Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Lir-ilir, lir-ilir,
tandure wis sumilir,
Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar,
Cah angon-cah angon penekno blimbing kuwi,
Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro,
Dodotiro-dodotiro kumitir bedhah ing pinggir,
Dondomono jlumatono kanggo sebo mengko sore,
Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane,
Yo surako… surak hiyo…

Terjemahan dalam Bahasa Melayu :

Bangun-bangun, bangun-bangun,
Tanam-tanaman sudah mulai bersemi,
Demikian menghijau bagaikan ghairah pengantin baru,
Anak-anak pengembala, tolong panjatkan pohon belimbing itu,
Walaupun licin tetap panjatlah untuk mencuci pakaian,
Pakaian-pakaian yang koyak disisihkan,
Jahitlah benangilah untuk menghadap nanti petang,
Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang,
Mari bersorak-sorak ayo....

Bagi yang berada di Samudera pasti sudah tidak asing lagi apabila kita mendengar istilah atau nama Wali Songo kerana mereka ini telah banyak memberikan sumbangan dalam keutuhan Islam bukan sahaja di sekitar Tanah Jawa bahkan pengaruhnya sampai ke Tanah Melayu. Bernama, Raden Said atau gelarannya Sunan Kalijaga adalah merupakan salah seorang daripada tokoh ilmuwan Islam di Tanah Jawa. Sebelum menjadi salah seorang daripada wali songo; Raden Said adalah merupakan seorang perompak, dimana hasil daripada rompakan itu akan diberikannya kepada fakir miskin. Selepas berjumpa dengan seorang guru agama iaitu Sonan Bunang, kehidupannya berubah, tidak menjadi seorang perompak malah telah menjadi seorang daie atau pendakwah.

Kesenian dan kebudayaan yang unik telah dipilih sebagai sarananya untuk berdakwah. Jiwanya yang berseni telah memberikan kelebihan kepadanya apabila beliau telah berjaya memasuki budaya orang Jawa yang ratanya pada ketika itu mengamalkan kepercayaan Hindu dengan membawa syiar Islam. Secara perlahan-perlahan beliau telah berjaya memautkan hati orang Jawa dengan agama Islam. Syair-syair yang dialunkan menerusi ketajaman lidahnya telah memecahkan setiap benteng tinggi yang ada dalam hati orang-orang Jawa pada zaman itu. Berhala yang dahulunya didirikan dan disembah telah ditukarkan kepada solat lima waktu sehari semalam yakni menyembah Allah. Antara syair yang sehingga hari ini masih lagi dilagukan di Indonesia adalah Lir-ilir atau Bangun-bangun dalam bahasa Melayu.

Syair ini terliput berbagai siratan yang perlu diselami, ibarat penyelam mutiara yang menyelam ke dasar laut yang penuh dengan hidupan.

Kita lihat baris demi baris; “Lir-ilir”, Sunan Kalijaga mengingatkan agar orang-orang Islam segera bangun dan bergerak atau erti kata lain hiduplah dengan sebenar-benar kehidupan. Bingkas, bangun daripada lena kejahilan kepada membicarakan soal kehidupan; apakah erti kehidupan, untuk siapakah kita hidup, mengapakah kita ada di dunia ini, kenapa terdapat perbezaan antara haiwan dan tumbuhan dengan manusia? Juga merenung akibat apakah akan diperolehi seketika diminta bangun selepas sangkakala berderu.

“Tandure wis sumilir”, saatnya telah tiba untuk umat Islam berdiri berteguh membetulkan baris barisan yang selama ini seperti ular menyusur di pokok. Setelah kejatuhan kerajaan Majapahit, inilah perjuangan yang bersesuaian waktunya untuk menegakkan semula Islam. Bagaikan tanaman yang telah siap dituai atau dipetik bermaksud telah menerima petunjuk dan ajaran  Islam dari para wali Allah dan dikaitkan dengan pengantin baru.  Pengantin baru yang dianggap usianya masih muda; adalah penggambaran usia muda yang penuh harapan, penuh potensi, dan siap untuk berkarya.

“Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar”, kehijauan atau hijau adalah simbol warna kejayaan Islam, dan agama Islam digambarkan seperti pengantin baru yang akan menarik hati sesiapapun yang melihatnya dan membawa kebahagiaan bagi orang-orang sekitarnya samada Islam atau bukan. Ada juga berpendapat bahawa sinar baru buat Raja mereka apabila Baginda memeluk agama Islam.

