mengapa masih memerlukan perjuangan? Perjuangan hidup di dunia ini adalah perjuangan hidup hakiki di akhirat kelak. Makanan yang kita beli di dunia ini akan kita makan di akhirat kelak. Cuba bayangkan jika makanan yang kita bawa itu adalah ulat-ulat dan serangga yang kita lihat sendiri pun tidak selera apatah lagi makan tetapi jika makanan yang kita bawa itu adalah ayam, daging dan buah-buahan alangkah berseleranya kita makan di akhirat kelak.

Bagaimakah kita hendak membeli makanan jika kita tidak mempunyai duit atau wang? Ya, makanan itulah amalan dan wang itulah agama. Bila ditanya perihal apakah itu agama? Berkata orang sufi; “Agama itu ibarat irama muzik yang menyusup ke dalam sanubari jiwa, dilenggokkan dan digemalaikan sehingga terasa indah dan tenang. Bila beragama kita akan merasakan keindahan akan dunia ini, terasa tenang pula hati ini, dan terasa juga cinta serta rindu kepada Sang Penciptanya.”

Dituruti segala kemahuan Penciptanya, digumpal, dikonyok dan dicampak segala kemahuan nafsunya ke dalam tempat buangan sampah. Ingkar tidak pula berani sekali-kali, azab di akhirat dijadikan amaran kesayangan buat dirinya di dunia ini. Direbutnya setiap peluang membuat amal kebajikan, pantang melihat orang menghulur tangan pasti disambutnya. Itulah orang beragama yang bertauhidkan Yang Esa.

Pernah suatu ketika Syeikh Muhammad Abduh berkata; “Agama Islam itu tertutup buat orang Islam sendiri, Islam semakin jauh buat orang Islam itu sendiri kerana difahami secara dangkal*”
*belum faham atau belum mendalami dengan  sebenar-benarnya.

Begitulah perjuangan hidup ini, hendak tidak perlu diselidiki dahulu akan ilmu yang dipelajarinya takut-takut pisau yang dipegang hari ini itulah yang membunuhnya di kemudian hari. Perlu didalami dan difahami akan maksud ilmu yang dipelajari. Jangan kita menjadi orang yang beramal tetapi amalan kita sesat. Jangan kita menjadi guru yang mengajar tetapi ajaran kita tahyul dan khurafat. Jangan kita menjadi penjual buah tetapi buah itu buah beracun yang bisa merosakkan hati dan sanubari. Biarlah kita menjadi orang beramal tetapi amalannya itulah memberatkan neraca akhirat kelak. Biarlah kita menjadi guru yang mengajar tetapi ajarannya itu tidaklah luput dek zaman kerana kebenarannya dan biarlah kita menjadi penjual buah tetapi buah itu akan sentiasa dinikmati kemanisannya  oleh setiap pembelinya sehingga berkali-kali pula datang membeli lagi.

Saya pulangkan persoalan ini kepada semua pembaca agar kita terus berfikir dan berusaha untuk memiliki sebuah kehidupan yang indah di kemudian hari.

Atas dasar apakah perjuangan itu dilakukan? Untuk siapakah perjuangan ini?


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Syair Sayid Abdullah bin Alwi Alhadad

Tetaplah teguh di hadapan gerbang pintu Tuhanmu,
Tinggalkanlah yang lain, dan memohonkan kepadanya selamat,
Dari negeri yang penuh fitnah ini,
Janganlah sempit dadamu, segala kejadian adalah kecil belaka.

Tuhan yang menentukan,
Dan alam berbagai ragam,
Jangan banyak dukacita,
Apa yang telah ditentukan, itulah yang terjadi.