“Setiap manusia adalah pengembala, dan setiap pengembala bertanggungjawab atas gembalaannya” itulah pesan Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Maka jika ditafsirkan yang disebut gembala dalam syair di atas adalah para pemimpin. Dan belimbing adalah buah yang berwarna hijau dan bersegi lima atau berbentuk bintang, yang merupakan simbolik kepada lima rukun Islam dan solat lima waktu. Para pemimpin diperintahkan oleh Sunan Kalijaga untuk memberi contoh kepada rakyatnya dengan menjalankan ajaran Islam secara benar iaitu dengan menjalankan lima rukun Islam dan solat lima waktu. Keseluruhan hukum Islam itu perlulah diikuti dan dilaksanakan bukan hanya mengikuti separuh atau yang bersesuaian dengan kehendak nafsu si pemerintah.

“Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro”, dodot adalah sejenis kain kebesaran orang  Jawa yang hanya digunakan dalam upacara-upacara atau keraian penting dan pada zaman dahulu belimbing sering digunakan sebagai pencuci kain kerana kandungan asamnya sangat membantu dalam untuk merawat dan mengawet kain batik supaya tetap warnanya. Dengan kalimat ini Sunan Kalijaga memerintahkan orang Islam untuk tetap berusaha menjalankan lima rukun Islam dan solat lima waktu walaupun banyak rintangannya yakni licin jalannya. Ancaman itu pasti buat semua hidupan di dunia; rusa berkejaran dengan harimau, pokok diancam kemaluan hujan, dan manusia diancam kehasadengkian. Setiapnya mempunyai ancaman tersendiri dan wajiblah bagi yang bergelar insan untuk berusaha melolosi setiap ancaman itu agar dapat mengisi bekal yang kosong. Semua itu diperlukan untuk menjaga kehidupan beragama mereka. Jika haiwan mempunyai bulu, kereta mempunyai tubuh keluli dan bangunan mempunyai konkrit, semua itu adalah pakaian kepada setiap yang disebutkan tadi. Jadi, tidak terkecuali bagi jiwa kerana ianya turut mempunyai pakaian yakni agama.

Defisit yang dialami oleh saham jiwa menyebabkan berlakunya kemerosotan moral dan ramai orang meninggalkan agama mereka sehingga  kehidupan beragama mereka digambarkan seperti pakaian yang telah rosak dan robek. Imam Al-Kindi telah berpesan dalam kitab Lamiyah ibnil Wardi iaitu “Usah dikenang hari-hari kejahilanmu kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah malap”. Pesanan ini menunjukkan agar kita meninggalkan segala kejahilan itu dan usah kita kenang kerana ianya bisa mengecewakan dan mengganggu jiwa yang ingin dibersihkan. Koyakkan baju-baju yang telah robek itu dan campakkan ke dalam tong sampah. Pakailah baju-baju yang bersih lagi putih ibarat sesuci dilahirkan.

“Seba” ertinya menghadap orang yang berkuasa atau raja, Sunan memerintahkan agar  orang-orang Islam memperbaiki kehidupan beragamanya yang telah rosak tadi dengan cara menjalankan ajaran agama Islam secara benar, untuk bekal menghadap Allah swt di hari nanti. Dalam falsafah belimbing terdapat lima cabang dan lima itu juga merujuk kepada rukun Iman yang kelima iaitu beriman kepada hari akhirat. Percaya akan dibangkitkan semula sesudah kematian memerlukan usaha menuju ke arah kematian. Saban saat kita semakin dekat dengan kematian dan semakin dekat dengan akhirat. Sebuah pasukan bola sepak berhasrat untuk menjuarai sebuah kejohanan yang dimasukinya, adakah bisa mereka memenangi kejohanan itu tanpa berlatih atau bersusah payah sebelum kejohanan itu? Pasti tidak. Begitu jugalah manusia adakah kita akan mendapat kebahagiaan di akhirat jika kita tidak membuat persediaan di dunia. Firman Allah dalam surah Al-An’am :

Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti? (6:32)

“Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane”, selagi masih banyak waktu, selagi masih banyak kesempatan, perbaikilah kehidupan beragamamu dan bertaubatlah. Itulah maksudnya akan “Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang”, berkali-kali kita diingatkan agar bersegera bertaubat supaya kita diampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Walaupun berkali-kali telah diingatkan tetapi Sunan Kalijaga terus mengingatkan kepada kita dengan tidak jemu kerana pentingnya mendapatkan maghfirah Allah swt.