“Kalau”,  “Kenapa”, dan “ Betapa?”
Adalah cakap orang dungu,
Dia hendak merintangi Allah, dalam apa yang dia mahu,
Qadar dan taqdir, semuanya berlaku dengan sebenarnya,

Jangan banyak dukacita.
Apa yang ditentukan itulah yang terjadi.
Engkau dan semua makhluk, adalah hamba belaka.
Tuhan terhadap pada kita,
Berbuat sekehendak-Nya.
Duka dan murung, apalah faedahnya
Telah tertulis lebih dahulu, tenteramkanlah hatimu,

Jangan banyak dukacita,
Apa yang telah ditentukan itulah yang terjadi,
Yang untuk orang lain, tidaklah sampai kepadamu,
Apa yang untukmu, mestilah kamu capai.
Ingat saja Tuhanmu, dan terimalah bahagianmu.
Dalam mencari hakikat dan dalam memelihara syariat.

Jangan banyak dukacita,
Apa yang telah ditentukan,
Itulah yang terjadi.

Lenggok bahasanya sangat indah sehingga menyebabkan ramai yang mendengar syair ini pasti terpesona. Alunan serunai yang menjamah pendengaran sekalian manusia mengkagumkan. Dalam keenakan syair ini sebenarnya terselit pelbagai pesanan dan nasihat yang sangat bermakna buat kita semua.

Kita sering inginkan yang terbaik buat diri kita, sehingga satu masa melangkaui kemampuan dan kebatasan diri. Tidak pula difikirkan perihal orang lain. Samada sahabat atau keluarga atau juga yang awam. Nafsu mengalahkan iman maka kegagalan dikecapi, iman mengalahkan nafsu kejayaan digenggami.

Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (2:216)

Kesanggupan menerima dugaan dan cabaran dalam menjalani kehidupan adalah sukar untuk diterima buat sekalian manusia. Tidak ramai yang mengetahui bahawa ujian itu adalah tarbiyah buat dirinya. Tidak kurang juga kesulitan itu adalah penemannya di akhirat nanti. Keluhan demi keluhan dan keresahan sering kali bertakhta di bibir manusia. Benarlah firman-Nya:

Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur. (34:13)

Bukan benar atau tidak firmanNya menjadi persoalan kerana menjadi kewajipan seorang muslim itu mempercayai tanpa was-was setiap isi kandungan Quran. Sememangnya benar setiap firman di dalam Quran. Perasan atau tidak sebenarnya firman itu telah terkena pada kita, rakan-rakan, keluarga dan saudara kita. Jika firman yang terkena itu baik Alhamdulillah tetapi jika sebaliknya Nauzubillah.

Adakah kita membenarkan dengan rela untuk hati ini dibunuh dan diratah oleh serakah nafsu? Maka jadilah kita orang-orang yang rugi. Keyakinan terhadap Allah Sang Pencipta adalah yang Esa memberikan peneguhan dalam diri ini. Mula terbentuk hati yang bersih maka terbentuk jugalah peribadi yang mulia. Seringkali kita teralpa bahawa satu masa nanti akal akan bercerai dengan otak, hati akan berpisah dengan jiwa dan roh akan meninggalkan jasad. Tidak pulalah berharga senyum tawa melihat kezaliman dan tidak juga rugi tangis sedan menegakkan keadilan.

Badai, gersang, ribut dan taufan adalah teman sejati buat pejuang. Dilarikan diri ke dalam hutan, berjalannya di tepi pantai; adalah rutin buat manusia yang dahagakan ketenangan. Kicauan zikir tumbuhan serta lautan adalah pengubat dukacita.

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram. (13:28)

Hidup ini ibarat sebuah kain putih yang dicorakkan warna warni di atasnya dan setiap warna itu mempunyai tugas serta kelebihan tersendiri. Suka, duka, pahit, getir dan pelbagai lagi perasaan adalah mewakili warna warni itu. Itulah menjadi jalan hidup yang perlu ditempuhi setiap insan di dunia ini. Sekurang-kurangnya 17 kali dalam sehari kita ungkapkan; “Hanya engkaulah yang kami sembah, dan hanya Engkaulah kami mohon pertolongan” (1:5) tetapi masih lagi kita mengharapkan kepada ketidakpastian.