Akhir sekali kita disapa oleh Sunan Kalijaga agar bergembiralah bersorak di akhir kehidupan kita semoga kalian mendapat anugerah  dari Tuhan. Disaatnya nanti apabila datang panggilan dari Yang Maha Kuasa, sepatutnya bagi mereka yang telah menjaga kehidupan beragamanya dengan baik akan menjawab panggilan tersebut dengan gembira. Bersorak jugalah bagi siapa yang telah menjaga dengan sebaik-baik agamanya maka tidak ada keraguan bahawa di akhirat nanti agamanya itulah akan menyelamatkannya daripada kemurkaan Allah swt.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir di bawahnya sungai-sungai. (12:9)

 Bagi orang-orang yang berusaha untuk menjaga agama Allah tidak lain tidak bukan kejayaanlah yang didapatinya walaupun tidak di dunia tetapi pasti di akhirat. InsyaAllah. Ayuh; Lir-Ilir, Lir-Ilir!!!






 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


Mengembara mencari ilmu itu merupakan tradisi para ulama sepanjang zaman. Mereka rela mengorbankan segala kerehatan dan keselesaan demi mencapai ilmu yang diidamkan-idamkan. Mereka sabar meninggalkan keluarga di kampung untuk mengembara di negeri orang kerana mahu mendapatkan ilmu. Setelah dada mereka penuh dengan ilmu, baru mereka balik ke kampung, untuk melanjutkan perjuangan dengan membimbing masyarakat dan memimpin mereka ke jalan Allah.

“Kegemaranmu tinggal di kampung merupakan satu kelemahan yang ketara. Oleh itu pergilah merantau mencari ilmu yang pasti kau temukan ganti dari keluarga yang ditinggalkan. Air yang tenang itu akan menjadi busuk. Begitu pula seandainya anak bulan itu tidak berjalan, maka sudah tentu ai tidak akan menjadi purnama.” (Al-Kindi)

Kenapa seorang pelajar itu perlu mengembara mencari ilmu? Ia perlu mengembara kerana menghilangkan rasajemu dan jenuh duduk di kampung dan untuk mendapat suasana yang berbeza dari apa yang dilihatnya di kampungnya sendiri, dan supaya kurang gangguan dengan sebab banyaknya orang yang dikenali. Maka ketika ia berada di negeri orang maka ia akan dapat memberikan penumpuan pada ilmu yang dipelajarinya, selain dari wujudnya persaingan dari berbagai-bagai tempat, bagi membuktikan keunggulan dan martabat masing-masing negeri yang diwakili.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). (96:1)

Ayat yang pertama turun ketika Rasulullah bersendirian di dalam gua Hira’ adalah berkenaan dengan bacaan. Bacaan adalah salah seorang anak kepada ilmu. Telah menjadi kewajipan setiap daripada anak Adam untuk menuntut ilmu. Pergi kau menimba pengalaman dan pengajaran di negeri orang. Bertahun kau duduk di kampung meneliti gelagat orang yang sama sehingga engkau hampir gila. Katak di bawah tempurung hanya akan merugikan engkau, walaupun dapat bersembunyi daripada panas terik dan hujan badai tetapi ia tidak berkembang tetap dungu sebegitu. Jika semalam dia tahu mengira daripada satu sehingga sepuluh, hari ini dia juga hanya tahu mengira satu hingga sepuluh, dan esok serta hari-hari seterusnya begitulah dia tidak berkembang.

Luka, sakit, lecet adalah biasa ketika kau meredah hutan. Walaupun kadang-kadang kau tidak mampu untuk mengubati kecedaraan kau itu usah kau pedulikan kerana ianya pasti terubat sendiri. Orang lain yang membantu tidak merasakan apa yang kau rasakan, kau tetap diri kau. Keaiban kau hanya kau yang tahu. Kelebihan kau hanya kau yang tahu. Dalam erti kata lain kau lebih mengetahui diri kau berbanding dari orang lain mengetahui diri kau. Jika kau terjatuh semasa memanjat pokok jangan kau takut untuk panjat pokok itu lagi. Jika kau tergelincir ketika meyusuri gaung jangan kau gentar untuk menyusurinya lagi. Kau akan datang adalah apa yang kau buat pada hari ini.

Semalam adalah kenangan, hari ini adalah perjuangan, esok adalah pengharapan, dan lusa adalah kejayaan.

Catur dan corakkan perjalanan kau pada hari ini untuk menuntuk ilmu, kelak kau pasti tersenyum pada sinaran mentari setelah kau bersedih di kala hujan badai. "Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek". Jika musuh sanggup kita jejaki sehingga ke liang cacing, jadi mengapa tidak ilmu? Jejakilah ia selagi mana kita mampu.




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


 “Sekali-sekali tinggalkanlah orang yang kau kasihi, dan sekali-sekali datanglah berkunjung ke rumah sahabat, nescaya bertambah kecintaan sesama kamu. Maka barang siapa yang tidak pernah meninggalkan kekasihnya atau terlalu kerap datang berziarah ke rumah sahabatnya maka yang demikian itu akan menjemukan.”

Sekali-sekali menghilanglah dari orang yang kau kasihi, sekali-sekali tinggalkanlah isteri yang tercinta, bukan kerana marah atau benci tetapi kerana ada suatu tugas di tempat lain. Apabila ini kau laksanakan pasti akan bertambah rasa kecintaan antara satu sama lain. Memang kalau kita selamanya di sisi kekasih atau isteri yang tercinta maka yang demikian itu akan menjemukan. Bersamaan dengan pepatah Melayu; “Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan”.

Percaya atau tidak itulah hakikatnya; berjauhan mula terasa rindu dan bila berdekatan terasa jemu. Manusia punyai nafsu yang inginkan sesuatu yang lebih daripada apa yang digenggamnya tetapi apabila dalam genggaman terlepas barulah dia mula tercari-cari, mengangis dan bersedih. Di kala itu menyesal pun tidak berguna. Gunakan kesempatan yang ada untuk memperbaiki kasih sayang yang ada sesama manusia lebih-lebih lagi dengan orang yang disayangi. Biar jauh di pandangan mata tetapi dekat di hati.

Begitu pula berkunjung ke rumah kawan-kawan dan juga keluarga adalah sesuatu yang sangat baik. Ia sangat berkesan untuk mengeratkan tali persaudaraan dan menambahkan mahabbah (cinta) antara satu sama lain. Banyak masalah yang dapat diselesaikan melalui suatu pertemuan yang dilaksanakan. Begitu pula banyak perselisihan yang dapat diluruskan setelah timbul dari salah faham atau terjadi dari sebab kesilapan maklumat yang disampaikan. Semuanya ini dapat diselesaikan melalui perjumpaan dan perbincangan.

Tetapi ziarah atau berkunjung ini jangan terlalu kerap, kerana yang demikian itu akan membosankan dan menghilangkan faedah dari kunjungan tersebut.

Sumber rujukan :

Nasihat Imam Zainuddin Ibnul Wardi Al-Kindi (Al-Kindi) dalam kitab “Lamiyah Ibnil Wardi” yang  diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ahmad Fahmi Zamzam dalam kitab “Ya Bunayya”.



بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


“Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang telah tenggelam.” (Al-Kindi)

Jangan kau suka mengingati babak-babak kebodohan dan segala tindakan yang kurang wajar yang engkau lakukan di masa mudamu. Biarlah hari-hari itu berlalu dan tak perlu diingati lagi, kerana mengingatinya akan menimbulkan rasa bodoh dan kemblai kepada alam kanak-kanak. Sebaliknya, hendaklah kamu merancang untuk masa depan yang lebih cemerlang dan teratur.

Pesanan ini diberikan oleh ahli ilmuwan Islam iaitu Al-Kindi, niatnya adalah agar kita terus memperbaiki diri dan meneruskan perjuangan hidup ini. Umar ibn Khattab yang pada zaman jahilnya beliau seorang yang keras menentang Rasulullah saw dan sehingga sanggup membunuh anak perempuannya sendiri. Tetapi semuanya berubah apabila beliau memasuki Islam dan mendapat hidayah Allah swt. Akhirnya beliau menjadi seorang sahabat yang telah diredhai semasa di dunia lagi.

Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat; tanggalkan baju yang telah koyak serta lusuh itu, ayuh tukarkannya dengan baju yang cantik dan bersih serta jagalah baju itu daripada kekotoran yang ada disekelilingnya. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali dan jangan biarkan disengat lebah dalam sebuah lubang yang sama.  

Mari kita sama-sama menghantar hati ini ke bengkel untuk dibakar dan diketuk supaya kembali kepada bentuk asalnya yang secantik-cantik bentuknya. Mari kita ke klinik untuk dicuci dan dirawat iman ini supaya luka-lukanya kembali sembuh. Pokoknya kita perlu kembali berusaha untuk mendapat keampunan Allah s.w.t kerana pengampunan-Nya mengatasi segala kemurkaan yang telah dilakukan oleh manusia di dunia ini.

Astaghfirullah, La hau la wala qu wa ta illabillah. 


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


Perjalananku bermula lagi,
Tidak pernah berhenti walau ada perhentian.
Aku berkisah, mencari, menjumpai,
Seketika hilang, seketika muncul,
Hati diikat kaki dan tangannya, dihayutkan ke laut,
Masakan berupaya berenang; berterusan berikat,
Terkapai-kapai lemas, diselamatkan nahkoda bahtera .