Sedang kita tawa di sini di hujung sana ada yang berduka. Tidak kisahkah kita melihat kedukaan mereka? Tidak terlintaskah di hati ingin membantu mereka? Senangkah diri kita duduk bersimpuh melihat kedukaan mereka? Hanya yang lebih hina daripada haiwan adalah rela membiarkan sebegitu rupa. Jadilah seorang yang siangnya menjadi pohon meredupkan dan malamnya menjadi bintang menghiaskan bumi. Tugas sebagai ahli bumi tidak pernah terhenti sehingga terhentinya sendiri dengan arahan penciptanya, maka teruskan setiap langkah dengan penuh kesabaran serta kecekalan. Keinginanku sangat tinggi; biarlah aku makan sedikit di perhentian kecil kelak aku akan makan banyak di perhentian besar.

Tuhanku, sesungguhnya engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takwil mimpi. (Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan muslim dan gabungkanlah aku dengan orang yang saleh. (12:101)




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Pesanan seorang mak cik kepada seorang pemuda; "Selagi berpeluang carilah ilmu". Pemuda itu bermonolog sendirian; "InsyaAllah, perjuangan mencari ilmu akan kuteruskan sehingga hujung hayatku".

Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu, dan sungguh, yang itu lebih baik bagimu daripada permulaan. Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan karuniaNya kepadamu sehingga engkau menjadi puas. (93:3-5)

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, Sesungguhnya bersama kesulitan ada  kemudahan. (94:5-6)

Jika jalan ini menuntut pengorbananku,
Jika jalan ini melelahkanku, 
Jika jalan ini mendugaku, 
Jika jalan ini meributiku,

Akan ku turuti jua jalan ini agar di akhir perjalananku berjumpa sebuah rumah yang indah.


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُو نَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, 
mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. (61:4)



Fathul Jihad – Untuk Perjuangan

Jalan dakwah kita masih panjang
Untuk itu butuh perjuangan
Berjuanglah dalam satu barisan
Maju kedepan libas semua rintangan
Wahai kawan kibarkan panji islam
Wahai kawan berderap satu barisan
Kuatkanlah tekad bakar semangat
Mujahid siap sambut seruan jihad

Wahai kawan cahaya islam kian meninggi
Wahai kawan berjuang ikhlas di hati
Menggapai rahmat dan redha Ilahi
Mujahid siap sambut panggilan suci

Jalan dakwah kita masih panjang
Untuk itu butuh perjuangan
Berjuanglah dalam satu barisan
Maju kedepan libas semua rintangan
Wahai kawan kibarkan panji islam
Wahai kawan berderap satu barisan
Kuatkanlah tekad bakar semangat
Mujahid siap sambut seruan jihad

Wahai kawan cahaya islam kian meninggi
Wahai kawan berjuang ikhlas di hati
Menggapai rahmat dan redha Ilahi
Mujahid siap sambut panggilan suci

Agung dan tinggikan asma Allah
Dalam perjuangan kita
Junjung tinggi dan tegakkan kebenaran
Musnahkan segala kezaliman

Pemuda generasi harapan
Siap untuk membela islam
Walau darah kami bersimbah ke bumi
Syurga telah menanti kami...

Wahai kalian para syuhada!!
Kemulianmu telah dicatat sejarah!
Sekarang engkau membangkitkan generasi & ummah!
Di sini ada beberapa hati merdeka yang bersatu!
Disini ada syariat yang memancarkan cahaya!
Menerjang kezaliman dan keselewengan!