Perjalananku bermula lagi; pernyataan yang daku tinggalkan buat pembaca. Buatlah apa pun intrepretasi anda kerana maksudnya hanya saya bersama-Nya sahaja yang tahu. Dilahirkan daripada hati, ikhlas berkata. Gambaran penulisan sukar diemosikan, walau diterjemahkan. Penulis mempunyai niat tersendiri, begitu juga pembaca punyai niat tersendiri. Burung Lelah hinggap sebentar, berbicara sebentar bersamaku, kini dia terbang mengembara; “Jumpa lagi” katanya. Sunyi aku keseorangan, tetapi tadi Burung Lelah berkata “Jumpa lagi”, selepas ini tidak tahu dia semakin kurus atau semakin gemuk.

Intrepretasi hati penulis,

Punyai perjalanan yang pasti ada jalannya; kisah pencarian dan perjumpaan, kisah perjumpaan dan pencarian. Sedang berjalan terjumpa perhentian, berhenti sambil berjalan. Kemudian perjalananku bermula lagi. Perjalanan; berhenti sambil berjalan adalah kisah perjumpaan dan pencarianku, telah dijiwaiku dan akan terus kujiwai.

Perjalanan yang mengharapkan kesamaan bersama









 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Serbuan yang berlaku pada 3 Ogos 2011 lepas adalah merupakan satu perkara yang sangat menyentuh sensitiviti keagamaan di negara Malaysia ini. Saya mempunyai pendapat yang kurang setuju dengan serbuan yang dilakukan. Ini kerana pada pendapat saya, terdapat hak kebebasan dalam untuk melaksanakan dakwah terhadap agama masing-masing. Tidak kira agama hindu, buddha, kristian dan agama apa sekalipun mereka mempunyai hak untuk berdakwah.

Gereja yang menjadi sasaran juga adalah merupakan tindakan yang kurang bijak kerana ianya secara tidak langsung telah menjatuhkan air muka Islam itu sendiri. Saya melihat di kebanyakkan negara Islam mereka tidak meredhai orang yang bukan Islam itu untuk memegang, melihat atau menggunakan Al-Quran, perkara ini menyebabkan orang bukan Islam itu tidak tahu apakah isu kandungannya. Bagaimana kita hendak mengimani sesuatu sedangkan kita tidak tahu apakah yang ada di dalamnya.


“The majority of muslims do not allowed the people who are not yet Muslim even touch the Quran. How we can read the Quran if you are not given an oppurtunity even touch the Quran.” (Hussain Yee)

Kita sibuk memperkatakan kristian melakukan dakwah kepada orang Islam di negara ini, tetapi adakah kita sendiri beriman sebenar-benar iman dengan agama Islam itu sendiri? Saya percaya jika pada hari ini di tanya untuk mengaji Al-quran pun masih ramai lagi umat-umat Islam di Malaysia ini tidak mampu dan tergagap. Kegagalan umat Islam untuk berdakwah kepada sesama umatnya sendiri adalah punca berlaku murtad. Kegagalan mendidik keluarganya sendiri juga adalah punca kepada berlakunya perpecahan keluarga, masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Juga kegagalan sistem pendidikan dalam negara Malaysia untuk membentuk peribadi Muslim yang bertaqwa kerana menggunakan sistem sekular.

Tindakan membebani umat agama lain terhadap masalah yang berlaku kepada agama Islam itu secara keseluruhannya adalah tidak adil kerana mereka mempunyai kepercayaan mereka sendiri dan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan serta berdakwah kepada orang yang bukan agama mereka. Cuba kita renung di Malaysia ini, jika berlaku perkara-perkara seperti dakwah terhadap penganut agama lain; Islam boleh laksanakan tetapi tidak untuk agama lain. Apakah ini akan menarik minat dan memberikan kelebihan kepada umat Islam? Sebenarnya jika dilihat secara mendalam, tindakan ini adalah liabiliti kepada Islam itu sendiri kerana tindakan ini tidak adil. Islam boleh berdakwah kepada agama lain tetapi agama lain tidak boleh berdakwah kepada Islam. Ini adalah perkara yang menyebabkan agama lain memandang bahawa Islam itu adalah tidak adil dan berat sebelah serta Double Standard.


Buka fikiran kita; cuba kita membenarkan dakwah mereka dilaksanakan, pada masa yang sama kita juga berdakwah, kebajikan rakyat dijaga, Al-Quran dan Sunnah diterapkan dalam setiap hati muslim, dan sebagai pemimpin perlu memerintah dengan adil dan saksama. Jika perkara ini semua dilaksanakan dengan baik, adakah umat Islam pada hari ini akan pergi kepada agama lain? Pasti tidak dan bahkan mereka yang berdakwah kepada umat Islam pasti pelik mengapa sungguh kuat pegangan umat Islam ini terhadap agamanya. Apakah rahsia Islam itu? Secara tidak langsung mereka akan berusaha untuk merungkai rahsia itu dan pasti mereka pula akan teruja akan keindahan rahsia Islam itu.