Jalan dakwah kita masih panjang
Untuk itu butuh perjuangan
Berjuanglah dalam satu barisan
Maju kedepan libas semua rintangan
Wahai kawan kibarkan panji islam
Wahai kawan berderap satu barisan
Kuatkanlah tekad bakar semangat
Mujahid siap sambut seruan jihad

Wahai kawan cahaya islam kian meninggi
Wahai kawan berjuang ikhlas di hati
Menggapai rahmat dan redha Ilahi
Mujahid siap sambut panggilan suci
Agung dan tinggikan asma Allah
Dalam perjuangan kita
Junjung tinggi dan tegakkan kebenaran
Musnahkan segala kezaliman

Pemuda generasi harapan
Siap untuk membela islam
Walau darah kami bersimbah ke bumi
Syurga telah menanti kami...


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Unggun Bersih

Puisi : A. Samad Said
Muzik : Az Samad

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

sumber : 24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

A.Samad Said disoal siasat.

"Apa yang saya lakukan ialah merakamkan satu peristiwa di mana saya fikir, untuk memperbaiki suasana, bukan untuk memperburukkan suasana”.

"Dalam puisi saya itu memang saya katakan kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi bukan memperkeruhkan atau mencemarinya”.

"Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci yang sepatutnya dihargai bukan dicurigai," katanya lagi ketika mengulas siasatan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu.

"Barangkali (polis) memberi amaran, tapi itu kalau seorang sasterawan, ini sememangnya lebih mendorongnya, menaikkan semangatnya oleh kerana mereka mulai tahu kesusasteraan mempunyai kuasa juga.”

"Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa," katanya lagi ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini, A Samad berkata ucapan berkenaan turut dimuatkan di laman blog peribadinya – samadsaid.wordpress.com.

"Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal”.

"Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan 'siasah' yang sangat bercita-cita buruk”.

"Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat," ucapan itu dipetik.

Sumber - Salhan K Ahmad, Jun 27, 11 (Malaysiakini.com/bm/)

Jika di zaman ini kita punyai sasterawan A.Samad Said sebenarnya bukanlah baru bagi kita kerana pada zaman Rasulullah s.a.w terdapat seorang sahabat bernama Ka’ab bin Malik bin Amr bin Qain Al-Anshari As-Salami Al-Khazraji. Antara syair yang pernah dialunkan sehingga menyebabkan kabilah Dus masuk Islam berbunyi seperti ini :

“Kami telah membinasakan penduduk Tahamah dan Khaibar. Kemudian kami kumpulkan semua pedang (senjata) milik mereka.”

”Kami bertanya kepada pedang-pedang itu, seandainya pedang-pedang itu dapat berbicara, maka mereka menjawab akan menebas leher orang-orang Dus dan Tsaqif.”

Sumber - HAPPIS BASHA (http://www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=208)

Pedulikan mereka yang takutkan ketelusan demokrasi,
Pedulikan mereka yang bencikan jalanan,
Pedulikan mereka yang takutkan undang-undang, 
Pedulikan mereka yang sayangkan kezaliman, 

Hari yang ditunggu menapak rapat ke kita,
Ayuh bingkas dan bersiap siaga, 
Menjinakkan diri ke dalam perjuangan.




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

“Apakah sama antara orang yang buta dengan orang yang melihat? Apakah kamu tidak memikirkan(nya)?”. (Al-An’aam; 6:50)

Sudah menjadi kepastian bahawa tidak sama seseorang yang buta itu dengan orang yang boleh melihat; orang yang buta tidak boleh melihat manakala orang yang celik boleh melihat. Begitulah apa yang digambarkan dalam ayat di atas sebenarnya hendak memberitahu kepada manusia agar berfikir dengan apa yang diperlihatkan kepada mereka. Terbentang luas keindahan alam yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini tidak dapat ditandingi oleh seorang pun manusia.  