Selidiki semula sirah Umar ibn Khattab, suis hati beliau dipetik oleh Allah swt untuk memeluk Islam apabila membaca surah Taha ayat 1-5. Ketika beliau membaca ayat-ayat Al-Quran itulah maka barulah hati beliau diterangi dengan lampu Islam. Mengapa tidak kita ambil ikthibar daripada sirah ini untuk berdakwah samada kepada orang agama Islam mahupun bukan Islam. Perkara yang paling penting adalah memasakkan dalam diri setiap umat Islam itu dengan Al-Quran dan hadis maka insya-Allah jika selepas itu datangnya dakwah daripada agama lain yang menyekutukan Allah pasti tidak akan terdetik sedikit pun untuk mempercayai kata-kata mereka.

Islam itu mudah, Islam itu cantik, dan Islam itu sempurna tetapi umat Islam itu susah, umat Islam itu hodoh dan umat Islam itu tidak sempurna. Sibuk bercerita keburukan orang lain tetapi terlupa rupanya keburukkan diri sendiri lebih banyak. Itulah hakikat umat Islam di Malaysia ini.

Umat Islam, terasa agama ini adalah hak mereka sahaja tetapi sebenarnya adalah hak orang bukan Islam juga kerana telah Allah turunkan agama Islam ini untuk sekalian umat manusia di dunia, bukan semata-mata umat Islam. Rahmatallil ‘alamin (rahmat sekalian alam) bermaksud Islam itu memayungi keseluruhan alam tidak kira apa jua bangsa dan agama. Adakah pemimpin di malaysia ini berjaya membawa umat bukan Islam di bawah naungan keadilan dan berkebajikan? Sehingga ke hari ini masih ada lagi rakyat yang tidak terbela nasib mereka, bantuan kepada mereka tidak dihulurkan. Di Sabah dan Sarawak rakyat mereka masih lagi berada dalam keadaan kemunduran. Sekolah beratapkan daun kelapa dan belantaikan buluh, tiada tandas yang ada hanya tandas di sungai dan semak, dan bekalan elektrik yang hanya menggunakan generator. Pemimpin terus menerus mendapat kekayaan tetapi rakyat di pendalaman terus menerus mendapat kemiskinan. 


Terakhirnya, saya hendak berpesan kepada diri sendiri dan sahabat semua, kita perlu untuk menjiwai Islam itu sendiri, fahami sedalam-dalamnya. Kemudian, kita keluar daripada kepompong bahawa Islam itu bukanlah semata-mata hak Islam tetapi adalah hak semua tetapi perlulah diawasi supaya tidak menjadi bahan mainan. Perlu dibezakan antara kesungguhan dan permainan. Jika kesungguhan seperti Umar ibn Khattab hendak mempelajari Islam adakah kita berhak menidakkan hak Islam untuk mereka? Jangan menjadi tamak untuk agama sehingga menjadi musuh kepada agama.

Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku. (109:1-6)

Jangan dipersalahkan agama lain tetapi perbaikilah umat Islam itu sendiri kerana jika pasakan iman telah berada dalam hati sanubari mukmin itu pasti ianya akan menjadi pegangan dan panduan dalam perjuangan hidup ini.

Wallahualam.


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah membuat satu kempen dalam usaha untuk memberikan maklumat yang telus dan adil melalui "Kempen Jom Baca Media Alternatif". Kempen ini dilancarkan pada 7 Ogos 2011 bersamaan dengan 7 Ramadhan 1432 bertempat di Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall (KLSCAH) yang dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. 

Kempen ini bertujuan untuk menyeru semua anak-anak muda dan rakyat di negara ini membuka minda dan pemikiran dengan mempelbagaikan pembacaan. Sudah menjadi kelaziman di negara ini, arus media perdana dikongkong dan dikuasai oleh pihak kerajaan, terdapat banyak maklumat yang sepatutnya sampai tetapi tidak sampai ke rakyat. Pihak SMM mengambil langkah untuk melaksanakan kempen ini agar rakyat mendapat info yang lebih telus dan saksama, maka sebagai seorang rakyat yang prihatin kita perlu mendengar daripada pelbagai pihak dan kemudiannya barulah membuat keputusan. Di bawah adalah video dan gambar berkenaan dengan kata alu-aluan, pendeklamasian sajak dan perasmian "Kempen Jom Baca Media Alternatif".