Allah-lah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang Dia kehendaki, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu engkau lihat hujan keluar  dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka gembira. (Ar-Ruum; 30:48)

Sepoi, nyaman dan selesa itulah yang dirasai apabila berlalu angin meniupkan ke muka manusia. Keindahan di dalam hutan melihat tumbuh-tumbuhan, tepi lautan yang terbentang luas dan sawah padi yang menghijau semuanya adalah ciptaan Allah. Zikir yang dialunkan oleh hidupan yang berada di sekeliling kita membuatkan kita terasa nikmatnya. Sedangkan mereka (haiwan dan tumbuhan) tidak berhenti berzikir walau sesaat tidak kira waktunya tetapi adakah kita melakukannya walau sesaat?

Pemerhatian demi pemerhatian diperlihatkan tetapi adakah ianya pemerhatian yang menyedarkan kita daripada lena ataupun sebenarnya terus menerus melenakan kita di atas katil yang empuk? Kerangka dunia yang pelbagai menyentuh sanubari manusia supaya mereka berfikir akan keajaiban yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Dipasak dengan gunung ganang, dihamparkan dengan lautan, disinari dengan matahari, dilampui dengan bulan purnama, dan dirahmati dengan titisan hujan adalah peneguhan kepada hambaNya.

Bingkas daripada lena, si hamba terdengar tapakan titisan, berlarilah si hamba ke jendela maka diperlihatkan kepadanya akan kekuasaan Allah. Hujan bercucuran menghilangkan dahaga si bumi. Mengagumi kesungguhan si hujan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan Sang Pencipta kepadanya. Begitulah nikmat Allah yang tidak terkapai keupayaan manusia untuk menandinginya.
Teringat akan satu cerita yang memberikan peringatan akan dugaan yang datang daripada segala pelusuk.

Terdapat seekor monyet yang hebat dalam memetik buah kelapa. Di tempatnya beliau mendapat gelaran Raja Petik Kelapa. Suatu hari beliau dicabar untuk membuat rekod memetik buah kelapa sebanyak mungkin dalam masa satu minit. Maka, berlarilah beliau memeluk pokok kelapa lalu dipanjatnya sehingga ke atas puncak. Tidak disedari rupa-rupanya terdapat 3 jenis angin sedang menunggunya di atas puncak pokok kelapa itu. Pertama angin ribut, kedua angin taufan, dan ketiga angin puting beliung. Tidak lain tidak bukan niat angin-angin tersebut hanyalah untuk menduga kehebatan monyet ini. Ternyata kegagahan dan kekuatan fizikal bukanlah masalah bagi monyet itu apabila angin ribut, taufan dan puting beliung menyerang si monyet sekaligus, sedikitpun tidak berganjak. Dalam keghairahan memetik buah dan merasakan tiada lagi yang boleh menghalangnya dalam mencipta rekod tiba-tiba datang satu angin lagi iaitu angin sepoi-sepoi. Berlalulah angin itu kepada monyet tersebut. Dipejamkan matanya dan dinikmati sepuas-puas akan keasyikkan angin sepoi-sepoi itu. Tidak disedari tangannya telah melepaskan pokok kelapa yang dipegangnya dan akhirnya terjatuhlah si monyet itu ke bawah. Maka gagallah si monyet dalam mencipta rekod.

Dalam kehidupan yang penuh dengan cobaan ini diajarkan kepada kita dengan pelbagai keindahan alam supaya dapat kita menjadikannya sebagai alat untuk berfikir dan mencari jawapan atas dasar apakah aku hidup di dunia ini.  

Dan Dia-lah Allah (yang disembah), di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan dan mengetahui (pula) apa yang kamu kerjakan. (Al-An’aam; 6:3)

Tidaklah dapat dirahsiakan tentang apa yang telah kita kerjakan selama hidup di dunia ini. Perjuangan hidup yang dianalogikan seperti sebuah pendakian gunung oleh seorang pendaki yang akan tiba di puncaknya dan kemudiannya akan turun semula ke kaki gunung. Daripada kecil sehinggalah dewasa kepada tua dan akhirnya sampai di sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah pasti menuntut pelbagai suka dan duka. Semasa dalam pendakian jika terjatuh itu biasalah, jika terluka itu pun pastilah tetapi kesakitan dialami semasa pendakian itu hilang apabila sampai di puncaknya. Begitu juga semasa menuruni gunung pasti akan terjatuh dan terluka tetapi ianya dapat diubati dengan kedinginan air terjun yang membasahi badan kita. Tidak lupa juga kicauan daripada burung-burung yang menasihati kita agar bertenang dan bersabar.

Apakah engkau tidak memerhatikan, bahawa Allah menurunkan air dari langit, lalu diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi, kemudian dengan air itu ditumbuhnya tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, kemudian menjadi kering, lalu engkau melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikanNya hancur berderai-derai. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal sihat. (Az-Zumar; 39:21)

Pada akhirnya manusia itu akan ditanya perihal yang dilakukan semasa mendaki dan menuruni gunung tersebut. Tidak kira gunung manakah yang didakinya pasti ianya akan ditanya. Maka, akan dibentangkan tentang apa yang didapatinya selama pendakian itu. Berdasarkan dapatan pendakian itu dapatlah diketahui bahawa adakah manusia itu menggunakan akal yang diberikan kepadanya untuk berfikir tentang perkara yang bermanfaat atau sebaliknya. Kelak akan diberikan anugerah kepada pendaki yang menjaga kesejahteraan gunung yang didakinya dan akan didenda kepada pendaki yang merosakkan gunung yang didakinya.




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Ibnu Hazm (Berkenala kerana Ketegasan)

Nama sebenarnya ialah Abu Abu Muhammad Ali bin Ahmad ibn said ibn Hazm. Berasal daripada Sepanyol yang pada ketika itu dipanggil Andalus. Beliau hidup daripada 384 H dan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 456 H. Selama lebih kurang 72 tahun ini beliau telah menghidapi pelbagai dugaan. Pada usianya kecil beliau adalah seorang yang kaya kerana anak seorang menteri tetapi kehidupannya berubah apabila kematian ayahnya di saat umur 20 tahun dan beliau terpaksa keluar daripada kota kediamannya disebabkan ancaman politik.

Semasa hidupnya di sekeliling beliau berlaku kekacauan politik yang dahsyat. Sifat dengki khianat manusia terhadap orang lain tidak kira saudara atau siapapun berleluasa di negerinya. Sifat pemerintah yang menderhaka terhadap amanah yang diberikan menjadi punca kepada ketidakstabilan politik di negeri ini. Pemerintah yang terlalu takut jawatan dan kuasanya dirampas musuhnya menjadi sebab untuk menjatuhkan musuhnya dahulu sebelum dijatuhkan. Sebanyak 3 kali beliau memegang jawatan disebabkan politik dan 3 kali itu jugalah beliau jatuh disebabkan politik. 

Disebabkan kekecewaan di dalam politik, beliau telah memilih untuk menjadi penulis. Cermat, bersahaja, jelas dan logik itulah cara penulisan yang dipilihnya. Penulisan tentang agama, politik, falsafah, kemanusiaan dan  sejarah adalah antara topik penulisan yang ditulisnya. Hujah-hujah yang diberikan olehnya berkenaan dengan hukum dalam Islam menjadi musuh kepada ulama-ulama yang berada sezaman dengannya kerana ulama pada zaman itu kebanyakkannya lebih mementingkan kuasa dan jawatan berbanding hukum dan kewajipan Islam. Disebabkan oleh pengalamannya, beliau pernah mengungkapkan :

“Persahabatan ulama dengan pemerintah sebenarnya satu perjudian besar. Keagamaannya terdedah kepada bahaya besar. Diri dan fikirannya juga terancam. Adalah lebih baik bagi seseorang ulama itu musnah secara terhormat di bawah kezaliman pemerintah daripada ikut berlaku zalim bersama mereka.”