Penulis : A. Samad Said
Tajuk : Kepada Cendekia Solidar

Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka.
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya,
Dengan media gergasi pertajam taring dustanya.

Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja,
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.

Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.

Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhnya,
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.



Sajak : Kepada Cendekia Solidar


Hazim Mohd Noh (Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM,), Datuk A . Samad Said, Tarmizi  Anuwar


Perasmian "Kempen Jom Membaca Media Alternatif"


Student Power!!!


بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang


Semua tapi satu, banyak tetap satu, dan sikit juga adalah satu. Pokoknya jika lebih daripada satu tetap dipanggilnya satu. Ada dua belah kaki tetapi tetap kita katanya hak milik seorang individu, masakan kita kata dua belah kaki itu milik si fulan dan si fulan, tidak mungkin. Dua belah tangan juga dipanggilnya milik seseorang tidak dipanggil milik dua orang. Mata dan telinga juga milik seseorang, pasti pelik kita katakan kedua belah telinga itu adalah hak milik dua orang walhal telinga itu hanya sepasang. Dua = Sepasang.

Sepasang suami isteri; lelaki + perempuan, bukankah dua individu yang berbeza tetapi mengapa tetap digelarkan sepasang? Duduk bersandar di sepohon pokok sambil bertanya kepadanya, mengapa? Adakah hukum alam ini salah? Adakah ada perkara yang tidak kena dengan ilmu mantik yang pernah aku pelajari? 1+ 1=1?...1+2+3+4+5+9999+10000=1?

Pelbagai budaya yang lahir daripada pelbagai bangsa; Cina, India, Melayu, White, Black dan ramai lagi. Bukankah semua itu lebih daripada satu tetapi sehingga hari ini masih lagi kita katakan ianya tetap satu? Kesemua kamus dunia ini bersetuju menyatakan bahawa Cina, India, Melayu, White, Black ini adalah satu; manusia. Ya, mereka semua walaupun berlainan bangsa tetapi pada dasarnya tetap mempunyai hati dan perasaan. Cintakan keindahan alam dan cintakan kedamaian. Unik, sungguh unik.

Pelbagai jenis haiwan; harimau, kucing, biawak, landak tetapi kita tetap gelarkan mereka dengan satu gelaran iaitu haiwan. Tidak pula haiwan itu kita gelarkan tumbuhan atau kita gelarkan manusia. Begitu juga tumbuhan, pelbagai jenis adanya samada di hutan, di bandar, di lembah atau di gunung tetap semuanya itu bernaung di bawah satu nama tumbuhan.

Pelik tapi itulah dia; Satu, Esa, Wahid.

Pelbagai agama yang lahir; Kristian, Islam, Buddha, mahupun Hindu semuanya adalah satu. Atas dasar apakah yang satu itu? Ya, penyerahan diri, ketaatan, kedamaian jiwa itulah tujuannya. Tetapi masih tidak diterima apakah maksudnya 1+1+1+1=1, bukankah ini menyalahi konsep matematik yang telah dipersetujui sejak berkurun lama dahulu?

Mereka menjadikan orang-orang alim (Yahudi), dan rahib-rahibnya (Nasrani) sebagai tuhan selain Allah, dan (juga) Al-Masih putera Mariam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Maha Esa; tidak ada tuhan selain Dia. Mahasuci Dia dari apa yang mereka persekutukan. (9:31)

Mahu tidak mahu sebenarnya rumus matematik tidak mampu untuk merungkai persoalan ini. Berpuluh kapal berlayar di lautan tetaplah ia dipanggil kapal tidak pula dipanggil kereta, berpuluh kapal yang berlayar di lautan masih tetap lagi berada di sebuah planet yang digelar bumi. Inilah hakikat alam, tidak kira berapa banyak atau bilangannya sebenarnya ia terselimut oleh Angka yang bernilai Satu.

Katakanlah (Muhammad), “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia. (112:1-4)

Biarlah kita berlainan bangsa, berlainan budaya, hatta berlainan negara tetapi akar kepada sebuah pohon itu sebenarnya tetaplah Allah yang menjadikan. Dia-lah yang mencipta manusia, Dia jugalah yang menciptakan haiwan dan tumbuhan serta Dia jugalah yang mencipta alam. Agama yang berbeda bukanlah alasan untuk kita mendabik dada dan menghina yang lain tetapi sebenarnya adalah untuk memberikan peringatkan kepada hamba-Nya agar berfikir mencari hakikat sebenar kepada semua ciptaan ini. Jika tayar diperbuat daripada getah, minyak daripada petroleum, dan kuman daripada organisma, maka apakah atau siapakah yang membuat atau menciptakan manusia? Telah dinukirkan dalam Al-Quran perihal terciptanya manusia :

Wahai manusia! Sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa. (2:21)

Maka terjawablah persoalan yang tidak dapat dijawab oleh rumus matematik iaitu Dia-lah; Allah Maha Esa.




بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyanyang

Seketemu lagi kita dengan bulan Ramadhan, Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana hanya dengan kekuasaan-Nya sahaja barulah kita mampu untuk sampai pada saat ini. Terasa seperti malam tadi bulan menerang tetapi pagi ini sudah matahari pula mengambil tugasnya; begitu cepat peredaran masa yang kita lalui. Rasa rindu semakin menyengat dan menebal di dalam hati untuk memberikan yang terbaik buat Ramadhan kali ini. Jika pada zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani masih bayi, cara bagaimana untuk mereka mengetahui datangnya bulan Ramadhan adalah dengan orang kampung akan datang ke rumah ibu bapa beliau dan bertanyakan tentang perihal bilakah bermulanya puasa. Maka jawab si ibu, pagi ini Abdul Qadir Jailani tidak menyusu, maka Ramadhan sudah bermula hari ini.

Itu pada zaman kita tidak mempunyai teknologi untuk melihat anak bulan dan ilmu falaq tetapi sekarang hanya perlu menunggu di depan televisyen untuk menunggu pengisytiharan daripada Penyimpan Mohor Besar Diraja. Itulah kehebatan teknologi dan peredaran yang berlaku mengikut keadaan semasa atau waqi’. Tetapi bagaimana hebatpun perubahan itu janji Allah tidak pula berubah terhadap hamba-Nya. Dijanji semalam tetap sama dengan janjinya hari. Dijanji hari ini tetap sama juga esok atau lusa. Setiap perjanjian-Nya itu tidak pula sesekali dimungkirinya. Perjanjian yang telah ditemeterai sejak daripada zaman unta dan kuda sebagai pengangkutan lagi, dikhabarkan kepada kita akan fadhilat-fadhilat orang berpuasa dalam bulan Ramadhan. Dan tidak pernah pula fadhilat itu pupus ketika di zaman kapal terbang dan bas yang telah menjadi pilihan untuk bergerak daripada satu tempat ke tempat yang lain.

Antara fadhilat-fadhilat orang berpuasa ialah :

1.       *  Tidur dalam bulan Ramadhan adalah ibadah.
2.       *  Diamnya orang berpuasa adalah bertasbih
3.       *  Ibadah yang dilakukan berganda-ganda pahalanya.
4.       *  Doa orang yang berpuasa adalah mustajab.
5.       *  Dosa orang yang berpuasa akan diampunkan yakni dosa dengan Allah.
6.       *  10 hari awal; rahmat, 10 hari pertengahan; pengampunan, 10 hari terakhir; pembebasan api neraka.


Gunakanlah kesempatan yang ini untuk meragut segala ganjaran yang ada. Pasir pantai dikorek-korek, sekembalinya ombak hilanglah lubang yang dikorek itu. Janganlah kita menjadi seperti pasir pantai itu hanya meninggalkan kesan sementara sahaja. Apabila datang ombak menghempas kemudian pergi atau pulangnya Ramadhan kita terus lupa akan latihan yang telah diberikan selama sebulan. Biarlah besi dibakar kemerah-merahan kelak boleh dilentur selamanya. Jadilah besi yang selepas dilenturkan, sudah tidak berubah lagi bentuknya. Ucapkanlah “Ramadhan Kareem” kepada sahabatmu dan sahabatmu ucapkanlah “Allahuakram” apabila bersua mata. Ramadhan Kareem bermaksud Ramadhan Mulia dan dijawabnya Allahuakram yang bermaksud Allah-lah lebih Mulia. InsyaAllah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik buat semua insan-Nya.

“Allahumma bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna akhiir ramadhan”

Hiasi malam dengan bulan dan bintang,
Hiasi syurga dengan bidadari,
Hiasi malaikat dengan Jibril a.s,      
Hiasi nabi dan rasul dengan nabi Muhammad s.a.w,
Hiasi kitab dengan Al-Quran,
Hiasi wali dengan Abdul Qadir Jailani,
Hiasi masjid dengan fadhila-fadhilat Masjidil Haram,
Hiasi sungai dengan Sungai Nil, Mesir,
Hiasi alam dengan keindahan Yusuf a.s,
Hiasi hari dengan penghulu hari Jumaat,
Hiasi bulan dengan bulan Ramadhan.



Ads 468x60px

Featured Posts