Walaupun diancam pelbagai perkara tetapi beliau tidak pernah gentar dengan ancaman-ancaman berikut sebaliknya beliau bertambah kuat pendiriannya dan lebih agresif dalam penulisan yang ditulisnya. Sepangjang hidupnya, beliau telah menulis sebanyak 400 buah buku dan salah satunya bertajuk Al-Radd ala Ibn al-Ghrilah al –Yahud (Jawapan terhadap Yahudi Ibn al-Naghrilah). Buku ini adalah khas untuk seorang Yahudi yang bersumpah mahu menyusun semula al-Quran dalam bentuk sajak. Ketegasan beliau adalah merupakan peribadi beliau yang mulia. Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

 "Janganlah seorangpun daripada kamu menjadi orang yang tidak berpendirian, beliau mengatakan "Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku akan berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, aku akan berbuat jahat (pula)", tetapi kamu mestilah menetapkan diri kamu, "Apabila orang berbuat baik, kamu mestilah berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, kamu mestilah menjauhkan diri daripada kejahatan mereka." (Tirmizi)

Penulisan beliau juga banyak mengkritik pemerintah dan ulama pada zaman tersebut. Bukan kerana dengki akan kekuasaan dan kekayaan yang mereka miliki tetapi kebencian terhadap kekufuran yang mereka miliki. Sesungguhnya kritikan-kritikan yang dilontarkan tidak lain tidak bukan hanyalah untuk membawa kembali pemerintah dan ulama kepada Islam yang sebenar. Ini ditegaskan beliau dalam dalam kata-katanya :

‎"Demi Allah aku tahu keaiban diriku lebih daripada mengetahui keaiban dan kekurangan orang lain. Dalam diriku ada keaiban. Lalu aku meneliti kata-kata para nabi dan bijak pandai tentang akhlak. Aku berlatih dan berusaha mengatasi keburukan itu sampai Tuhan memberi taufiqNya.

Perihal Ibn Hazm adalah wajar kita jadikan tauladan kerana di era kemodenan ini pelbagai dugaan dan cabaran yang kita hadapi dalam usaha untuk mengenali, mempelajari, mengamal, dan menyampai dakwah Islam. Keadaan yang songsang di sekeliling tidak menjadi alasan untuk beliau berteguh dengan pendiriannya supaya diterima oleh masyarakat. Beliau lebih selesa dengan dirinya yang sebenar berbanding berpura-pura menjadi seseorang yang lain. Semoga Allah memberikan rahmat kepada beliau. Al-Fatihah.




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Sabda Rasulullah; "Katakan benar walaupun di situ ada kepahitan". Jika perkara itu tidak benar perlu kita berprinsip memegangnya bahawa ia adalah tidak benar. Jangan kita turut bersama dengan orang yang merubah pendirian (kebenaran) hanya kerana kepentingan peribadi sendiri. 

 "Janganlah seorangpun daripada kamu menjadi orang yang tidak berpendirian, beliau mengatakan "Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku akan berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, aku akan berbuat jahat (pula)", tetapi kamu mestilah menetapkan diri kamu, "Apabila orang berbuat baik, kamu mestilah berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat, kamu mestilah menjauhkan diri daripada kejahatan mereka." (Tirmizi)

Kita bersyukur mempunyai kesenangan pada hari ini tetapi apakah kita sanggup melihat keruntuhan akhlak yang ada pada hari ini terus bermaharajalela. Jika hendak melihat apakah yang akan berlaku dalam 50 tahun akan datang lihatlah hari ini. Hari ini adalah penentu kepada hari seterusnya. Pesanan kepada rakan bermakna mendidik dan berpesan kepada diri ini sendiri sebenarnya. Wallahualam.


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Tidak sama perjalanan hidup antara dua orang individu dan tidak sama pula fikirannya, tidak sama pula kelebihan pemikiran dan pemahamannya.  


Ditanya kepada dua orang pemuda yang kembar pada zahirnya tentang perjalan hidup mereka ternyata kembar itu hanya pada zahirnya sahaja dan tidak pula sama dengan akan batinnya. Falsafah di atas memberitahu kita bahawa sebenarnya manusia ini adalah sangat indah dan unik. Terciptanya Adam sudah cukup menunjukkan bahawa manusia ini sangat istimewa. Berjiwa besar dan tabah serta taat menyelebungi hati manusia sehingga berani menerima amanah sebagai Khalifah di muka bumi ini.Allah telah berfirman :


Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (96:4)

Telah diberitakan kepada kita bahawa manusia ini adalah sebaik-baik kejadian dan sangat sempurna berbanding makhluk Allah yang lain. Setiap makhluk yang bergelar Al-Insan mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar. Ini berdasarkan firman Allah :


Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (3:104)

Walaupun jalan hidup setiap insan yang ada di dunia ini tidaklah sama tetapi setiap insan yang bergelar Muslim itu pasti dan wajib memegang tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah dalam ayat di atas. Jalan yang berlainan tetapi matlamatnya adalah sama. Selagi mana jalan itu tidak terpesong daripada landasan syariat Allah teruskan, semoga ianya mendapat keredhaan Allah s.w.t. 


Kehidupan yang pernuh dengan liku-liku kehidupan ini melemahkan dan melekakan kita daripada melaksanakan amanah yang telah terpikul di bahu kiri dan kanan kita ini. Daripada saat ini marilah kita kembali kepada jalanNya yakni jalan dakwah yang menyeru kepada makruf dan mencegah kepada yang mungkar. Memetik kata-kata seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia iaitu Prof Madya Dr. Mat Rofa Ismail; "Mengajak untuk membuat orang buat baik sangat senang, tetapi mencegah orang daripada berbuat mungkar sangat susah"


Itulah jalan-jalan juang yang perlu ditempuhi oleh setiap insan bergelar Muslim. Semoga kita diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah yang telah terpikul ini. Dan ingatlah satu perkara; Amanah ini tidak pernah selesai selama mana kita masih bernafas dan selagi belum tiba hari pemusnahan. Maka, beringatlah Allah telah menjanjikan kebahagian buat hamba-hambaNya yang bertaqwa.


MudarrisTarmizi
Mencana Perubahan Keimanan


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang.

Alhamdulillah tiba lagi kita ke destinasi peperiksaan. Kepada sahabat-sahabat yang mengenali diri ini saya mohon maaf kerana banyak kesalahan yang telah dilakukan kepada kamu selama kita bersama. Ramai berpusu-pusu mentelaah nota dan slide yang diperolehi selama 14 minggu ini. Tahniah kepada yang boleh melakukan sebegitu kerana tak semua mempunyai kekuatan dan minat untuk melakukan seperti itu tetapi jangan lupa untuk melakukan solat hajat dan taubat semoga hati kita ini bersih dan mudah memperoleh ilmu yang kita baca. Seterusnya memudahkan kita untuk menjawab soalan semasa peperiksaan. Setiap usaha pasti akan dibalas dengan yang setimpalnya. Sementara masih ada masa ini marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan keputusan yang bakal kita kecapi memberikan kekuatan kepada kita. Dan ingatlah jika keputusan yang baik kita dapat haruslah kita syukurinya dan jika keputusan yang kurang baik kita dapat haruslah juga kita mensyukurinya kerana apa jua yang berlaku Allah lebih mengetahuinya. Yakinkah diri kita dan betulkan niat; tujuan belajar. Bukan kerana hendak mendapat kekayaan di dunia, bukan kerana hendak mendapat jawatan yang tinggi di dunia, bukan juga kerana imbuhan yang bakal diterima jika mendapat keputusan yang cemerlang tetapi hanyalah kerana untuk mencari dan mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Wallahualam. 

Good Luck. Man Jadda Wad jadda.

MudarrisTarmizi
Mencana Perubahan Keimanan


Ads 468x60px

Featured Posts